Rabu, 16 April 2014

PIALA DUNIA DATANG LAGI

Bermula dari 12 Jun hingga 13 Julai 2014 akan datang ini semua mata akan tertumpu ke negara Brazil yang akan menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Dunia 2014, sebuah temasya sukan terbesar di dunia (selepas Sukan Olimpik). Kesemua 32 buah pasukan yang layak juga telah diundi kumpulan masing-masing dan dipercayai sedang membuat persiapan terakhir untuk mempamerkan aksi terbaik mereka di Brazil nanti.

Brazil selaku tuan rumah sudah pasti menjadi pasukan favourite untuk keluar sebagai juara kali ini di samping penyandang, Sepanyol, yang masih menduduki rangking 1 FIFA, Jerman, Argentina, Holland, Portugal, England dan tidak ketinggalan negara-negara dari benua Afrika seperti Ivory Coact, Ghana, Cameroon dan Nigeria dilihat mampu untuk memperbaiki persembahan mereka dan mencabar pasukan-pasukan Eropah dan Amerika. Pasukan-pasukan dari Asia masih berada di luar kerangka pencabar terkuat, hanya sebagai 'underdog'.

Apa yang membimbangkan FIFA adalah persiapan tuan rumah Brazil yang menghadapi beberapa masalah terutamanya ada terdapat stadium yang masih belum siap sepenuhnya, malah ada yang sedang dalam pembinaan. Sepatutnya dalam masa ini (kira-kira sebulan lebih dari tarikh pembukaan rasmi) kesemua stadium sudah siap dan sedia untuk digunakan.

Bagaimanapun, dari segi sambutan pula, sudah pasti ianya akan diingati sebagai sebuah temasya Piala Dunia paling meriah. Ini disebabkan dua faktor utama iaitu Brazil adalah negara bolasepak utama di rantau Amerika Selatan dan sebahagian besar tiket perlawanan yang dikhaskan untuk penonton tempatan sudah habis dijual. Situasi ini berbeza dengan empat tahun lalu, 2010, apabila Afrika Selatan menjadi tuan rumah, banyak tiket masih belum terjual walaupun kejohanan sudah bermula.

Baiklah, kita nantikan bersama-sama kemeriahan temasya empat tahun sekali ini yang dapat menyatukan semua golongan di dunia ini khusus untuk melihat pemain dan pasukan pujaan mereka beraksi. Bravooo!

Prof; Masih menanti pasukan dari Asia Tenggara layak ke pusingan akhir ini. Bila agaknya?

Tiada ulasan: