Sabtu, 30 Julai 2011

MEMILIH PEMIMPIN PERSATUAN BUKAN PERKARA MAIN-MAIN

Mutakhir ini kita melihat kamelut yang melanda persatuan-persatuan bolasepak, dari atas (FIFA) hingga ke akar-umbinya (ahli-ahli gabungan). Kamelut berpunca dari karenah para pemimpinnya. Tidak perlu saya mencatat satu persatu apa yang berlaku, semua sudah tahu melalui mass media.

Perkara ini memanggil daya kreatif saya untuk mencatatkan sesuatu di sini. Telah berkali-kali saya mengingatkan para pemimpin persatuan bahawa memilih pemimpin yang bakal menerajui atau menganggotai persatuan mereka jangan berdasarkan kepada sahabat-handai atau kita inginkan seseorang calon itu kerana kita sukakan mereka, tetapi pemilihan mestilah berdasarkan 'merit' atau kebolehan atau kemampuan mereka melaksanakan sesuatu tugasan dengan sempurna dan baik.

Sepanjang kerjaya saya sebagai wartawan sukan di Malaysia, saya melihat didepan mata peralihan kuasa FAM dari Tan Sri Hamzah Abu Samah kepada Sultan Haji Ahmad Shah. Saya juga melihat dengan jelas bagaimana pasukan-pasukan negeri yang jaguh di tahun 80an diuruskan. Siapa tokoh-tokoh yang menerajuinya dan bagaimana mereka mengurus sekelompok manusia yang berkelayakan dibidang masing-masing berkerja sebagai satu unit melaksanakan tugasan mereka.

Dalam konteks bolasepak, pemilihan orang yang tepat bermula dari 'pembancuh oren' (menurut istilah orang Brunei) hingga ke posisi yang paling tinggi. Jika kita tersalah pilih orang yang tidak mahir menyediakan minuman pasukan maka akan mendatangkan masalah kepada kesihatan pemain dan berkemungkinan dalam perlawanan-perlawanan tertentu pemain tidak dapat bermain dengan baik kerana minuman yang tidak sesuai, akhirnya pasukan kalah. Begitulah gambaran awal betapa pentingnya memilih individu yang tepat dan sesuai dengan bidang tugas masing-masing. Bukan memilih hanya kerana kita kenal dan mesra dengan orang itu.

Dalam konteks Brunei DS pula, saya melihat pemilihan kebanyakannya dinilai melalui 'siapa dia' dan 'aku mahu dia'. Tidak ketinggalan ada individu yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jawatan sedangkan dia sendiri tidak 'mengukur baju di badan sendiri'. Akhirnya semua perkara menjadi celaru dan haru-biru.

Sebab itu saya amat prihatin mengenai soal memilih saf kepimpinan ini. Memang kita boleh berjaya memilih mengikut kehendak individu atau kehendak sekelompok manusia namun kita mengurus sebuah organisasi yang dicerminkan melalui prestasi di padang. Jika pasukan gagal apakah kita secara 'gentlemen' mahu mengundur diri? atau sekurang-kurangnya sanggup menanggung segala kesalahan? atau buat muka tak tahu malu terus menerajui pasukan?

Kita melihat dalam senario bolasepak professional sama ada liga ataupun prestasi pasukan kebangsaan masing-masing. Sering kali kita melihat pengurus-pengurus pasukan atau pemimpin-pemimpin tertentu dipecat dari jawatan mereka akibat kegagalan persatuan/pasukan bimbingan mereka dan ada juga yang meletakkan jawatan kerana rasa bersalah atas kegagal tersebut.

Adakah kita sudah mencapai semangat dan disiplin sedemikian? Kita akan dapat melihat untuk tahun-tahun mendatang. Kita sedang menyaksikan satu persembahan 'opera' dalam kancah bolasepak kita. Sama ada 'opera' tersebut berjaya memukau penonton belum boleh dijangkakan. Persembahan 'opera' masih terlalu awal, memilih para pelakon pun belum. Tetapi para peneraju pementasan sudah ada.

Saya sangat berharap pemilihan yang telah dibuat menepati tatacara dan tatakelola pengurusan taraf MBA. Jika ini berlaku maka bolasepak kita akan bersinar dan gemilang.

Prof: Masih terngiang-ngiang di telinga saat Sultan Hj Ahmad Shah mengatakan 'betulkan saya jika saya buat salah', dalam sidang media pertama setelah menerajui FAM.

Tiada ulasan: