Ahad, 31 Oktober 2010

KELANTAN - JUARA BARU PIALA MALAYSIA

Keluarga juara-juara Piala Malaysia mendapat 'ahli baru' malam tadi apabila Kelantan menjadi pasukan terbaru menjuarai piala berprestij itu setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Skuad 'Kijang' atau 'The Red Worriors' itu yang dibimbing oleh B. Sathianathan memperlengkapkan putaran dari sebuah pasukan belasan kepada pasukan bergelar juara. Dalam tiga tahun kebelakangan Kelantan mampu keluar dari zon 'budak belasan' dan menjadi sebuah pasukan digeruni.

Kesemua ini dapat dicapai oleh mereka kerana faktor pengurusan/kepimpinan yang cekap, memiliki pemain & pasukan kejurulatihan yang berkualiti, disiplin dan mempunyai iltizam yang kuat. Percayalah jika Kelantan (atau mana-mana pasukan pun) tidak meneruskan formula tersebut maka mereka akan sekali lagi terjerumus ke lembah masalah dan kemunduran.

Prof: Setiap pasukan juara menyimpan resipi tersendiri. Kisah gembira sepeti itu mesti diteruskan agar generasi akan datang mendapat manfaat. Adakah Juara Piala Malaysia 1999 belajar daripada ini?

Rabu, 27 Oktober 2010

PELE RAJA BOLA SEBENAR

Di Mexico 1970, Brazil menewaskan Itali 4-1 dalam final Piala Dunia dan Pele dijulang oleh para penyokong.

Aksi bicycle kick yang terkenal ciptaan Pele.

Antara gambar termasyhur aksi Pele di Piala Dunia bersama Brazil.

Tidak lengkap rasanya jika blog ini tidak mencatatkan sesuatu untuk insan bernama Edison Arantes do Nascimento atau lebih popular dengan panggilan PELE yang lahir pada 23 Oktober 1940, kira-kira genap 70 tahun lalu di Tres Coracoes, Santos, Brazil. Walaupun agak terlewat (4 hari) dari tarikh kelahiran beliau namun saya terpanggil untuk mencatatkan sesuatu sebagai tanda penghormatan kepada 'Raja Bola' ini.

Kerjaya beliau penuh dengan warna-warni. Dari pemain remaja di lorong-lorong jalan kotaraya Santos, menjadi ikon bolasepak dunia dengan mewakili Brazil seawal usia 16 tahun lagi, memegang rekod pemain termuda beraksi di final Piala Dunia (17 tahun 245 hari di Piala Dunia 1958-Sweden) dan menjaringkan gol (agak sukar untuk diulangi oleh mana-mana pemain zaman ini), menjuarai Piala Dunia sebanyak 3 kali bersama Brazil (1958, 1962 & 1970), menjadi ikon mempopularkan liga bolasepak di Amerika Syarikat (NAFL) bersama New York Cosmos, pemain pertama menjaringkan lebih 1,000 gol (Santos-1,087, New York Cosmos-37 & Brazil-77), menjadi pelakon filem, malah pernah dilantik menjadi menteri sukan negaranya, Brazil.

Pele turut mempopularkan aksi akrobatik 'bicycle kick' yang menjadi kegilaan dan ikutan kesemua pemain bolasepak di dunia baik pemain kampong mahupun pemain professional peringkat tinggi dan pemakaian jersi no 10 untuk striker utama sesebuah pasukan kerana Pele memakai jersi no 10 ketika mewakili Brazil dan kelab. Sejak itu jersi no 10 menjadi rebutan ramai pemain striker dan pasti membandingkan dengan kehebatan Pele menjaringkan gol. Ramai juga pemain yang kecundang kerana 'badi' no 10.

Apapun pencapaian menakjubkan oleh Pele, pasti kita mendapat manfaat daripadanya. Pele seolah-olah 'buku bolasepak' yang bergerak. Anda boleh menjadi pemain hebat asal saja mengikut apa yang dilakukan oleh Pele tetapi dengan syarat; mempunyai bakat semulajadi, letihan berterusan, komitmen, disiplin dan pengurusan berkesan. Kesemua itu ada dalam diri Pele hingga memartabatkan beliau sebagai 'Raja Bola'.

Terima kasih tidak terhingga kepada Pele kerana telah memberikan terlalu banyak kepada bolasepak di seluruh dunia tetapi malangnya dunia bolasepak itu sendiri gagal untuk mengenang jasa beliau selayaknya. Namun saya percaya Pele sendiri tidak mahu dirinya disanjung tinggi melangit. Beliau lebih senang dengan keadaan diri beliau sekarang. Menjadi Edison Arantes do Nascimento.

Prof: Masih menanti kemunculan Pele Asia.

Jumaat, 22 Oktober 2010

FIFA GANTUNG 2 PEGAWAI

Akhirnya FIFA mengantung dua pegawainya yang sedang dalam siasatan kerana dituduh meminta imbuhan dari bidaan untuk menjadi hos Piala Dunia 2018. Amos Adamu dari Nigeria adalah Fifa Executive Committee dan Reynald Termarii, salah seorang Naib Presiden FIFA merangkap Presiden Oceania Football Confideration (OFC) adalah dua pegawai tersebut yang kini menghadapi siasatan di bawah 'FIFA Code of Ethics'.

FIFA Executive Committee akan bermesyuarat di Zurich, Switzerland pada 28 & 29 Okt. 2010 akan datang bagi membuat keputusan sama ada kedua-dua pegawai tersebut bersalah atau sebaliknya. Amos Adamu telah didedahkan oleh sebuah akhbar British meminta wang sebanyak US800,000 dan Reynald Termarii pula dikhabarkan meminta US2.3 juta daripada salah sebuah negara yang membida untuk menjadi hos Piala Dunia 2018.

Antara negara yang membida ialah England, Russia, Sepanyol-Portugal dan Hollad-Belgium. Amerika Syarikat telah mengugurkan bidaan mereka dan menumpukan kepada tahun 2022 bersama Qatar, Australia, Korea Selatan dan Jepun.

Melalui pengalaman saya, sebenarnya budaya memberi 'imbuhan' kepada negara-negara yang layak mengundi untuk menetapkan keputusan bidaan menjadi hos acara-acara sukan (bukan sahaja Piala Dunia malah Olimpik) telah berjalan sejak sekian lama. Hanya baru-baru ini ditimbulkan oleh akhbar terutama akhbar-akhbar British yang bersungguh-sungguh menyiasat perkara ini hingga sanggup 'memasang perangkap' dengan salah seorang wartawannya menyamar menjadi salah seorang pegawai pengurusan negara pembida.

Budaya ini (memberi imbuhan) telah berjalan sejak tahun-tahun 70an lagi. Peristiwa para perwakilan dibawa melancong, dilayan seperti seorang raja dan ada yang dikejar hingga ke bilik hotel mereka. Malah ada negara maju sanggup memberi tiket penerbangan percuma kepada kontijen negara terbabit dan ada juga yang berjanji untuk membantu dalam projek pembangunan bolasepak mereka.

Selalunya perwakilan dari negara-negara kecil di Asia, Afrika dan Amerika Tengah yang sering menjadi sasaran. Di sinilah juga kesempatan kepada negara-negara kecil tadi (yang memiliki kuasa mengundi) turut 'mempersembahkan' tawaran balas mereka. Jika pegawai tersebut mementingkan negaranya maka 'permintaan' yang dikemukakan mungkin berbentuk perkara-perkara yang mendatangkan nilai positif kepada pembangunan dan kemajuan bola sepak di negaranya.

Akan tetapi jika pegawai tersebut mementingkan diri sendiri maka tawaran balas mereka mungkin berbentuk kepentingan diri sendiri. Sebagai wartawan sukan saya beberapa kali menyaksikan proses 'tawar-menawar' ini dan pernah beberapa kali menjadi 'orang tengah' untuk merelisasikan sesuatu perundingan. Semua itu tersimpan rapi dalam diari pengalaman sebagai wartawan.

Maka saya tidak merasa terkejut dengan pendedahan akhbar British tersebut.

Prof: Nanti saya nukilkan sedikit bagaimana proses pengundian bidaan Piala Dunia 2018.

Ahad, 17 Oktober 2010

MICHAEL GYASI - THE WONDER KID

MICHAEL GYASI - Foto ehsan Getty Images.

Michael Gyasi, 11 tahun, baru-baru ini telah direkrut oleh juara EPL Chelsea dari Northampton Town (League Two) dengan nilai pampasan sebanyak 10ribu pound sterling. Gyasi yang kedua ibu bapanya berasal dari Ghana dan menjadi warganegara Jerman telah berhijrah ke England sejak 4 tahun lalu, menyertai 'Centre of Excellence' kelab kecil itu sejak 3 tahun lalu dan menganggotai pasukan bawah 11 tahun Northampton Town.

Sudah pasti Gyasi memiliki skill permainan yang cukup memikat pihak 'scouting team' The Blues. Khabarnya aksi Gyasi ketika diundang bermain bersama skuad bawah 10 tahun Chelsea setahun lalu membuka mata semua jurulatih yang bertugas di Stamford Bridge. Dan sejak itu mereka telah mula membuat perundingan untuk menjadikan 'wonder kid' milik mereka.

Sebagai salah seorang ahli akademi bola sepak Chelsea, Gyasi mempunyai klausa untuk bermain secara professional apabila mencapai usia 16 tahun dan sudah pasti Chelsea menjadi keutamaan. Namun Gyasi masih boleh meninggalkan Chelsea jika mendapat tawaran dari kelab-kelab lain. Kesemuanya bergantung kepada prestasi yang bakal dipamerkan oleh beliau dalam 5 tahun mendatang ini.

Prof: Di mana tahap permainan remaja kita dalam usia Gyasi? Itulah dunia professional. Perbandingannya seperti bumi dengan langit. Tetapi tidak mustahil untuk dicapai.

Khamis, 14 Oktober 2010

DOLLAH KASSIM MENINGGAL - AL-FATIHAH

Allahyarham Dollah Kassim (tengah) ketika zaman kegemilangan mewakili Singapura.

Setelah terlantar koma sejak setahun yang lalu akhirnya lagenda bola sepak Singapura,Dollah Kassim, 61 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini di rumah Allahyarham di Singapura. Sinonim dengan gelaran 'The Gelek King', Allahyarham rebah dan tidak sedarkan diri setelah bermain untuk pasukan veteran Singapura menentang veteran Selangor dalam perlawanan 'Sultan Cup' di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 4 Oktober 2009 lalu.

Para peminat bola sepak pasti merasai kehilangan sebutir bintang yang pernah mewarnai kancah bola sepak di negara Singapura, Malaysia dan Brunei Darussalam. Rakan seangkatan Allahyarham termasuklah Samad Alipithchay, Quah Kim Song, Mohamad Noh, Edmund Wee dan lain-lain sekitar tahun-tahun 80 dan 70 an. Kemuncak prestasi Allahyarham ialah membantu Singapura menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1977 menewaskan Pulau Pinang 3-2, merupakan salah satu perlawanan akhir Piala Malaysia paling diingati.

Dalam bulan Ramadhan yang lalu seorang lagi pemain lagenda telah meninggalkan dunia iaitu Isa Bakar. Al-Fatihah, semoga roh mereka ditempatkan di sisi para solehen. Amin.

Prof: Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Rabu, 13 Oktober 2010

SUKU AKHIR PIALA M'SIA - PENYOKONG S'GOR & KELANTAN MERUSUH




PENYOKONG KELANTAN MATI SESAK NAFAS!

Dalam perlawanan pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam malam tadi telah berlaku kekecohan antara kedua-dua penyokong. Diberitakan oleh media setempat, seorang penyokong Kelantan telah meninggal dunia, namun mangsa dikhabarkan oleh sahabatnya meninggal kerana sesak nafas dan bukannya diakibatkan oleh pergaduhan.

Bagaimanapun, tatkala perlawanan berlangsung penyokong 'The Red Giant' dan 'The Reds' itu telah bertempur walaupun dipisahkan oleh pagar stadium. Percikan bunga api juga membuat keadaan menjadi kelam-kabut. Pihak keselamatan akhirnya berjaya mengawal suasana dalam perlawanan yang berkesudahan dengan seri 1-1.

Dengan insiden terbaru ini, telah tiga peristiwa malang menimpa pasukan Kelantan. Pada 1978 bas yang membawa skuad Kelantan telah dibakar oleh para penyokong Terengganu di luar Stadium Sultan Ismail Nasharuddin Shah, Kuala Terengganu. Sementara musim lalu pula turut berlaku kekecohan di Stadium Sultan Mohammad Ke IV hingga menyebabkan sebuah kereta peronda polis terbakar dan seorang peminat kecederan sebelah mata.

Prof: Maaf kepada peminat dan penyokong Kelantan, naib tidak menyebelahi mereka kerana pelbagai insiden berlaku. Saya sendiri sewaktu bertugas di Kota Bharu pada tahun2 80an dulu turun merasai 'kehangatan' mereka.

Rabu, 6 Oktober 2010

DI RAMPAI PAGI RTB (5OKT2010-SELASA-9.40 PAGI)

Saya selaku Timbalan Setiausaha Agong VFA telah dijemput oleh RTB dalam program 'Rampai Pagi' untuk menerangkan dan mempromosikan Perlawanan Bolasepak Amal Untuk Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Pakistan yang dianjurkan oleh VFA.

Dalam kesempatan tersebut saya telah berpeluang untuk memberi sedikit-sebanyak pelbagai infor berkenaan perlawanan amal tersebut yang akan menemukan Pilihan VFA dan Juara Piala Malaysia 1999. Turut diterangkan ialah lokasi-lokasi penjualan tiket dan pemain-pemain jemputan yang akan mewakili Pilihan VFA.

Buat sekatak ini Fandi Ahmad telah menarik diri kerana masalah tertentu. Namun pemain-pemain lain seperti Hassan Sani, Matlan Marjan (Sabah), Malek Awab dan Kader Yahaya (Singapura) telah memastikan kehadiran mereka. Sementara Brain Bothwell akan kembali ke Brunei Darussalam untuk bergabung bersama rakan-rakan beliau untuk skuad Juara Piala Malaysia 1999.

Prof: Marilah kita merayakan keindahan bolasepak sambil beramal. Lupakan sementara masalah yang menyelubungi senario bolasepak Brunei.