Isnin, 28 Mac 2011

MASALAH BRUNEI BAKAL SELESAI?

Sebenarnya saya sudah hilang nafsu untuk memperkatakan mengenai masalah bolasepak Brunei ini. Namun perkembangan terbaru 'memaksa' saya mencoretkan sesuatu untuk tatapan anda semua. Perkembangan ini adalah perkembangan positif kepada masalah yang membelenggu senario bolasepak Brunei kini.

Seperti yang kita tahu bahawa Sepp Blatter akan dicabar oleh Mohammad bin Hammam bagi kerusi panas Presiden FIFA dalam pemilihan 1 Jun 2011 akan datang ini. Biasalah, bila ada pertandingan maka adalah juga proses pengundian. Bila ada proses pengundian maka timbul pula proses melobi antara pihak-pihak yang bertanding untuk merayu undi dari perwakilan.

Maka undi yang 'hilang' dari Brunei (akibat dari penggantungan keahlian BAFA oleh FIFA) dilihat cukup 'berharga' sekali. Untuk 'memiliki' undi wakil Brunei itu maka kedua-dua calon mesti 'membantu' untuk Brunei kembali ke pangkuan FIFA. Atas alasan itulah, saya beranggapan bahawa sama ada Blatter ataupun Hammam akan 'melakukan sesuatu' bagi membantu menyelesaikan masalah Brunei ini.

Dengan itu undi Brunei mungkin membantu kedua-dua calon tersebut memenangi jawatan Presiden FIFA. Kita lihat siapakah yang mula mengorak langkah untuk menyelesaikan masalah Brunei ini. Menurut sahabat saya di AFC, Blatter telah mula mendengar secara serius kes Brunei ini dan beberapa langkah sedang diusahakan.

Manakala di pihak Hammam juga tidak mahu ketinggalan. Khabarnya wakil-wakil Hammam juga sudah bergerak menjalankan tugas masing-masing untuk menyelesaikan kamelut yang melanda bolasepak Brunei. Apapun, kita mesti melihat perkembangan ini dari sudut positif. Apa yang kita mahukan ialah bolasepak Brunei hidup kembali dan dapat beraksi di persada antarabangsa.

Di Brunei sendiri saya melihat ada pihak-pihak yang sudah menyiapkan 'kabinet bayangan' untuk menjadi badan induk bolasepak Brunei. Syabas! Akan tetapi keghairahan untuk menerajui bolasepak Brunei itu mestilah diterjemahkan dengan melakukan tugasan dengan baik apabila memiliki jawatan nanti. Jangan hanya ghairah mendapatkan jawatan tetapi apabila sudah memiliki jawatan hanya tinggal nama dalam senarai jawatankuasa, yang benar-benar bertugas dibebankan kepada dua atau tiga orang sahaja. Bila timbul masalah terus menuding jari kepada orang-orang tertentu. Sikap sebegini tidak layak dimiliki oleh sesiapa pun dalam jawatankuasa baru itu nanti.

Nampaknya masa selama dua bulan ini (April & Mei) begitu kritikal dan bermakna sekali bagi bolasepak Brunei. Sesungguhnya doa insan-insan yang jujur memperjuangkan bolasepak Brunei itu tulus dan ikhlas. Oleh itu ditunjukkan jalan penyelesaiannya. Sungguh menarik perkembangan ini.

Prof: Akan tetap memberikan kritik yang membina kepada bolasepak Brunei. Kerana saya tahu siapa yang benar-benar berkerja untuk kemajuannya.

Selasa, 22 Mac 2011

MESSI & MOURINHO PENDAPATAN TERTINGGI

Sebuah majalah bolasepak di Perancis, France Football, telah melaporkan bahawa pemain terbaik dunia dari Argentina dan bermain di Barcelona, Lionel Messi, dan pengurus pasukan Real Madrid berbangsa Portugis, Jose 'Special One' Mourinho adalah pemain dan pengurus yang menerima pendapatan paling tinggi tahun ini.

Jumlah yang dikira dengan matawang Euro itu mengumpulkan gaji, pendapatan melalui tajaan, pampasan serta bonus. Di bawah dicatatkan pendapatan mereka;

Pemain;
Lionel Messi - 31 juta
Cristiano Ronaldo - 27.5 juta
Wayne Rooney - 20.7 juta

Pengurus;
Jose Mourinho - 13.5 juta
Pep Guardiola - 10.5 juta
Rafael Banitez - 10.2 juta
Fabio Capello - 8.5 juta

Prof: Bilakah pemain & pengurus dari Asia akan mencapai pendapatan seumpama itu?

Jumaat, 18 Mac 2011

BLATTER X HAMMAM = PRESIDEN FIFA

Akhirnya kita akan menyaksikan pertandingan bagi merebut jawatan Presiden FIFA dalam kongresnya pada 1 Jun 2011 akan datang ini apabila Mohamad bin Hammam (gambar atas), Presiden AFC, telah mengesahkan akan mencabar kerusi panas Presiden FIFA dan penyandangnya Sepp Blatter turut berjanji akan mengekalkan jawatannya.

Ketika Sepp Blatter menggantikan Jao Havalange pada tahun 1998 lalu tiada pertandingan. Maka dapat kita jangkakan bahawa pertembungan antara Blatter-Hammam itu nanti akan berjalan dengan sengit. Sudah dapat dibayangkan akan berlaku proses melobi antara kedua-dua calon dan juga wakil-wakil mereka nanti terutama sekali dua-tiga hari sebelum pengundian.

Jika disorot kronologi bahawa UEFA memberi 'dorongan' untuk Hammam mencabar Blatter. Setelah itu Hammam bungkam membisu buat seketika, namun hakikatnya kesemua 'kakitangan' tokoh dari Qatar itu telah menghubungi sebahagian besar wakil-wakil persatuan kebangsaan dari seluruh dunia dan mereka nampaknya mendapat reaksi positif. Oleh itu Hammam membuat cabaran rasmi beberapa hari lalu di pejabat AFC di Kuala Lumpur.

AFC adalah pertubuhan paling besar dalam FIFA. Ditambah dengan sokongan padu UEFA. Dicampur beberapa undi pasti dari sebahagian negara dari CAF (Afrika), Ocenia, Concacaf dan Confederation Sundaamericana de Futbol (Latin Amerika) , secara matematiknya peluang Hammam amat cerah sekali.

Tetapi melalui pengalaman saya menyaksikan beberapa perebutan jawatan dalam pelbagai pertubuhan, kelebihan awal bukanlah jaminan untuk menang. Kita lihat sahaja bagaimana undi memihak kepada Russia dan Qatar untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022. Jelas sekali England menjadi favorit untuk 2018 apabila Amerika menarik diri dan menumpukan kepada 2022. Namun kedua-dua negara tersebut gagal. Ini semua berlaku kerana 'kuasa melobi' yang cukup kuat dari Russia dan Qatar.

Itulah juga yang membuat UEFA seolah-olah 'muak' dengan kepimpinan Blatter dan timbul cadangan dari Michel Platini (Presiden UEFA) agar cara memilih tuan rumah Piala Dunia ditukar. Akhirnya kebanyakan anggota UEFA 'mengusulkan' agar Blatter 'digugurkan' dan calon paling sesuai dan mempunyai peluang paling cerah untuk menang ialah Hammam, Presiden AFC. Selain memiliki ahli/undi yang banyak, Hammam juga telah berjaya menerajui AFC dengan membuat pelbagai program dan pembaharuan serta memberi kelebihan kepadanya sebagai Presiden AFC.

Mentadbir AFC tidak semudah mentadbir UEFA atau CAF. Di dalam AFC sendiri terdapat beberapa pertubuhan serantau umpamanya AFF. Negara ahli AFC terdiri dari pelbagai taraf ekonomi dan status negara. Ada yang dianggap sebagai negara maju dan kaya, dan ada juga negara yang agak miskin dan mundur. Untuk menjelajah negara-negara AFC juga bukanlah mudah. Maka sesiapa saja peneraju AFC bolehlah dianggap sebagai 'manusia instimewa'.

Maka undi saya untuk kerusi Presiden FIFA pada 1 Jun 2011 akan datang ini adalah untuk Mohamad bin Hammam.

Prof: Maaf Blatter. Walaupun anda banyak jasa tetapi masa sudah tiba untuk wakil dari Asia menerajui FIFA.

Ahad, 13 Mac 2011

'HILANGNYA' KOTA RANGER FC DARI BPL - SATU MANIFESTASI BOLASEPAK BRUNEI

Mungkin kita tidak sedar. Sejak bermulanya kejohanan utama bolasepak di Brunei DS sama ada Liga Daerah Brunei/Muara, Liga Brunei Shell, Liga Standard Chartered dan terkini B League, Kota Ranger FC menjadi juara untuk beberapa kali hingga mewakili Brunei DS ke kejohanan kelab-kelab Asia (kini Asian Champion League).

Mungkin kita tidak sedar. Untuk tahun ini Kota Ranger FC gagal beraksi dalam BPL setelah terkandas dalam pusingan play-off (yang dimenangi oleh Rimba Star FC, ironisnya, Pg Momin Pg Hj Ahmad, bekas ketua pasukan Kota Ranger FC dan pasukan kebangsaan bermain untuk Rimba Star FC). Kepada peminat dan individu yang dekat dengan kelab 'gagah' itu pastinya merasakan satu kelainan. Bercakap mengenai liga tempatan tanpa nama Kota Ranger FC sebagai tajuk perbualan. Hanya menjadi bahan bercerita mengimbau kenangan lampau.

Mungkin kita tidak sedar. Ramai pemain-pemain lagenda Brunei DS adalah juga pemain Kota Ranger FC. Hj Shaari Timbang, Shaari Hj Tuah, Pg Momin Pg Hj Ahmad, Hj Mohd Yunus Hj Mohd Yussof, Sharbini Razali aka Munchoi, Liew Chuan Fue, Hj Mohd Rosanan Abdullah Samak, Zaini Hj Tumih, Hj Mohd Rosaidi Hj Kamis, Hj. Ismail Pungut, Zakaria Hj Tuah, Hj Norazmi PDP Hj. Abd Razak, Hj Zainol Ariffin Hj Jumaat dan puluhan lagi nama-nama besar bekan pemain-pemain kebangsaan lainnya.

Mungkin kita tidak sedar. Beberapa individu yang menabur bakti sebagai tenaga pengurusan Kota Ranger FC adalah juga terlibat bersama BAFA sejak beberapa tahun lalu. Misalnya, Hj Halidon Hj Laidin, Hj Abd Razak Hj Ibrahim, Hj Zulkifli Hj Laidin, Pg Hj Mohd Waslimin PSJ Pg Hj Abd Momin (kini Pengurus DPMM FC), Hj Zainol Ariffin Hj Jumaat (kini jurulatih penjaga gol DPMM FC) dan Ambotang Palatui aka Uncle Toni (kini kitman DPMM FC) dan ramai lagi nama-nama yang tidak sempat dicatatkan di sini.

Mungkin kita tidak sedar. Kegagalan Kota Ranger FC bertahan sebagai sebuah kelab berjaya adalah disebabkan oleh sistem pengurusan dan pembangunan bolasepak negara ini yang tidak efektif. Jika ingin mencari jurulatih, Kota Ranger FC lebih dari mampu untuk melantik sesiapa saja bekas pemainnya untuk menjadi pengurus, pengarah teknikal, ketua jurulatih dan jurulatih-jurulatih. Pengalaman mereka sebagai bekas pemain kebangsaan dan mendapat bimbingan dari ramai jurulatih import sudah cukup untuk menjadikan mereka sebagai jurulatih berkaliber dan membimbing pula pemain-pemain generasi baru Kota Ranger FC. Kenapa mereka tidak menabur bakti untuk bekas kelab mereka?

Mungkin kita tidak sedar. Pendekatan kita perlu berubah mengikut peredaran zaman dan semasa. Kita tidak boleh lagi duduk santai minum kopi atau teh tarik sambil mengurus sebuah kelab atau pasukan. Kancah bolasepak semasa memerlukan pendekatan lebih professional, lebih berintegriti dan 'mesra alam' serta tekun. Zaman mewah sudah berlalu. Kita tidak mampu lagi untuk bernostalgia dengan kejayaan masa lampau. Selepas habis cerita yang dicakapkan, kita akan sedar kembali kepada dunia realiti semasa. Di mana kita berada. Apa yang kita capai saat ini.

Mungkin kita tidak sedar. Untuk berjaya kita mesti berusaha gigih dan mengikut formula kejayaan. Formula atau resipi kejayaan ada di mana-mana. Cuma mungkin kita tidak sedar. Untuk membiayai sesebuah kelab kita mesti mencari sumber kewangan. Kewangan bukan hanya datang dari saku para pemilik kelab. Dalam zaman moden ini, sumber kewangan kelab diperolehi dari tajaan oleh syarikat-syarikat swasta. Untuk mendapatkannya kita mesti menggunakan 'formula' mencari tajaan yang sudah tersedia.

Mungkin kita tidak sedar. Untuk menyediakan sebuah pasukan yang kuat kita mesti mempunyai para jurulatih dan pemain yang bena-benar baik dan berkualiti. Bagaimana ingin mendapatkannya? Sekali lagi kita memerlukan 'formula'. Segalanya sudah ada, cuma kita senghaja tidak mahu melihat. Tidak ambil peduli.

Bilakah kita akan sedar?

Prof: Terhutang budi kepada Kota Ranger FC. Tanpa Kota Ranger FC dan individu-individu di dalamnya mustahil saya dapat menjadi seperti sekarang (dalam bolasepak Brunei DS). Sebab itu Kota Ranger FC sentiasa 'instimewa' di hati saya. Saya akan cuba 'membangunkan' Kota Ranger FC mengikut cara yang termampu. Semoga Kota Ranger FC bangkit!

Khamis, 10 Mac 2011

EPL MASTERS - BRUNEI CUP 2011

Robie Fowler, bekas pemain lagenda Liverpool.

Buat pertama kali Brunei DS akan menganjurkan EPL Masters Brunei Cup 2011 yang akan berlangsung pada 11 Mac 2011 (Jumaat), di Stadium Tertutup, Komplek Sukan Hassanal Bolkiah, Berakas, jam 2.30 petang. Untuk kejohanan sulung ini empat buah pasukan telah dipilih untuk bertarung iaitu Liverpool Masters, EPL All Stars Masters, Man Utd Masters dan pasukan tempatan DPMM FC Masters.

Kejohanan bolasepak veteran 6 sepasukan ini menghimpunkan kesemua pemain-pemain lagenda yang pernah beraksi di EPL di tahun-tahun 80an dan 90an. Antaranya ialah Robie Fowler, Steve McManaman dan Phill Babb (Liverpool Masters), Ugo Ehiogu, Patrik Berger, Craig Hignett dan Richard Gough (EPL Masters), Jesper Blomqvist, Andy Cole dan Viv Anderson (Man Utd Masters) serta DPMM Masters diwakili oleh beberapa orang bekas pemain kebangsaan seperti Azamanuddin Hj Gillen, Pg Sallehuddin Pg Hj Damit, Mohd Ali Hj Momin dan Hj Hassan Hj Damit.

Tiket-tiket untuk menyaksikan perlawanan-perlawanan tersebut sedang laris dijual di beberapa lokasi dan dijangka kesemuanya akan habis menjelang perlawanan sebenar berlangsung. Paling menarik adalah perlawanan-perlawanan tersebut akan disiarkan secara langsung oleh beberapa saluran televisyen antarabangsa seperti ESPN, MUTV, Astro, Sky Sports, Showtime, Setanta Sports dan beberapa akhbar antarabangsa.

Tambah bermakna apabila beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan telah tampil memberi sokongan kepada kejohanan ini, antaranya ialah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Brunei Tourism, Biro Kawalan Narkotik dan Football Federation of Brunei Darussalam di samping sedozen syarikat swasta yang menawarkan diri menjadi pelbagai penaja. Saya melihat perkembangan ini sebagai kemenangan kepada sukan bolasepak di Brunei Darussalam.

Bolasepak di Brunei DS perlu menganjurkan kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa sebagai pemangkin kepada pembangunan untuk jangkamasa panjang. Namun akibat kamelut yang melanda maka agak sukar untuk menganjurkannya. Kejohanan Brunei 7's International Soccer Challenge 2010 juga mendapat tamparan apabila beberapa buah pasukan antarabangsa menarik diri di saat-saat akhir akibat masalah yang melanda.

Prof: Mungkin tidak dapat hadir menyaksikan kerana kesibukan tugas. Nampaknya individu yang membuat laporan ke FAM, AFC & FIFA tidak berani 'mengacau' kejohanan ini. Mungkin beliau takut atau sudah tiada mood.