Khamis, 29 Disember 2011

TAJAAN UNTUK KELAB BOLASEPAK

Setelah membaca beberapa komentar oleh pembaca blog ini di 'chat box' saya terpanggil untuk menulis mengenai topik ini iaitu peranan penaja kepada sesebuah kelab bolasepak. Beberapa fakta yang saya turunkan adalah melalui pengalaman dan juga capaian dari laman web dari seluruh dunia. Segalanya saya ringkaskan supaya mudah bagi para pembaca untuk memahaminya. Saya percaya para pembaca blog ini adalah terdiri dari para pemain, pengawai pasukan/kelab dan pemimpin persatuan bolasepak dan adalah bertepatan jika saya memberi mereka sedikit ilmu mengenai sukan bolasepak ini.

Ini bersesuaian juga dengan perkembangan bolasepak di Brunei DS yang baru mula dibentuk dengan kehadiran DST-Liga Bolasepak Kebangsaan 2011/2012. Kita sebagai peminat bukan sahaja mengharapkan liga tersebut berjaya malah turut menginginkan ianya dapat berfungsi sebagai wadah kepada pembangunan bolasepak hingga hasilnya nanti akan dirasai oleh prestasi skuad kebangsaan apabila beraksi di peringkat antarabangsa.

Selain itu, liga tersebut juga diharap dapat melahirkan ramai jurulatih yang berwibawa, pengurus yang berkaliber dan pegawai-pegawai lain yang mana nanti akan mengurus tadbir skuad-skuad kebangsaan yang akan dibentuk untuk pelbagai kejohanan anjuran FIFA, AFC, AFF dan kejohanan-kejohanan sukan lainnya seperti olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.

Juga kita berharap benar agar liga itu akan memberi sedikit ilmu kepada kelab-kelab yang bertanding bukan sahaja bagaimana cara mentadbir dan mengurus kelab masing-masing, malah bagaimana cara atau kaedah untuk mendapatkan dana atau sumber kewangan untuk menjamin jangka hayat sesebuah kelab itu dapat berterusan sampai bila-bila.

Sesebuah kelab wujud sudah pasti dengan adanya sumber kewangan. Sumber kewangan ini pula diperolehi dari tiga cara iaitu;

1. Dibiayai oleh pemilik kelab (pemegang saham);
2. Dana khas dari badan induk dan;
3. Tajaan oleh sektor swasta

Saya tidak mahu untuk menyentuh perkara 1) dan 2). Apa yang ingin saya terangkan di sini ialah berkenaan bagaimana sesebuah kelab itu boleh hidup atau mandiri dengan bantuan oleh tajaan syarikat-syarikat. Pada dasarnya tajaan oleh syarikat-syarikat terbahagi kepada 2 iaitu;

1. Tanggungjawab sosial (social responsibility).
2. Strategi pemasaran (marketing strategy).

Apa yang dilihat dalam konteks Brunei DS sebahagian besar tajaan oleh sektor swasta/syarikat adalah kerana perkara 1) iaitu mereka menaja hanya semata-mata memenuhi tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat (yang menjadi pelanggan tetap mereka misalnya peranan yang dimainkan oleh DST sejak beberapa tahun lalu). Masalahnya tidak banyak syarikat yang mampu dan sudi menjadi penaja seperti yang dimainkan oleh DST.

Oleh itu harapan bagi kelab-kelab bolasepak untuk mendapat tajaan hanya kerana tanggungjawab sosial sesebuah syarikat itu sangat tipis apatah lagi jika dinilai dari saiz ekonomi negara Brunei DS yang sangat kecil berbanding negara-negara lain. Juga jumlah kelab yang agak banyak menyukarkan syarikat-syarikat untuk menaja, jika adapun syarikat yang sudi menaja hanyalah berbentuk 'tajaan jersi'. Kita masih belum mendengar ada kelab-kelab bolasepak yang ditaja dalam bentuk dana wang ringgit.

Bagaimanapun kelab-kelab mempunyai beberapa kaedah untuk mendapatkan penaja, antaranya ialah;

1. Penaja Utama.
2. Menaja Stadium/Vanue.
3. Tajaan Jersi.
4. Ruang iklan di stadium/venue.
5. Ruang iklan buku program.
6. Tajaan pemain.
7. Ruang iklan di laman web/blog.
8. Menaja aktiviti kemasyarakatan (community activities) kelab.

Faktor-faktor yang menarik minat penaja untuk menyumbang kepada sesebuah kelab ialah;

1. Liga yang disertai menarik ramai peminat untuk menonton di stadium/melalui siaran tv atau mengikuti berita mengenainya di akhbar dan majalah.
2. Prestasi pasukan yang sentiasa meningkat.
3. Mempunyai pengurusan yang cekap.
4. Mempunyai imej yang positif dan bersih di mata masyarakat dan peminat.

Adakah liga kitani dan kelab-kelab yang menyertainya memiliki ciri-ciri yang saya sebutkan di atas? Memang tiada pada masa ini akan tetapi tidak mustahil liga kitani akan menjadi 'liga contoh' suatu hari nanti jika diurus dan ditadbir dengan bersistematik dan professional. Tidak mustahil juga akan tampil beberapa buah syarikat akan muncul menaja kelab-kelab ternama tempatan.

Apa yang mesti dilakukan ialah memperkemas dan mempertingkat mutu liga dan setiap pasukan yang menyertainya. Perlu diingat tugas ini bukanlah mampu dilakukan oleh seorang atau dua/tiga orang atau sekelompok kecil orang, ianya memperlukan sumbangan tenaga dan fikiran kesemua pakar yang berkenaan di bidang masing-masing. Untuk maju kita mesti mempercayai kepakaran orang lain. Pemusatan tugas kepada seseorang atau sekelompok kecil orang sudah terbukti tidak akan berjaya. Seperti kata kunci untuk memenangi setiap perlawanan bolasepak, 'TEAM WORK'!

Prof: Sering melihat kelab memberi 'ruang' kepada penaja jersi. Pada hal ruang itu adalah untuk tajaan dana wang ringgit bukan 'jersi'.

Ahad, 25 Disember 2011

RINTIHAN SEORANG PENGURUS PASUKAN

Untuk posting kali ini ingin saya berkongsi rintihan dan keluhan salah seorang pengurus pasukan yang menyertai Liga Kebangsaan Brunei bersama para pembaca yang budiman. Beliau saya kenali sejak sekian lama dan memang terkenal dengan komitmen dalam mengendali sesebuah pasukan apabila diberi tanggungjawab. Dan untuk liga ini beliau membawa pasukan yang telah ditubuhkan beberapa tahun lalu.

Saya kira pemain-pemain kelab ini sangat bernasib baik kerana teman saya itu telah bersedia untuk menggunakan wang sakunya sendiri untuk membiayai semua perbelanjaan kelab. Namun dalam rintihan dan keluhan beliau kepada saya melalui telefon beberapa hari lalu beliau sangat kecewa dengan sikap para pemainnya yang tidak mahu (tiada semangat/komitmen) untuk menjalani latihan. Tetapi jika menghadapi perlawanan kesemua pemain yang disenaraikan akan datang (sebenarnya masalah beliau ini telah disuarakannya kepada saya sejak setahun yang lalu).

Sebelum bermula liga beliau telah berjaya mendapatkan sebuah padang sekolah yang turut memiliki trek untuk menjalani latihan atas bersetujuan pengetua sekolah tersebut. Ini bermakna para pemain beliau bernasib baik sebanyak 2 kali iaitu 1) Kelab mempunyai dana; 2) Kelab mempunyai kemudahan padang untuk latihan.

Mereka (para pemain) sewajibnya bersyukur kerana mempunyai kelebihan berbanding kelab-kelab lainnya. Melalui pengalaman saya sebelum ini yang pernah membantu salah sebuah pasukan menghadapi masalah yang sama iaitu ketiadaan padang latihan. Kadang-kala kami terpaksa berkongsi sebuah kawasan lapang yang kecil dengan 4 buah pasukan yang lain. Hanya segelintir sahaja kelab-kelab yang memiliki kemudahan padang latihan (awda sendiri dapat meneka kelab-kelab tersebut).

Masalah malas hadir latihan adalah masalah biasa bagi sesebuah kelab. Oleh kerana kesukaran mendapatkan pemain (bertolak dari jumlah kelab yang agak banyak) maka sesebuah kelab itu terpaksa menyenaraikan sahaja mana-mana pemain yang 'sudi' bermain dengan kelab mereka. Akan tetapi pemain-pemain itu hanya 'sudi' bermain tetapi tidak 'minat' kepada bolasepak itu sendiri. Ini bermakna teman saya itu telah menyenaraikan pemain-pemain yang 'salah'.

Soal kedua adalah teman saya itu tadi tidak mempunyai seorang jurulatih yang berwibawa. Bukan mudah untuk mencari seorang jurulatih yang berwibawa apatah lagi negara kita masih belum memiliki program pembangunan jurulatih untuk menampung permintaan (kelab-kelab) yang meningkat.

Seingat saya Brunei DS hanya memiliki seorang jurulatih yang memegang Lesen B (Awang Dayem Haji Ali) dan 23 (-+) orang jurulatih Lesen C (hasil dari kursus jurulatih yang dianjurkan oleh DPMM FC dan BAFA beberapa tahun lalu). Dari 23 (-+) orang jurulatih Lesen C itu hanya sebilangan kecil saja yang aktif mengendalikan kelab-kelab tempatan dan selebihnya tidak tahu ke mana keberadaannya.

Inilah juga masalah sebenar bolasepak kitani. Kekurangan padang latihan/infrastruktur dan ketiadaan jurulatih berkelayakan dan berwibawa (soal sumber kewangan kita tinggalkan dulu). Bagaimana kita dapat melahirkan pemain-pemain berwibawa sedangkan pemain-pemain muda kita itu tidak mempunyai padang latihan yang khusus dan tiada pembimbing yang berkelayakan memberikan tunjuk-ajar kepada mereka.

Dan masalah ketiga yang dihadapi oleh teman saya tadi ialah ketiadaan pakar motivasi untuk memberikan fokus kepada pemain-pemainnya. Kalau dalam konteks bolasepak kitani jurulatih adalah juga pakar motivasi, tetapi dalam bolasepak moden setiap kelab memiliki pakar motivasi mereka sendiri atau sekurang-kurangnya menyediakan sesi motivasi khusus dalam kempen latihan mereka. Di mana kita dapat mencari pakar motavasi?

Jika teman saya itu tadi memiliki pakar motivasi saya percaya sikap atau perangai negatif para pemainnya itu akan berubah kepada positif dan bersemangat untuk memberikan komitmen 100 peratus kepada kelab mereka. Aspek ini saya kira sangat penting dalam kancah bolasepak moden sekarang ini.

Permasalahan yang dihadapi oleh teman saya tadi memerlukan jalan penyelesaian. Tanggungjawab siapa? Siapa yang sudi membantu? Awda jawap sendiri.

Prof: Pernah melihat pemain Korea Selatan ditampar oleh jurulatihnya di hadapan ribuan penonton akibat gagal bermain baik.

Sabtu, 24 Disember 2011

RANGKING BRUNEI TURUN KE 202

Setelah kembali ke persada bolasepak dunia dan membuat kemunculan sulung di Sukan SEA Ke 26 Indonesia lalu kedudukan rangking FIFA Brunei DS menurun 4 tapak kepada 202 (sebelumnya 198) dalam kedudukan kedua corot untuk negara-negara ahli gabungan Asean Football Federation (AFF) 3 tangga mengatasi Timor Leste 205.

Dalam kemaskini yang dilakukan oleh badan induk bolasepak dunia itu pada 21 Disember 2011 lalu, disebalik kegagalan dalam meraih sebarang pingat di Sukan SEA Ke 26 lalu, Vietnam mengejutkan banyak pihak kerana memperbaiki kedudukan sebanyak 35 tangga apabila berada dalam posisi terbaik negara-negara Asia Tenggara iaitu tangga ke 99. Ini berikutan persembahan baik negara itu dalam kejohanan-kejohanan lain seperti Kelayakan Piala Dunia dan Kelayakan Olimpik.

Malaysia yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Sea buat kali kedua berturut-turut juga memperbaiki kedudukan sebanyak 7 tangga untuk berada pada rangking ke 148. Namun masih belum mampu mengatasi Singapura (145), Indonesia (142) dan Thailand (122).

Berikut kedudukan negara-negara Asia Tenggara dalam Rangking FIFA;
1. Vietnam 99 (+35)
2. Thailand 122 (+10)
3. Indonesia 142 (+2)
4. Singapura 145 (+7)
5. Malaysia 148 (+7)
6. Filipina 159 (+-)
7. Kemboja 170 (-1)
8. Myanmar 172 (-3)
9. Brunei DS 202 (-4)
10. Timor Leste 205 (-2)

Kedudukaan penuh dan lengkap kesemua anggota FIFA boleh dilayari di sini. Rangking tersebut akan dikemaskini pada 18 Januari 2012.

Ahad, 18 Disember 2011

KISAH PENGANJURAN BRUNEI 7'S


Saya rasa perlu bagi saya untuk memperturunkan kisah-kisah di sebalik pengungkayahan kejohanan bolasepak peringkat veteran iaitu Brunei 7's International Soccer Challenge yang sudah masuk edisi ke 2 beberapa minggu lalu yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Veteran (Veteran Football Association/VFA) Brunei Darussalam. Tujuan saya merungkai kisah ini adalah semata-mata untuk menjadi contoh dan perbandingan serta ikutan kepada individu-individu lain yang mungkin suatu hari nanti turut berminat untuk menganjurkan kejohanan bolasepak peringkat antarabangsa.

Keterlibatan saya dalam penganjuran Brunei 7's (B7's) adalah tidak dirancang sama sekali. Segalanya bermula apabila Liew Chuan Fue menelefon saya pada Januari 2008 untuk membawa saya berjumpa dengan Haji Mohd Rosanan Abdullah Samak dan Zaini Tumih untuk membincangkan sesuatu. Liew tidak menyatakan secara jelas kepada saya topik yang akan kami perbincangkan, saya mengagak bahawa mungkin mereka ingin pendapat saya berkenaan perkembangan bolasepak terkini.

Sebaik sahaja pertemuan berlangsung di salah sebuah restoran di Gadong, barulah saya ketahui bahawa Rosanan dan Zaini mencadangkan supaya Liew menubuhkan sebuah pasukan veteran untuk menyertai kejohanan di Pulau Pinang, Malaysia yang akan diadakan pada minggu pertama bulan Mac 2008. Mereka beriya-iya dan memberikan semangat kepada Liew untuk menyertai sebagai wakil Brunei DS memandangkan mereka tidak dapat menyertainya kerana sesuatu sebab (rupa-rupanya sejak 3 tahun sebelumnya mereka telah meneyertainya atas nama Brunei Dragonfly dan telah menjuarai Kategori Veteran pada tahun 2007).

Rosanan dan Zaini seterusnya mencadangkan juga agar Liew menyertai Kategori Masters (45 tahun ke atas) kerana peluang untuk menang sangat cerah memandangkan tidak banyak pasukan yang menyertainya. Liew akhirnya bersetuju (setelah saya bersetuju membantu beliau dalam soal pengurusan dan pentadbiran pasukan tersebut).

Dipendekkan cerita, dengan bantuan kewangan dari pihak swasta kamipun berlepas ke Pulau Pinang menyertai 10th PSC International Soccer 7's. Apabila tiba di sana kami teruja dengan kehadiran pasukan-pasukan luar negeri yang agak besar jumlahnya seperti dari Indonesia, Singapura, Thailand, Maldives, Hong Kong dan Taiwan. Jelas sekali kejohanan itu mampu menjana kemasukan pelancong ke Pulau Pinang yang terkenal dengan jolokan 'Pearl of the Orient'.

Brunei Masters akhirnya muncul juara menewaskan Hong Kong Old Star di perlawanan akhir 1-0. Apa yang pasti pasukan yang menyertai Kategori Masters bukan 4 atau 5 pasukan seperti yang diceritakan oleh Rosanan dan Zaini, tetapi 16 buah pasukan! Alhamdulillah kami berjaya mengharungi rintangan demi rintangan hingga muncul juara.

Selain muncul juara, ada keterujaan lain di hati kami iaitu bercita-cita untuk menganjurkan kejohanan serupa itu di Brunei DS agar dapat membantu usaha kerajaan untuk menarik pelancong datang ke negara ini melalui 'pelancongan sukan' (sport tourism). Untuk merealisasikan hasrat itu kami memerlukan sebuah pertubuhan yang sah berdaftar maka Persatuan Bolasepak Veteran (VFA) diluluskan pendaftarannya pada November 2009.

Untuk pengetahuan pembaca terdapat banyak kejohanan-kejohanan peringkat veteran yang dianjurkan di seluruh dunia termasuk di rantau Asia Tenggara ini. Banyak model atau format kejohanan yang dapat diambil ideanya untuk membuat format yang sesuai bagi negara kita. Dalam perbincangan-perbincangan yang kami lakukan, kami mengenal pasti bahawa terdapat 2 masalah utama yang menjadi halangan iaitu;

1) Brunei bukanlah destinasi tumpuan pelancongan yang mampu menawarkan pelbagai keseronokan seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Singapura, Phuket, Bangkok, Pattaya dan Hong Kong yang saban tahun menganjurkan kejohanan bolasepak veteran.
2) Sistem pengangkutan awam yang tidak berapa memuaskan bagi kemudahan para peserta untuk berulang-alik antara hotel-venue dan tempat-tempat menarik atau pusat membeli-belah.

Ditambah lagi dengan soal bagaimana peserta akan datang ke Brunei DS kerana kekurangan jadual penerbangan kerana hanya RBA dan Air Asia yang mempunyai banyak jadual penerbangan ke Bandar Seri Begawan (itupun dengan destinasi yang terhad juga).

Jadi bagaimana caranya untuk mengatasi dua masalah besar itu? Berkali-kali kami berbincang dan mendengar pandangan setiap ahli jawatankuasa dan akhirnya 2 masalah besar itu kami atasi dengan 2 solusi iaitu;

1. Menawarkan hadiah wang tunai yang tinggi (kerana kesemua kejohanan tidak menawarkan hadiah yang tinggi dan aga juga kejohanan yang langsung tidak memberi hadiah wang tunai seperti di Bangkok). Dengan cara ini akan banyak pasukan yang berminat untuk meenyertai B7's.
2. Membantu pasukan-pasukan yang menyertai B7's dengan menyediakan kemudahan pengangkutan sewaktu mereka berada di Brunei DS.

Bagi menentukan format juga kami terpaksa menilai beberapa faktor dan membandingkan dengan format kejohanan-kejohanan lain dan akhirnya kami bersetuju sebulat suara untuk membukan peneyertaan kepada 2 kategeori iaitu Veteran (40 tahun ke atas) dan Masters (45 tahun ke atas) - sama seperti kejohanan di Pulau Pinang tetapi setelah menilai, membincangkan dan membahaskan sesuai dengan keperluan semasa. Perlu diingat bahawa kami tidak melakukan 'copy & paste'. Di bawah adalah format kejohanan-kejohanan yang lain;

1. Pulau Pinang - Veteran & Masters
2. Selangor - Masters & Grand Masters (50 tahun ke atas)
3. Kuala Lumpur - Masters (9 a-side)
4. Phuket & Pattaya - Over 30 & Over 35 (dipanggil Masters)
5. Bangkok - Masters & Grand Masters
6. Singapura - Veteran & Masters (9 a-side)
7. Kota Kinabalu - Veteran
8. Huangzau, China - Masters (9 a-side)

Kami merumuskan untuk menganjurkan kejohanan 7 a-side dan untuk Ketegori Veteran & Masters berdasarkan fakta-fakta berikut dana telah diperbincangkan dalam beberapa mesyuarat;

1. Keahlian VFA adalah dari umur 35 tahun oleh itu Kategori Veteran dibenarkan menyenaraikan 2 orang pemain berusia 35-39 tahun.
2. Kategori Masters merupakan lingkungan usia yang paling produktif bermain bolasepak.
3. 7 a-side lebih sesuai kerana pasukan yang akan menyertai tidak memerlukan belanja yang besar berbanding dengan 9 a-side.

Maka tahun lalu 2010 bermulalah Brunei 7's Internationaal Soccer Challenge dengan penyertaan hanya 3 buah pasukan luar iaitu 2 dari Miri, Sarawak dan 1 dari Johor. Bagaimana pun pada tahun 2011 pasukan luar sudah bertambah iaitu 3 dari Indonesia, 2 dari Kuala Lumpur dan 2 dari Sarawak dan mereka berjanji akan kembali lagi tahun depan. Beberapa buah pasukan baru juga sudah berjanji bersama memeriahkan kejohanan B7's. Tidak mustahil B7's akan terkenal sebagai salah satu kejohanan bolasepak peringkat veteran di rantau Asia suatu hari nanti.

Prof: Harap pembaca faham maksud saya.

Ahad, 11 Disember 2011

TAHNIAH SKUAD FUTSAL SUKAN BORNEO

Akhir kitani mendapat sesuatu dari skuad futsal Sukan Borneo 2011, kilauan emas!. Walaupun negara gagal menghantar skuad futsal di Sukan SEA lalu namun langkah menyertai Sukan Borneo Ke-IV yang berlangsung di Kalimantan Timur, Indonesia adalah langkah permulaan yang baik dalam usaha kita untuk memantapkan sukan futsal di negara ini dan seterusnya menjadi pencabar serius kepada kuasa-kuasa utama futsal di rantau Asia Tenggara ini seperti Thailand dan Vietnam.

Sukan futsal tidak kurang penggemarnya di negara kita ini. Sejak beberapa tahun kebelakangan hampir setiap bulan ada sahaja kejohanan futsal yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Beberapa buah kelab yang khusus ditubuhkan untuk aktif bergerak dalam sukan futsal juga telah ada. Malah ada beberapa orang jurulatih futsal juga pergi ke luar negara dengan perbelanjaan sendiri menghadiri beberapa kursus jurulatih futsal.

Perkembangan ini memperlihatkan kepada kita bahawa sukan futsal mempunyai masa depan yang cerah untuk terus maju dan menghadirkan kejayaan kepadaa negara di beberapa kejohanan antarabangsa. Jika dirancang satu program pembangunan yang mapan tidak mustahil negara bakal melahirkan pemain-pemain futsal berwibawa.

Prof: Syabas Damit (jurulatih) & sahabatnya yg tidak dapat ke Kalimantan, Zaini Tumih & Hj Jimi. Sabar, insya-Allah akan ada perubahan nanti & kembali ke landasaan sebenar.

Selasa, 6 Disember 2011

LIGA KEBANGSAAN BRUNEI

Saya memohon maaf kepada para pembaca dan pengikut setia blog ini kerana mengambil masa agak lama untuk membuat posting terbaru. Walaupun jumlah pembaca blog ini agak kecil tetapi bagi saya cukup puas hati kerana masih ada pencinta bolasepak yang ingin menjenguk blog saya ini. Sekalung pengharagaan kepada para peminat bolasepak dan pembaca setia blog ini. Saya akan terus menulis selagi terdaya dan dapat berfikir dengan waras. Kalaupun bukan generasi ini yang dapat manfaat, mungkin generasi akan datang akan menjadikan segala posting saya sebagai rujukan mereka dalam mengurus sukan bolasepak yang kita sama-sama minati ini.

Ada seorang teman yang menyarankan saya agar membuat kritikan di media arus perdana. Saranan beliau itu benar kerana media arus perdana mempunyai capaian pembaca yang sangat banyak berbanding blog ini. Namun persoalannya ialah apakah media arus perdana 'berani' menyiarkan kritikan-kritikan saya yang selalunya agak 'pedas'?

Persoalan kedua ialah media arus perdana hanya menyiarkan 'berita', hampir tiada ruang untuk tulisan yang berbentuk ulasan, rencana dan kritikan. Kalau adapun surat pembaca yang dikongsi sama dengan kesemua bidang. Untuk mencipta ruang khas bagi kritikan, saran dan ulasan di bidang sukan khususnya bolasepak memang tidak terdapat sama sekali.

Baiklah kita tinggalkan soal itu. Sekali lagi maaf kerana kesibukan saya bersama VFA menganjurkan Remz Gym 2nd Brunei 7's Internationaal Soccer Challenge 2011 membuatkan saya 'gagal' untuk menemui pembaca blog ini lewat posting-posting seperti biasa. Nampaknya apa yang menarik minat kita saat ini ialah lahirnya Liga Bolasepak Kebangsaan yang dianjurkan oleh badan induk bolasepak Brunei DS iaitu NFABD.

Ianya bermula 3 Dis 2011 yang lalu dengan format/model yang mengambil contoh liga bolasepak England yang dianjurkan oleh England FA yang sinonim dengan panggilan 'FA" sahaja. Perkara ini diakui sendiri Awang Ali Haji Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan NFABD bahawa LKB mengambil contoh Liga England.

Tanggapan awal saya ialah, mereka (penganjur) tidak membuat kerja! Hanya melakukan 'copy & paste'. Tidak menggunakan akal dan fikiran yang diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk berfikir, mengkaji, berbincang dan membuat ketetapan bersama bagaimana rupa bentuk liga bolasepak tempatan yang bersesuaian dengan iklim bolasepak kitani. Beberapa perkiraan mesti dipertimbangkan seperti apakah peranan yang dapat dimainkan oleh persatuan bolasepak daerah-daerah, setakat mana 'standard' pemain-pemain tempatan yang ada, apakah kemampuan dari segi ekonomi yang dimiliki oleh kelab-kelab tempatan, berapa ramai jurulatih berkaliber dapat menjadi jurulatih kepada kelab-kelab tersebut, bagaimana mereka membuat persediaan untuk menyertai liga - padang latihan mereka di mana dan yang paling mustahak sekali ialah apakah liga itu nanti akan dapat menarik penonton yang ramai untuk menyaksikan satu-satu perlawanan sebagai nilai tambah komersial (jika kita hanya menganjur sesuatu liga tetapi tiada penonton melihatnya atau hanya keluarga terdekat pemain sahaja yang hadir, maka bagi saya liga tersebut gagal menarik minat orang ramai).

Bagaimana NFABD boleh meluluskan cadangan format liga sedemikian? Seperti amalan biasa, J/K Pertandingan mesti menghadapkan sekurang-kurang 3 bentuk format liga untuk dibentangkan kepada badan induk untuk diperbincangkan semasak-masaknya mengambil kira pelbagai aspek sebelum dipertimbangkan untuk dijalankan. Dengan melakukan 'copy & paste' saya beranggapan bahawa satu plagiat telah dilakukan dan ini satu penghinaan kepada sukan bolasepak tempatan. Dengan makna yang lebih jelas ialah tiada buah fikiran yang 'asli' atau 'tulen'. Ini kenyataan!

Kita boleh mencontohi negara-negara maju dalam bolasepak dalam soal-soal lain seperti bagaimana mereka melaksanakan projek pembangunan dan sebagainya, tetapi tidak dalam soal menganjurkan atau 'mencipta' sebuah liga bolasepak kebangsaan. Kesemua negara ahli FIFA (kecuali Brunei DS) mempunyai liga kebangsaan mereka sendiri yang diwujudkan sesuai dengan keadaan semasa negara masing-masing. Tiada sebuah negara pun mengikut bulat-bulat format liga sesebuah negara yang lain.

Mengambil contoh beberapa elemen positif dengan pengubahsuaian mengikut situasi tempatan adalah perkara biasa. 'Copy & paste' adalah perkara 'luar biasa'. Itulah tanggapan awal saya mengenai Liga Kebangsaan Brunei.

Prof: Maaf kawan2 di NFABD. Itulah juga pendapat saya, kecewa dengan apa yang berlaku.

Sabtu, 26 November 2011

PRESTASI BRUNEI DI SUKAN SEA - PANDANGAN SAYA

Sukan Sea Ke 26 di Indonesia sudah melabuhkan tirainya. Seperti tradisinya tuan rumah mengungguli pungutan pingat, cuma pesta kejayaan tidak lengkap apabila skuad bolasepak Garuda Muda tumbang ditangan Harimau Malaya di perlawanan akhir. Syabas FAM & Ong Kim Swee (jurulatih). Kejayaan mereka adalah 'buku teks' bagi kitani di Brunei DS.

Kejayaan skuad Malaysia merangkul pingat emas dalam dua Sukan Sea berturut-turut bukanlah dapat dijelmakan dalam satu atau dua tahun. Seperti yang kita ketahui prestasi bolasepak Malaysia sebelum ini jatuh merudum. Bukan sahaja sering tewas kepada musuh tradisi seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam, malah Malaysia pernah diaibkan oleh negara-negara kecil dan mentah seperti Filipina dan Laos (cuma Brunei DS belum pernah menewaskan Malaysia).

Bertolak dari titik paling bawah itu, FAM mengatur langkah dengan penuh keyakinan. Mereka menyelaras projek pembangunan akar-umbi, peringkat belia dan skuad pelapis. Kita pasti mendengar akan kewujudan skuad Harimau Muda A dan B yang menyertai liga professional di Slovakia dan Liga M sendiri. Mereka juga tidak henti-henti mengatur 'tour' ke beberapa buah negara yang lebih kuat di Eropah dan Australia. Beberapa pemain mereka juga berjaya mencuri tumpuan beberapa buah kelab dan mengambil mereka bermain.

Kesemua rencah ini diadun menjadikan pemain-pemain mereka berupaya meningkat skil, memperkuat mental dan memantap persefahaman dalam pasukan serta mereka nampak cukup fokus dalam setiap perlawanan yang dihadapi. Jadinya 'buku teks' tersebut hendaklah kitani baca dan hafalkan agar dapat dijadikan ilmu berguna bagi diterapkan pula ke kancah bolasepak kitani.

Saya tidak melihat perlawanan-perlawanan yang melibatkan pasukaan Brunei DS. Kita hanya mengetahui melalui keputusan iaitu tewas 3 kali (Timor Leste 1-2, Myanmar 0-4 & Vietnam 0-8), sekali seri (Laos 2-2) dan menumpaskan Filipina 2-1. Jadinya tidak adil bagi saya untuk memberi pandangan mengenai corak permainan yang telah ditunjukkan oleh Brunei DS. Menurut salah seorang pegawai skuad negara yang menghubungi saya sebaik pulang ke tanahair, mengatakan bahawa corak permainan Brunei DS cukup memikat dan dipuji oleh negara-negara lain termasuk Vietnam, Laos dan Myanmar. Beliau turut memuji kehebatan Dayem Hj Ali selaku ketua jurulatih.

Jika menilai dari keputusan perlawanan yang telah dicapai, bagi pandangan saya prestasi Brunei DS statik. Maknanya tidak naik dan tidak jugaa menurun. Kita bernasib baik kerana liga tempatan terus berjalan sewaktu 'tersisih' dari kancah bolasepak antarabangsa. Kita mesti berterima kasih kepada FFBD yang mengungkayahkan liga tersebut secara berterusan. Tanpa liga yang berjalan mustahil bagi pemain-pemain yang terpilih ke Sukan Sea yang lalu menunjukan mutu permainan yang baik.

Akan tetapi 'kredit' juga mesti diberi kepada NFABD yang berani menyahut cabaran untuk menghantar skuad bolasepak ke Sukan Sea walaupun diketahui bahawa persiapan sangat minimal. Maka dengan penyertaan ke Sukan Sea yang lalu dapatlah kita jadikan sukat-sukat atau 'benchmark' untuk melaksanakan projek-projek pembangunan selepas ini.

Saya ingin benar mendengar dan melihat rupabentuk projek pembangunan jangka panjang NFABD selepas ini.

Prof: Teruskan kerja wahai teman-teman di NFABD. Less talk, more work please.

Jumaat, 18 November 2011

BLATTER KURANG AJAR, BIADAB!

Tidak ada kompromi dalam hal ini. Semua manusia dilahirkan sama dan mempunyai hak yang sama di dunia ini. Tiada siapa boleh membezakan sesama manusia walaupun berlainan warna kulit. Aparthied sudah lama hilang dalam sejarah dunia. Tetapi Presiden FIFA seolah-olah ingin kembali menyuburkan perasaan perbezaan warna kulit dalam kenyataan beliau melalui mengulas persoalan cemuhan sesetengah pemain sewaktu dalam perlawanan yang dilaporkan oleh beberapa media di seluruh dunia.

Blatter dilaporkan memberi 'lampu hijau' kepada mana-mana pemain yang ingin melancarkan perang saraf dengan membuat cemuhan berkenaan warna kulit seseorang. Kenyataan Blatter tidak masuk akal langsung. Kurang ajar dan biadab! Sungguh celaka manusia bernama Joseph Sepp Blatter yang berbangsa Swiss ini. Mungkin beliau dilahirkan sebagai manusia berkulit putih, dia tidak merasai dianggap sebagai warga dunia kelas bawahan. Mungkin si celaka ini tidak pernah dicemuh hanya kerana kulitnya berwarna hitam, coklah, kelabu, sawo matang atau memiliki nama berunsurkan keagamaan.

"All human beings are born free and equal in dignity and rights."
"They are endowed with reason and conscience and should act forwards one another in spirit of brotherhood"

- The Universal Declaration of Human Rights, Paris, France, Dec 10 1948.

Piagam di atas jelas menyatakan manusia adalah sama dan mesti menghormati dan menyayangi sesamanya, bukan mengeji dan mencemuh antara satu sama lain. Saranan Blatter supaya dibiarkan saja cemuhan bersifat perkauman itu adalah sangat dangkal dan memberi implikasi yang negatif kepada sukan bolasepak khususnya. Sepatutnya bolasepak sebagai sukan no 1 dunia membei contoh keharmonian antara sesama manusia, bukannya sebagai tempat untuk bercambah perasaan membenci antara warna kulit.

Blatter mesti meletak jawatan sebagai Presiden FIFA sekarang! Dosa anda tidak dapat dimaafkan, memalukan badan induk itu dan mencemarkan sukan bolasepak. Blatter mesti berambus. Sejarah hitam bagi sukan bolasepak.

Prof: Tidak dapat menerima sikap sedemikian apatah lagi ianya diucapkan oleh manusia bernama Sepp Blatter, Presiden FIFA.

Khamis, 10 November 2011

BRUNEI TEWAS LAGI

Kelmarin skuad Sukan Sea Brunei DS tewas 0-4 ditangan Myanmar. Sebelum itu tewas 1-2 kepada Timor Leste dan mengutip satu mata apabila seri 1-1 dengan Laos. Tinggal 2 perlawanan berbaki iaitu menentang Vietnam, pemenang pingat perak Sukan Sea Ke 25 Laos dan bertemu Filipina dalam perlawanan terakhir.

Saya akan hanya membuat ulasan terpeinci setelah pasukan Brunei menghabiskan kesemuanya. Apa yang dilihat sejauh ini ianya menepati ramalan saya. Apapun syabas diucapkan kepada NFABD kerana mampu menghantar skuad ke Sukan Sea sejak 2001 lalu. Kepada pengurusan pasukan diucapkan jangan putus asa.

Timba sebanyak mungkin pengalaman, informasi, fakta dan data-data. Kumpulankan dan perincikan untuk dijadikan bahan kajian dalam usaha kita membentuk sebuah pasukan yang mantap. Mudah-mudahan 2017 apabila kita menjadi tuan rumah kilauan emas dalam genggaman.

Prof: Harap para penggiat sukan ini faham tugas mereka.

Sabtu, 5 November 2011

MENCONGGAK PELUANG BRUNEI DS DI SUKAN SEA

Cabaran skuad Sukan Sea Brunei DS akan bermula hari ini jam 5.00 petang di Stadium Utama Gelora Bung Karno menentang Timor Leste. Brunei DS diletakkan dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Laos, Myanmar, Filipina dan Timor Leste. Manakala Kumpulan A merupakan kumpulan maut dengan dianggotai oleh Malaysia selaku pemenang pingat emas temasya ke 25 di Laos dua tahun lalu, tuan rumah Indonesia, jaguh Sukan Sea Thailand, Singapura dan Kemboja.

Mengikut ranking terbaru FIFA, pasukan terkuat dalam Kumpulan B ialah Vietnam (134), diikuti oleh Filipina (158), Myanmar (170), Laos (181), Brunei DS (197) dan Timor Leste (201). Secara dasarnya Brunei DS tidak menghadapi tugas sukar untuk menjinakkan Timor Leste itu pada perlawanan pembukaan Kumpulan B petang ini.

Tidak banyak yang kita ketahui mengenai perkembangan dan kemajuan skuad Timor Leste ini. Apa yang pernah saya ketahui melalui salah seorang pegawai Persatuan Bolasepak Timor Leste beberapa tahun lalu mereka menghadapi masalah infrastruktur bolasepak seperti stadium, padang latihan dan jurulatih berpengalaman.

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa Azwan Hj Mohd Salleh (kapten) bersama rakan-rakannya boleh mengutip 3 mata pertama dalam sejarah Sukan Sea sejak sekian lama. Kalau tidak silap saya kali terakhir Brunei DS menyertai temasya dwi-tahunan itu ialah ketika menjadi tuan rumah pada 1999 lalu. (Rakan-rakan dalam BAFA dulu mungkin boleh membetulkan jika maklumat saya itu salah)

Bagi perlawanan berikutnya menentang Laos (7 Nov), Myanmar (9 Nov), Vietnam (11 Nov) dan Filipina (13 Nov) merupakan cabaran paling getir bagi skuad bimbingan Dayem Hj Ali dan Pg Serfuddin Pg Hj Md Salleh itu. Laos dan Filipina yang sewaktu masa dulu antara pasukan belasahan dalam Sukan Sea kini telah meninggalkan 'tag name' itu. Mereka bukan sahaja telah meningkat prestasi malah berjaya menewaskan beberapa pasukan kuat antaranya Malaysia, Thailand dan Myanmar yang pernah jadi mangsa mereka.

Jadinya, perlawanan-perlawanan tersebut sangat penting bagi skuad negara. Apapun keputusan kita kesampingkan dahulu. Apa yang paling penting ialah mengumpul seberapa banyak data dan maklumat mengenai pasukan-pasukan ini; mengenai para pemainnya, corak permainan mereka dan kekuatan serta kelemahan mereka. Kesemua ini amat berguna dalam proses kita membentuk sebuah pasukan yang kuat untuk masa depan.

Juga yang menjadi faktor utama ialah data dan analisa mengenai skuad negara sendiri. Temasya Sukan SEA kali ini adalah merupakan 'bench mark' atau sukat-sukat kepada skuad negara. Melalui keputusan yang kita capai nanti, kita akan dapat mencorakkan atau membuat program jangka panjang yang khusus. Kita akan melihat di mana kedudukan kita. Setakat mana kemampuan dan pencapaian pemain-pemain kita berbanding lawan-lawan yang lain. Sesungguhnya terlalu banyak tugas yang menanti selepas ini.

Sukan Sea kali ini adalah sebenarnya satu kesempatan terbaik bagi NFABD untuk membuat 'homework'. NFABD sepatutnya menghantar sebuah pasukan teknikal untuk meneliti dengan rapi setiap perlawanan dan kekuatan serta kelemahan kesemua pasukan yang beraksi untuk dijadikan sebagai perbandingan, contoh teladan dan senjata dalam merancang projek atau program pembangunan kita sendiri. Atau paling kurang NFABD menghantar satu atau dua orang pegawai peninjau.

Aapapun alasannya, kita telah melepaskan satu peluang keemasan. Terpaksalah kita menunggu kejohanan yang lain pula, mungkin AFF Suzuki CUP.

Prof: Kesal skuad futsal tidak dapat menyertai. Saya tidak lihat ada pihak yang 'capable' melakukan tugasan secara professional. Mungkin 5 tahun dari sekarang apabila 'karat' atau 'tagar' dapat dikikis.

Isnin, 31 Oktober 2011

INFORMASI LENGKAP DARI SKUAD SUKAN SEA

Kelmarin saya berpeluang menemui pegawai-pegawai yang mengendalikan skuad Sukan SEA Brunei DS dan mereka bermurah hati untuk memberikan beberapa informasi mengenai perjalanan skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu. Saya juga berkesempatan bertukar-tukar buah fikiran mengenai perjalanan dan hala-tuju bolasepak negara.

Menurut mereka, skuad bimbingan ketua jurulatih Dayem Haji Ali dan dibantu oleh Pg Serfuddin Pg Hj Md Salleh telah memulakan latihan sejak 5 Ogos 2011 lalu iaitu ketika bulan Ramadhan lagi. Sebahagian besar pemain dipilih melalui ujian pemilihan yang diadakan sebelum itu dan seramai 36 orang pemain telah terpilih menjalani latihan peringkat pertama itu.

Latihan mereka berhenti seketika ketika cuti Hari Raya Aidil Fitri dan selepas itu mereka terus gigih menjalani latihan demi menyahut cabaran untuk mewakili negara. Akhirnya skuad 22 pemain telah diputuskan untuk menyarung jersi negara yang mana kebanyakan mereka adalah pemain-pemain yang mewakili kelab-kelab ternama di Brunei DS.

Selain menjalani latihan skuad tersebut juga mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab tempatan seperti DPMM FC, Majra FC dan skuad bawah 19 dan 21 tahun kebangsaan. Menilai dari keputusan-keputusan perlawanan persahabatan itu nampaknya prestasi mereka menunjukkan peningkatan. Bagaimanapun perlu diingat bahawa cabaran yang mereka hadapi jauh lebih besar dan berat ketika di Jakarta, Indonesia nanti. Jauh di lubuk hati saya, tersisip rasa simpati kepada skuad ini. Cuma saya doakan agar mereka tidak patah semangat dan terus berusaha membangun bolasepak walau apapun cabarannya.

SENARAI PEGAWAI DAN PEMAIN SKUAD SUKAN SEA BRUNEI DS.
Pegawai
Pengurus - Haji Zainol Ariffin Haji Jumaat
Ketua Jurulatih - Dayem Haji Ali
P. Jurulatih - Pg Serfuddin Pg Haji MD Salleh
Perubatan - Zaini Haji Sani
Kelengkapan - Pg Kamaluddin Pg Hj Md Noor

Pemain
Azwan Muhd Salleh
Hamizan Sulaiman
Muhd Arif Ali Rahman
Mohd Yaziz Haji Mat Yakof
Mohd Zaim Jaya
Mohd Najib Haji Tarif
Reduan Haji Petara
Ak Mohd Fakharrazi Pg Haji Hassan
Mohd Hendra Azman Mohd Idris
Mickey Gindi
Petrus Jumat
Ahmad Hafiz Said
Adi Said
Ak Nurrul Aleshahnezan Pg Metali
Junaidi Akim
Md Enddy Zulyadi Awang Sapar
Mohd Nazirul Nazreen Abdullah
Ak Omar Nuraqamadin Pg Sallehudin
Mohd Azri Zahari
Abdul Hafiz Safwan Sulaaiman

Khamis, 27 Oktober 2011

BOLASEPAK BRUNEI MAKIN 'PANAS'

Bolasepak Brunei DS makin 'panas'? Tentu pembaca terkejut dengan perkataan 'panas' yang saya gunakan untuk menjadi tajuk posting saya kali ini. Perkataan itu menggambarkan seolah-olah senario bolapsepak Brunei kembali bermasalah, bergolak atau bercelaru. Baru beberapa bulan kembali ke pangkuan FIFA, mana mungkin ianya kembali 'bergelora'.

'Panas' yang saya maksudkan ialah bukan situasi yang menggambarkan senario negatif. Ianya hanyalah sebagai 'pembuka mata' untuk kita melihat senario bolasepak Brunei lebih tuntas lagi. 'Panas' yang saya maksudkan ialah senario bolasepak Brunei kembali bernafas. NFABD sesuai sebagai badan induk bolasepak Brunei kini sibuk melaksanakan pelbagai aktiviti bolasepak. Apatah lagi ianya baru 'dilahirkan' dan ibarat kita sedang membina rumah baru, terlalu banyak kerja yang terpaksa dilakukan untuk memperindahkan rumah kita itu.

Bukan sahaja rumah itu nanti dilihat indah dan cantik dari luar malah turut nyaman dan enak rasanya apabila penghuninya berada di dalam, atau sesiapa saja tetamu yang hadir di dalam rumah itu. Segala kemudahan dalam rumah mesti berfungsi dengan sempurna sepanjang masa agar segala aktiviti dalam dan luar rumah berjalan dengan baik. Sudah pasti penghuni dan empunya rumah akan berusaha sepanjang masa untuk memastikan rumah selamat didiami dan dikunjungi oleh tetamu dari dalam dan luar negeri.

Ya, memang senario bolasepak Brunei kembali panas. Ianya kembali panas dengan kegiatan yang bertali arus sampai bila-bila. Pemimpin boleh silih berganti tetapi aktiviti bolasepak mesti jalan terus. Para peminat kini sudah mula merasai kehangatannya. Skuad Sukan SEA kembali beraksi untuk temasya dwi-tahunan yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia bermula 5 Nov 2011 akan datang ini.

Media massa tempatan kini sudah membuat liputan mengenainya. Namun NFABD masih belum memberi publisiti mengenai skuad Sukan SEA mereka. Siapa pengurus, jurulatih dan pemain, peminat masih tertanya-tanya. Siapakah mereka? Mungkin ini pendekatan mereka, untuk tidak memberi apa-apa publisiti dan perkembangan mengenai mereka.

Melalui pengalaman saya sebagai wartawan dulu, saya akan berada setiap hari di padang latihan pasukan kebangsaan Malaysia. Setiap hari ada sahaja berita yang akan saya paparkan untuk tatapan pembaca. Ini termasuklah perkembangan pemain-pemain, permasalahan mereka dan apakah strategi mereka untuk menghadapi lawan.

Pengurus, jurulatih dan pemain tidak menolak untuk ditemuramah, asal sahaja ianya berkisar dalam dunia bolasepak mereka. Sebab itu akhirnya, bukan saya sahaja, malah semua wartawan akan menjadi sahabat kepada pengurus, jurulatih dan pemain, waima pemimpin-pemimpin persatuan.

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak mengharap apa-apa dari penyertaan skuad bawah 23 tahun Brunei di Sukan SEA kali ini. Bagi saya ianya hanyalah bersifat diplomasi dan proses latihan jangka panjang. Diplomasi, kerana untuk memberigakan kepada masyarakat bolasepak antarabangsa bahawa Brunei DS kini sudah kembali serius dalam bolasepak di peringkat mana pun.

Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah pasukan yang kuat apatah lagi jika ianya baru ditubuhkan. Maka penyertaan kembali di Sukan SEA ini hanyalah sebagai memberi pendedahan kepada pegawai dan pemain. Sebab itu saya tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka. Adalah lebih realistik jika pengalaman mengurus sebuah pasukan menjadi keutamaan dari prestasi di padang (tetapi tidak bermakna kita membiarkan skuad itu tewas dengan jumlah jaringan yang banyak dan tidak bermain dengan sungguh-sungguh, tidak sama sekali).

Diberitakan Brunei DS akan menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017 nanti. Nah, 2017 adalah 'target' yang realistik bagi skuad kebangsaan menyinar. NFABD mesti menyediakan skuad yang mantap pada edisi 2017 nanti. Maknanya 5 tahun dari sekarang dan pemain yang sesuai dilatih adalah mereka yang berusia dalam lingkungan 15-18 tahun. Ayuh NFABD, sahutlah cabaran itu.

Prof: Teringat peristiwa salah seorang bekas pemain kebangsaan Malaysia yang meminta pertolongan saya untuk berpindah ke pasukan lain. Saya setuju membantu beliau dan perpindahan tersebut terlaksana.

Sabtu, 15 Oktober 2011

MENANTI KELAHIRAN LIGA KEBANGSAAN

Dengan kelahiran NFABD 30 Mei 2011 lalu maka bermulalah lembaran baru dalam kancah bolasepak Brunei DS. Setelah melantik ahli-ahli j/kuasa yang bakal memikul tanggungjawab membangun dan memaju bolasepak Brunei DS ke tahap yang tinggi, kini setelah hampir 5 bulan berlalu, para peminat sedang menanti-nanti kelahiran sebuah liga kebangsaan yang baru hasil garapan dan buah fikir ahli-ahli j/kuasa NFABD.

Khabarnya hujung bulan ini. Apa yang pasti, kesemua maklumat mengenai liga kebangsaan ini hanya diketahui oleh NFABD dan pemilik-pemilik kelab, peminat nampaknya tidak diberitahu terlebih awal apa perkembangan mengenainya. Ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Tidak mengapa, itu hak NFABD untuk merahsiakan perkembangan mengenai liga kebangsaan itu. Sabar, NFABD pasti akan 'berhadapan' juga dengan peminat tatkala melancarkan liga tersebut nanti, ujar kawan-kawan saya yang berada dalam saf kepimpinan NFABD memberitahu bahawa tarikh keramat itu adalah hujung bulan ini.

Apa bentuk liga tersebut? Tungggguuuuuuuu!. Tunggu saat penganjur membuat kenyataan rasmi mengenainya. Apa yang pasti, apapun bentuk atau format sesebuah liga, terutama sekali liga kebangsaan yang dilahirkan oleh sebuah badan induk, ianya mestilah memiliki 'roh' pembangunan, pemasaran (marketing), komersil dan matlamat akhirnya adalah prestasi pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Pembangunan - di dalam sesebuah liga itu mesti dapat menyelitkan unsur-unsur kesinambungan projek pembangunan yang sedang berjalan seperti pembangunan peringkat usia dari se awal umur 10 tahun lagi. Contohnya; FAM tidak membenarkan pemain import beraksi di dalam Liga Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Ini dilakukan dengan hasrat untuk memberi peluang pemain-pemain tempatan menonjolkan diri mereka. Jadi jelas kita lihat bahawa ada unsur pembangunan di situ. B League juga pernah mensyaratkan agar dimestikan 3 orang pemain bawah 23 tahun beraksi untuk sesebuah pasukan. Itu juga merupakan unsur pembangunan di dalam sesebuah liga kebangsaan.

Menurut sahabat saya, Bundesliga hanya membenarkan kelab-kelab mengambil pemain import untuk divisyen 1 dan 2 sahaja, sementara divisyen ke 3 dan 4 hendaklah menyenaraikan semua pemain tempatan Jerman. Hasilnya kita lihat setiap tahun Jerman tidak ketandusan pemain-pemain muda berkaliber dan bertaraf dunia.

Komersil - kita sedang berada di alaf baru. Kesemua bidang sukan berkait rapat dengan unsur-unsur komersil dan pemasaran. Ini hakikat. Jika tiada nilai-nilai komersil maka sesebuah liga itu akan malap dan tidak menghairahkan penonton dan unsur-unsur di sekelilinnya untuk melihat.

Sesebuah liga mestilah popular dan menarik minat masyarakat. Maka timbullah nilai komersil di dalamnya. Dan ini akan membolehkan penganjur mendapat sumber kewangan melalui tajaan-tajaan sama ada hak penyiaran dan tajaan jenama-jenama tertentu. Liga mestilah memiliki kempen publisiti bagaimana ianya mesti dilihat 'gah' dan 'grand' di mata masyarakat.

Semua unsur media mesti terlibat menyemarakkan liga ini. Televisyen, radio, akhbar (cetak dan maya/internet - bloggers dan pemilik .com) dan iklan-iklan komersil mestilah menyokong dengan membuat liputan dan memperkatakan apa sahaja (yang positif & negatif) untuk liga kebangsaan ini. Ini akan membuatkan semua orang yang terlibat lebih kreatif dan peka kepada persekitaran yang mana akhirnya akan menjadikan liga kebangsaan sebagai sebuah liga terbaik di rantau ini.

Prestasi pasukan kebangsaan - kita boleh menganjurkan liga, tidak kira apapun formatnya. Di akhir kejayaan ialah di mana letaknya prestasi pasukan kebangsaan. Apakah pencapaiannya meningkat? Aspek inilah yang melihat sama ada liga kebangsaan sesebuah negara itu berjaya atau sebaliknya.

Lihat La Liga dan Bundesliga. Kedua-dua liga tersebut adalah liga yang paling berjaya. Kedua-dua negara iaitu Sepanyol dan Jerman adalah gergasi yang sentiasa menghasilkan pemain-pemain berkualiti bertaraf dunia. Kenapa kedua-dua liga ini berjaya? Pelajarilah. Jangan lupa, pendekatan mereka berbeza oleh kerana unsur-unsur persekitaran dan komersil.

Dari pengalaman saya berada dalam salah sebuah kelab beberapa tahun lalu, kami terpaksa menyenaraikan pemain-pemain yang tidak tahu langsung bermain bolasepak. Yang ada pada mereka hanya kerana minat, menendang bola pun mereka tidak tahu bagaimana cara yang betul apatah lagi jika diterangkan bagaimana kita bermain dengan formasi-formasi tertentu. Akhirnya kelab tersebut hancur!

Sebabnya terlalu banyak kelab berbanding pemain-pemain yang sedia bermain di peringkat tersebut. Jadinya, liga kebangsaan 'wajib' melihat hal ini. Jika pemain-pemain yang tidak berkualiti terdapat dalam semua pasukan maka prestasi pasukan kebangsaan juga tidak akan ke mana.

Kesimpulannya, kita berikan peluang NFABD untuk melakar liga kebangsaan yang baru ini (memang tugas wajib mereka pun). Kita lihat apa hasilnya 3-5 tahun selepas itu.

Prof: Ujar seorang teman, "Kg Negalang (di daerah Temburong) pun boleh buat liga, liga yang berkualiti sangat sulit untuk dilaksanakan.".

Ahad, 2 Oktober 2011

TERIMA KASIH RTM1, SIARKAN FINAL PIALA M'SIA 1999

Para peminat memenuhi Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas menyambut wira-wira negara yang menjuarai Piala Malaysia 1999.

Stesen televisyen RTM1 malam tadi telah menyiarkan Final Piala Malaysia 1999. Sebagai peminat skuad Brunei DS aka Tebuan saya sudah pasti merasa gembira melihat aksi-aksi wira negara dalam perlawanan akhir yang penuh sejarah itu. Antara fakta-fakta yang boleh dikongsi berkenaan perlawanan itu ialah;

1. Pertama kali pasukan dari Pulau Borneo melangkah ke final, ditambah kedua-dua pasukan yang bertembung adalah jiran akrab.

2. Piala Malaysia (dulunya Piala HMS Malaya) bermula pada 1921 dan dimenangi oleh Singapura; berakhir abad ke 20, dimenangi juga oleh pasukan luar iaitu Brunei DS.

3. Satu-satunya final menggunakan dua orang pengadil di tengah padang.

4. Hanya Brunei DS memiliki pemain import (pasukan lain tidak dibenarkan mengambil pemain import oleh FAM).

5. Sarawak diketuai oleh pemain bukan anak negeri 'Bumi Kenyalang' iaitu Mazelan Wahid yang berasal dari Melaka. Jika pasukan itu menang maka manusia pertama yang memegang piala keramat itu bagi pihak Sarawak adalah bukan anak negeri.

6. Pemenang final adalah juara baru Piala Malaysia kerana kedua-dua pasukan belum pernah menjuarainya. Pasukan-pasukan yang pernah juara sebelum itu ialah Selangor, Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perak dan Kedah.

Pada waktu itu, saya dan beberapa orang teman telah menganjurkan pakej istimewa untuk para peminat Tebuan. Pakej yang kami tawarkan ialah $599 untuk 3Hari/2Malam (termasuk tiket penerbangan, hotel penginapan, tiket grand stand final dan pengangkutan). Untuk pengetahuan pembaca blog ini, tiket kami habis dijual dalam masa tidak sampai 1 jam (kami disediakan 100 tempat duduk sahaja oleh syarikat penerbangan).

Keuntungan bukanlah keutamaan bagi kami ketika itu. Apa yang penting ialah memberi kesempatan kepada para peminat bolasepak negara untuk menyaksikan perlawanan paling bersejarah itu. Selain kami terdapat juga pihak-pihak lain yang menawarkan pakej untuk final itu termasuk syarikat penerbangan, agensi-agensi pelancongan dan kumpulan-kumpulan peminat.

Kami tinggal di salah sebuah hotel ternama di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Oleh kerana kami sampai sehari sebelum final maka ahli rombongan kami mempunyai banyak waktu untuk shopping. Setibanya kami di kotaraya Kuala Lumpur itu ramai kumpulan-kumpulan yang menghubungi kami untuk mendapatkan tiket grand stand kerana mereka tahu kami sudah menawarkan tiket grand stand sejak dari Brunei lagi.

Dengan semangat setiakawan maka kami dengan senang hati menempah ribuan tiket grand stand dari seorang sahabat di FAM. Selepas itu, kesemua peminat Tebuan yang memiliki tiket tempat duduk biasa terus membeli tiket grand stand yang berharga RM20 pada ketika itu dan berkumpul lah semua peminat Brunei DS 'menguasai' tempat duduk grand stand Stadium Merdeka. Sementara para peminat Sarawak 'berkampung' di tempat duduk biasa.

Sebaik tamat perlawanan dan Brunei DS muncul juara kami terus pulang ke hotel penginapan dan mengadakan parti merayakan kejayaan di lobi hotel berkenaan. Ramai peminat Brunei DS yang mengetahui kami menganjurkan parti tekah berkunjung ke hotel penginapan kami dan bersama-sama bergembira.

Sebaik parti makan-makan dan minum di lobi hotel tamat sekitar jam 3.00 pagi kami meneruskan 'perayaan' dengan menyanyilan lagu 'oleh-ole' sambil menari dan mengibarkan 'kuning, putih, hitam' bendera Brunei di kaki lima hotel yang kebetulan di pinggir Jalan Bukit Bintang. Para pemandu kenderaan 'menyertai' kami dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing dan melaungkan 'Brunei Juara'. Kami sangat berterima kasih dengan mereka kerana menyokong Brunei DS dan 'sporting' walaupun piala kebangaan mereka akan dibawa balik ke negara asing menyeberangi Laut China Selatan ke Pulau Borneo buat pertama kali.

Sangat manis dan indah pengalaman itu. Akan terpahat dan dikunci kemas dalam sanubari saya. Terima kasih Liew Chuan Fue dan rakan-rakan yang memberikan kenangan itu kepada semua rakyat dan penduduk Brunei DS.

Timbul persoalan, di manakah wira-wira negara itu sekarang? Apakah yang sudah kita lakukan untuk mereka bagi membalas jasa mereka mengorbankan masa, keringat dan air mata untuk negara? Sanggupkah kita berkorban seperti mereka? Pembaca cari jawapan sendiri.

Prof: Sebahagian besar wira-wira negara itu kini sahabat-sahabat saya. Terus terang saya katakan bahawa tiada siapa yang mengenang jasa mereka dengan selayaknya. Hinggakan ada yang cuba memulaukan mereka kerana tamak kuasa dan mementingkan diri sendiri. Sedih & pilu, kenapa ianya mesti berlaku.

Rabu, 21 September 2011

PRESTASI BRUNEI DLM 3 KEJOHANAN; CERMIN MASA DEPAN

Akhirnya bolasepak Brunei kembali ke persada antarabangsa. Tiga kejohanan peringkat umur telah disertai iaitu Bawah 15 & 18 Tahun Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia di Bangkok, Thailand dan Bawah 19 Tahun AFF di Myanmar. Seperti yang kita ketahui keputusannya adalah bercampur, ada yang mebanggakan dan ada yang mengecewakan.

Skuad Bawah 15 Tahun paling menyinar apabila berjaya menduduki tangga ke empat (tewas di separuh akhir). Manakala skuad Bawah 18 Tahun (sebahagian besar pemain adalah dari projek Brunei Youth Team kendalian FFBD sebelum ini) pula menduduki tangga ke tujuh (tewas di suku akhir dan menewaskan Macau 5-0 untuk perlawanan tangga 7 dan 8). Keputusan perlawanan kedua-dua skuad nampaknya agak memberangsangkan kerana berjaya memberi tentangan sengit kepada pasukan-pasukan gergasi seperti Iran, Indonesia, Thailand, Vietnam dan China.

Agak mengecewakan ialah skuad Bawah 19 Tahun apabila dibelasah teruk dalam semua perlawanan (30 gol tanpa balas). Namun sesuatu yang positif mesti diambil untuk dijadikan 'bench mark' atau kayu pengukur dari keputusan-keputusan itu tadi. Terutama sekali skuad Bawah 19 Tahun kebangsaan itu. Satu penilaian semula hendaklah dilakukan (selalunya pengendali pasukan akan menyiapkan laporan sebaik tamat sesuatu kejohanan).

Melalui liputan media sebelum ini kita mengetahui bahawa Skuad Bawah 15 & 18 Tahun telah berlatih dan mempersiapkan diri lebih 3 bulan sebelum kejohanan berlangsung (kesemuaa pemain datang dari kejohanan peringkat sekolah dan kejohanan Bawah 16 Tahun Kebangsaan anjuran FFBD), manakala skuad Bawah 19 Tahun pula melalui proses 'trial' dan berlatih lebih kurang 1 bulan sahaja. Dan seperti yang kita jangka keputusan adalah agak mengecewakan.

Apapun, NFABD (badan induk bolasepak) sudah mempunyai 3 skuad pelapis (tidak termasuk skuad HBT/Hassanal Bolkiah Trophy). Kini terpulanglah kepada pengurusan NFABD untuk melaksanakan projek pembangunan jangka panjang bagi ketiga-tiga skuad bawah umur tersebut. Seperti yang saya nyatakan tadi, segalanya boleh bermula dari titik permulaan ini (3 skuad bawah umur tersebut).

Tidak mustahil dalam masa 5 tahun akan datang ini Brunei mampu membentuk sebuah skuad kebangsaan yang kuat dan mantap bagi menghadapi Piala Dunia, Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA dan AFF Suzuki Cup. Bak kata pepatah, 'perahu sudah di air, pengayuh sudah di tangan', terpulang kepada NFABD untuk mencorakkan senario bolasepak Brunei selepas ini. Kita ingin benar melihat NFABD tampil dengan sebuah projek pembangunan jangka panjang yang ampuh dan meyakinkan semua 'stake holders'. Sama-sama kita nantikan.

Prof: Telah melihat banyak negara menampilkan projek pembangunan jangka panjang mereka. Ada yang berjaya dan tidak kurang pula yang gagal. Kesemua ini boleh dikutip menjadi pengajaran.

Khamis, 8 September 2011

ALHAMDULILLAH, AKHIRNYA TABUNG UTK SOMALIA DIBENTUK

Kelmarin (7 Sept 2011/Rabu) telah berlangsung mesyuarat bagi membentuk tabung bantuan untuk rakyat Somalia yang sedang mengalami bencana kebuluran. Dalam posting saya sebelum ini (18 Ogos 2011) saya menyeru pihak-pihak tertentu untuk melakukan sesuatu bagi membantu saudara-saudara kita yang sedang diuji Allah s.w.t di Somalia, Alhamdulillah, akhirnya tabung untuk membantu mereka telah dibentuk oleh Kementeriaan Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Kini terpulanglah kepada setiap individu, pihak berwajib dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengungkayahkan aktiviti mereka bagi mengumpul dana bantuan. Dan saya pasti pihak-pihak tertentu akan menyahut seruan itu. Manakala bagi komuniti bolasepak pula, ayuh kita cambahkan buah fikiran untuk beramal dan berbakti melalui bolasepak. Saya ingin melihat pihak mana yang akan tampil.

Prof: Semoga amal jariah ikhlas kita akan diterima Allah S.w.t.

Rabu, 7 September 2011

MEDIA DAN SUKAN

Setelah berkecimpung dalam bidang kewartawanan sukan sejak awal 1980 an lagi, baru kini saya terpanggil untuk mencatatkan mengenai peranan media dan sukan. Seperti yang kita ketahui bahawa media adalah salah satu cabang utama dalam hidup kita dewasa ini. Celik mata, kita akan menatap media tidak kira apa mediumnya, sama ada tv, internet, akhbar, majalah ataupun handphone. Kita akan menggunakan media seawal menghirup hari baru dalam hidup kita.

Begitu juga peranan media dalam bidang sukan. Jika tiada peranan media, maka kita tidak akan dapat menyaksikan aksi-aksi atau membaca segala informasi mengenai dunia sukan sejak puluhan tahun lalu, seawal akhbar dan fotografi dapat dimanfaatkan dalam hidup kita ini. Apatah lagi pada zaman mutakhir ini, kita dapat menyaksikan sebahagian besar liga bolasepak dunia hanya dengan duduk sambil minum kopi dari rumah kita melalui siaran langsung televisyen. Begitu juga kelibat Usain Bolt dan atlit-atlit olahraga yang lain sewakta kejohanan IAAF di Daegu, Korea Selatan yang baru berakhir. Aksi mereka berada di depan mata kita.

Selain itu, melalui media kita bukan sahaja dapat mencapai maklumat terkini malah mampu mencipta kemasyhuran dan mengaut keuntungan. Pendek kata, media akan membantu kita dalam apa jua keadaan jika dimanfaatkan secara positif. Semua masyarakat dunia, khususnya aktivis sukan terutama bolasepak tahu, mengerti dan faham peranan media dalam mengatur kegiatan mereka seharian. Kesemua mereka memerlukan media dan malah mempergunakan media untuk mencapai matlamat program mereka. Tanpa peranan yang dimainkan oleh media maka pincanglah sesuatu program itu.

Namun begitu masih ada manusia yang begitu bangang dan tolol. Bangang dan tolol kerana menghindar dari media. Bangang dan tolol kerana tidak mahu mendapatkan bantaun dari media. Bangang dan tolol kerana tidak tahu tugasan sebenar mereka. Saya tidak tahu kenapa mereka boleh hidup dalam dunia ini! Bangang dan tolol!

Prof: Maaf kerana terpaksa menggunakan bahasa agak kesat kerana hanya dengan cara itu layak bagi mereka.

Ahad, 28 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1432H

Kepada para pembaca budiman saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Semoga kegembiraan ini berkekalan sepanjang hayat. Maaf dipohon jika terdapat kesilapan menyusun kata-kata dalam 'posting' saya sebelum ini. Semuanya dilakukan untuk kebaikan kita bersama.



Khamis, 18 Ogos 2011

WAHAI KOMUNITI BOLASEPAK, BANTULAH SOMALIA

Seperti yang kita ketahui bencana kebuluran sedang melanda Somalia. Jutaan umat berada diambang maut akibat kekurangan makanan dan diancam wabak penyakit. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita bersyukur dapat menunaikan ibadah dengan aman damai dan dapat berbuka puasa dengan juadah yang enak-enak lagi merlimpah-ruah.

Tetapi saudara-saudara kita di Somalia terpaksa menanggung derita pilu ini. Bagi mereka Ramadhan atau Aidilfitri sama saja. Apa yang mereka perlukan ialah makanan, minuman, ubat-ubatan dan simpati dari kita yang bernasib baik.

Oleh itu saya menyeru dan merayu kepada komuniti bolasepak di manapun jua, buatlah sesuatu untuk membantu mereka. Apa saja kegiatan dan program bagi mengumpul wang. makanan atau ubat-ubatan agar dapat kita hantar ke Somalia dalam kadar segera. Ayuh, NFABD, kelab-kelab dan siapa saja pecinta bolasepak, bersama kita berganding bagi melakukan sesuatu. Inilah masanya untuk memperlihatkan keperihatinan kita kepada mereka yang ditimpa bencana. Khabarnya, seorang ibu terpaksa memilih anak yang mana satu mesti mati akibat kebuluran. Sanggupkah kita melihat kejadian ini berterusan?

Prof: Tahun lalu VFA buat perlawanan amal untuk mangsa banjir Pakistan.



Ahad, 14 Ogos 2011

PESTA BOLA PUN BERMULA

Dua minggu saya tidak mencatatkan apa-apa dalam blog ini. Sesiapa yang pernah jadi penulis atau sedang menulis pasti akan mengalami situasi seperti saya alami beberapa hari lalu. Tiada 'mood' atau dalam bahasa penulisam, tiada ilham yang dianugerahkan oleh Allah swt, dan kini Alhamdulillah minda saya mula menyalurkan bait-bait perkataan untuk dicatatkan dalam blog ini.

Malam tadi perlawanan-perlawanan EPL pun bermula. Bundesliga (Jerman), Ligue 1 (Peranchis) dan Liga Belanda telah bermula beberapa minggu lalu. Beberapa hari ini giliran Serie A dan La Liga pula memulakan saingan. Namun proses memujuk dan 'menendang' keluar pemain-pemain masih berjalan (jual beli pemain lah tu, saja guna bahasa yang lain dari kebiasaan), akan berakhir hujung bulan Ogos ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perpindahan pemain. Apa yang ingin saya catatkan ialah di Brunei DS juga memulakan 'pesta' bolasepaknya sendiri. Kenapa di Brunei? Liga kebangsaan belum pun bermula!

Ya, memang. Liga kebangsaan belum bermula, masih diperingkat percambahan minda jawatankuasa NFABD yang bertanggungjawab bagaimanakah bentuk liga kebangsaan itu nanti. Harap kelab-kelab di Brunei yang telah bergabung dengan NFABD bersabar menantikan bermulanya liga kebangsaan. Teman-teman saya di NFABD sedang 'pecah kepala' memikirkan. Biarkan mereka, memang sudah menjadi tugas mereka. Kalau tak sanggup kenapa tawar diri jadi jawatankuasa, tak gitu?

Sejak diterima menjadi ahli gabungan FIFA, NFABD sebagai badan induk baru bolasepak di Brunei DS telah menerima banyak undangan (sebahagiannya wajib disertai kerana status sebagai ahli gabungan pertubuhan tertentu) menyertai kejohanan-kejohanan luar negara dan ada juga kejohanan yang tertangguh.

Melalui media-massa kita dikhabarkan bahawa NFABD kini sedang menyiapkan beberapa skuad negara untuk menyertai Sukaan SEA, Kejohanan Bawah 19 Tahun AFF, Piala Hassanal Bolkiah dan beberapa kejohanan lain (termasuk futsal). Kita juga dapat melihat bagaimana beberapa 'trial' atau pemilihan pemaian-pemain berkenaan dilaksanakan di seluruh negara.

Dengan usia NFABD yang baru beberapa bulan hidup maka langkah tersebut (trial) terpaksa dilakukan. Tetapi jika sudah menjangkau usia bertahun-tahun maka istilah 'trial' tidak ada dalam kamus sebuah badan induk bolasepak. Ini kerana projek pembangunan bermula dari usia kanak-kanak 5 tahun lagi. Jadi agak janggal jika untuk memilih pemain bawah 19 tahun pun masih digunapakai kaedah 'trial' atau pemilihan ini,

Namun begitu apa yang saya tahu adalah FFBD (badan induk sebelum ini) ada membuat projek 'Brunei Youth' yang dikendalikan oleh Hj Mohd Rosanan Abdullah Samak dan pihak Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan juga ada membentuk skuad peringkat umur untuk menyertai kejohanan-kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Asia & Asean.

Khabarnya, futsal juga sedang bersedia membentuk pasukan-pasukan kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA (mungkin) dan beberapa kejohanan anjuran AFF dan AFC. Jika kesemua perkembangan ini menjadi maka sudah pasti ini menjadi tugas maha berat bagi NFABD. Ini bukan kerja main-main. Ini buka kerja seorang-dua individu. Ini kerja berpasukan, 'team work'. Jika kita ada 6 skuad kebangsaan maka 6 set pengurusan juga mesti dibentuk. Melantik seorang peneraju sebagai Pengerusi Skuad Kebangsaan boleh diterima, tetapi jika seorang individu menjadi pengurus kesemua 6 pasukan, ianya tidak masuk akal. Tidak dilakukan oleh manusia normal.

Sedari awal sudah saya jelaskan kepada teman-teman aktivis bolasepak di Brunei DS bahawa kerja membangun bolasepak bukan kerja mudah, bukan kerja sekelompok manusia. Ianya kerja ramai orang, ramai manusia yang berkelayakan di bidang masing-masing. Kerja kolektif. Lidi penyapu kalau hanya sebatang tidak dapat berbuat apa-apa, hanya boleh dipatah-patahkan untuk menjadi pencungkil gigi. Tetapi lidi penyapu jika dihimpunkan secara banyak maka dapat membersih kawasan yang luas, malah air pun dapat disapunya. Begitulah perumpamaan bagaimana mengurus sebuah badan induk bolasepak.

Jika semuanya berjalan lancar, sudah pasti ianya adalah pesta bolasepak di Brunei DS. Pesta bagi para pemain dan pesta juga kepada para pengurus dan jurulatih serta staff kepimpinan. Dan yang paling penting adalah keputusan yang dicapai nanti. Apakah bentuknya? Ketika itulah nanti kita dapat menilai dan menjadi sukat-sukat ditahap mana mutu bolasepak kita. Apa yang akan diprogramkan selepas itu? Ianya bermula dari keputusan-keputusan 'assignment' pertama itu nanti.

Kepada para peminat janganlah mengharap keputusan tinggi melangit. Kita baru bermula dari abjad A. Masih jauh untuk sampai ke abjad yang lain, waima abjad Z. Saya secara peribadi memeberi NFABD 5 tahun untuk mencapai sesuatu. Jadi sepanjang masa itu saya akan terus memberi kritikan dan pandangan. Terpulang kepada NFABD untuk berjuang di medan tempur. Pilihlah pegawai-pegawai dan pemain-pemain yang berwibawa. Kini kita berada dalam millenium baru, ulah dan gaya pengurusan millenium lama telah berlalu, buang jauh-jauh dan jadikan pedoman. Millenium ini adalah gaya pengurusan professional! Selamat berpesta!

Prof: Teringat Pestabola Merdeka anjuran FAM dulu. Kejohanan tersebut adalah antara kejohanan wajib bagi negara-negara Asia. Tersemat kemas dalam sanubari saya.

Isnin, 1 Ogos 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN

Saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini kepada semua para pembaca setia blog ini. Semoga kita mendapat berkah dari amalan-amalan yang dilakukan di bulan mulia ini. Amin.

Ahad, 31 Julai 2011

HANYA 3 WAKIL ASIA TENGGARA UTK PUSINGAN KE-3 PIALA DUNIA 2014

Indonesia, Singapura dan Thailand adalah wakil dari Asia Tenggara yang layak ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Dunia 2014 iaitu perlawanan peringkat kumpulan. Negara-negara lain tersungkur sama ada di pusingan pertama atau kedua lagi. Syabas buat ketiga-tiga negara tersebut.

Kesemua 20 buah negara yang layak dibahagikan kepada 5 kumpulan (A-E) yang dianggotai 4 buah pasukan setiap kumpulan. Johan dan naib johan kumpulan masing-masing akan mara ke pusingan ke-4 yang akan dibahagikan pula kepada dua kumpulan A dan B. Johan dan naib johan kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia 2014 Brazil. Manakala satu lagi slot iaitu tempat ke-3 terbaik akan bermain secara playoff.

Setakat ini kalau tidak silap saya hanya Thailand yang pernah layak ke pusingan ke-4 bertarung bersama negara-negara gagah Asia yang lainnya seperti Australia, Korea Selatan, Korea Utara, Jepun, China, Arab Saudi, Uzbekistan, Iran, Iraq dan lain-lain lagi. Bagi pendapat saya mutu bolasepak rantau lain di benua Asia ini telah meningkat dengan drastik manakala bagi rantau Asia Tenggara sendiri mutunya sama ada statik ataupun menjunam turun.

Sebabnya? Sebabnya adalah kita tidak serius. Kita asyik berbalah merebut jawatan. Kita banyak cakap dan kurang kerja. Kita hanya ingin merebut kesempatan untuk 'belayar' percuma. Kita amalkan rasuah. Kita masih berfikiran 'macam katak bawah tempurung' dan tidak berfikiran terbuka atau 'out of box' kata orang zaman ini. Kita mengamalkan kronisme, ampunisma dan bodeknism. Kesemua resipi itu ada dalam kehidupan seharian kita.

Ingin berjaya? Ya, jika kita ingin berjaya, buangkan jauh-jauh segala sifat yang saya nyatakan di atas. Gantikan dengan sifat-sifat yang positif, pro-aktif, telus, dedikasi, tidak mementingkan diri, yakin dan mengadaptasi gaya pengurusan professional kerana dunia bolasepak zaman ini adalah dunia professional. Bukan lagi AMATUR!!!!!

Pecahan pusingan kelayakan Zon Asia Piala Dunia 2014 boleh dibaca di sini.

Prof: Pernah melihat Korea Selatan, Jepun, China dan Arab Saudi tumpas dengan mudah kepada Thailand dan Malaysia. Sekarang perkara sebaliknya berlaku.

Sabtu, 30 Julai 2011

MEMILIH PEMIMPIN PERSATUAN BUKAN PERKARA MAIN-MAIN

Mutakhir ini kita melihat kamelut yang melanda persatuan-persatuan bolasepak, dari atas (FIFA) hingga ke akar-umbinya (ahli-ahli gabungan). Kamelut berpunca dari karenah para pemimpinnya. Tidak perlu saya mencatat satu persatu apa yang berlaku, semua sudah tahu melalui mass media.

Perkara ini memanggil daya kreatif saya untuk mencatatkan sesuatu di sini. Telah berkali-kali saya mengingatkan para pemimpin persatuan bahawa memilih pemimpin yang bakal menerajui atau menganggotai persatuan mereka jangan berdasarkan kepada sahabat-handai atau kita inginkan seseorang calon itu kerana kita sukakan mereka, tetapi pemilihan mestilah berdasarkan 'merit' atau kebolehan atau kemampuan mereka melaksanakan sesuatu tugasan dengan sempurna dan baik.

Sepanjang kerjaya saya sebagai wartawan sukan di Malaysia, saya melihat didepan mata peralihan kuasa FAM dari Tan Sri Hamzah Abu Samah kepada Sultan Haji Ahmad Shah. Saya juga melihat dengan jelas bagaimana pasukan-pasukan negeri yang jaguh di tahun 80an diuruskan. Siapa tokoh-tokoh yang menerajuinya dan bagaimana mereka mengurus sekelompok manusia yang berkelayakan dibidang masing-masing berkerja sebagai satu unit melaksanakan tugasan mereka.

Dalam konteks bolasepak, pemilihan orang yang tepat bermula dari 'pembancuh oren' (menurut istilah orang Brunei) hingga ke posisi yang paling tinggi. Jika kita tersalah pilih orang yang tidak mahir menyediakan minuman pasukan maka akan mendatangkan masalah kepada kesihatan pemain dan berkemungkinan dalam perlawanan-perlawanan tertentu pemain tidak dapat bermain dengan baik kerana minuman yang tidak sesuai, akhirnya pasukan kalah. Begitulah gambaran awal betapa pentingnya memilih individu yang tepat dan sesuai dengan bidang tugas masing-masing. Bukan memilih hanya kerana kita kenal dan mesra dengan orang itu.

Dalam konteks Brunei DS pula, saya melihat pemilihan kebanyakannya dinilai melalui 'siapa dia' dan 'aku mahu dia'. Tidak ketinggalan ada individu yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jawatan sedangkan dia sendiri tidak 'mengukur baju di badan sendiri'. Akhirnya semua perkara menjadi celaru dan haru-biru.

Sebab itu saya amat prihatin mengenai soal memilih saf kepimpinan ini. Memang kita boleh berjaya memilih mengikut kehendak individu atau kehendak sekelompok manusia namun kita mengurus sebuah organisasi yang dicerminkan melalui prestasi di padang. Jika pasukan gagal apakah kita secara 'gentlemen' mahu mengundur diri? atau sekurang-kurangnya sanggup menanggung segala kesalahan? atau buat muka tak tahu malu terus menerajui pasukan?

Kita melihat dalam senario bolasepak professional sama ada liga ataupun prestasi pasukan kebangsaan masing-masing. Sering kali kita melihat pengurus-pengurus pasukan atau pemimpin-pemimpin tertentu dipecat dari jawatan mereka akibat kegagalan persatuan/pasukan bimbingan mereka dan ada juga yang meletakkan jawatan kerana rasa bersalah atas kegagal tersebut.

Adakah kita sudah mencapai semangat dan disiplin sedemikian? Kita akan dapat melihat untuk tahun-tahun mendatang. Kita sedang menyaksikan satu persembahan 'opera' dalam kancah bolasepak kita. Sama ada 'opera' tersebut berjaya memukau penonton belum boleh dijangkakan. Persembahan 'opera' masih terlalu awal, memilih para pelakon pun belum. Tetapi para peneraju pementasan sudah ada.

Saya sangat berharap pemilihan yang telah dibuat menepati tatacara dan tatakelola pengurusan taraf MBA. Jika ini berlaku maka bolasepak kita akan bersinar dan gemilang.

Prof: Masih terngiang-ngiang di telinga saat Sultan Hj Ahmad Shah mengatakan 'betulkan saya jika saya buat salah', dalam sidang media pertama setelah menerajui FAM.

Ahad, 24 Julai 2011

MAKA TAMATLAH RIWAYAT MOHAMMAD BIN HAMMAM

Mohammad bin Hammam (gambar atas) akhirnya 'ditamatkan riwayatnya' secara sah oleh Ethics Committee FIFA dengan menjatuhkan hukuman penggantungan sepanjang hayat (life ban) dari terbabit secara aktif ataupun tidak dalam sukan bolasepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain Mohammad, beberapa pegawai lain turut digantung selama setahun oleh jawatankuasa tersebut yang bersidang kelmarin di FIFA House, Zurich, Switzerland. Berita lanjut mengenainya boleh anda baca di sini.

Malang bagi benua Asia kerana Mohammad adalah Presiden AFC sebelum beliau disiasat dan digantung oleh FIFA kerana kesalahan rasuah ketika kempen merebut jawatan Presiden FIFA dalam Kongres FIFA yang berlangsung awal Jun lalu. Pada awalnya Mohammad seolah-olah memiliki peluang cerah untuk menumpaskan Sepp Blatter, penyandang jawatan panas tersebut yang disokong oleh Mohammad tatkala Blatter memenangi perebutan dua penjuru menewaskan Leonart Johansson dalam Kongres FIFA 1988 lalu setelah Jao Havalange enggan menyambung tugas selaku Presiden FIFA.

Tidak dapat dinafikan bahawa Mohammad banyak membawa kemajuan kepada bolasepak khususnya benua Asia yang dipimpinnya sebelum ini. Antara pembaharuan yang dibawa Mohammad ialah mewujudkan Asian Champion League (kelab) dan projek Vision Asia (projek yang membantu mana-mana ahli AFC dalam soal-soal pentadbiran atau pembangunan).

Namun peristiwa pahit buat bolasepak Asia ini terpaksa ditelan oleh kita semua sebab kesalahan kita sendiri. Kita menerima pakai unsur-unsur tidak sihat itu ke dalam kehidupan seharian kita. Maka dalam soal ini, 'siapa kuat, dia berkuasa' dan 'winner take all'.

Kini AFC terpaksa mencari seorang lagi sosok yang berkaliber dan berwibawa serta mempunyai wawasan jauh untuk membawa bolasepak Asia maju setaraf dengan benua-benua lain terutama Eropah dan Amerika Latin. Dari segi pencapaian individu kita malah agak ketinggalan dengan benua Afrika kerana kita lihat di sana-sini pemain-pemain Afrika beraksi manakala pemain-pemain dari Asia masih terkial-kial untuk mendapat pengiktirafan walaupun ada seorang-dua yang benar-benar menyinar, Park Ji-Sung misalnya.

Akan tetapi dari segi pencapaian pasukan di peringkat antarabangsa benua Asia jauh meninggalkan benua Afrika. Pasukan-pasukan senior benua Asia iaitu Korea Selatan memasuki separuh akhir Piala Dunia 2002 dan suku akhir 2010 serta baru-baru ini pasukan bolasepak wanita Jepun menjuarai FIFA Women World Cup 2011 yang berlangsung di Jerman.

Mudah-mudahan akan muncul beberapa butir lagi bintang dari kalangan pemimpin bolasepak Asia. Namun mencari pemimpin berwibawa tidak semudah mencari dan memilih pemain-pemain kerana kita tidak mempunyai projek pembangunan khusus untuk pemimpin seperti projek-projek pembangunan untuk pemain. Ianya memakan masa yang lebih panjang dan mesti disaring secara teliti. Pemimpin yang pergi hari ini tidak mudah dicari ganti pada hari esok.

Lihat sahaja apa yang berlaku dalam kancah bolasepak Brunei DS.

Prof: Selagi FIFA tidak berubah secara radikal, selagi itulah ada orang yang akan jadi mangsa.

Isnin, 18 Julai 2011

SAYA BERKONGSI KEBIMBANGAN BERSAMA VELLAPAN

FAS dan FAM telah menandatangani perjanjian untuk berkerjasama di mana Singapura akan kembali beraksi di Liga Malaysia dan sebuah pasukan dari Malaysia akan menyertai S League (saya pasti salah sebuah pasukan projek pembangunan FAM iaitu skuad Harimau) mulai musim depan 2012. Reaksi dari itu (perjanjian) bekas Setiausaha Agong AFC, Peter Vellapan, telah melahirkan kebimbangan dan kekhuatiran beliau kalau-kalau unsur rasuah akan kembali 'menyerang' bolasepak Malaysia yang sedang mula menapak naik.

Sebagai rekod, hampir kesemua pemain dalam Liga M (kecuali Johor dan Sarawak) telah disabitkan dengan aktiviti rasuah dalam tahun 1990an lalu dan hampir-hampir melumpuhkan skuad kebangsaan Malaysia ketika itu. Liga M mengambil masa lebih sedekad untuk kembali berstatus sebagai salah satu liga terbaik rantau ini.

Sebagai pentadbir bolasepak paling berpengalaman kebimbangan Vellapan itu sudah pasti mempunyai asas kukuh. Saya juga sependapat dengan beliau berdasarkan pengalaman membuat liputan Piala Malaysia, Liga Semi Pro dan selepas itu Liga M. Kekhuatiran kami berdasarkan rekod yang sah dan pengalaman yang dilalui dan bukannya kerana 'benci' atau 'iri hati' terhadap pasukan Singapura.

Memang tidak dapat dinafikan penyertaan dalam Liga M akan mengembalikan kemeriahan seperti era 60, 70 & 80an lalu. Stadium akan penuh sesak setiap kali Singapura menentang pasukan-pasukan dari Malaysia terutama sekali Selangor, Pahang, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Negeri Sembilan. Begitu juga halnya apabila perlawanan berlangsung di Stadiuim Nasional, Kallang hingga mencetuskan fenomena 'Kallang Roar' yang sangat terkenal itu.

Akan tetapi kehebatan itu dicemarkan oleh kewujudan para 'bookie' yang cuba mengatur perlawanan-perlawanan yang melibatkan Singapura. Difahamkan para 'bookie' ini kebanyakannya mewakili towkey-towkey judi dari negara tersebut dan menjadikan rakyat tempatan sebagai orang penghubung kepada pemain atau pegawai pasukan-pasukan. Natijahnya, ramai pemain yang terlibat rasuah dan diambil tindakan undang-undang serta tindakan pengantungan oleh FAM.

Saya sangat-sangat berharap peristiwa tersebut tidak akan berulang kembali untuk abad ke 21 ini. Selain tindakan pencegahan oleh pihak keselamatan seperti polis dan biro rasuah, pasukan-pasukan juga mesti menanamkan disiplin yang tinggi kepada setiap pegawai dan pemain mereka. Jika mereka tidak menerima sogokan oleh para 'bookie' sudah pasti tidak akan berlaku kejadian rasuah.

Harapan yang terakhir ialah agar penyertaan Singapura kali ini akan memberi impak besar kepada kehadiran penonton dan tahap permainan kedua-dua belah pihak sepertimana juga yang dihasratkan oleh FAM dan FAS ketika mereka berbincang dan seterusnya mencapai kata putus untuk kembali menjalin hubungan seperti tradisinya.

Prof: Menyimpan banyak cerita-cerita rasuah dari pemain yang terlibat baik di Malaysia, Singapura mahupun di Brunei DS sendiri. Ianya kekal menjadi sejarah hidup dan pengalaman sepanjang bertugas menjadi wartawan.

Rabu, 13 Julai 2011

MICK JONES KEMBALI KE EPL

Ingat Mick Jones? Sudah tentu peminat setia 'Skuad Tebuan' masih mengingati jurulatih yang membawa Brunei DS menjuarai Piala Malaysia 1999. Jika David Booth berkelana ke beberapa negara Asia sebaik meninggalkan bumi bertuah Brunei DS, Mick Jones mengambil arah berlainan dengan kembali ke England dan meneruskan kerjayanya di sana.

Tanpa kita sedari Mick Jones rupanya sudah merasai kehangatan kancah EPL yang kita tonton siaran langsung perlawanan-perlawanannya setiap hujung minggu. Pada musim 2005/05 yang lalu Mick Jones bersama Niel Warnock (Pengurus) membawa Sheffield United beraksi dalam EPL tetapi tersingkir 12 bulan selepas itu.

Musim 2011/12 akan datang ini Jones sekali lagi kembali bersama 'pasangan ideal' Neil Warnock membimbing Queen Park Rangers beraksi di EPL. Persefahaman erat antara mereka berdua sebenarnya bermula sebelum Mick Jones menerima tugasan di Brunei DS lagi iaitu pada tahun 1988 menerajui Peterborough United.

Selepas itu mereka mengambil tugasan di Plymouth Argyle untuk beberapa musim hinggalah Mick Jones menjadi jurulatih Brunei DS. Bekas pemain Derby County itu meninggalkan Bandar Seri Begawan pada tahun 2002 dan kembali ke England untuk menjadi pengurus beberapa buah kelab kecil.

Kegagalan mengekalkan Sheffield United di EPL membuatkan Jones dan Warnock dipecat oleh pemilik kelab tersebut. Mereka selepas itu mengambil langkah drastik apabila berehat dari kancah bolasepak sebelum kembali memikul tanggungjawab di Crystal Palace pada Oktober 2007.

Mick Jones kekal menjadi penolong pengurus kepada Neil Warnock membawa Queen Park Rangers mendaki puncak EPL setelah memulakan tugas pada 1 Mac 2010 yang lalu. Tentu sekali bekas pemain-pemain yang pernah dibimbingnya akan berpeluang melihat sesekali kelibat bekas jurulatih mereka di kaca tv tatkala siaran langsung EPL nanti.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Mick Jones, bolehlah melayari infonya di sini da sini. Kita doakan QPR akan kekal berada dalam EPL.

Prof: Sempat mengenali Mick Jones secara dekat. Beliau memang seorang yang dedikasi dan mempunyai banyak idea. Saya pernah membawa beliau melihat kejohanan 7 sebelah semata-mata untuk mencari pemain-pemain berbakat.

Ahad, 10 Julai 2011

FIFA NAFI MAHU UBAH KEPADA 3 PERIOD

Badan induk bolasepak dunia, FIFA, hari ini menafikan berusaha untuk mengubah permainan bolasepak yang selama ini dijalankan 2 separuh masa (45 minit setiap separuh masa) kepada 3 period (30 minit setiap period). Menurut siaran medianya yang boleh anda baca di sini, FIFA menegaskan bahawa tiada perbincangan untuk mengubah peraturan sedia ada.

Menurut siaran media itu lagi, sebarang usaha untuk menukar undang-undang permainan hanya akan dibincangkan oleh International Football Association Board (IFAB).

Prof: Masih teruja dengan dua period permainan. Tak tahulah untuk 50 tahun akan datang, mungkin bolasepak perlu mengubahnya untuk memberi lebih keterujaan kepada pemain dan penonton.

Sabtu, 9 Julai 2011

MUSIM PERPINDAHAN YANG DINGIN

Liga negara-negara Eropah akan bermula tidak lama lagi namun keghairahan kelab-kelab ternama seperti Real Madrid, Barcelona (walaupun diberitakan sedang memburu Cesc Fabregas tetapi tidak seghairah seperti selalu), Inter Milan, AC Milan, Juventus, Man Utd, Liverpoool, Chelsea dan man City kelihatan hanya berbelanja kecil.

Kita hanya melihat proses tawar-menawar untuk mendapatkan Fabregas oleh Barcelona dan Sergio Aguero oleh beberapa kelab yang dikhabarkan menunjukkan minat seperti Real Madrid, Barcelona, Juventus dan Chelsea. Selebihnya hanya Man City dan Chelsea di EPL yang nampak bersedia untuk berbelanja besar (tetapi tidak sehebat musim lalu).

Carlos Tevez menghadapi masalah besar apabila beliau ingin kembali ke Argentina akan tetapi tiada kelab di negaranya mampu mengeluarkan wang sebanyak 50 juta paund (250,000 paund seminggu). Permata baru bolasepak Brazil, Neymar, nampaknya masih belum mahu membuat keputusan dan menunggu hingga tamat Copa America (Ogos) untuk memutuskan siapa yang berjaya memikat anak muda itu. Yang pasti Real Madrid dan Chelsea sahaja yang bersedia untuk berbelanja besar untuk Neymar.

Chelsea pula kecewa untuk mendapatkan Luca Modric dari Spurs. Walaupun pemain midfield Croatia itu ingin berpindah, Harry Redknapp berjaya memujuk untuk kekal di White hart Lane sekurang-kurangnya untuk semusim lagi. Selain itu tiada perpindahan atau usaha pembelian yang boleh dikatakan hebat untuk musim ini.

Jika anda ingin mengetahui perkembangan terakhir perpindahan pemain-pemain bolasepak untuk musim ini, sila lihat di sini.

Prof: Hanya teruja dengan perpindahan Diego Maradona dari Boca Juniors ke Napoli.

Ahad, 3 Julai 2011

DAVID BOOTH KINI DI KEMBOJA

David Booth (gambar atas), 61 tahun, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Negara Brunei Darussalam baru saja menandatangani perjanjian untuk menjadi jurulatih kelab Phnom Penh Crown FC dari Kemboka. Sebelum ini jurulatih berkarismatik itu telah membantu Laos layak ke pusingan akhir AFF Suzuki Cup 2010.

Kepada para peminat bolasepak di negara ini pasti tidak akan dapat melupakan jasa bakti yang telah ditaburkan oleh beliau. Walaupun David Booth tidak tercatat dalam sejarah bolasepak negara sebagai jurulatih yang menerajui pasukan kebangsaan menjuarai Piala Malaysia 1999 namun tiada siapa dapat menyangkal bahawa pasukan juara tersebut adalah 'ciptaan' David Booth kerana jurulatih itu meletakkan jawatan sebaik berakhirnya pusingan suku akhir Piala Malaysia musim tersebut.

Pemain-pemain seperti Liew Chuan Fue, Haji Mohamad Rosanan Abdullah Samak, Haji Mohd Rosaidi Haji Mohd Khamis, Ibrahim Haji Abu Bakar, Azmanuddin Haji Gillen, Nordin Tujoh, Moksen Mohamad, Fadlin Galawat, Pg Sallehuddin Pg Haji Damit, Mohd Ali Haji Momin dan yang lain-lain masing mengingati karisma dan ilmu pengetahuan yang telah dicurahkan oleh David Booth dan hasil bimbingannya itu menjadikan sebahagian besar daripada mereka kini menjadi jurulatih-jurulatih yang berpotensi di negara kita waktu ini.

Selepas menamatkan bakti di Brunei DS, David Booth telah berkelana ke beberapa negara Asia lain sama ada menjadi jurulatih pasukan kebangsaan mahupun kelab, antaranya ialah Myanmar, India, Maldives dan Laos. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut anda boleh mengetahuinya di sini.

David Booth hadir di kelab penyandang juara liga Kemboja itu Metfone Cambodia League musim lalu bagi menggantikan Bojan Hodak yang menerima tawaran menjadi penolong jurulatih bagi kelab Shandong Luneng Taishan FC dalam liga bolasepak professional China.

Prof: Bekas adak didik beliau sering memberitahu saya bahawa David Booth adalah jurulatih asing terbaik pernah datang ke Brunei DS.

Jumaat, 1 Julai 2011

10 KELAB TERKAYA DI DUNIA

1 (Kedudukan Tahun Lalu: 1) REAL MADRID

Jumlah Pendapatan : 401.4 juta euro

Jualan tiket: 101.4 juta euro

Hak siaran : 160.8 juta euro

Komersial: 139.2 juta euro

2 (3) FC BARCELONA

Jumlah pendapatan: 365.9 juta euro

Jualan tiket: 95.5 juta euro

Hak siaran: 158.4 juta euro

Komersial: 112.0 juta euro

3 (2) MANCHESTER UNITED

Jumlah pendapatan: 327.0 juta euro

Jualan tiket: 127.7 juta euro

Hak siaran: 117.1 juta euro

Komersial: 82.2 juta euro

4 (4) BAYERN MUNICH

Jumlah pendapatan: 289.5 juta euro

Jualan tiket: 60.6 juta euro

Hak siaran: 69.6 juta euro

Komersial: 159.3 juta euro

5 (6) ARSENAL

Jumlah pendapatan: 263.0 juta pound

Jualan tiket pertandingan: 117.5 juta euro

Hak siaran: 89.0 juta euro

Komersial: 56.5 juta euro

6 (5) CHELSEA

Jumlah pendapatan: 242.3 juta euro

Jualan tiket: 87.4 juta euro

Hak siaran: 92.9 juta euro

Komersial: 62.0 juta euro

7 (8) LIVERPOOL

Jumlah pendapatan: 217.0 juta euro

Jualan tiket: 49.9 juta euro

Hak siaran: 87.6 juta euro

Komersial: 79.5 juta euro

8 (11) JUVENTUS

Jumlah pendapatan: 203.2 juta euro

Jualan tiket: 16.7 juta euro

Hak siaran: 132.2 juta euro

Komersial: 54.3 juta euro

9 (10) INTER MILAN

Jumlah pendapatan: 196.5 juta euro

Jualan tiket: 28.2 juta euro

Hak siaran: 115.7 juta euro

Komersial: 52.6 juta euro

10 (7) AC MILAN

Jumlah pendapatan: 196.5 juta euro

Jualan tiket: 33.4 juta euro

Hak siaran: 99.0 juta euro

Komersial: 64.1 juta euro


Prof: Rileks kan otak sekejap dengan melihat pendapatan kelab-kelab terkaya. Mungkin jadi inspirasi dan timbul idea bernas bagaimana caranya menjadikan liga kitani menarik dan mencapai matlamat.