Isnin, 29 November 2010

TAHNIAH PIP, SYABAS SS & TERUSKAN FFBD

TAHNIAH
Kepada Projek Ikan Pusus (PIP) kerana berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Bolasepak Bawah 14 Tahun Kebangsaan. Tahniah juga kepada Hj Omar Jamil selaku ketua jurulatih kerana berjaya membimbing PIP hingga menjadi salah satu akademi bolasepak terkemuka di Negara Brunei Darussalam. Dengan mempertahankan kejuaraan itu menjadikan PIP berada dalam kelas yang tersendiri berbanding dengan akademi-akademi bolasepak lain yang ada di negara ini.

SYABAS
Kepada Sekolah Sukan (SS) kerana berjaya memperbaiki pencapaian dari musim lalu. Nyata SS dapat memperguna bakat yang ada, kaedah latihan yang berkesan serta keyakinan diri untuk berkembang. Ini merupakan kejayaan juga kepada mereka kerana sebelum ini mereka berada pada tahap yang agak terkebawah. Saya yakin untuk tahun-tahun mendatang SS akan lebih maju malah kini pencapaian mereka menghampiri PIP.

TERUSKAN
Kepada FFBD kerana mengungkayahkan kejohanan-kejohanan bolasepak peringkat umur. Hanya dengan cara ini pembangunan bolasepak dapat dijayakan. Selepas ini hendaknya FFBD akan menyediakan satu program jangka panjang projek pembangunan mereka. Well done FFBD.

Prof: Ke mana saja saya pergi, pasti saya akan menjenguk projek-projek pembangunan bolasepak setiap negara itu. Nyata negara yang mempunyai projek pembangunan yang ampuh akan berjaya. Korea Selatan, Jepun & Thailand sebagai contoh.

Rabu, 24 November 2010

APA KHABAR BAFA, BAGAIMANA FFBD?

Dalam posting terakhir saya mengenai kamelut bolasepak Brunei DS, saya menjangkakan bahawa BAFA akan 'hidup' kembali sekitar bulan Nov 2010 menurut 'sumber' yang memberikan khabar kepada saya. Kini bulan Nov sudah ke penghujungnya. Gejolak, alun dan ombak senario bolasepak Brunei DS belum menampakkan tanda-tanda BAFA akan 'hidup' kembali malah sepertinya akan terus menjadi bahan sejarah.

Saya mencari kembali 'sumber' tersebut malangnya 'beliau' sendiri tidak mahu lagi memperkatakan mengenai BAFA. Maka saya membuat kesimpulan bahawa 'sumber' saya itu adalah 'hampas' semata-mata. Saya memohon maaf kepada para pembaca kerana membawakan berita 'palsu' dari 'sumber' tersebut. Sesungguhnya, selama saya menjadi wartawan inilah kali pertama 'sumber' saya mempunyai tahap kebolehkepercayaan yang paling rendah. 'Sumber' saya berada di serata pelosok dunia dan inilah satu-satunya 'sumber' yang paling 'hampas'.

Untuk pemahaman dan tatapan para pembaca di bawah ini saya nukilkan lagi perlembagaan FIFA yang berkaitan dengan kamelut yang menyelubungi pentadbiran bolasepak Brunei DS.

Article 15 - Expulsion.

1. The Congress may expel a Member;
(c) if it loses the status of an Association representing Association Football in its country.

Jika difahami artikel dalam perlembagaan di atas bolehlah dianggap bahawa BAFA secara automatik akan dibatalkan keahliannya di dalam FIFA. Kita lihat pula artikel berikut yang mungkin bersangkutan dengan FFBD.

Article 10-2 - Membership is only permitted if an Association has already been a provisional member of a confederation for at least two years.

Maknanya, FFBD boleh memohon menjadi ahli AFF (Asean Football Federation) dan AFC (Asian Football Confideration) dan aktif untuk selama 2 tahun sebelum menjadi ahli FIFA. Namun yang menjadi masalah ialah FIFA berpendapat bahawa penubuhan FFBD merupakan campur tangan pihak berwajib. Kenapa FIFA berpendapat sedemikian? Siapakah yang memberikan maklumat kepada FIFA? (sehingga beranggapan ada campur tangan). Sahihkah (benarkah) maklumat yang disalurkan kepada FIFA itu?

Ini dapat kita lihat dalam kenyataan oleh Thierry Regenass, FIFA, Director of Member Association yang dapat dipetik dalam akhbar-akhbar tempatan pada 22 Julai 2009 ketika berkunjung ke sini.

"It is very important for people in Brunei to understand that BAFA had been deregistered by the Registrar of Societies. And for FIFA as AFC, this is not something that we can accept because it is an act of government interference in the management of football, which is against one of the fundamental principles of FIFA,"

Namun beliau turut menyatakan, "We understand that there have been concern over the way that BAFA was managed before and we (FIFA) are ready to work on that for instance....".

BAFA telah melakukan kesalahan! Itu hakikat! Mengikut undang-undang Negara Brunei Darussalam BAFA memang patut untuk menerima hukuman. Teringat saya dalam awal dekad ini tatkala menghadiri kursus kejurulatihan anjuran Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei/Muara. Penganjur telah menjemput salah seorang pegawai dari Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Society) untuk membentangkan kertas kerja yang mana beliau menyatakan bahawa setiap pertubuhan/persatuan diwajibkan menghantar laporan tahunan dan laporan kewangan tahunan di samping mengadakan mesyuarat agong seperti yang termaktub dalam perlembagaan masing-masing.

Jadi di mana rasionalnya FIFA untuk mempertahankan BAFA? FIFA sendiri sebagai sebuah badan induk yang menitikberatkan ketelusan, professional dan berintegriti sudah pasti tidak dapat menerima secara prinsip apa yang dilakukan oleh BAFA. FIFA tidak boleh 'tutup mata sebelah' dalam kes BAFA ini walaupun BAFA telah membina sebuah bangunan pentadbiran menggunakan dana yang diperolehi dari FIFA.

Maka sudah selayaknya BAFA menerima hukuman dan kemunculan sebuah pertubuhan baru (FFBD) tidak dapat dinafikan. Sudah pasti pihak pengurusan FFBD tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh BAFA. Apa yang pasti FFBD mestilah bertindak menjadi sebuah badan induk kebangsaan yang benar-benar berwibawa kerana masyarakat akan menilai dan membandingkan dengan gaya pengurusan BAFA sebelum ini.

Bagi saya sendiri, saya akan tetap meneruskan tanggungjawab sosial saya memberi teguran positif demi mencapai hasrat kecemerlangan dalam bolasepak bagi Brunei DS.

Prof: Khabarnya BAFA terus padam dan FFBD memulakan proses pendewasaan.

Jumaat, 19 November 2010

AKHIRNYA FIFA GANTUNG 6 PEGAWAINYA

Ethic Committee FIFA yang bermesyuarat dari 15-17 Nov 2010 lalu akhirnya mengantung tugas 6 orang pegawai tingginya akibat dari kamelut yang timbul dari bidaan/penawaran tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022. Selanjutnya anda boleh baca di sini.

Langkah ini dilihat dapat memulihkan nama baik badan induk bolasepak dunia itu dari terus tercemar. Pun begitu kepada mereka yang telah tahu akan 'budaya' dalam FIFA sudah sedia maklum atas apa yang berlaku. Apa yang mampu dibuat oleh FIFA ialah 'damage control' agar tidak menjadi lebih parah dan imej FIFA dipersoal oleh dunia.

Dalam usaha FIFA untuk dilihat 'bersih' dalam pentadbirannya maka tindakan mengantung 6 pegawai tersebut adalah tepat dan kena pada waktu dan ketika. Jika tidak FIFA akan dilanda krisis kepercayaan di kalangan ahli-ahlinya dan juga masyarakat sukan antarabangsa. Kerana sebelum ini FIFA amat 'vokal' dalam memperjuangkan ketelusan dan integriti kepada ahli-ahli gabungannya hingga memaksa FIFA menggantung beberapa buah negara anggota kerana menghadapi masalah dalaman atau campur tangan pihak ketiga.

Syabas Sepp Blatter kerana akhirnya anda sedar masalah itu.

Prof: Akan merungkai lagi sedikit demi sedikit 'budaya songsang' dalam FIFA dalam posting akan datang.

Selasa, 16 November 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA 1431H

Saya mengucapkan selamat menyambut hari raya aidil adha (korban). Semoga kita memperolehi sesuatu yang berguna untuk diri sendiri, keluarga dan ummah dari pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim A.S. - ProfBola

Sabtu, 13 November 2010

TARIKH TUTUP BRUNEI 7'S - 15 NOV 2010 (ISNIN)


Persatuan Bolasepak Veteran (VFA) yang buat julung-julung kalinya menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa iaitu Brunei 7's International Soccer Challenge 2010 yang akan berlangsung pada 4 & 5 Disember 2010 bertempat di Komplek Sukan JBS, Berakas masih membuka penyertaan dari pasukan-pasukan hingga tarikh tutup pada 15 November 2010 (Isnin) ini.

Kejohanan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Veteran/Open (40 tahun ke atas) dan Masters (45 tahun ke atas), yuran penyertaan ialah USD400/B$750. Hadiah yang ditawarkan oleh pihak penganjur ialah Johan B$3,000 dan naib Johan $2,000 bagi setiap kategori dan di samping itu setiap pasukan akan menerima cenderahati (11 unit) serta akan diraikan dalam satu majlis makan malam.

Saya difahamkan beberapa buah pasukan dari Malaysia seperti Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Sabah telah mengesahkan penyertaan mereka. Manakala beberapa pasukan dalam negeri juga telah bersetuju untuk mengambil bahagian. Brunei Tourism pula telah menyokong kejohanan ini. Untuk penyertaan anda bolehlah menghubungi 8820062/8720105.

Prof: Syabas VFA. Berikan keceriaan kepada senario bolasepak Brunei DS setelah dimalapkan oleh 'mereka-mereka'.

Isnin, 8 November 2010

NAMPAKNYA HANYA VETERAN BERAKSI DI LUAR NEGERI

VFA GAGAL PERTAHAN GELARAN DI KOTA KINABALU

BERPUAS HATI DI TANGGA KE TIGA

VFA yang menghantar pasukan ke kejohanan Borneo Football Cup 2010 Kali Ke 3 terpaksa berpuas hati menduduki tangga ke tiga setelah terkandas dalam separuh akhir kepada Likas Utd melalui sepakan penalti 'sudden dead'. Skuad tersebut bertandang ke Kota Kinabalu, Sabah dengan reputasi sebagai juara dua kejohanan lalu, 2008 & 2009.

Likas Utd pula muncul juara buat pertama kali setelah menewaskan X Rhinos 3-2 dalam perlawanan akhir. VFA pula mudah mematahkan cabaran Perantau FC 2-0 dalam perlawanan menentukan tempat ke 3/4. Sebelum itu VFA menjuarai Kumpulan A apabila mencatat 2 kemenangan dan 1 seri dalam kejohanan yang disertai 8 buah pasukan dari Brunei, Kuala Lumpur dan Sabah sendiri.

VFA kini sedang menumpukan usaha mereka untuk menganjurkan Brunei 7's International Soccer Challenge 2010 yang bakal berlangsung pada 4 & 5 Dis. 2010 di Komplek Sukan JBS, Berakas. Beberapa buah pasukan luar negeri sudah mengesahkan penyertaan iaitu Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Sabah di samping pasukan-pasukan tempatan.

Prof: Syabas VFA. Teruskan perjuangan memartabatkan bolasepak negara walaupun hanya di peringkat veteran.

Khamis, 4 November 2010

BOLASEPAK BRUNEI KINI 100% MASUK KURANTIN

Kenangan manis menjuara Piala Malaysia 1999.

Kini telah sah bahawa skuad bolasepak bawah 15 tahun Brunei DS yang akan menyertai Kejohanan Bolasepak Bawah 15 Tahun Sekolah-Sekolah Asia tidak dibenarkan menyertainya kerana pihak penganjur (PSSI/Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia) khuatir akan menerima tindakan dari FIFA kerana BAFA telah digantung keahliannya oleh badan induk bolasepak dunia itu.

Sebagai rekod sebelum ini skuad Sekolah-Sekolah Asia Bawah 18 Tahun di Korea Selatan juga telah tidak dibenarkan bermain oleh pihak penganjur, KFA (Korea Football Association). Secara logiknya kejohanan tersebut terpisah dari 'cengkaman' FIFA kerana dianjurkan oleh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Asia sebagai acara tahunan kokurikulum mereka. Akan tetapi FIFA nampaknya telah berjaya 'menjangkau' tangannya terhadap kejohanan tersebut. Akibatnya skuad Brunei DS yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan tidak dapat menyertai apa jua kejohanan di luar negara termasuk menjadi tuan rumah Kejohanan Bolasepak Bawah 15 Tahun Sekolah-Sekolah Asia 2011 seperti mana yang dijadualkan sebelum ini. Dengan itu sah 100% bolasepak Brunei DS 'dikurantinkan' oleh FIFA!

Fakta;
* FIFA menganggap ada campurtangan pihak pemerintah apabila BAFA dibatalkan pendaftaran dan tertubuh pula FFBD.
* Bagi pihak pemerintah BAFA telah melanggar salah satu fasal dalam peraturan Pendaftar Pertubuhan (gagal membuat mesyuarat agong dan seterusnya tidak menghantar laporan tahunan dan laporaan kewangan).

Tanggapan Umum;
* Ada pihak yang bersimpati dan menyokong BAFA (memandangkan rekod mentadbir sukan bolasepak sebelum ini).
* Ada pihak yang menyokong penubuhan FFBD untuk menggantikan BAFA sebagai badan induk.
* Ada pihak yang mengambil jalur professional iaitu beranggapan bahawa BAFA perlu 'dihukum' kerana kesalahan yang telah dilakukan tetapi dalam masa yang sama hukuman itu janganlah mengakibatkan bencana kepada pembangunan bolasepak Brunei DS.
* Ada pihak tak ambil peduli.

Dari fakta dan tanggapan di atas serta apa yang sedang berlaku saat ini maka bolehlah saya membuat andaian bahawa pihak pemerintah berhak untuk menghukum BAFA dan wajib mempertahankan kedaulatan dan keluhuran perlembagaan negara. Dalam masa yang sama pertimbangan secara saksama perlu juga diambil kira untuk memberi peluang kepada pembangunan dan aktiviti berjalan seperti biasa.

Sesungguhnya permasalahan ini memberi iktibar dan contoh terbaik kepada pemimpin-pemimpin persatuan sukan agar tidak melakukan kesilapan yang sama. Jika tidak mampu untuk memimpin undur diri dan beri laluan kepada mereka yang benar-benar layak dan berwibawa. Jangan kerana merasa kerugian apabila melepaskan jawatan membuatkan kita memegang sesuatu jawatan tanpa melaksanakan kewajipan. Ini adalah satu dosa!

Yang pasti, bolasepak Brunei DS kini dalam tempoh kurantin. Persoalannya, sampai bila? Apakah FIFA mahu berlembut dan memberi peluang keahlian kepada FFBD? Apakah yang sedang dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan untuk bolasepak Brunei DS kembali ke persada antarabangsa? Sama-samalah kita tunggu. 'Sabar sebahagian daripada iman'

Prof: Sahabat lama di PSSI memberitahu bahawa 'orang dari Brunei' sendiri turut menekan supaya penyertaan Brunei DS di Jakarta dirujuk kepada FIFA. Apa maksud orang itu? Seolah-olah 'Kalah jadi abu, menang jadi arang'. Jika benar, sungguh tak bertanggungjawab dan telah menderhaka kepada negaranya sendiri. Wallahhu aklam.