Jumaat, 3 Jun 2011

SELAMAT MAJU JAYA BOLASEPAK BRUNEI

Semua orang gembira, semua orang teruja. Di seluruh pelosok Brunei; di bandar, di mukim, di kampong, di pejabat, di kafe, di restoran dan di padang bola, semua orang merayakan apabila bolasepak Brunei 'bernafas' kembali di arena antarabangsa apabila FIFA mengiktiraf NFABD sebagai ahli gabungannya.

Ucapan syabas dan tahniah diucapkan kepada individu dan kelompok yang berusaha dan berkerja keras sehingga mencapai matlamat itu (pengiktirafan oleh FIFA). Rata-rata para peminat tidak peduli persatuan mana yang diiktiraf oleh FIFA asalkan bolasepak Brunei berada di persada antarabangsa kembali. Begitu dahaganya mereka kepada penglibatan Brunei di kejohanan-kejohanan antarabangsa dan yang penting mereka mahu nama Brunei dapat dijulang 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' bersama negara-negara lain dalam sukan bolasepak ini.

Kini pengiktirafan sudah di tangan. Bak kata pepatah, 'perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan', bersedialah mengharungi lautan luas yang penuh bergelora, ribut-taufan dan ombak menggila. Namun apa yang dirayakan oleh para peminat sedikitpun tidak merujakan hati saya. Saya terus diselubungi bimbang dan was-was. Banyak persoalan timbul di benak pemikiran saya.

Paling membimbangkan saya ialah soal sama ada persatuan baru itu akan berada pada landasan yang tepat dan berada di tangan orang-orang (pemimpin) yang betul. Apakah para pendokongnya terdiri dari semua 'stakeholders' yang sedang terlibat dalam kancah bolasepak negara, atau hanya mereka-mereka yang 'terpilih' sahaja?

Apakah para pemimpin persatuan itu nanti mengamalkan sikap 'buang yang keruh, ambil yang jernih' atau tetap mengamal sikap lama yang lebih kepada mementingkan kelompok tertentu dan memencilkan sesetengah pihak yang tidak 'sebulu' dengan mereka (sedangkan kelompok ini mempunyai kepakaran tertentu dan amat berguna kepada kemajuan dan pembangunan sukan bolasepak).

Soal struktur kepimpinan juga sangat membimbangkan saya. Seorang teman berpesan, "Jangan jadi persatuan kampung saja sudahlah jon". Mengambil contoh saf kepimpinan persatuana negara jiran Malaysia iaitu FAM, mereka memiliki Presiden, 2 Timbalan Presiden, 4 Naib Presiden, Setiausaha Agong dan 2 Penolong Setiausaha Agong/antarabangsa dan tempatan (yang dilantik oleh Majlis dan diberikan gaji tetap), 8 Exco dan puluhan lagi Ahli Majlis (yang terdiri dari wakil-wakil persatuan gabungan).

Dari susunan saf kepimpinan FAM itu sudah jelas menampakkan kepada kita bahawa mereka serius untuk mentadbir. Kalau dinilai dari faktor geografi memang FAM mentadbir kawasan yang jauh lebih luas berbanding Brunei. Akan tetapi tugas dan tanggungjawab tetap sama iaitu mentadbir, membangun dan memajukan sukan bolasepak dalam segala aspek dari tahap paling bawah iaitu di peringkat kanak-kanak yang baru belajar menendang bola hinggalah kepada pencapaian peringkat antarabangsa pasukan kebangsaan.

Para pemimpin tetap bertugas untuk membangun dan memajukan bolasepak di samping terlibat secara 'wajib' dalam puluhan kejohanan-kejohanan dalam dan luar negeri. Dengan tugas yang menggunung ini adalah layak ianya ditangani oleh sekelompok kecil manusia sahaja? FAM mempunyai 22 standing committee (jawatakuasa kecil dalam konteks negara kita) yang mencangkupi pelbagai aspek seperti kewangan dan pengurusan, pertandingan, pengurusan pasukan kebangsaan, pentadbiran, kongres, darurat, media dan perhubungan antarabangsa, teknikal dan pengadilan, futsal dan bolasepak pantai, bolasepak wanita, keselamatan, pemantauan, audit dalaman, rayuan, tatatertib, status pemain, perubatan sukan, pembangunan belia, kejohanan antarabangsa dan beberapa aspek lagi yang mana setiap standing committee itu dianggotai tidak kurang 4 ahli dan diketuai oleh seorang Exco atau Ahli Majlis. Jika dilihat setiap ahli standing committee tersebut dianggotai oleh kesemua mereka yang memang pakar dalam bidang masing-masing walaupun mereka bukan mewakili mana-mana persatuan gabungan. Untuk melihat secara jelas awda bolehlah melayari laman web rasmi FAM di sini.

Dalam konteks persatuan baru itu nanti mungkin boleh mengambil contoh dari saf kepimpinan FAM itu akan tetapi dengan sedikit penyesuaian memandangkan saiz ahli gabungan yang kecil. Namun struktur yang terwujud di FAM sangat jelas akan ungkapan mereka 'mean business'. Serius dan mementingkan pencapaian dan martabat bolasepak negara dan bukannya mengejar impian peribadi dan kelompok sendiri. "Yang buruk jadikan sempadan, yang baik jadikan tauladan", ungkap seorang rakan lama melalui Facebook.

Apapun kejadiannya, saya hanyalah seorang penulis/blogger. Segalanya terserah kepada saf kepimpinan persatuan untuk menentu hala tuju mereka. Siapalah saya pada mereka, tak lebih seolah 'seekor nyamuk di malam hari'.

Prof: Sentiasa mendoakan kemajuan namun saya sudah menjangka akan kesudahannya. Tunggu waktu sesuai akan saya dedahkan.

Tiada ulasan: