Isnin, 13 Jun 2011

SELAMAT TINGGAL B LEAGUE & TERIMA KASIH

Kita tidak akan melihat lagi logo ini buat selama-lamanya. Adios/Selamat Tinggal/Sayonara/Dirgahayu!!!!!!!!

Brunei League (B League) telah mengucapkan selamat tinggal kepada kancah bolasepak Brunei DS dan para peminatnya. B League terpaksa diberhentikan serta merta akibat dari arahan yang dikeluarkan oleh badan induk baru bolasepak Brunei DS NFABD supaya kesemua perlawanan-perlawanan B League hendaklah dihentikan sebelum 27 Julai 2011, jika tidak maka NFABD akan diambil tindakan oleh FIFA.

FIFA hanya mengiktiraf liga yang dianjurkan oleh NFABD dan oleh kerana B League dianjurkan oleh FFBD maka NFABD akan menerima natijah jika liga tersebut terus berjalan. Melalui kenyataan medianya NFABD telah menasihatkan agar B League disiapkan sebelum 27 Julai 2011. Jika mengikut arahan FIFA, B League hendaklah ditamatkan sebaik sahaja NFABD ditubuhkan secara rasmi pada 6 Jun 2011 lalu. Akan tetapi menilai kepada kelangsungan perjalanan liga maka NFABD telah membuat rayuan kepada FIFA dan peluang telah diberikan kepada B League untuk disiapkan sebelum 27 Julai 2011.

Namun menurut penganjur B League adalah mustahil untuk menyiapkan baki perlawanan untuk mencapai target 27 Julai, oleh itu B League terpaksa menutup tirainya lebih awal demi kebaikan semua pihak. Tidak dapat dinafikan B League yang ditubuhkan sejak 2002 lagi telah banyak membantu melahirkan pemain-pemain berkualiti yang telah diserapkan ke pasukan kebangsaan dan kelab-kelab ternama seperti DPMM FC dan QAF FC.

Saya secara peribadi dengan penilaian secara professional menganggap bahawa sumbangan B League sangat besar dan tidak dapat untuk kita nafikan. Sesuai dengan statusnya sebagai liga kebangsaan, B League telah berjaya mengekal status negara Brunei DS sebagai salah sebuah ahli dalam FIFA. Melaluinya jua lah pemain-pemain berbakat telah dapat dipilih untuk mewakili negara dalam pelbagai kejohanan luar negara sejak 9 tahun lalu.

Malah tidak dapat dinafikan juga pemain-pemain kebangsaan yang akan menyertai Sukan SEA dan Hassanal Bolkiah Trophy (HBT) akan datang ini adalah datangnya dari pemain-pemain kelab yang beraksi dalam B League yang baru sahaja ditamatkan. Ini adalah fakta dan tiada siapa dapat menyangkal.

Dan untuk permulaan saya mengharapkan liga kebangsaan yang baru ini nanti, apapun bentuk dan formatnya, akan mampu membawa bolasepak Brunei DS ke satu tahap lebih tinggi. Bukan sahaja sebagai wadah mencari pemain malah mampu menarik ramai penonton dalam setiap perlawanan, dapat menarik minat para panaja untuk membantu bukan sahaja penganjur malah kelab-kelab juga, serta menuju ke era proffesional. Saya ingin melihat rancangan jangka panjang NFABD untuk melaksanakan liga professional di negara kita (saya akan kupas perkara ini kemudian).

Tugas NFABD agak mudah bagi saya kerana liga kebangsaan sudah wujud sebelum ini, cuma mereka perlu mencari formula baru dan penambah baikkan (improvement) agar liga menjadi lebih kompetetif, menarik penonton, teratur dan menjadi salah satu liga terbaik di rantau Asean ini. Kita tunggu khabar dari NFABD.

Prof: Sudah memberi beberapa input/value added/nilai tambah kepada kawan-kawan dalam NFABD.

Tiada ulasan: