Isnin, 9 September 2013

SELAMAT BERTUGAS MIKE WONG

Beberapa hari lalu NFABD telah mengumumkan perlantikan Mike Wong Mun Heng selaku Pengarah Teknikal/jurulatih bagi mengisi jawatan maha penting kepada sesebuah persatuan bolasepak kebangsaan kerana jawatan tersebut memerlukan penjawatnya menyediakan pelan pembangunan bolasepak dari peringkat akar-umbi hinggalah ke tahap menyediakan pasukan kebangsaan dalam semua peringkat (belia-senior).

Mike Wong yang dilihat agak berpengalaman dalam kancah bolasepak terutama sekali di negaranya Singapura, beliau pernah menjadi pengurus pasukan beberapa kelab dalam Liga S dan juga pasukan kebangsaan 'Kota Singa' itu turut memegang kelayakan sebagai 'instructor' bagi AFC. Beliau banyak berkelana ke serata pelosok benua Asia sebagai instructor mengendalikan klinik dan kursus kejurulatihan terutama di peringkat akar-umbi/pembangunan.

Sudah pasti dengan pengalaman dan kepakaran yang ada pada beliau, projek dan pelan pembanagunan bolasepak di negara ini akan berada pada landasan yang betul dan terarah. Semua pihak harus memberikan sokongan dan kerjasama kepada beliau dalam usaha mengungkayahkan segala yang telah dirancang. Tanpa sokongan padu mustahil sesuatu program, terutama program pembangunan jangka panjang akan mencapai seperti yang dihasratkan.

Hasil dari sesuatu program pembangunan bukanlah dapat dilihat dalam sekelip mata seperti kita menyaksikan acara silap mata. Ianya memakan masa yang panjang. Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Lim Teong Kim, yang pernah menjadi jurulatih belia Bayern Munich, baru-baru ini telah dilantik sebagai Pengarah Akademi Bolasepak Malaysia, menyatakan bahawa sesuatu program pembangunan memerlukan masa yang panjang, sekurang-kurangnya 10 tahun. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini

Antara pemain ternama yang lahir dari 'buah tangan' Teong Kim ialah termasuk Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Diego Contento dan David Alaba. Mudah-mudahan Mike Wong, walaupun tidak memiliki reputasi sehebat Teong Kim, akan mampu mengangkat martabat bolasepak Brunei Darussalam. Apa yang penting ialah sokongan padu dan kerjasama dari semua pihak. Beri beliau peluang seluas-luasnya untuk melakar sejarah baru bolasepak kitani.

Secara professionalnya saya memberikan masa dan peluang kepada Mike Wong untuk menggarap apa jua pelan pembangunannya yang difikirkaan sesuai dengan sosio budaya masyarakat di negara ini. Sesuatu yang baik itu perlu disokong. Dalam pada itu sifat sabar paling utama. Jangan kita mengharap Mike Wong akan membuat 'silap mata'. Dalam bolasepak, dalam konteks pasukan kebangsaan, perkara tersebut jarang terjadi. Kecuali sesebuah kelab yang tiba-tiba dibeli oleh jutawan, dengan hamburan wang yang banyak sesebuah kelab itu mampu membeli pemain-pemain berkualiti dan sekali-gus kelab tersebut menjadi gagah dalam sekelip mata.

Oleh itu bersabarlah semuanya.

Prof: Saya percaya dan yakin bahawa taraf bolasepak di negara ini mampu ditingkat jika kena dengan caranya iaitu meletakkan individu tertentu sesuai dengan kepakaran yang dimilikinya, bukan sebaliknya. Wallahuaklam,

Khamis, 5 September 2013

MALAYSIA JUARA AFF-U16

Malaysia telah muncul sebagai juara buat pertama kali kejohanan bolasepak AFF-U16 menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada 2 Sept 2013 lalu di Myanmar. Tempat ketiga dimenangi oleh Australia yang menewaskan Vietnam dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat. Kedua-dua perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti setelah keputusan seri hingga masa tambahan tamat.

Pasukan Negara Brunei Darussalam gagal layak ke separuh akhir sepertimana yang di idamkan setelah menduduki tangga tercorot kumpulan, bolos 43 gol dan gagal menjaringkan walau sebiji gol. Brunei tumpas kepada Kemboja 8-0, Australia 19-0, Myanmar 5-0 dan Vietnam 11-0. Berita lanjut boleh dilayari di sini

Sesungguhnya kejohanan yang baru berlangsung itu dapat dijadikan sebagai latihan dan pemanas badan kepada pasukan-pasukan yang terlibat kerana mereka akan bertembung pula dengan gergasi-gergasi Asia pula dalam pusingan kelayakan kejohanan AFC U16 Kumpulan H yang akan berlangsung di Laos dari 21hingga 29 Oktober akan datang ini.

Malaysia selaku juara rantau Asia Tenggara akan ditempatkan bersama jaguh Asia iaitu Korea Selatan, tuan rumah Laos, Guam dan Brunei Darussalam. Kita lihat nanti apakah mutu persembahan mereka akan meningkat berbanding dalam kejohanan AFF-U16 lalu. Peminat nampaknya sangat berharap negara-negara Asia Tenggara dapat meyaingi dan menewaskan kuasa besar bolasepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun, China, Australia dan negara-negara Teluk serta Asia Tengah.

Dalam perlawanan kelayakan itu nanti, johan setiap kumpulan dan 5 pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke pusingan akhir yang akan dilangsungkan di Bangkok, Thailand pada tahun 2014. Baca berita lanjut di sini

Prof: Pengajaran paling berharga bagi kitani. Mahu main-main lagi? Mahu berebut apa? Atau mahu membangun bolasepak? Jujurlah!!!!!

Khamis, 8 Ogos 2013

SELAMAT HARI RAYA & MAAF ZAHIR BATIN

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin buat pembaca serta penjenguk setia blog ini. Semoga di hari mulia ini kita mendapat berkah dari-Nya jua. Amin.

Ahad, 4 Ogos 2013

KALAU TIADA $ JANGAN MIMPI LAAA

Beberapa liga di Eropah sudah bermula dan liga-liga utama seperti EPL, Bundesliga, Serie A dan La Liga akan menyusul dalam dua ke tiga minggu ini. Kebanyakan perpindahan pemain sudah dimuktamadkan, yang tinggal hanya 3 perpindahan pemain paling top musim panas ini iaitu Gareth Bale (Spurs ke Real Madrid), Luiz Suarez (Liverpool ke Arsenal) dan Wayne Rooney (Man Utd ke Chelsea).

Kesemua perpindahan tersebut melibat ratusan juta sama ada dalam bentuk pound sterling, euro ataupun dollar, dilakukan hanya untuk satu tujuan iaitu mencipta kemenangan! Maknanya, dalam bolasepak moden ini wang memainkan peranan utama untuk mencapai sesuatu kejayaan. Tanpa wang jangan mimpi la! Ini adalah hakikat waima kepada sebuah kelab kampung. Kalau ada kelab/pasukan yang ingin berjaya tetapi tidak mahu mengeluarkan wang, sampai bila-bila pun akan gigit jari.

Untuk mengumpulkan pemain memberitahu mereka masa dan tempat latihan pun memerlukan wang berbentuk kredit telefon bimbit. Selepas latihan para pemain hendak juga minum walaupun hanya secawan oren campur atau setidak-tidaknya air botol. Untuk menyediakan minuman pun kita mesti mempunyai wang, kalau tiada wang bagaimana pekedai mahu memberi kita minuman tersebut?

Saya senghaja memberi gambaran mudah bagaimana seharusnya sebuah pasukan bolasepak itu sepatutnya berjalan. Ianya memerlukan wang. Makanya, setiap pasukan sudah pasti akan menyediakan atau mencari dana secukupnya untuk menggerakkan pasukan mereka sesuai di tahap mana mereka bermain, sama ada liga kampung, mukim, daerah, negara atau liga professional. Sebabnya, dalam dunia serba canggih ini masih ada lagi pihak-pihak yang inginkan kejayaan tanpa mengeluarkan wang walau satu sen pun! Bodoh!

Prof: Orang yang bodoh layaknya duduk dalam hutan, Bermain bolasepak dengan penghuni rimba. Silakan!

Khamis, 23 Mei 2013

KEMBALI BERKARYA & MENCORET SESUATU

Setelah sekian lama menyepi dari membuat posting atau catatan melalui blog ini, kini saya mengambil keputusan untuk kembali mengaktifkan blog ini demi masa depan bolasepak sama ada di Negara Brunei Darussalam mahu pun di peringkat antarabangsa. Sekurang-kurangnya saya melontarkan seuatu untuk dijadikan renungan semua pecinta bolasepak, pemimpin, pengurusan, pemain dan peminat.

Prof: Semangat diperolehi apabila melihat masih ada, malah makin banyak 'banjingan' yang ingin mengambil kesempatan terhadap sukan bolasepak ini. Saya tidak akan duduk diam! Awas!