Rabu, 20 Jun 2012

SHEBBY SINGH DILANTIK PENGARAH BOLASEPAK BLACKBURN ROVERS

Serbegeth @ Shebby Singh
Serbegeth (depan, kanan sekali) bersama skuad Malaysia yang menyertai Kejohanan Piala Presiden di Seoul, Korea Selatan tahun 1983.- Gambar ehsan Google
Serbegeth Singh atau kini lebih dikenali dengan panggilan Shebby Singh melalui saluran ESPN yang menyiarakan siaran langsung EPL setiap minggu, telah dilantik menjadi Pengarah Bolasepak (Director of Football) oleh kelab Blackburn Rovers yang baru diturunkan ke Liga Kejohanan (Championship). Shebby dilantik oleh pemilik kelab asal India, Venky. Berita lanjut mengenainya boleh ditemui di sini.

Perlantikan bekas pemain pertahanan Malaysia itu sekaligus menjadikan beliau adalah orang Asia pertama dilantik ke jawatan tersebut oleh sebuah kelab ternama England, satu jawatan peringkat tertinggi pengurusan. Ini bukan sahaja satu penghormatan terhadap kepakaran beliau memberikan ulasan-ulasan bernas dalam setiap siaran langsung EPL malah juga satu kebanggaan kepada kancah bolasepak Asia itu sendiri.

Shebby Singh sewaktu beraksi sebagai pemain pernah mewakili pasukan negeri kelahirannya Johor (beliau berasal dari Daerah Kluang, Johor) dan Kuala Lumpur dan membantu skuad ibukota itu menjuarai Piala Malaysia dari tahun 1987-1989. Beliau berkahwin dengan Harbans Kaur, bekas ratu pecut 100 meter Malaysia.

Saya berharap perkara ini (perlantikan Shebby) akan menjadi pendorong atau motivasi kepada para pentadbir bolasepak di Brunei DS juga untuk terus berusaha membangunkan bolasepak dengan mengenepikan kepentingan peribadi atau rakan sekeliling juga 'mengukur baju di badan sendiri' sama kita layak atau tidak menyandang sesuatu jawatan.

Jika kita berasa tidak layak tetapi bersemangat untuk memajukan diri dan bolasepak negara maka timbalah ilmu sebanyak-banyaknya sama ada menghadiri kursus-kursus atau bertanya dengan individu-individu yang lebih berpengalaman. Kerana hanya dengan cara ini sahaja kita dapat memajukan diri sendiri dan sukan bolasepak dan mengangkat martabat negara di persada antarabangsa.

Prof; Telah melihat kesan positif dari kejayaan menjuara HBT 2012. Beberapa akademi bolasepak telah dibanjiri oleh kanak-kanak yang ingin bermain bolasepak. Juga saya mengimbau kenangan melihat Shebby & rakan-rakan berlatih setiap hari di Kelab Sukan Dewan Bandaraya KL di Jalan Briekfields. Saya hadir kerana membuat liputan perkembangan pasukan KL. Ramai antara mereka menjadi sahabat saya hingga kini. Syabas Shebby, harap dapat menjalankan tugas dengan baik.

Ahad, 17 Jun 2012

ISLAM ITU INDAH

Sempena Israq Mi'raj saya paparkan kombinasi foto-foto yang menyentuh hati nurani kita sebagai umat Islam. Pemain-pemain bolasepak professional yang berugama Islam tidak lupa untuk berdoa kehadrat Allah sebelum/sesudah, dalam penerbangan atau setelah mencapai kejayaan. Sifat mulia mereka ini patut menjadi contoh kepada kita sebagai peminat bolasepak. Selain foto pemain-pemain seperti Mesut Ozil, Samir Nasri, Federic Omar Kanoute, Frank Ribery, Karim Benzema, Nikolas Anelka dan Suley Ali Muntari, ramai lagi pemain-pemain bolasepak professional dunia yang berugama Islam. Kita ucapkan syabas kepada mereka.

Foto ehsan www.facebook.com/islamituindah

Prof: Saya akan menulis mengenai penyertaan pasukan kebangsaan Brunei DS yang tidak menyertai Liga M kerana ramai penjenguk blog ini memberikan komen mereka dalam ruangan 'chat box'. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka.

Jumaat, 8 Jun 2012

MAKA BERMULALAH EURO 2012

Kali ini tiba giliran negara Poland dan Ukraine sebagai tuan rumah Kejohanan Bolasepak Negara-Negara Eropah yang lebih dikenali sebagai EURO 2012. Kejohanan empat tahun sekali itu mempertemukan 16 buah pasukan dari seluruh negara Eropah yang di bahagikan kepada 4 kumpulan iaitu A, B, C dan C. Pasukan yang johan dan naib johan setiap kumpulan layak ke pusingan suku akhir.

Juara bertahan dan juga juara dunia Sepanyol sekali lagi diletakan sebagai calon favorit akan bermain dalam Kumpulan C yang turut dianggotai oleh Itali, Croatia dan Ireland. Manakala Kumpulan B pula dianggap sebagai 'kumpulan maut' atau 'group of death' kerana naib juara dunia Belanda, Jerman selaku naib juara edisi lalu, Portugal dan juara 1992 Denmark.

Apapun perkembangannya Euro kali ini pasti menghidangkan kepada kita aksi-aksi bertaraf dunia dari sekumpulan pemain-pemain hebat di dunia. Kalau sebelum ini mereka bersengketa mewakili kelab masing-masing maka kini mereka dalam sebuah pasukan mempertahankan maruah negara mereka. Ada juga pemain-pemain kelab terpaksa pula menjadi 'musuh' kerana mewakili negara yang berasingan. Ini menuntut sikap dan mentaliti professional yang tinggi dari setiap pemain.

Kepada para penonton pula, selain dapat berhibur menyaksikan siaran langsung dari stadium-stadium di Poland dan Ukraine, kita juga dapat  mempelajari teknik dan taktik yang dipraktik oleh sesebuah pasukan. Ini juga seperti 'kuliah terbuka' kepada pemain, para jurulatih, pengurus, pengkritik/pengulas dan peminat secara umumnya. Selamat berpesta!

- sila clik logo Euro 2012 di sudut kanan atas blog ini untuk mengetahui perkembangan terkini.

Prof: Dalam kita asyik menonton jangan lupa untuk berhati-hati, mana tau ada 'tetamu tak diundang', susah jadinya.