Rabu, 30 Mei 2012

NAZMI FAIZ BAKAL JADI IKON ASIA TENGGARA

Aksi Nazmi ketika sedang menjalani sesi ujian.
Nazmi sedang menandatangan kontrak bersama SC Beira Mar, Portugal.
Nazmi ketika bersama pasukan Harimau Muda - gambar-gambar ehsan Google.
Mohamad Nazmi Faiz Mansor, 17 tahun, bakal menjadi ikon bolasepak Asia Tenggara apabila menandatangani perjanjian bermain untuk kelab Liga Primeira Portugal, SC Beira Mar, setelah menambat hati pengurusan kelab tersebut ketika menjalani sesi ujian 13-21 May 2012 lalu. Pemain tersebut adalah anak jati Kuala Lumpur (Lembah Keramat) dan hasil didikan asas Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Nazmi menambat hati Ong Kim Swee, jurulatih Harimau Muda untuk menyerapkan anak muda ini (ketika itu baru berusia 16 tahun) dalam skuad Sukan SEA Jakarta 2011 dan bersama abang-abangnya telah membantu Malaysia mempertahankan Pingat Emas menewaskan tuan rumah Indonesia. Selepas itu Nazmi terus mendapat kepercayaan Kim Swee menerajui bahagian tengah Harimau Muda yang beraksi dalam Liga Singapura.

Persembahan konsisten beliau bersama Harimau Mudan dan skuad Olimpik Malaysia di mana gol cantik dari jarak jauh hasil sepakan melencong ke penjuru gol pasukan Bahrain telah membuka mata agen-agen bolasepak yang sememangnya sedang menunggu-nunggu lahirnya bintang muda dari rantau ini yang boleh mereka ketengahkan di pentas Eropah sebagai mana beberapa pemain Asia yang lain seperti Park Ji Sung (Korea Selatan) dan terbaru Shinji Kagawa (Jepun) yang menjadi rebutan banyak kelab-kelab ternama Eropah.

Menurut media setempat, pemain muda itu bakal menerima gaji RM300,000 (B$125,000) sebulan. Bagaimanapun, menurut agen beliau, Marco Guimaraes dari FMI Sport, terpulang kepada Nazmi sendiri sama ada mahu mengumumkan atau tidak jumlah sebenar gaji yang bakal diterima. Hanya yang dapat dipastikan oleh Marco ialah gaji minima di Eropah jauh lebih lumayan berbanding gaji paling mahal pemain professional di Asia Tenggara.

SC Beira Mar yang menduduki tangga ke 12 dari 16 pasukan Portugese Primeira Liga musim 2011-2012 lalu dan dimiliki oleh Majid Pishar seorang ahli perniagaan dari Iran melalui syarikatnya yang berpangkalan di Dunai, 32Group yang turut memiliki Servette FC, kelab yang beraksi di liga Switzerland. Para peminat bolasepak Portugal pasti tidak akan melupai nama SC Beira Mar kerana kelab ini telah melahirkan lagenda bolasepak negara mereka yang tiada tolok bandingnya iaitu Eusebio dan Antonio Sousa.

Dengan ini maka Nazmi bukan sahaja menjadi kebanggaan Malaysia kerana menjadi pemain pertama negaranya yang mampu beraksi di liga utama Eropah. Walaupun bertubuh kecil dengan ketinggian 5'6" namun itu semua tidak melemahkan semangat Nazmi. Dengan usia yang masih muda sudah tentu peluang baginya untuk menimba pengalaman dan menyinar di pentas Eropah terbuka luas. Hnedaknya juga dengan pencapaian Nazmi akan mendorong pemain-pemain muda di Asia Tenggara untuk mengikut jejak langkahnya pula. Jika Nazmi boleh, maka anak-anak yang lain juga mampu, waima pemain-pemain muda dari Brunei DS. Yang pasti Nazmi akan menjadi ikon mereka selepas ini.

Prof: Jalan terbentang luas untuk pihak-pihak tertentu melahirkan pemain-pemain berbakat. Hanya mahu atau tidak sahaja. 'Tepuk dada, tanya selera'.

Ahad, 27 Mei 2012

PENENTUAN SEPAKAN PENALTI AKAN DIHAPUSKAN

Kali ini saya menyokong tindakan Joseph Sepp Blatter, Presiden FIFA, yang mencadangkan agar penentuan sesuatu keputusan perlawanan (kalah mati) dihapuskan dan digantikan dengan satu kaedah baru. Cadangan tersebut diusulkan oleh beliau dalam Kongres FIFA yang baru berlangsung di Budapest, Hungary baru-baru ini. Lagenda bolasepak Jerman, Franz Beckenbauer selaku Football Task Force 2014 diberi tanggungjawab untuk menyelidik dan mencadangkan suatu kaedah/peraturan baru bagi menggantikan peraturan lama yang dianggap tidak adil bukan sahaja bagi Presiden FIFA itu malah para peminat seluruh dunia.

'Mangsa' terbaru penentuan sepakan penalti adalah Bayern Munich yang tewas kepada Chelsea dalam perlawanan akhir UEFA Champion League setelah menguasai hampir keseluruhan perlawanan. Sebelum itu Zambia memiliki takdir 'nasib baik' melalui sepakan penalti apabila mengalahkan pasukan favourite Ivory Coast dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika.

Malah para pembaca mungkin ada yang mengalami kenangan pahit melalui sepakan penalti sama ada semasa bermain mewakili sekolah, kampung, mukim, daerah, kelab dan negeri/negara masing-masing. Jika kemenangan yang dicapai maka kenangan pahit menjadi kenangan manis lagi indah. Saya menyokong (cadangan Blatter) bukan kerana pasukan kegemaran tewas dalam sesuatu perlawanan akan tetapi demi kemajuan sukan bolasepak itu sendiri.

Dalam usia bolasepak moden ini yang menjangkau lebih satu abad kita telah melihat banyak perubahan-perubahan telah dibuat semata-mata dengan tujuan untuk menjadikan sukan bolasepak itu lebih menarik untuk dimainkan dan ditonton. Hasilnya kita melihat bahawa hampir keseluruhan negara di dunia ini menjadikan bolasepak adalah sukan no 1 mereka (kecuali Amerika, Kanada, Cuba, Filipina dan negara-negara kecil lainnya).

Begitu juga halnya dari segi jumlah peminat dan penonton sesuatu perlawanan bolasepak sama ada yang hadir di stadium atau menontonnya melalui siaran langsung televisyen. Penonton sukan bolasepak jauh lebih ramai mengatasi sukan-sukan lain seperti sukan bermotor (Formula One), tinju dan olahraga. Ini berlaku kerana sukan bolasepak dapat memberikan kepuasan kepada setiap penonton.

Teknologi Garisan Gol (Goal Line Technology) - bagi menentukan gol terhasil atau tidak, akan digunakan sebagai percubaan dalam EURO 2012 akan datang ini. Kita berharap sesuatu yang positif akan terhasil dari tindakan terbaru FIFA ini (termasuk mengubah peraturan penentuan sepakan penalti).

Saya masih ingat sebaik tamat Piala Dunia 1990 di Itali, permainan bolasepak dilihat sangat membosankan kerana dimainkan secara negatif atau 'play safe' oleh sesebuah pasukan dengan sering memberikan bola ke belakang hingga ke penjaga gol sendiri untuk membuang masa. Dalam kajian oleh 'Technical Study Group' (TSG) jumlah minit yang dimainkan di kaki para pemain sangat berkurangan berbanding bola berada dalam tangan penjaga gol atau masa dihabiskan dengan mengambil bola apabila terkeluar jauh dari padang.

Mengambil statistik dari TSG tersebut maka FIFA telah membuat beberapa perubahan drastik antaranya ialah bola yang dikembalikan oleh pemain kepada penjaga golnya tidak boleh ditangkap (hanya boleh ditendang), menyediakan 'ball boy' dan bola disekiling stadium/gelanggang untuk menjimatkana masa permainan, memperkenalkan peraturan 'golden goal' dan 'silver goal' (kedua-dua peraturan itu ditarik balik kerana membuat permainan menjadi lebih negatif) serta menyediakan pengadil keempat dan kelima.

Namun beberapa cadangan lebih ekstrem telah ditolak oleh FIFA seperti yang diutarakan oleh Pele untuk membesarkan saiz pintu gol. Juga cadangana supaya pemain penyerang yang berada dalam kawasan penalti lawan (sebelum beliau menerima bola) baru diberikan hukuman 'offside'. Saya sendiri juga tidak berapa menerima kedua-dua cadangan tersebut kerana memberi kesan lebih besar terhadap permainan bolasepak secara keseluruhannya.

Kita sangat-sangat berharap langkah terbaru Sepp Blatter dan FIFA ini akan memberi kesan positif dan menjadikan bolasepak lebih menarik untuk dinikmati oleh pemain itu sendiri, pasukan dan para peminat khasnya. Semoga Franz Beckenbauer dan pasukan penyelidik dan pengkajinya akan menampilkan beberapa cadangan yang konkrit.

Prof: Syabas Blatter, tetapi jangan lupa urusan rumahtangga FIFA mesti dibersihkan juga.

Jumaat, 18 Mei 2012

TANGO 12 FINALE - BOLA RASMI EURO 2012





Adidas, jenama sukan terkemuka dunia sebagai pembekal bola rasmi kepada EURO 2012 yang akan berlangsung di Poland dan Ukraine telah memperkenalkan Tango 12 Finale sebagai bola rasmi kejohanan paling berprestij di benua Eropah itu. Pihak pengeluar telah mengambil masa selama 2 tahun untuk mencipta bola tersebut yang berdasarkan kepada dua buat negara yang menjadi tuan rumah itu dan dihubungkan dengan elemen penting dalam bolasepak iaitu 'unity, rivalry & passion'.

Di ibu pejabat Adidas Herzoggenaurach, Jerman, para pereka dan pakar telah menyiapkan bola ini dan diberi kesempatan kepada para pemain disemua peringkat untuk mencuba iaitu dari kelab-kelab ternama, pertubuhan-pertubuhan bolasepak kesemua 8 benua di dunia dan termasuk juga pemain-pemain di peringkat akar-umbi.

Kemunculan Tango 12 Finale melengkapkan edisi ke empat bola jenis Tango untuk 'berbakti' kepada kejohanan tersebut selepas Tango River Plate (1980), Tango Mundial (1984) dan Tango Europa (1988). Dan seperti kelazimanya, bukan sahaja kasut bola akan menjadi ikutan malah bola rasmi juga akan digunakan oleh para peminat dan pemain bolasepak di serata dunia.

Prof: Teringat zaman kanak-kanak ketika kami mengumpul duit berbulan-bulan semata-mata untuk membeli bola (jenama sudah lupa) yang diperbuat daripada kulit asli dan berwarna coklat. Jika basah bola tersebut menjadi berat.

Selasa, 15 Mei 2012

TAHNIAH MAN CITY

Gambar ehsan Google
Akhirnya setelah menanti selama 44 tahun dan dengan bantuan curahan ratusan juta paund Man City menjuarai EPL Musim 2011-2012. Perlawanan terakhir antara Man City x QPR dan Sunderland x Man Utd merupakan perlawanan paling dramatik dalam sejarah apabila kemenangan hanya ditentukan disaat-saat akhir permainan iaitu diwktu kecederaan.

Man City ketinggalan 1-2 dalam 90 minit perlawanan. Ketika itu Man Utd sudah memuktamadkan perlawanan mereka dengan mencatat kemenangan 1-0. Ini bermakna Man Utd seolah-olah akan mengekalkan kejuaraan EPL mereka. Namun pemain-pemain melakukan sesuatu yang mereka sendiri tidak mempercayainya dengan menjaringkan 2 gol melalui Edin Dzeko dan Sergio Augerio dalam 3 minit terakhir masa kecederaan.

Para penyokong Man Utd yang sedari tadi yakin kejuaraan milik mereka terkulai hampa. Manakala para penyokong Man City yang sebelumnya kecewa dan hampa, malah ada yang mengalirkan air mata kesedihan tiba-tiba bersemangat semula dan terus bersorak gembira setelah dua gol pantas tersebut dijaringkan. Pengurus Man City, Roberto Mancini masih tidak mempercayai kelab bimbingannya memenangi perlawanan tersebut. Sungguh menakjubkan.

Akan tetapi tahniah dan pujian mesti diberikan kepada Sir Alex Ferguson kerana berjaya membawa Man Utd hingga ke saat akhir untuk bergelar juara walaupun tidak berbelanja besar musim ini berbanding Man City. Itulah namanya bolasepak. Terkadang pemain itu sendiri tidak mempercayai apa yang berlaku. perkara sebegini hanya ada pada 'bolasepak'.

Prof: Apa yang diharapkan adalah kita di Brunei dan di benua Asia ini mengambil contoh dan tauladan apa yang ditonton di kaca tv supaya dapat dimanfaatkan kepada kancah bolasepak tempatan pula. Bukan hanya duduk sebagai penonton.

Selasa, 1 Mei 2012

FERGUSON TETAP MENJADI PEMENANG

Kita tinggalkan seketika gejolak dan tribulasi bolasepak tempatan. Liga Perdana Inggeris (EPL) akan menuju penghujung, tinggal 2 perlawanan lagi untuk disudahkan oleh kesemua kelab. Ketika ini Man City berada di persada liga bersama Man Utd, kedudukan terpisah oleh jumlah jaringan gol sahaja. Satu penghormatan dan kebanggaan kepada bandaraya Manchester.

Sepanjang  musim kita dapat melihat bahawa Man Utd tetap memaparkan prestasi konsisten walaupun tidak berbelanja besar di awal musim ataupun tatkala 'window transfer' Januari lalu. Di atas kertas (istilah kewartawanan sukan) secara logiknya Man City sudah dapat dimahkotakan selaku juara EPL 2011/2012 kerana mereka berbelanja cukup besar dan membawa ramai bintang-bintang dari seluruh dunia. Namun Roberto Manchini, pengurus Man City, masih gagal untuk mengatasi kehebatan strategi & taktikal (di atas padang & psikologi) yang dimiliki oleh Sir Alex Ferguson.

Mengapa saya berkata begitu? Ferguson hanya membawa masuk David de Gea, penjaga gol muda dari Sepanyol untuk menggantikan van de Sar yang bersara, dan Ashley Young, pemain midfield dari Aston Villa. Selebihnya beliau masih bergantung kepada pemain-pemain senior seperti Ryan Giggs, Paul Scholes, Patrice Evra, Rio Fedinand, Wayne Rooney, Nani, Michael Carrick, Dimitar Berbatov, Nemenja Vidic (cedera), Valencia dan Michael Owen untuk berganding bahu dengan pemain-pemain muda seperti Danny Welbeck, Javier Hernandez, pemain kembar Fabio dan Rafael da Silva.

Sedangkan Manchini membeli bintang-bintang seperti Sergio Aguero, Mario balotelli, Edin Dzeko, Aleksandar Kularov, Davil Silva, Yaya Toure, Samir Nasri, Gareth Barry dan James Milner untuk berpadu tenaga bersama bintang-bintang sedia ada seperti Joleon Lescot, Kalou Toure, Gael Clinchy, Carlos Tevez, Vincent Kompany, Micah Richard dan Joe Hart.

Akan tetapi Manchini masih gagal untuk membentuk sebuah skuad yang mantap dan konsisten prestasinya sepanjang musim malah Ferguson pula yang berbelanja secara kecil-kecilan berjaya mencuri perhatian dengan memaparkan prestasi meyakinkan dari para pemainnya. Jika melihat kepada barisan bintang-bintang Man City apa yang ada dalam pemikiran kita adalah setiap lawan mereka akan rebah menyembah bumi sebaik pengadil meniup wisel penamat setiap perlawanan. Dan dua atau tiga minggu sebelum liga berakhir Man City sudah mampu dimahkotakan sebagai juara EPL.

Namun keadaan menjadi sebaliknya. Kejuaraan EPL musim ini mungkin akan ditentukan dalam perlawanan terakhir liga yang tiggal dua perlawanan. Man Utd akan Swansea (Old Trafford) dan Sunderland (Stadium of Light), manakala Man City pula bertemu pasukan kuat Newcastle (tempat lawan) dan QPR di Stadium Etihad, City of Manchester. Sekali lagi di atas kertas seolah-olah kelebihan kepada Ferguson dan anak buahnya kerana bertemu pasukan-pasukan yang agak lemah.

Tetapi dalam bolasepak lebih-lebih lagi dalam kancah EPL tiada sebuah kelab yang boleh kita pandang ringan. Selalu kita melihat keputusan kelab tangga corot menewaskan pendahulu liga atau 'the big four'. Bagi Manchini seolah-olah peluang tipis bagi pengurus berbangsa Itali itu. Newcastle berpeluang untuk bermain di Liga Juara-Juara (Champion League) jika memenangi baki perlawanan mereka maka sudah barang tentu mereka tidak mahu melepaskan peluang tersebut begitu sahaja. QPR pula sedang bergelut dari zon penyingkiran. Peluang masih terbuka kepada mereka untuk kekal di EPL jika berjaya menang semua baki perlawanan untuk membiarkan Blackburn Rovers, Bolton Wanderes dan Wigan Athletic berebut menemani Wolves yang sudah mengesahkan tempat turun ke Championship League musim depan.

Ferguson adalah pakar 'perang saraf'. Banyak sudah pengurus-pengurus EPL menjadi mangsanya. Kevin Keegan (Newcastle), Rafael Banitez (Liverpool) bahkan Jose Mourinho pernah 'terjerumus' ke kancah peperangan saraf menggunakan media dan menjadi mangsa kehebatan Ferguson. Samalah juga halnya dengan Manchini. Beliau nampaknya 'tewas' dalam perkelahian menggunakan media kepada Ferguson. Beliau hilang tumpuan kepada kerja-kerja wajib terhadap pemain-pemain bintang di bawah jagaannya kerana memberi tumpuan untuk membalas 'bidasan' atau 'sindiran' pedas dan sinis dari Ferguson. Manchini seharusnya tidak mengambil penduli akan 'serangan' Ferguson melalui media. Manchini nampaknya tidak belajar dari kesilapan Keegan, Banitez dan Mourinho.

Tiada siapa dapat menyangkal bahawa Ferguson adalah pengurus lagenda. Sejak beliau menjadi pengurus Man Utd, musuh tradisinya iaitu Liverpool tidak pernah mengecapi atau menjamah kejuaraan EPL. Ferguson memberikan Man Utd 12 kejuaraan EPL untuk mengumpul 20 kejuaraan Liga England (Divisyen 1 dan EPL) untuk mengatasi Liverpool (18 kejuaraan). Tidak dapat dinafikan 12 kejuaraan EPL akan menjadi angka 13 untuk musim ini. Sebenarnya banyak lagi perkara menarik mengenai Ferguson dapat diceritakan, mungkin dalam kesempatan lain.

Oleh itu bagi saya. walaupun nanti Man City akhirnya muncul juara EPL buat pertama kali sejak kali terakhir menjadi juara (Divisyen 1 ketika itu) pada tahun 1968, Sir Alex Ferguson tetap muncul menjadi pemenang dalam banyak perkara. Kepada pengurus-pengurus junior Ferguson adalah 'kamus bergerak' dalam mata pelajaran bolasepak. 

Prof: Kesian melihat Liverpool. Ratusan juta dibelanjakan dan pengurus silih berganti, masih belum mampu untuk menjuarai EPL. Liverpool satu-satunya kelab 'the big four' yang belum permah mengecapi kejuaraan EPL.