Rabu, 5 September 2012

HAMZAH ABU SAMAH MENINGGAL DUNIA - AL-FATIHAH

Tan Sri Hamzah Abu Samah, 88, telah meninggal dunia di kediamannya di Mantin, Negeri Sembilan, Malaysia petang kelmarin (4 Sept 2012) akibat sakit tua. Sepanjang hayat Allahyarham, beliau merupakan seorang tokoh pemipin sukan yang tiada tolok bandingnya dengan memimpin beberapa persatuan sukan serta memegang  beberapa jawatan penting.

Ketika pemimpin-pemimpin persatuan sukan di benua Asia yang lain masih terkial-kial untuk mencari identiti, Allahyarham telah aktif menjelajah ke seluruh pelosok dunia mengabdi diri sebagai Presiden FAM, Presiden AFC, Naib Presiden FIFA dan Naib Presiden IOC (International Olympic Council) sejah tahun 1970an lagi. Kepimpinan sukan bukan sahaja di Malaysia malah di Asia pasti merasai akan kehilangan sebutir bintang yang banyak menabur bakti menyediakan asas dalam pengurusan sukan khususnya bolasepak.

Kebetulan sepanjang saya bertugas sebagai wartawan sukan sekitar tahun 1980an dulu sering kali berdepan dan menemuramah Allahyarham dan antara kenangan paling jelas dan tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup saya ialah temuramah antara saya dan Kamal Osman (teman wartawan akhbar Harian Nasional) dalam kereta Jaguar milik Allahyarham sebaik tamat salah satu mesyuarat majlis FAM. Sebelum itu Allahyarham telah sudi menumpangkan dan menghantar kami kembali ke pejabat (di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur).

Dalam temuramah secara santai itu beberapa topik telah kami perbincangkan, dari pembangunan bolasepak hinggalah kepada soal kepimpinan sukan. Dari saat itu saya mula menyedari bahawa betapa pentingnya kepimpinan sukan yang berwibawa untuk meneraju pembangunan sesuatu sukan tersebut. Temuramah tersebut juga telah mencatat sejarah apabila kami diberitahu bahawa FAM akan menuju era bolasepak professional dengan memulakannya dengan Liga Semi Pro dalam masa lima tahun. Keesokan harinya berita tersebut menjadi tajuk utama akhbar kami 'Harian Nasional' dan sudah pasti akhbar-akhbar establish seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Malay Mail dan Star merasa kehairanan kerana perkara tersebut tidak disentuh langsung dalam sidang meda selepas mesyuarat majlis FAM. Peristiwa ini amat bermakna kerana kami sebagai wartawan akhbar 'nyamuk' berjaya menewaskan akhbar besar dalam mendapatkan berita penting yang akan merubah senario bolasepak Malaysia. Peristiwa ini dimungkinkan terjadi dengan adanya sifat rendah diri seorang pemimpin (Tan Sri Hamzah) yaang sudi menumpangkan kami menaiki keretanya.

Sepanjang hayat Allahyarham menjawat sebagai Presiden FAM, Allahyarhaam seringkali turun ke padang melihat persiapan atau latihan pusat skuad kebangsaan untuk memupuk kemesraan antara kepimpinan dan pemain. Allahyarham akan berbual dan bergurau-senda dengan para pemain sebaik sahaja latihan tamat dan sifat rendah diri ini sudah pasti membuatkan kesemua pemain berasa selesa dan bersemangat untuk bermain dan menabur bakti kepada negara. Sifat seperti inilah yang jarang kita lihat kepada pemimpin-pemimpin sukan sekarang ini.

AFC sudah pasti merasai kehilangan kerana atas jasa Allahyarham ibu pejabat AFC ditempatkan di Kuala Lumpur pada masa ini. Dalam masa kepimpinan Allahyarham kancah bolasepak Malaysia mencapai kemuncaknya apabila dua kali layak ke Sukan Olimpik (1972 Munich, Jerman dan 1980 Moscow, Soviet) dan memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974.

Allahyarham turut melahirkan rasa bimbangnya kerana Malaysia khususnya dan Asia amnya kekurangan pemimpin sukan yang berwibawa untuk menjadi pelapis kepada tokoh-tokoh seperti Allahyarham. Bagi Allahyarham, memupuk bakat kepimpinan sukan sama penting dengan memupuk pembangunan seseorang atlit sukan. Dan falsafah Allahyarham itu ternyata benar dalam kancah sukan moden masa kini. Di mana-mana negara membangun sangat ketandusan para pemimpin sukan yang mampu untuk meenerajui sesuatu sukan dan membawanya mencapai tahap kegemilangan. Kita lihatlah keadaan di sekeliling kita saat ini.

Antara jawatan yang pernah dipegang oleh Allaahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah adalah seperti berikut;
1969 - President, Malaysia Cricket Association.
1975 - President, FAM.
1976 - President, Olympic Council of Malaysia (OCM).
1977 - Hon. President SEA Games Federation.
1978 - President Asia Football Confederation (AFC); Member, International Olympic Council (IOC).
1982 - Senior Vice President Olympic Council of Asia (OCA); Vice President Commonwealth Game Federation; Vice Presiden FIFA (hingga 1990).
1984 - Hon. President FAM.
1990 - Hon. Executive Member of FIFA.
1994 - Hon. President AFC

Prof: Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan di sisi para solehen.

Tiada ulasan: