Rabu, 16 April 2014

PIALA DUNIA DATANG LAGI

Bermula dari 12 Jun hingga 13 Julai 2014 akan datang ini semua mata akan tertumpu ke negara Brazil yang akan menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Dunia 2014, sebuah temasya sukan terbesar di dunia (selepas Sukan Olimpik). Kesemua 32 buah pasukan yang layak juga telah diundi kumpulan masing-masing dan dipercayai sedang membuat persiapan terakhir untuk mempamerkan aksi terbaik mereka di Brazil nanti.

Brazil selaku tuan rumah sudah pasti menjadi pasukan favourite untuk keluar sebagai juara kali ini di samping penyandang, Sepanyol, yang masih menduduki rangking 1 FIFA, Jerman, Argentina, Holland, Portugal, England dan tidak ketinggalan negara-negara dari benua Afrika seperti Ivory Coact, Ghana, Cameroon dan Nigeria dilihat mampu untuk memperbaiki persembahan mereka dan mencabar pasukan-pasukan Eropah dan Amerika. Pasukan-pasukan dari Asia masih berada di luar kerangka pencabar terkuat, hanya sebagai 'underdog'.

Apa yang membimbangkan FIFA adalah persiapan tuan rumah Brazil yang menghadapi beberapa masalah terutamanya ada terdapat stadium yang masih belum siap sepenuhnya, malah ada yang sedang dalam pembinaan. Sepatutnya dalam masa ini (kira-kira sebulan lebih dari tarikh pembukaan rasmi) kesemua stadium sudah siap dan sedia untuk digunakan.

Bagaimanapun, dari segi sambutan pula, sudah pasti ianya akan diingati sebagai sebuah temasya Piala Dunia paling meriah. Ini disebabkan dua faktor utama iaitu Brazil adalah negara bolasepak utama di rantau Amerika Selatan dan sebahagian besar tiket perlawanan yang dikhaskan untuk penonton tempatan sudah habis dijual. Situasi ini berbeza dengan empat tahun lalu, 2010, apabila Afrika Selatan menjadi tuan rumah, banyak tiket masih belum terjual walaupun kejohanan sudah bermula.

Baiklah, kita nantikan bersama-sama kemeriahan temasya empat tahun sekali ini yang dapat menyatukan semua golongan di dunia ini khusus untuk melihat pemain dan pasukan pujaan mereka beraksi. Bravooo!

Prof; Masih menanti pasukan dari Asia Tenggara layak ke pusingan akhir ini. Bila agaknya?

Isnin, 9 September 2013

SELAMAT BERTUGAS MIKE WONG

Beberapa hari lalu NFABD telah mengumumkan perlantikan Mike Wong Mun Heng selaku Pengarah Teknikal/jurulatih bagi mengisi jawatan maha penting kepada sesebuah persatuan bolasepak kebangsaan kerana jawatan tersebut memerlukan penjawatnya menyediakan pelan pembangunan bolasepak dari peringkat akar-umbi hinggalah ke tahap menyediakan pasukan kebangsaan dalam semua peringkat (belia-senior).

Mike Wong yang dilihat agak berpengalaman dalam kancah bolasepak terutama sekali di negaranya Singapura, beliau pernah menjadi pengurus pasukan beberapa kelab dalam Liga S dan juga pasukan kebangsaan 'Kota Singa' itu turut memegang kelayakan sebagai 'instructor' bagi AFC. Beliau banyak berkelana ke serata pelosok benua Asia sebagai instructor mengendalikan klinik dan kursus kejurulatihan terutama di peringkat akar-umbi/pembangunan.

Sudah pasti dengan pengalaman dan kepakaran yang ada pada beliau, projek dan pelan pembanagunan bolasepak di negara ini akan berada pada landasan yang betul dan terarah. Semua pihak harus memberikan sokongan dan kerjasama kepada beliau dalam usaha mengungkayahkan segala yang telah dirancang. Tanpa sokongan padu mustahil sesuatu program, terutama program pembangunan jangka panjang akan mencapai seperti yang dihasratkan.

Hasil dari sesuatu program pembangunan bukanlah dapat dilihat dalam sekelip mata seperti kita menyaksikan acara silap mata. Ianya memakan masa yang panjang. Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Lim Teong Kim, yang pernah menjadi jurulatih belia Bayern Munich, baru-baru ini telah dilantik sebagai Pengarah Akademi Bolasepak Malaysia, menyatakan bahawa sesuatu program pembangunan memerlukan masa yang panjang, sekurang-kurangnya 10 tahun. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini

Antara pemain ternama yang lahir dari 'buah tangan' Teong Kim ialah termasuk Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Diego Contento dan David Alaba. Mudah-mudahan Mike Wong, walaupun tidak memiliki reputasi sehebat Teong Kim, akan mampu mengangkat martabat bolasepak Brunei Darussalam. Apa yang penting ialah sokongan padu dan kerjasama dari semua pihak. Beri beliau peluang seluas-luasnya untuk melakar sejarah baru bolasepak kitani.

Secara professionalnya saya memberikan masa dan peluang kepada Mike Wong untuk menggarap apa jua pelan pembangunannya yang difikirkaan sesuai dengan sosio budaya masyarakat di negara ini. Sesuatu yang baik itu perlu disokong. Dalam pada itu sifat sabar paling utama. Jangan kita mengharap Mike Wong akan membuat 'silap mata'. Dalam bolasepak, dalam konteks pasukan kebangsaan, perkara tersebut jarang terjadi. Kecuali sesebuah kelab yang tiba-tiba dibeli oleh jutawan, dengan hamburan wang yang banyak sesebuah kelab itu mampu membeli pemain-pemain berkualiti dan sekali-gus kelab tersebut menjadi gagah dalam sekelip mata.

Oleh itu bersabarlah semuanya.

Prof: Saya percaya dan yakin bahawa taraf bolasepak di negara ini mampu ditingkat jika kena dengan caranya iaitu meletakkan individu tertentu sesuai dengan kepakaran yang dimilikinya, bukan sebaliknya. Wallahuaklam,

Khamis, 5 September 2013

MALAYSIA JUARA AFF-U16

Malaysia telah muncul sebagai juara buat pertama kali kejohanan bolasepak AFF-U16 menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada 2 Sept 2013 lalu di Myanmar. Tempat ketiga dimenangi oleh Australia yang menewaskan Vietnam dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat. Kedua-dua perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti setelah keputusan seri hingga masa tambahan tamat.

Pasukan Negara Brunei Darussalam gagal layak ke separuh akhir sepertimana yang di idamkan setelah menduduki tangga tercorot kumpulan, bolos 43 gol dan gagal menjaringkan walau sebiji gol. Brunei tumpas kepada Kemboja 8-0, Australia 19-0, Myanmar 5-0 dan Vietnam 11-0. Berita lanjut boleh dilayari di sini

Sesungguhnya kejohanan yang baru berlangsung itu dapat dijadikan sebagai latihan dan pemanas badan kepada pasukan-pasukan yang terlibat kerana mereka akan bertembung pula dengan gergasi-gergasi Asia pula dalam pusingan kelayakan kejohanan AFC U16 Kumpulan H yang akan berlangsung di Laos dari 21hingga 29 Oktober akan datang ini.

Malaysia selaku juara rantau Asia Tenggara akan ditempatkan bersama jaguh Asia iaitu Korea Selatan, tuan rumah Laos, Guam dan Brunei Darussalam. Kita lihat nanti apakah mutu persembahan mereka akan meningkat berbanding dalam kejohanan AFF-U16 lalu. Peminat nampaknya sangat berharap negara-negara Asia Tenggara dapat meyaingi dan menewaskan kuasa besar bolasepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun, China, Australia dan negara-negara Teluk serta Asia Tengah.

Dalam perlawanan kelayakan itu nanti, johan setiap kumpulan dan 5 pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke pusingan akhir yang akan dilangsungkan di Bangkok, Thailand pada tahun 2014. Baca berita lanjut di sini

Prof: Pengajaran paling berharga bagi kitani. Mahu main-main lagi? Mahu berebut apa? Atau mahu membangun bolasepak? Jujurlah!!!!!

Khamis, 8 Ogos 2013

SELAMAT HARI RAYA & MAAF ZAHIR BATIN

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin buat pembaca serta penjenguk setia blog ini. Semoga di hari mulia ini kita mendapat berkah dari-Nya jua. Amin.

Ahad, 4 Ogos 2013

KALAU TIADA $ JANGAN MIMPI LAAA

Beberapa liga di Eropah sudah bermula dan liga-liga utama seperti EPL, Bundesliga, Serie A dan La Liga akan menyusul dalam dua ke tiga minggu ini. Kebanyakan perpindahan pemain sudah dimuktamadkan, yang tinggal hanya 3 perpindahan pemain paling top musim panas ini iaitu Gareth Bale (Spurs ke Real Madrid), Luiz Suarez (Liverpool ke Arsenal) dan Wayne Rooney (Man Utd ke Chelsea).

Kesemua perpindahan tersebut melibat ratusan juta sama ada dalam bentuk pound sterling, euro ataupun dollar, dilakukan hanya untuk satu tujuan iaitu mencipta kemenangan! Maknanya, dalam bolasepak moden ini wang memainkan peranan utama untuk mencapai sesuatu kejayaan. Tanpa wang jangan mimpi la! Ini adalah hakikat waima kepada sebuah kelab kampung. Kalau ada kelab/pasukan yang ingin berjaya tetapi tidak mahu mengeluarkan wang, sampai bila-bila pun akan gigit jari.

Untuk mengumpulkan pemain memberitahu mereka masa dan tempat latihan pun memerlukan wang berbentuk kredit telefon bimbit. Selepas latihan para pemain hendak juga minum walaupun hanya secawan oren campur atau setidak-tidaknya air botol. Untuk menyediakan minuman pun kita mesti mempunyai wang, kalau tiada wang bagaimana pekedai mahu memberi kita minuman tersebut?

Saya senghaja memberi gambaran mudah bagaimana seharusnya sebuah pasukan bolasepak itu sepatutnya berjalan. Ianya memerlukan wang. Makanya, setiap pasukan sudah pasti akan menyediakan atau mencari dana secukupnya untuk menggerakkan pasukan mereka sesuai di tahap mana mereka bermain, sama ada liga kampung, mukim, daerah, negara atau liga professional. Sebabnya, dalam dunia serba canggih ini masih ada lagi pihak-pihak yang inginkan kejayaan tanpa mengeluarkan wang walau satu sen pun! Bodoh!

Prof: Orang yang bodoh layaknya duduk dalam hutan, Bermain bolasepak dengan penghuni rimba. Silakan!

Khamis, 23 Mei 2013

KEMBALI BERKARYA & MENCORET SESUATU

Setelah sekian lama menyepi dari membuat posting atau catatan melalui blog ini, kini saya mengambil keputusan untuk kembali mengaktifkan blog ini demi masa depan bolasepak sama ada di Negara Brunei Darussalam mahu pun di peringkat antarabangsa. Sekurang-kurangnya saya melontarkan seuatu untuk dijadikan renungan semua pecinta bolasepak, pemimpin, pengurusan, pemain dan peminat.

Prof: Semangat diperolehi apabila melihat masih ada, malah makin banyak 'banjingan' yang ingin mengambil kesempatan terhadap sukan bolasepak ini. Saya tidak akan duduk diam! Awas!

Isnin, 24 Disember 2012

SANG SINGA JUARA KALI KE 4

Gambar ehsan Google.
 'Sang Singa' Singapura akhirnya mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama menjuara AFF Suzuki Cup buat kali ke empat berturut-turut dengan membaham 'Sang Gajah Perang' Thailand dalam perlawanan akhir secara timbal-balik (3-2). Syabas kepada pasukan Singapura kerana menjadi jagoan bolasepak rantau Asia Tenggara ini walaupun semua orang tahu bahawa Singapura hanyalah sebuah negara pulau (island city-state) yang kecil berbanding dengan jiran-jirannya.

Amat menarik kejohanan kali ini untuk diperkatakan atau direnungkan beberapa fakta mengenainya umpamanya;
1. Indonesia sebagai sebuah negara terbesar masih belum mampu muncul juara malah kali iui gagal di peringkat kumpulan lagi.
2. Filipina buat pertama kali layak ke separuh akhir dan menempatkan dirinya sebagai jaguh Asia Tenggara yang baru.
3. Walaupun Liga S tidak sehebat mana berbanding liga-lega negara Asia Tenggara yang lain akan tetapi pasukan kebangsaannya masih mampu mencipta kejuaraan buat kali ke empat!.
4. Kita terpaksa menanti untuk 2 tahun lagi untuk melihat juara baru AFF Suzuki Cup. Setakat ini, selain Singapura, hanya Thailand, Malaysia dan Vietnam yang pernah mengecap status sebagai juara.

Prof: Kenapa Singapura mampu juara? Jawapannya adalah pengurusan yang cekap. Apapun formula mereka, walau dianggap sinis oleh negara-negara lain (seperti mengambil pemain 'import') namun tindakan mereka masih di dalam kerangka yang dibenarkan oleh FIFA. Mereka mencipta kejayaan dengan mencipta formula mengikut kemampuan mereka. Sikap professional pengurusan mereka patut dicontohi, jangan hanya menyindir atau mencemuh.

Jumaat, 23 November 2012

AFF SUZUKI CUP 2012 BERMULA

Gambar ehsan Google
AFF Suzuki Cup 2012 akan berlangsung dari 24 Nov hingga 22 Dis 2012. Lapan buah pasukan terkuat dari rantau Asia Tenggara setiap 2 tahun sekali akan beradu tenaga untuk menjadi 'Raja Bolasepak Asia Tenggara'. Lebih 500 juta penduduk rantau ini akan menyaksikan perlawanan-perlawanan hebat yang mempertemukan pemain-pemain terbaik setiap negara.

Pusingan akhir kali ini akan berlangsung di dua buah negara iaitu Thailand (Kumpulan A) dan Malaysia (Kumpulan B). Kumpulan A dianggotai oleh Thailand selaku tuan rumah, Vietnam, Filipina dan Myanmar. Manakala juara bertahan Malaysia akan melayani kunjungan musuh tradisi Singapura, Indonesia dan Laos dalam Kumpulan B.

Perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada 8/9 Dis (pusingan pertama) dan 12/13 Dis (pusingan kedua) dan perlawanan akhir pula pada 19 & 22 Dis 2012 yang turut dijalankan secara timbal-balik (home/away). Pada 2012 Malaysia muncul juara setelah menewaskan Indonesia dengan aggregate 4-2 (3-0/1-2) dalam perlawanan akhir yang menghiburkan.

Ironinya, Indonesia selaku negara terbesar di rantau ini masih belum mampu bergelar sebagai juara sejak kejohanan ini dimulakan pada 1996. Sejak itu hanya Thailand, Singapura, Vietnam dan Malaysia dimahkotakan sebagai juara. Kita skasikan sama ada edisi 2012 ini akan menjadi milik Indonesia. Selamat berjuang kepada setiap pasukan dan kepada para penonton diharap jangan emosi. Menonton dan menyokonglah dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Untuk mengetahui maklumat terkini sila layari laman web rasmi AFF Suzuki Cup 2012 di sini. atau klik logo AFF Suzuki Cup 2012 di sebelah kanan atas blog ini.

Prof: Masih menantikan kemunculan Negara Brunei Darussalam di pentas pusingan akhir ini. Segala jawapan ada pada NFABD selaku badan induk.


Jumaat, 9 November 2012

KINI GILIRAN AHMAD FAKRI KE EROPAH

Ahmad Fakri (kanan) sewaktu bermain untuk Harimau Muda A - gambar ehsan Google.

Ahmad Fakri Saarani, 23 tahun, merupakan pemain Malaysia yang terbaru mencuba nasib sebagai pemain professional di benua Eropah. Bekas pemain Harimau Muda A itu akan bermain untuk kelab Atletico Sport Club yang beraksi dalam liga divisyen tiga Portugal. Sebelum ini pemain muda berbakat besar, Mohd Nazmi Faiz Mansor telah diikat oleh kelab divisyen satu Portugal, Beira Mar FC dan kini sedang bermain untuk skuad remaja kelab tersebut.

Pemain yang berasal dari Kelantan itu kini bermain untuk pasukan Felda United dalam Liga M. Beliau diberitakan oleh media tempatan sudah lama ingin ditambat oleh kelab Portugal namun akibat terikat dengan kontrak bersama Felda United maka pemergiannya ke Portugal terpaksa ditangguhkan hingga berakhir musim 2012/2013 ini. Ini bermakna Ahmad Fakri hanya akan tersenarai sebagai pemain Atletico SC pada pertengahan tahun 2013 nanti.

Prof: Masih menanti kemunculan pemain pertama dari Brunei DS sebagai professional dan bermain untuk kelab luar negara.

Ahad, 21 Oktober 2012

TAHNIAH KELANTAN, JUARA PIALA MALAYSIA 2012

Ehsan Google
Nyata tahun 2012 milik Kelantan. Malam tadi bertempat di Stadium Shah Alam, skuad 'The Red Warrior' membenam cabaran getir ATM aka 'The Green Beret' 3-2 dalam perlawanan akhir bersejarah itu. Dengan kemenangan manis itu Kelantan turut mencipta 'treble' setelah sebelum ini menjuarai Piala FA dan Liga Super.

Kehebatan pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia (Piala Malaya, Piala Malaysia, Liga Semi Pro) silih berganti. Dari Selangor dan Singapura mendominasi di tahun-tahun 60 & 70 an, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur pada dekad 80 an, Selangor kembali menyinar sebentar pada 90 an dan dalam tahun-tahun 2000 ini Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan kini giliran Kelantan menjadi 'Raja Bola' Malaysia. Kenapa tiada satu pasukan pun yang konsisten seperti dalam liga-liga Eropah? Jawapannya adalah, PENGURUSAN!

Sesuatu dasar dan projek akan mencapai matlamatnya jika diuruskan dengan baik, profesional, telus dan ikhlas. Jika semua ini ada maka kejayaan akan berterusan kita miliki. Bolasepak Brunei bagaimana? Sama-samalah kita saksi dan nilai sendiri bagaimana usulnya.

Prof: Membuat liputan final dalam beberapa perlawanan akhir Piala Malaysia masih menjadi nostalgia manis dalam kerjaya.

Isnin, 1 Oktober 2012

SELAMAT BERJUANG BRUNEI DS

DOA DAN HARAPAN PEMINAT 'SANG TEBUAN'
Skuad Tebuan ketika perlawanan persahabatan menentang Indonesia - gambar ehsan ranoadidas.com
Buat pertama kali dalam beberapa tahun skuad bolasepak Brunei DS 'Sang Tebuan' akan beraksi dalam pentas antarabangsa yang sebenar dengan berbekalkan para pemain terbaik negara (walaupun himpunan mereka di saat-saat akhir). Kali ini pentas perjuanagan mereka adalah pusingan kelayakan AFF Suzuki Cup 2012 yang akan berlangsung di Myanmar.

Dalam kempen-kempen pusingan kelayakan edisi sebelum ini skuad negara tidak diwakili oleh pemain-pemain terbaik kerana hanya pasukan kelab yang dihantar iaitu QAF FC dan DPMM FC. Malangnya kesemua percubaan 'formula aneh' tersebut menemui kegagalan. Seperti biasa lawan pasukan kitaa kali ini slain pasukan tuan rumah Myanmar ialah Kemboja, Filipina, Timor Leste dan Laos. Dua pasukan teratas akan menyertai 8 buah pasukan lagi dalam pusingan akhir nanti yang akan bermain di Malaysia dan Thailand.

Kesemua pasukan-pasukan tersebut pernah berdepan pasukan negara tetapi bukan skuad yang ada kini. Skuad bekas pemain midfield kreatif kebangsaan, Haji Feisal Mohd Yussof sebagai pengurus pasukan dan jurulatih dari Korea, Kwon Oh Soon, adalah gabungan pemain-pemain bawah 21 tahun yang menjuarai HBT 2011 lalu dan pemain-pemain senior dari DPMM FC.

Skuad negara mengharungi beberapa perlawanan persahabatan di Malaysia dan paling berprestij ialah pertemuan klasik menentang naib juara AFF Suzuki Cup 2010 Indonesia dan paling terakhir ialah bertemu pasukan Sabah. Melalui kesemua perlawanan persahabatan tersebut sudah pasti beberapa kelemahan telah dikenal pasti untuk diperbaiki dan juga kelebihan yang akan menjadi senjata untuk dibawa menghadapi saingan sengit di Myanmar nanti.

Secara peibadi saya berkeyakinan pasukan negara mampu layak. Seperti telahan awal saya secara 'on paper', kita mesti menewaskan Kemboja, Timur Leste dan Filipina, sambil mengelak dari kekalahan bertemu Myanmar dan Laos (kalau menang adalah bonus). Namun segala keputusan akhir adalah di tangan Kwon Oh Soon bagaimana untuk mengadun dua 'generation gap' pemain-pemain yang ada dalam skuad beliau itu. Saya faham dan mengerti situasi yang beliau hadapi sangat berat, tetapi itulah bolasepak namanya. setiap pasukan memiliki masalah, cabaran dan harapan tersendiri.

Pemain-pemain muda dari skuad HBT memang berpotensi, sementara pemaian-pemain senior dan berpengalaman dari DPMM FC juga berhak untuk menggalas cabaran negara. Yang pening di sini adalah adunan akhir di mana untuk meletakkan Rosmin Hj Mohd Kamis, Azman Hj Mohd Salleh, Sairol Hj Sahri, Shahrazen Said dan Haji Mohd Subhi Abdillah (sudah pasti Wardun Hj Mohd Yussof di posisi penjaga gol). Jika kena dengan situasi dan faktor kelemahan pihak lawan, saya yakin kombinasi ini akan membawa hasil. Yang penting pemain-pemain senior mesti pandai membawa diri di sekeliling pemain muda yang berbakat.

Akhirnya, segala yang kita alami dalam persiapan AFF Suzuki Cup 2012 ini hendaklah dijadikan satu pelajaran paling berguna dalam menghadapi kejohanan-kejohanan penting yang lain seperti Sukan SEA, pusingan kelayakan Piala Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia nanti. Kesemua pemain yang layak hendaklah dihimpunkan dalam jangkawaktu yang lama dan diberi pendedahan secukupnya. Di samping itu, program jangka panjang juga diperlukan bagi menjamin kelangsungan bagi kita untuk melahirkan pemain-pemain berbakat di masa akan datang.

Selamat berjaya!

Prof: Ingin melihat kesemua pihak meletakkan tugas mewakili negara lebih penting dari segala-galanya.

Selasa, 18 September 2012

SYABAS DPMM FC

 Rosmin 'Boby' Haji Kamis ketua pasukan DPMM FC.

Para peminat 'Sang Tebuan' pasukan kebangsaan Brunei Darussalam yang akan menyertai pusingan kelayakan AFF Suzuki Cup pasti merasa lega dan bertambah semangat apabila DPMM FC bersetuju memberi kerjasama untuk membenarkan pemain-pemain bintang mereka menyertai skuad kebangsaan yang kini sedang giat menjalani latihan di bawah pengawasan Haji Feisal Haji Yeusoff (Pengurus) dan kendalian Kwon Oh Soon (Jurulatih).

Menurut siaran akhbar tempatan kelmarin (17 Sept 2012) pihak pengurusan DPMM FC bersedia melepaskan tonggak utama mereka seperti ketuaa pasukan Rosmin 'Bobby' Haji Kamis, Haji Mohd Subhi Abdillah Haji Bakir, Wardun Haji Mohd Yussof, Shahrazen Said, Azwan Haji Mohd Salleh, Sairol Haji Shari dan Mohd Helmi Zambin. Sementara Adi Said, Najib Tarif, Mohd Azam, Mohd Hendra, Mohd Fakhrul dan Fakarazi merupakan pemain yang dipilih menyertai DPMM FC setelah berakhirnya HBT Trophy (yang sememangnya di bawah bimbingan Kwon Oh Soon).

Saya percaya dengan kehadiran 'Bobby' dan rakan-rakan akan menguatkan lagi cabaran Brunei Darussalam dalam pusingan kelayakan itu dan mencipta satu lagi sejarah dalam kancah bolasepak negara dengan melayakkan diri ke pusingan akhir kerana sebelum ini 'Sang Tebuan' belum pernah layak ke pusingan akhir kejohanan paling berprestij di Asia Tenggara itu.

Pengalaman yang dimiliki oleh pemain-pemain tersebut sudah pasti akan banyak membantu Haji Feisal & Kwon Oh Soon dalam membentuk kesebelasan utama yang terkuat. Dalam pusingan kelayakan yang akan berlangsung di Myanmar itu nanti pasukan negara akan berdepan Myanmar, Laos, Timor Leste, Kemboja dan Filipina. Dua pasukan teratas akan layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia dan Bangkok, Thailand.

Di sinilah kita menagih kepintaran dan kepakaran yang dimiliki oleh Kwon Oh Soon sebagai seorang pengendali yang dihormati untuk mengadun corak permainan yang dimiliki oleh pemain-pemain DPMM FC dan pemain-pemain sedia ada yang sebahagian besarnya sudah beberapa lama bermain bersama beliau. Memandangkan masa yang agak singkat maka penyesuaian dan persefaham antara mereka sangat-sangat diharapkan. Maknanya Kwon Oh Soon yang sudah memahami corak permainan pemain-pemain DPMM FC kerana beliau saya lihat tidak terlepas peluang melihat perlawanan antara DPMM FC menentang pasukan lawan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas baik dalam penyertaan mereka dalam Liga M mahupun Liga S yang sedang berjalan sekarang. Jurulatih asal Korea Selatan itu saya pasti telah membuat 'homework' beliau dan mempunyai formula terbaik yang akan diterapkan kepada pasukan kebangsaan.

Manakala dipihak pemain-pemain DPMM FC pula mereka mestilah bijak menyesuaikan diri bersama rakan-rakan sepasukan yang baru. Sudah pasti ada perbezaan dari segi pendekatan dan corak permainan yang diterapkan oleh jurulatih, maka adalah mustahak bagi mereka pantas menyerap perubahan itu. Namun saya yakin, dengan pengalaman mereka yang pernah dibimbing oleh beberapa orang jurulatih luar negara yang berwiawa maka 'Bobby' dan rakan-rakan akan mampu mempamerkan corak persembahan yang menarik, menghiburkan dan mebuahkan hasil.

Wardun sudah pasti menjadi tonggak menjaga gawang. Bahagian pertahanan dan midfield akan mendapat manfaat dengan kehadiran 'Bobby', 'Jeembo', Sai, dan Param, kerana kesemua mereka ini mampu bermain dengan baik sama ada di posisi pertahanan mahupun midfield. Manakala harapan untuk kita melihat gandingan penyerang adik-beradik mungkin akan menjadi kenyataan jika Kwon Oh Soon mahu menurunkan Shahrazen dan Adi Said sebagi 'penyerang kembar'.

Secara matematiknya kali ini adalah peluang paling baik bagi pasukan kebangsaan walaupun persiapan dilakukan agak terlewat berbanding negara-negara lain akibat dari beberapa masalah yang dihadapi. Jika pasukan negara mampu menewaskan Filipina, Kemboja dan Timor Leste serta mencuri sekali seri kepada Myanmar atau Laos maka satu slot ke pusingan akhir hampir pasti menjadi kenyataan.

Prof: Diharap kesemua pihak lebih peka dalam membuat persiapan pasukan kebangsaan. Ianya bukan untuk satu-satu kejohanan saja, malah sepanjang masa! Selepas ini kita akan menghadapi cabaran Sukan SEA, pusingan kelayakan Olimpik, Sukan Asia dan Piala Asia. Tiada rehat dalam mempersiapkan pasukan, oleh itu teruskan tugas kalian.

Rabu, 5 September 2012

HAMZAH ABU SAMAH MENINGGAL DUNIA - AL-FATIHAH

Tan Sri Hamzah Abu Samah, 88, telah meninggal dunia di kediamannya di Mantin, Negeri Sembilan, Malaysia petang kelmarin (4 Sept 2012) akibat sakit tua. Sepanjang hayat Allahyarham, beliau merupakan seorang tokoh pemipin sukan yang tiada tolok bandingnya dengan memimpin beberapa persatuan sukan serta memegang  beberapa jawatan penting.

Ketika pemimpin-pemimpin persatuan sukan di benua Asia yang lain masih terkial-kial untuk mencari identiti, Allahyarham telah aktif menjelajah ke seluruh pelosok dunia mengabdi diri sebagai Presiden FAM, Presiden AFC, Naib Presiden FIFA dan Naib Presiden IOC (International Olympic Council) sejah tahun 1970an lagi. Kepimpinan sukan bukan sahaja di Malaysia malah di Asia pasti merasai akan kehilangan sebutir bintang yang banyak menabur bakti menyediakan asas dalam pengurusan sukan khususnya bolasepak.

Kebetulan sepanjang saya bertugas sebagai wartawan sukan sekitar tahun 1980an dulu sering kali berdepan dan menemuramah Allahyarham dan antara kenangan paling jelas dan tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup saya ialah temuramah antara saya dan Kamal Osman (teman wartawan akhbar Harian Nasional) dalam kereta Jaguar milik Allahyarham sebaik tamat salah satu mesyuarat majlis FAM. Sebelum itu Allahyarham telah sudi menumpangkan dan menghantar kami kembali ke pejabat (di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur).

Dalam temuramah secara santai itu beberapa topik telah kami perbincangkan, dari pembangunan bolasepak hinggalah kepada soal kepimpinan sukan. Dari saat itu saya mula menyedari bahawa betapa pentingnya kepimpinan sukan yang berwibawa untuk meneraju pembangunan sesuatu sukan tersebut. Temuramah tersebut juga telah mencatat sejarah apabila kami diberitahu bahawa FAM akan menuju era bolasepak professional dengan memulakannya dengan Liga Semi Pro dalam masa lima tahun. Keesokan harinya berita tersebut menjadi tajuk utama akhbar kami 'Harian Nasional' dan sudah pasti akhbar-akhbar establish seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Malay Mail dan Star merasa kehairanan kerana perkara tersebut tidak disentuh langsung dalam sidang meda selepas mesyuarat majlis FAM. Peristiwa ini amat bermakna kerana kami sebagai wartawan akhbar 'nyamuk' berjaya menewaskan akhbar besar dalam mendapatkan berita penting yang akan merubah senario bolasepak Malaysia. Peristiwa ini dimungkinkan terjadi dengan adanya sifat rendah diri seorang pemimpin (Tan Sri Hamzah) yaang sudi menumpangkan kami menaiki keretanya.

Sepanjang hayat Allahyarham menjawat sebagai Presiden FAM, Allahyarhaam seringkali turun ke padang melihat persiapan atau latihan pusat skuad kebangsaan untuk memupuk kemesraan antara kepimpinan dan pemain. Allahyarham akan berbual dan bergurau-senda dengan para pemain sebaik sahaja latihan tamat dan sifat rendah diri ini sudah pasti membuatkan kesemua pemain berasa selesa dan bersemangat untuk bermain dan menabur bakti kepada negara. Sifat seperti inilah yang jarang kita lihat kepada pemimpin-pemimpin sukan sekarang ini.

AFC sudah pasti merasai kehilangan kerana atas jasa Allahyarham ibu pejabat AFC ditempatkan di Kuala Lumpur pada masa ini. Dalam masa kepimpinan Allahyarham kancah bolasepak Malaysia mencapai kemuncaknya apabila dua kali layak ke Sukan Olimpik (1972 Munich, Jerman dan 1980 Moscow, Soviet) dan memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974.

Allahyarham turut melahirkan rasa bimbangnya kerana Malaysia khususnya dan Asia amnya kekurangan pemimpin sukan yang berwibawa untuk menjadi pelapis kepada tokoh-tokoh seperti Allahyarham. Bagi Allahyarham, memupuk bakat kepimpinan sukan sama penting dengan memupuk pembangunan seseorang atlit sukan. Dan falsafah Allahyarham itu ternyata benar dalam kancah sukan moden masa kini. Di mana-mana negara membangun sangat ketandusan para pemimpin sukan yang mampu untuk meenerajui sesuatu sukan dan membawanya mencapai tahap kegemilangan. Kita lihatlah keadaan di sekeliling kita saat ini.

Antara jawatan yang pernah dipegang oleh Allaahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah adalah seperti berikut;
1969 - President, Malaysia Cricket Association.
1975 - President, FAM.
1976 - President, Olympic Council of Malaysia (OCM).
1977 - Hon. President SEA Games Federation.
1978 - President Asia Football Confederation (AFC); Member, International Olympic Council (IOC).
1982 - Senior Vice President Olympic Council of Asia (OCA); Vice President Commonwealth Game Federation; Vice Presiden FIFA (hingga 1990).
1984 - Hon. President FAM.
1990 - Hon. Executive Member of FIFA.
1994 - Hon. President AFC

Prof: Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan di sisi para solehen.

Sabtu, 25 Ogos 2012

CARA SAMIR NASRI UCAP SELAMAT HARI RAYA

Gambar ehsan Google
Pemain midfield Man City dan Perancis, Samir Nasri, mempunyai caranya yang tersendiri untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada para peminatnya dan penonton siaran televisyen di seluruh dunia. Beliau yang menjaringkan gol kemenangan Man City ke atas Southampton 3-2 telah menayangkan baju yang bertuulis 'EID MUBARAK' (Selamat Hari Raya Aidilfitri) dan telah ditonton oleh jutaan peminat yang menyaksikan siaran langsung itu yang kebetulan jatuh pada hari yang sama perlawanan pembukaan EPL Musim 2012/2013.

Kita sangat berbangga kerana selain menjadi idola kepada para remaja Islam, Samir Nasri dan lain-lain pemain bolasepak professional yang beragama Islam telah memberikan contoh dan tauladan yang positif. Usaha beliau mencetak baju sangat dihargai dan disanjung tinggi. Malah rakan sepasukannya dari Bosnia, Edin Dzeko, juga membuat ucap selamat melalui akaun Tweeter beliau. Selain mereka ramai lagi pemain-pemain beragama Islam yang bermain dalam liga-liga utama Eropah.

Prof: Teringat gelagat Fandi Ahmad masuk ke padang dengan berpakaian 'cara Melayu' dalam salah satu perlawanan ketika merayakan Aidilfitri ketika bermain di Belanda bersama Groningen FC awal tahun 1980an dulu.

Sabtu, 18 Ogos 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1433H

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN

Sempena Hari Raya Aidilfitri 1433H/2012M, saya selaku pengendali blog ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca sekelian kerana sudi membaca dan seterusnya memberi respon kepada tulisan-tulisan saya. Saya juga memohon ampun dan maaf jika sekiranya ada tulisan yang menyinggung perasaan pembaca semua.

Kepada para peminat bolasepak tidak kita di mana jua berada, para pemimpin persatuan/kelab bolasepak, pemain-pemain dan umat Islam seluruhnya saya turut mengucapkan Maaf Zahir dan Batin semoga hari gembira ini kita kecapi bersama demi mengekalkan ikatan persaudaraan yang berpanjangan. Semoga kancah bolasepak khususnya di Brunei DS akan terus maju jaya. Amin.

Prof: Masih banyak yang belum diperturunkan melalui blog ini. Masih tersimpan dalam kotak fikiran beberapa isu yang membelenggu bolasepak kitani.

Ahad, 12 Ogos 2012

DPMM FC KEBANGAAN BRUNEI

Para pegawai dan pemain DPMM FC merayakaan kejayaan mereka - foto ehsan ESPN.
DPMM FC sekali lagi muncul juara League Cup S League untuk musim 2012 setelah membenam cabaran Geylang United 2-0. Ini bermakna satu-satunya kelab professional di Brunei DS itu telah dua kali menjuarainya, kali pertama adalah pada tahun 2009. Ini sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada skuad kebangsaan dalam menghadapi kempen pusingan kelayakan Suzuki Cup 2012 akan datang ini jika sebahagian besar pemain DPMM FC terpilih mewakili negara nanti. Jika saya ditugaskan untuk memilih pemain terbaik negara sudah pasti saya akan memilih pemain-pemain DPMM FC sebagai tonggak skuad saya.

Tahniah juga diucapkaan kepada para pegawai serta pemain-pemain DPMM FC, mereka berhak merayakan kejayaan ini dan menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang lebih meriah dan gembira tidak terhingga. Syabas DPMM FC.

Prof: Sering mengimbau kenangan bersama DPMM FC. Terima kasih meemberikan kesempatan kepada saya untuk mencurah bakti.

Selasa, 31 Julai 2012

BOLASEPAK OLIMPIK - SYABAS KOREA & JEPUN

Gambar ehsan Google
Korea Selatan dan Jepun menjadi kebanggaan benua Asia kerana layak ke pusingan suku akhir Sukan Olimpik London 2012 bagi acara bolasepak setelah kesemua pasukan menamatkan perlawanan peringkat kumpulan masing-masing. Lapan buah pasukan layak setelah menjadi johan dan naib johan kumpulan. Pasukan tersebut adalah Great Britain & Senegal (Kum A), Mexico & Korea Selatan (Kum B), Brazil &Mesir (Kum C) dan Jepun & Honduras (Kum D).

Sudah pasti pencapaian layak ke pusingan suku akhir oleh dua jaguh Asia iaitu Korea Selatan dan Jepun sesuatu yang amat membanggakan kita dan perkembangan ini tidak menjadi sesuatu yang luar biasa kerana dalam Piala Dunia 2010 Afrika Selatan lalu mereka juga menunjukkan aksi yang baik. Sebuah lagi wakil Asia, UAE gagal untuk mara buat kali ini. Manakala malang bagi juara dunia dan Eropah, Sepanyol, gagal layak malah turut gagal mengutip sebarang mata. Ini sama sekali mencacatkan impian rakyat dan peminat boalsepak Sepanyol untuk menjadi 'Raja Mutlak' bolasepak dunia dengan menjadikan emas sukan olimpik sebagai koleksi mereka.

Jadual perlawanan suku akhir bolasepak Sukan Olimpik London 2012 adalah seperti berikut;

Great Britain lwn Korea Selatan
Brazil lwn Honduras
Mexico lwn Senegal
Jepun lwnMesir

Namun ada juga sisi yang menyedihkan atau memilukan. Tiadanya wakil negara-negara Asia Tenggara dalam Olimpik kali ini. Nampaknya mutu bolasepak rantau ini masih berada jauh di bawah negara-negara rantau Asia Timur seperti Korea Selatan, Korea Utara, China dan Jepun serta rantau Asia Barat (negara-negara Arab). Walhal, pada tahun-tahun 1960an,1970an dan di awal 1980an mutu permainan kesemua pasukan di Asia berada pada tahap yang sama. Malaysia, Thailand dan Indonesia sering menewaskan Korea Selatan, Jepun, China, Arab Saudi, UAE, Iran dan Qatar. Malaysia dua kali ke Sukan Olimpik iaitu tahun 1972 (Munich, Jerman) dan 1980 Moskow, Soviet (menyertai Amerika & blok Barat memboikot temasya tersebut). Namun kini keadaan jauh berbeza. Rantau Asia Tenggara jauh ketinggalan.

Perkembangan ini meninggalkan tugas maha berat kepada AFF sebagai badan induk dan ahli-ahli gabungannya untuk berkerja lebih kuat untuk mempertingkatkan lagi mutu permainan bolasepak di rantau ini. Tahap professionalisma pengurusan juga mesti ditingkat. Program pembangunan jangka sederhana dan panjang WAJIB dijalankan! Pemilihan para pentadbir dan pengurus program mestilah dijalankan secara telus, hanya mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan.

Pengurusan sumber kewangan juga mesti diperhatikan dan diurus dengan baik kerana ianya adalah nadi kepada kesemua aktiviti. Dan yang paling utama adalah jangan pilih kasih dalam pemilihan (sama ada memilih pemain, pegawai-pegawai bertugas dan juga pemimpin persatuan). Utamakan 'merit' atau kemampuan sebenar. Dalam dunia penuh cabaran ini kita tidak mampu lagi untuk melihat sesuatu pertubuhan/persatuan diurus tadbir seperti mengurus persatuan kampung atau kaum keluarga sendiri. Dengan itu pasukan yang dibentuk nanti akan jitu dan padu dan mampu memberi natijah positif kepada kancah bolasepak sesebuah negara.

Prof: Masih yakin suatu hari nanti negara Asia Tenggara akan layak ke Olimpik dan Piala Dunia.

Ahad, 22 Julai 2012

APAKAH INI?


Surat di atas saya temui dalam laman sosial Facebook, telah di upload oleh seorang pengurus/jurulatih pasukan dalam Liga Kebangsaan Brunei. Saya tidak ingin mengulas atau membuat komentar panjang berkenaan surat berkenaan. Tetapi saya hanya ingin melontarkan beberapa soalan untuk pihak-pihak berkenaan menjawabnya.

1. Siapakah yang memberi kebenaran kepada pengurus/jurulatih berkenaan untuk mengupload surat rasmi di laman sosial tersebut?
2. Apakah hanya dengan cara sedemikian (sila baca isi kandungan surat) upaya atau usaha mencari pemain-pemain berkeliber yang bakal membaca cabaran negara ke peringkat antarabangsa?
3. Tiadakah satu standing committee atau jawatankuasa khas yang diamanahkan untuk menilai pemain-pemain yang beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Kebangsaan yang lalu?
4. Tidakkah kita sedar bahawa cara ini sudah ketinggalan zaman?

Prof: Maaf kepada yang berkenaan. Saya perlu menegur kerana menurut pandangan saya langkah di atas tidak elok.

Rabu, 11 Julai 2012

AFF SUZUKI CUP 2012 - BRUNEI LWN MYANMAR DALAM PEMBUKAAN KELAYAKAN

Brunei DS terpaksa menghadapi cabaran tuan rumah Myanmar dalam perlawanan pusingan kelayakan AFF Suzuki Cup 2012 yang akan berlangsung 5 - 13 Okt 2012 akan datang ini. Perlawanan seterusnya Brunei DS ialah menentang Kemboja (7 Okt), Laos (9 Okt) dan Timor Leste (13 Okt).

Johan pusingan kelayakan akan berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Vietnam dan Filipina, manakala naib johan akan beraksi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Malaysia, Indonesia dan Singapura. Persoalannya, apakah Brunei DS mampu layak ke pusingan akhir itu nanti? Khabarnya pasukan negara akan dikendalikan oleh jurulatih dari Korea Selatan Kwon Oh Soon yang membawa kejayaan dalam Piala Hassanal Bolkiah lalu.

Jadual lengkap boleh dilayari di sini.

Prof: Saya mengharap Brunei DS sekurang-kurangnya mampu menewaskan Kemboja, Laos dan Timor Leste untuk layak ke pusingan akhir.

Jumaat, 6 Julai 2012

FIFA BUAT 3 KEPUTUSAN PENTING

FIFA melalui International Football Association Board (IFAB) yang bersidang kelmarin 5 Julai 2012 (Khamis) di Zurich, Switzerland telah membuat 3 keputusan penting yang akan mengubah dan membawa kancah bolasepak ke dimensi baru. Tiga keputusan penting tersebut ialah;

1. Membenarkan Goal-line technology (GLT).

2. Menrimapakai kaedah Additional Assistant Referee (AAR) setelah dicuba selama 2 tahun dalam beberapa kejohanan penting iaitu UEFA Champion League, Europa League, Euro 2012 dan beberapa kejohanan lainnya.

3. Perkara yang melibatkan Law of the Game; Law 4 - The Player's Equipment, 'headscarf'. Pemakaian tudung atau 'headscarf' akan dicuba selama 2 tahun dan keputusan akhir akan ditentukan dalam IFAB Annual General Meeting pada tahun 2014 nanti. Buat masa ini tiada bukti perubatan atau santifik yang mengatakan bahawa pemakaian 'headscarf' boleh mendatangkan mudarat kepada si pemakainya (pemain).

Selanjutnya boleh dibaca di sini.

Prof: Syabas FIFA dengan langkah maju ke hadapan tersebut. Mudah-mudahan kancah bolasepak dunia menjadi lebih menarik dan kempetetif serta adil untuk semua penduduk dunia tidak mengira warna kulit, sempadan negara, berlainan ugama dan jantina.