Selasa, 31 Julai 2012

BOLASEPAK OLIMPIK - SYABAS KOREA & JEPUN

Gambar ehsan Google
Korea Selatan dan Jepun menjadi kebanggaan benua Asia kerana layak ke pusingan suku akhir Sukan Olimpik London 2012 bagi acara bolasepak setelah kesemua pasukan menamatkan perlawanan peringkat kumpulan masing-masing. Lapan buah pasukan layak setelah menjadi johan dan naib johan kumpulan. Pasukan tersebut adalah Great Britain & Senegal (Kum A), Mexico & Korea Selatan (Kum B), Brazil &Mesir (Kum C) dan Jepun & Honduras (Kum D).

Sudah pasti pencapaian layak ke pusingan suku akhir oleh dua jaguh Asia iaitu Korea Selatan dan Jepun sesuatu yang amat membanggakan kita dan perkembangan ini tidak menjadi sesuatu yang luar biasa kerana dalam Piala Dunia 2010 Afrika Selatan lalu mereka juga menunjukkan aksi yang baik. Sebuah lagi wakil Asia, UAE gagal untuk mara buat kali ini. Manakala malang bagi juara dunia dan Eropah, Sepanyol, gagal layak malah turut gagal mengutip sebarang mata. Ini sama sekali mencacatkan impian rakyat dan peminat boalsepak Sepanyol untuk menjadi 'Raja Mutlak' bolasepak dunia dengan menjadikan emas sukan olimpik sebagai koleksi mereka.

Jadual perlawanan suku akhir bolasepak Sukan Olimpik London 2012 adalah seperti berikut;

Great Britain lwn Korea Selatan
Brazil lwn Honduras
Mexico lwn Senegal
Jepun lwnMesir

Namun ada juga sisi yang menyedihkan atau memilukan. Tiadanya wakil negara-negara Asia Tenggara dalam Olimpik kali ini. Nampaknya mutu bolasepak rantau ini masih berada jauh di bawah negara-negara rantau Asia Timur seperti Korea Selatan, Korea Utara, China dan Jepun serta rantau Asia Barat (negara-negara Arab). Walhal, pada tahun-tahun 1960an,1970an dan di awal 1980an mutu permainan kesemua pasukan di Asia berada pada tahap yang sama. Malaysia, Thailand dan Indonesia sering menewaskan Korea Selatan, Jepun, China, Arab Saudi, UAE, Iran dan Qatar. Malaysia dua kali ke Sukan Olimpik iaitu tahun 1972 (Munich, Jerman) dan 1980 Moskow, Soviet (menyertai Amerika & blok Barat memboikot temasya tersebut). Namun kini keadaan jauh berbeza. Rantau Asia Tenggara jauh ketinggalan.

Perkembangan ini meninggalkan tugas maha berat kepada AFF sebagai badan induk dan ahli-ahli gabungannya untuk berkerja lebih kuat untuk mempertingkatkan lagi mutu permainan bolasepak di rantau ini. Tahap professionalisma pengurusan juga mesti ditingkat. Program pembangunan jangka sederhana dan panjang WAJIB dijalankan! Pemilihan para pentadbir dan pengurus program mestilah dijalankan secara telus, hanya mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan.

Pengurusan sumber kewangan juga mesti diperhatikan dan diurus dengan baik kerana ianya adalah nadi kepada kesemua aktiviti. Dan yang paling utama adalah jangan pilih kasih dalam pemilihan (sama ada memilih pemain, pegawai-pegawai bertugas dan juga pemimpin persatuan). Utamakan 'merit' atau kemampuan sebenar. Dalam dunia penuh cabaran ini kita tidak mampu lagi untuk melihat sesuatu pertubuhan/persatuan diurus tadbir seperti mengurus persatuan kampung atau kaum keluarga sendiri. Dengan itu pasukan yang dibentuk nanti akan jitu dan padu dan mampu memberi natijah positif kepada kancah bolasepak sesebuah negara.

Prof: Masih yakin suatu hari nanti negara Asia Tenggara akan layak ke Olimpik dan Piala Dunia.

Tiada ulasan: