Ahad, 24 April 2011

UNDANGAN RTB UTK 'TETAMU SUKAN'

Pada 22hb April 2011 (Jumaat) yang lalu saya telah diundang oleh RTB untuk siaran langsung rancangan 'Tetamu Sukan' dengan kapisiti sebagai Setiausaha Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden Kali Ke-2 2011 DST Group bagi rangka promosi kejohanan tersebut. Bersama saya ialah Awang Pea Chong Koon, Ahli Jawatankuasa kejohanan. Maklumat lanjut mengenainya boleh anda dapati di sini.

Khamis, 21 April 2011

KEJOHANAN VETERAN MUSIM KE 2


Persatuan Bolasepak Veteran (VFA) Brunei Darussalam sekali lagi akan menganjurkan Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden Kali Ke-2 2011 DST Group. Kejohanan tersebut akan berlangsung dari 6 Mei hingga 10 Julai 2011 akan datang ini.

Untuk kejohanan musim kedua ini, khabarnya sebanyak 16 buah pasukan akan menyertainya berbanding hanya 10 buah pasukan musim lalu. Menilai jumlah penyertaan maka bolehlah kita anggap bahawa kancah sukan bolasepak di peringkat veteran telah berkembang dengan sihat dan berjaya di bawah pengurusan VFA. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai kejohanan itu anda boleh layari blog rasmi VFA di sini.

Khamis, 14 April 2011

VP AFF - PM BERI LALUAN

Dalam posting terdahulu saya telah memetik berita mengenai kongres AFF yang berlangsung di Bangkok, Thailand. Berita penuh boleh anda baca di sini

Pg Hj Metussin Pg Hj Metassan, mantan Vice President AFF telah menghubungi saya selepas itu dan menjelaskan bahawa beliau sebenarnya dicalonkan untuk mengekalkan jawatan di samping lima lagi calon (Laos, Kemboja, Timor Leste, Vietnam dan Filipina), sementara Ravy Khek tidak tercalon. Namun atas semangat 'persaudaraan Asean' beliau yang lebih mesra dengan panggilan 'PM' telah menarik diri dari pencalonan untuk memberi laluan kepada calon-calon lain.

Syabas PM!

Prof: Kepada calon-calon yang terpilih, selamat bertugas.

Selasa, 12 April 2011

SULTAN HJ AHMAD SHAH PRESIDEN BARU AFF

DYMM Sultan Haji Ahmad Shah yang juga Presiden FAM telah dipilih menjadi Presiden AFF (Asean Football Federation) yang baru bagi menggantikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen yang mengambil keputusan untuk mengundur diri. Baginda juga adalah bekas Presiden AFC sebelum melepaskan jawatan tersebut kepada Mohammed bin Hammam.

Dalam kongress AFF yang berlangsung di Bangkok, Thailand hari Sabtu lalu, tiga muka baru dipilih menjadi Naib Presiden. Mereka ialah Brig Gen Khiev Sameth (Kemboja), Francisco Kabualdi Lay (Timor Leste) dan Viphet Sihachaku (Laos), sementara Duong Vu Lam (Vietnam) mengekalkan jawatannya. Dua penyandang penggal lalu iaitu Pg Hj Metussin Pg Hj Metassan (Brunei DS) dan Ravy Khek tidak terpilih pada kali ini.

Bagaimanapun, kita mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih kepada Tengku Ahmad Rithaudeen dan barisan kepimpinannya sebelum ini kerana telah banyak menyumbang kepada pembangunan bolasepak di rantau ASEAN ini. Kejohanan SUZUKI CUP merupakan salah satu kejohanan yang kini menjadi tumpuan semua peminat bolasepak di negara-negara Asean.

Namun masih banyak tugasan yang perlu digalas oleh AFF terutama menaik taraf mutu bolasepak di seluruh rantau ini. Kita mahu melihat kemunculan negara-negara Asean dalam Piala Asia, Sukan Asia, Sukan Olimpik, Piala Dunia serta menyaksikan seramai yang mungkin pemain-pemain dari rantau ini beraksi di liga-liga utama Eropah seperti mana yang dilakukan oleh pemain-pemain Korea Selatan, Jepun dan China.

Prof: Terkenang menemuramah Sultan Haji Ahmad Shah dalam sidang akhbar pertama banginda sebaik dilantik menjadi Presiden FAM awal 80'an lalu. Sangat indah. 'PM' hendaknya jangan putus asa, teruskan perjuangan.

Jumaat, 8 April 2011

'THE RED' JELAJAH ASIA JULAI NANTI


Para peminat setia Liverpool FC pasti gembira apabila mengetahui bahawa kelab yang memiliki paling ramai peminat di benua Asia itu akan membuat lawatan ke sini sekali lagi (kali terakhir ialah pada tahun 2009). Kali ini mereka akan beraksi di China, Malaysia dan Korea Selatan.

Skuad 'The Red' akan menentang pasukan Chinese Super League, Guangzhou FC di bandaraya Guangzhou, China, selepas itu akan beraksi di Seoul, Korea Selatan pula bagi perlawanan dengan FC Seoul sebelum mengakhiri jadual di Asia Tenggara dengan menjadikan skuad kebangsaan Malaysia sebagai lawannya di Kuala Lumpur.

Wajah-wajah baru dalam skuad 'The Red' itu nanti ialah Luiz Suarez dan Andy Caroll, dua pemain yang dibeli sewaktu tempoh perpindahan Januari lalu. Kedua-dua pemain terus mendapat tempat di hati para peminat Liverpool FC dengan aksi meyakinkan tatkala menyarung jersi merah yang keramat itu.

Sama-samalah kita nantikan kemunculan mereka.

Prof: Kenangan indah di Merseyside.