Isnin, 27 Jun 2011

LIGA PRO DI BRUNEI?

Seorang teman, tidak dikenali di kalangan kawan-kawan sebagai 'candu bola', beliau adalah ahli perniagaan. Setiap masa hanya perniagaan dalam fikirannya. Kebetul saya tersua teman tadi di salah sebuah restoran di Berakas beberapa minggu lalu. Dengan wajah yang serius teman tadi melemparkan cadangan kepada saya (ketika itu saya bersama Liew Chuan Fue), "Bila lagi mahu tubuhkan liga professional? Sudah puluhan tahun kitani ada persatuan, semua negara jiran sudah professional liga mereka, kita bila lagi? Tidak mustahil!"

Setelah teman tadi melontar pandangan yang mengejutkan tadi kami berbual seketika di sofa restoran tersebut sambil bercakap-capak mengenai perkembangan semasa bolasepak Brunei (ketika itu NFABD beberapa hari saja lagi akan diiktiraf oleh FIFA). Saya terangkan sedikit sebanyak masalah yang membelenggu bolasepak Brunei namun teman tadi sebagai seorang ahli perniagaan yang aktif amat yakin sekali bolasepak Brunei boleh menuju era professional.

Itu adalah pandangan dari seorang ahli perniagaan yang tidak menjadi 'cadu bola' tetapi mengambil peduli tentang bolasepak. Memang telah kita ketahui bahawa bolasepak adalah sukan nombor 1 di Brunei. Sesiapa sahaja, walaupun tidak hadir menonton perlawanan-perlawanan bolasepak di stadium tetapi mereka ambil peduli, mereka prihatin.

Sudah saya sampaikan pesan kepada salah seorang teman yang kini menjadi salah seorang Committee NFABD bahawa bolasepak sukan nombor 1, jadi jangan lakukan perkara yang membawa kita ke zaman lampau. Maksudnya, mengimplementasikan projek atau tindakan yang dilihat oleh masyarakat sebagai ketinggalan zaman. Mereka akan bersuara. Kalau dulu cuma ada akhbar harian atau mingguan tetapi kini masyarakat di Brunei mempunyai 5 akhbar harian (3 akhbar utama iaitu Borneo Bulletin, Brunei Times dan Media Permata), Facebook, blog dan Twitter untuk menzahirkan ulasan, kritikan, komen atau rasa tidak puas hati mereka.

Berbalik kepada saranan teman saya yang inginkan liga Brunei menuju era professional tadi. Bagi saya sendiri berpendapat ianya adalah tidak mustahil dan boleh dilaksanakan tetapi bukan dalam masa 2 atau 3 tahun ini, mungkin 5 tahun akan datang dengan syarat pelannya hendaklah dibuat dari sekarang.

Satu kelebihan bagi Brunei ialah kita boleh melihat model liga professional mana yang paling sesuatu untuk dijadikan ikutan atau mengambil sedikit dari tiap-tiap liga professional negara-negara jiran dan diadaptasi mengikut kesesuaian struktur kelab dan taraf ekonomi negara ini sendiri. Mungkin liga tersebut adalah sebuah liga professional yang kecil tetapi molek dan indah dipandang. Sama-sama kita nantikan.

Prof: A League (Australia), sebuah negara besar dan saiz ekonomi yang kuat tetapi hanya mempunyai 10 buah kelab professional di divisyen utama.

Selasa, 21 Jun 2011

JACK A. WARNER LETAK JAWATAN, APAKAH SELESAI MASALAH FIFA?

Naib Presiden FIFA, Jack A. Warner dari CONCACAF dan Trinidad & Tobago, salah seorang dari dua jawatankuasa eksekutif FIFA yang telah disiasat oleh Ethics Committee, mengumumkan perletakan jawatannya dalam semua aktiviti bolasepak antarabangsa. Sila lihat di sini.

Oleh itu semua pertuduhan dan siasatan terhadap beliau telah ditutup dan rekod baik sebagai salah seorang peneraju FIFA yang aktif hampir 30 tahun lalu kekal. Seorang lagi yang sedang disiasat oleh Ethics Committee FIFA ialah Mohammad bin Hammam, Presiden AFC, dan telah digantung dari semua jawatannya menunggu hasil siasatan jawatankuasa tersebut.

Pada awalnya Presiden FIFA Sepp Blatter sendiri telah dibuka kes siasatan namun hanya Warner & Mohammad dihadapkan untuk siasatan lanjut. Insiden ini terbit apabila Mohammad membuat keputusan untuk mencabar Blatter untuk kerusi panas Presiden badan induk bolasepak dunia itu dalam kongres yang berlangsung 1 Jun 2011 lalu. Akibatnya Blatter muncul pemenang apabila pencalonan Mohammad gugur secara automatik setelah disiasat oleh Ethics Committee.

Namun ramai pemerhati berpendapat bahawa pengunduran Warner adalah cubaan untuk menyelamatkan rekod bersih FIFA sendiri kerana FIFA kini telah dianggap sebuah pertubuhan yang bergelumang dengan rasuah dan urus tadbir yang salah. UEFA sendiri telah memberi kata dua kepada FIFA supaya memperbetulkan atau membuat reformasi pentadbiran dalam masa 3 bulan. Jika tidak ada apa-apa tindakan diambil maka UEFA akan melakukan sesuatu. Kita tunggu apa akan dibuat oleh UEFA nanti.

FA England telah lama mengkritik cara FIFA ditadbir. Kemarahan FA England memuncak apabila gagal dalam perebutan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 kepada Russia walaupun telah membuat 'proposal' dan 'presenation' cukup baik kepada ahli-ahli kongres. Sudah sayaa jelaskan sebelum ini, tiada dalam kamus FIFA 'proposal' dan 'presentation' baik akan berjaya membida untuk menjadi tuan rumah sesuatu kejohanan ataupun merebut sebarang jawatan dalam FIFA.

Semuanya terpulang kepada bagaimana kita mengikut atau mempraktikkan 'budaya FIFA' yang telah berakar umbi sejak sekian lama. Mungkin 'budaya FIFA' inilah yang dimaksudkan oleh UEFA agar dilakukan perubahan. Memang FIFA sendiri mesti berubah dan memberi contoh baik kepada dunia dan kepada ahli-ahli gabungannya.

Prof: Telah lama menyedari tetapi hanya segelintir kita yang sedar.

Khamis, 16 Jun 2011

WELCOME SWANSEA CITY TO EPL & TERINGAT KENANGAN LAMA

John Toshack
Seperti yang kita ketahui 3 buah kelab dari Championship League akan beraksi di EPL musim 2011/2012 iaitu Swansea City, Queen Park Rangers (QPR) dan Norwich City. QPR dan Norwich adalah salah sebuah kelab 'klasik' sebaris Liverpool, Man City, Spurs, Southampton, Nottingham Forest, Stoke City dan lain-lain lagi.

Sementara itu kemunculan Swansea City agak istimewa sedikit kerana kelab tersebut merupakan kelab pertama dari Wales yang berjaya beraksi dalam EPL. Apabila melihat pencapaian Swansea City musim lalu saya merasa teruja jika mereka dapat layak beraksi di EPL musim depan.

Keterujaan saya adalah disebabkan oleh teringat kenangan lampau bersama kelab tersebut di awal 1980 an (mungkin tahun 1983 atau 84) apabila mereka diundang oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang menganjur kejohanan Intercity Cup. Antara bandaraya yang pernah beraksi ialah Rio de Jenerio (saya bertemu Eder, pemain sayap Piala Dunia Brazil), Beunos Aries, Ankara (turut disertai Tanju Golak pemenang anugerah Kasut Emas UEFA), Seoul dan beberapa bandaraya lainnya.

Dan pengendali Swansea City pada waktu itu ialah John Toshack (gambar atas), bekas bintang Liverpool. Sebagai seorang wartawan yang masih muda belia waktu itu sudah pasti saya sangat teruja kerana berpeluang bertemu dan menemuramah beliau. Sepanjang 2 minggu kejohanan berlangsung ternyata Toshack tidak menyombong atau sukar didekati. Beliau sangat professional dalam tugas dan akan sudi ditemuramah setiap kali kami memintanya hingga kami menjadi rapat seolah-olah sudah kenal lama.

Selepas tidak berkhidmat bersama Swansea City, Toshack telah berkelana ke beberapa negara Eropah menjadi antara pengurus British paling berjaya (bagi tanggapan saya beliau lebih hebat dari Alex Ferguson). Toshack pernah menjadi pengurus kepada Real Madrid, Real Sociedad, Deportivo La Coruna, Real Murcia (Sepanyol), Catania (Itali), Saint Etiene (Perancis), Sporting C.P. (Portugal) dan Besiktas (Turki) di samping menerajui pasukan kebangsaan Wales. Kini khabarnya beliau sedang dirisik oleh Turki untuk menjadi pengurus mereka jika Guus Hinndink berjaya dipancing oleh Chelsea.

Berbalik kepada Swansea City yang akan beraksi dalam EPL musim depan, saya sudah pasti mengimbau kenangan lebih 20 tahun lalu melihat mereka beraksi dan berlatih hampir setiap hari. Apa yang dapat kita ambil dari cerita ini ialah bagaimana kesungguhan dan dedikasi, pengurusan yang cekap dan professional serta tidak mengenal penat lelah membawa kejayaan kepada sesebuah pasukan. Perkara inilah yang mesti diambil iktibar oleh kelab-kelab bolasepak di negara ini waima pasukan kebangsaan sendiri.

Perkara kedua yang merujakan saya dengan kehadiran QPR dan Norwich City ialah kerana kedua-dua kelab tersebut adalah antara kelab utama Divisyen Satu di tahun-tahun 1970 an & 1980 an. Ketika itu kita hanya melihat siaran tv liga England melalui rancangan 'Star Soccer' itupun rancangan yang disiarkan ialah adalah perlawanan 3 atau 4 bulan sebelumnya. Selain rancangan tv tersebut kami peminat bolasepak mengetahui berita-berita bolasepak dunia melalui dua buah majalah iaitu 'Shoot' dan 'Match' yang dicetak sebulan sekali. Sangat jauh perbezaannya dengan zaman ini.

Saya amat berharap jika kelab-kelab lama seperti Nottingham Forest, Crystal Palace, Wattford, Sheffield Wednesday, Bristol Rovers, Notts County dan lain-lain lagi akan dapat beraksi dalam EPL. Malangnya salah sebuah kelab teras liga England ini iaitu West Ham United terpaksa turun beraksi di Liga Championship musim depan. Diharap 'The Hammers' akan dapat kembali ke EPL musim 2012/2013.

Prof: Maaf, bernostalgia sedikit. Ada baiknya kita lari dari isu hangat dalam negara.

Isnin, 13 Jun 2011

SELAMAT TINGGAL B LEAGUE & TERIMA KASIH

Kita tidak akan melihat lagi logo ini buat selama-lamanya. Adios/Selamat Tinggal/Sayonara/Dirgahayu!!!!!!!!

Brunei League (B League) telah mengucapkan selamat tinggal kepada kancah bolasepak Brunei DS dan para peminatnya. B League terpaksa diberhentikan serta merta akibat dari arahan yang dikeluarkan oleh badan induk baru bolasepak Brunei DS NFABD supaya kesemua perlawanan-perlawanan B League hendaklah dihentikan sebelum 27 Julai 2011, jika tidak maka NFABD akan diambil tindakan oleh FIFA.

FIFA hanya mengiktiraf liga yang dianjurkan oleh NFABD dan oleh kerana B League dianjurkan oleh FFBD maka NFABD akan menerima natijah jika liga tersebut terus berjalan. Melalui kenyataan medianya NFABD telah menasihatkan agar B League disiapkan sebelum 27 Julai 2011. Jika mengikut arahan FIFA, B League hendaklah ditamatkan sebaik sahaja NFABD ditubuhkan secara rasmi pada 6 Jun 2011 lalu. Akan tetapi menilai kepada kelangsungan perjalanan liga maka NFABD telah membuat rayuan kepada FIFA dan peluang telah diberikan kepada B League untuk disiapkan sebelum 27 Julai 2011.

Namun menurut penganjur B League adalah mustahil untuk menyiapkan baki perlawanan untuk mencapai target 27 Julai, oleh itu B League terpaksa menutup tirainya lebih awal demi kebaikan semua pihak. Tidak dapat dinafikan B League yang ditubuhkan sejak 2002 lagi telah banyak membantu melahirkan pemain-pemain berkualiti yang telah diserapkan ke pasukan kebangsaan dan kelab-kelab ternama seperti DPMM FC dan QAF FC.

Saya secara peribadi dengan penilaian secara professional menganggap bahawa sumbangan B League sangat besar dan tidak dapat untuk kita nafikan. Sesuai dengan statusnya sebagai liga kebangsaan, B League telah berjaya mengekal status negara Brunei DS sebagai salah sebuah ahli dalam FIFA. Melaluinya jua lah pemain-pemain berbakat telah dapat dipilih untuk mewakili negara dalam pelbagai kejohanan luar negara sejak 9 tahun lalu.

Malah tidak dapat dinafikan juga pemain-pemain kebangsaan yang akan menyertai Sukan SEA dan Hassanal Bolkiah Trophy (HBT) akan datang ini adalah datangnya dari pemain-pemain kelab yang beraksi dalam B League yang baru sahaja ditamatkan. Ini adalah fakta dan tiada siapa dapat menyangkal.

Dan untuk permulaan saya mengharapkan liga kebangsaan yang baru ini nanti, apapun bentuk dan formatnya, akan mampu membawa bolasepak Brunei DS ke satu tahap lebih tinggi. Bukan sahaja sebagai wadah mencari pemain malah mampu menarik ramai penonton dalam setiap perlawanan, dapat menarik minat para panaja untuk membantu bukan sahaja penganjur malah kelab-kelab juga, serta menuju ke era proffesional. Saya ingin melihat rancangan jangka panjang NFABD untuk melaksanakan liga professional di negara kita (saya akan kupas perkara ini kemudian).

Tugas NFABD agak mudah bagi saya kerana liga kebangsaan sudah wujud sebelum ini, cuma mereka perlu mencari formula baru dan penambah baikkan (improvement) agar liga menjadi lebih kompetetif, menarik penonton, teratur dan menjadi salah satu liga terbaik di rantau Asean ini. Kita tunggu khabar dari NFABD.

Prof: Sudah memberi beberapa input/value added/nilai tambah kepada kawan-kawan dalam NFABD.

Selasa, 7 Jun 2011

TAHNIAH NFABD, SELAMAT BERTUGAS

Dengan izin ALLAH s.w.t akhirnya National Football Association of Brunei Darussalam (NFABD) tertubuh dan diterima keahliannya oleh FIFA bagi menggantikan BAFA setelah lebih 2 tahun keahlian Brunei DS di dalam badan induk yang beribu pejabat du Zurich, Switzerland itu digantung kerana dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Society), Polis Diraja Brunei.

Kelmarin (Isnin/6hb. Jun, 2011 bersamaan 4 Rejab 1432H) telah berlangsung dua acara penting iaitu di sebelah paginya telah berlangsung Extra Ordinary Congress (Kongres Luar Biasa) NFABD dan di sebelah petangnya pula upacara penyerahan pejabat rasmi NFABD yang baru (projek tersebut adalah hasil usaha BAFA sebelum ini yang mendapat bantuan kewangan dari FIFA melalui GOAL Project).

Di dalam Kongres Luar Biasa NFABD itu telah dilantik saf kepimpinan yang akan menerajui segala aktiviti yang berkaitan dengan bolasepak di Brunei Darussalam baik di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa. Saya tidak mahu untuk memberikn kritikan ataupun ulasan walaupun ada beberapa hal yang kurang saya persetujui. Apa yang lebih penting buat masa ini ialah bolesepak Brunei Darussalam telah diiktiraf oleh FIFA dan kini aktiviti bolasepak boleh diungkayahkan tanpa ada halangan atau kekangan.

Kita beri kesempatan kepada kepimpinan NFABD untuk bertugas dan jika perlu kita beri bantuan dan sokongan dalam apa jua bentuk sesuai dengan kepakaran masing-masing. Matlamat utama kita adalah sama iaitu untuk mempertingkat dan memajukan mutu bolasepak di negara ini. Kita ketepikan dulu rasa tidak puas hati ataupun kemusykilan yang terbuku. Hakikat yang perlu diterima dan dibanggakan ialah NFABD adalah badan induk sukan bolasepak di Brunei Darussalam.

Seperti janji saya kepada rakan-rakan yang terpilih dalam kepimpinan NFABD, saya akan memberi apa jua bantuan jika diminta secara langsung ataupun saya akan terus menukilkan sesuatu melalui blog ini demi kemajuan bolasepak Brunei Darussalam. Seperti kata seorang sahabat yang dilantik menjadi AJK NFABD, "Saya menerima jawatan ini demi bolasepak negara."

Manakala seorang lagi rakan mula merasakan bebanan tugas yang dipikulnya. Melalui telefon kepada saya malam tadi, beliau menyatakan bahawa sepanjang seminggu ini tiada banyak masa dihabiskan bersama keluarga. Inilah yang telah saya pesan kepada mereka sejak bertahun-tahun dulu bahawa tugas mentadbir badan induk bolasepak bukan mudah. Sebenarnya tiada kesempatan untuk kita meluangkan masa berjam-jam bersembang di restoran atau kedai kopi. Tugasan yang menanti di dalam dan luar negara setinggi gunung Everest! Apatah lagi seperti NFABD yang baru membuka fail pentadbirannya. Saya pasti mereka sedar akan hakikat ini.

Apapun perkembangannya, ucapan terima kasih mesti juga kita berikan kepada BAFA yang sejak 30 tahun lalu telah mentadbir sukan bolasepak dan memberikan kita beberapa saat manis umpamanya menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1999, juga kepada FFBD yang selama 2 tahun ini menjadi catalyst (pemangkin) dengan meneruskan aktiviti-aktiviti bolasepak di dalam negara.

Kepada NFABD sekali lagi saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya!

Prof: Sebahagian besar AJK NFABD adalah teman rapat. Selamat bertugas Jon, Adinda, Mastar, Bro, Ckgu & Mr. Menegemen.

Jumaat, 3 Jun 2011

SELAMAT MAJU JAYA BOLASEPAK BRUNEI

Semua orang gembira, semua orang teruja. Di seluruh pelosok Brunei; di bandar, di mukim, di kampong, di pejabat, di kafe, di restoran dan di padang bola, semua orang merayakan apabila bolasepak Brunei 'bernafas' kembali di arena antarabangsa apabila FIFA mengiktiraf NFABD sebagai ahli gabungannya.

Ucapan syabas dan tahniah diucapkan kepada individu dan kelompok yang berusaha dan berkerja keras sehingga mencapai matlamat itu (pengiktirafan oleh FIFA). Rata-rata para peminat tidak peduli persatuan mana yang diiktiraf oleh FIFA asalkan bolasepak Brunei berada di persada antarabangsa kembali. Begitu dahaganya mereka kepada penglibatan Brunei di kejohanan-kejohanan antarabangsa dan yang penting mereka mahu nama Brunei dapat dijulang 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' bersama negara-negara lain dalam sukan bolasepak ini.

Kini pengiktirafan sudah di tangan. Bak kata pepatah, 'perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan', bersedialah mengharungi lautan luas yang penuh bergelora, ribut-taufan dan ombak menggila. Namun apa yang dirayakan oleh para peminat sedikitpun tidak merujakan hati saya. Saya terus diselubungi bimbang dan was-was. Banyak persoalan timbul di benak pemikiran saya.

Paling membimbangkan saya ialah soal sama ada persatuan baru itu akan berada pada landasan yang tepat dan berada di tangan orang-orang (pemimpin) yang betul. Apakah para pendokongnya terdiri dari semua 'stakeholders' yang sedang terlibat dalam kancah bolasepak negara, atau hanya mereka-mereka yang 'terpilih' sahaja?

Apakah para pemimpin persatuan itu nanti mengamalkan sikap 'buang yang keruh, ambil yang jernih' atau tetap mengamal sikap lama yang lebih kepada mementingkan kelompok tertentu dan memencilkan sesetengah pihak yang tidak 'sebulu' dengan mereka (sedangkan kelompok ini mempunyai kepakaran tertentu dan amat berguna kepada kemajuan dan pembangunan sukan bolasepak).

Soal struktur kepimpinan juga sangat membimbangkan saya. Seorang teman berpesan, "Jangan jadi persatuan kampung saja sudahlah jon". Mengambil contoh saf kepimpinan persatuana negara jiran Malaysia iaitu FAM, mereka memiliki Presiden, 2 Timbalan Presiden, 4 Naib Presiden, Setiausaha Agong dan 2 Penolong Setiausaha Agong/antarabangsa dan tempatan (yang dilantik oleh Majlis dan diberikan gaji tetap), 8 Exco dan puluhan lagi Ahli Majlis (yang terdiri dari wakil-wakil persatuan gabungan).

Dari susunan saf kepimpinan FAM itu sudah jelas menampakkan kepada kita bahawa mereka serius untuk mentadbir. Kalau dinilai dari faktor geografi memang FAM mentadbir kawasan yang jauh lebih luas berbanding Brunei. Akan tetapi tugas dan tanggungjawab tetap sama iaitu mentadbir, membangun dan memajukan sukan bolasepak dalam segala aspek dari tahap paling bawah iaitu di peringkat kanak-kanak yang baru belajar menendang bola hinggalah kepada pencapaian peringkat antarabangsa pasukan kebangsaan.

Para pemimpin tetap bertugas untuk membangun dan memajukan bolasepak di samping terlibat secara 'wajib' dalam puluhan kejohanan-kejohanan dalam dan luar negeri. Dengan tugas yang menggunung ini adalah layak ianya ditangani oleh sekelompok kecil manusia sahaja? FAM mempunyai 22 standing committee (jawatakuasa kecil dalam konteks negara kita) yang mencangkupi pelbagai aspek seperti kewangan dan pengurusan, pertandingan, pengurusan pasukan kebangsaan, pentadbiran, kongres, darurat, media dan perhubungan antarabangsa, teknikal dan pengadilan, futsal dan bolasepak pantai, bolasepak wanita, keselamatan, pemantauan, audit dalaman, rayuan, tatatertib, status pemain, perubatan sukan, pembangunan belia, kejohanan antarabangsa dan beberapa aspek lagi yang mana setiap standing committee itu dianggotai tidak kurang 4 ahli dan diketuai oleh seorang Exco atau Ahli Majlis. Jika dilihat setiap ahli standing committee tersebut dianggotai oleh kesemua mereka yang memang pakar dalam bidang masing-masing walaupun mereka bukan mewakili mana-mana persatuan gabungan. Untuk melihat secara jelas awda bolehlah melayari laman web rasmi FAM di sini.

Dalam konteks persatuan baru itu nanti mungkin boleh mengambil contoh dari saf kepimpinan FAM itu akan tetapi dengan sedikit penyesuaian memandangkan saiz ahli gabungan yang kecil. Namun struktur yang terwujud di FAM sangat jelas akan ungkapan mereka 'mean business'. Serius dan mementingkan pencapaian dan martabat bolasepak negara dan bukannya mengejar impian peribadi dan kelompok sendiri. "Yang buruk jadikan sempadan, yang baik jadikan tauladan", ungkap seorang rakan lama melalui Facebook.

Apapun kejadiannya, saya hanyalah seorang penulis/blogger. Segalanya terserah kepada saf kepimpinan persatuan untuk menentu hala tuju mereka. Siapalah saya pada mereka, tak lebih seolah 'seekor nyamuk di malam hari'.

Prof: Sentiasa mendoakan kemajuan namun saya sudah menjangka akan kesudahannya. Tunggu waktu sesuai akan saya dedahkan.