Khamis, 16 Jun 2011

WELCOME SWANSEA CITY TO EPL & TERINGAT KENANGAN LAMA

John Toshack
Seperti yang kita ketahui 3 buah kelab dari Championship League akan beraksi di EPL musim 2011/2012 iaitu Swansea City, Queen Park Rangers (QPR) dan Norwich City. QPR dan Norwich adalah salah sebuah kelab 'klasik' sebaris Liverpool, Man City, Spurs, Southampton, Nottingham Forest, Stoke City dan lain-lain lagi.

Sementara itu kemunculan Swansea City agak istimewa sedikit kerana kelab tersebut merupakan kelab pertama dari Wales yang berjaya beraksi dalam EPL. Apabila melihat pencapaian Swansea City musim lalu saya merasa teruja jika mereka dapat layak beraksi di EPL musim depan.

Keterujaan saya adalah disebabkan oleh teringat kenangan lampau bersama kelab tersebut di awal 1980 an (mungkin tahun 1983 atau 84) apabila mereka diundang oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang menganjur kejohanan Intercity Cup. Antara bandaraya yang pernah beraksi ialah Rio de Jenerio (saya bertemu Eder, pemain sayap Piala Dunia Brazil), Beunos Aries, Ankara (turut disertai Tanju Golak pemenang anugerah Kasut Emas UEFA), Seoul dan beberapa bandaraya lainnya.

Dan pengendali Swansea City pada waktu itu ialah John Toshack (gambar atas), bekas bintang Liverpool. Sebagai seorang wartawan yang masih muda belia waktu itu sudah pasti saya sangat teruja kerana berpeluang bertemu dan menemuramah beliau. Sepanjang 2 minggu kejohanan berlangsung ternyata Toshack tidak menyombong atau sukar didekati. Beliau sangat professional dalam tugas dan akan sudi ditemuramah setiap kali kami memintanya hingga kami menjadi rapat seolah-olah sudah kenal lama.

Selepas tidak berkhidmat bersama Swansea City, Toshack telah berkelana ke beberapa negara Eropah menjadi antara pengurus British paling berjaya (bagi tanggapan saya beliau lebih hebat dari Alex Ferguson). Toshack pernah menjadi pengurus kepada Real Madrid, Real Sociedad, Deportivo La Coruna, Real Murcia (Sepanyol), Catania (Itali), Saint Etiene (Perancis), Sporting C.P. (Portugal) dan Besiktas (Turki) di samping menerajui pasukan kebangsaan Wales. Kini khabarnya beliau sedang dirisik oleh Turki untuk menjadi pengurus mereka jika Guus Hinndink berjaya dipancing oleh Chelsea.

Berbalik kepada Swansea City yang akan beraksi dalam EPL musim depan, saya sudah pasti mengimbau kenangan lebih 20 tahun lalu melihat mereka beraksi dan berlatih hampir setiap hari. Apa yang dapat kita ambil dari cerita ini ialah bagaimana kesungguhan dan dedikasi, pengurusan yang cekap dan professional serta tidak mengenal penat lelah membawa kejayaan kepada sesebuah pasukan. Perkara inilah yang mesti diambil iktibar oleh kelab-kelab bolasepak di negara ini waima pasukan kebangsaan sendiri.

Perkara kedua yang merujakan saya dengan kehadiran QPR dan Norwich City ialah kerana kedua-dua kelab tersebut adalah antara kelab utama Divisyen Satu di tahun-tahun 1970 an & 1980 an. Ketika itu kita hanya melihat siaran tv liga England melalui rancangan 'Star Soccer' itupun rancangan yang disiarkan ialah adalah perlawanan 3 atau 4 bulan sebelumnya. Selain rancangan tv tersebut kami peminat bolasepak mengetahui berita-berita bolasepak dunia melalui dua buah majalah iaitu 'Shoot' dan 'Match' yang dicetak sebulan sekali. Sangat jauh perbezaannya dengan zaman ini.

Saya amat berharap jika kelab-kelab lama seperti Nottingham Forest, Crystal Palace, Wattford, Sheffield Wednesday, Bristol Rovers, Notts County dan lain-lain lagi akan dapat beraksi dalam EPL. Malangnya salah sebuah kelab teras liga England ini iaitu West Ham United terpaksa turun beraksi di Liga Championship musim depan. Diharap 'The Hammers' akan dapat kembali ke EPL musim 2012/2013.

Prof: Maaf, bernostalgia sedikit. Ada baiknya kita lari dari isu hangat dalam negara.

Tiada ulasan: