Isnin, 2 Julai 2012

TAHNIAH SEPANYOL JUARA EURO 2012, ADAKAH 'FALSE NO. 9' AKAN JADI IKUTAN?

Pasukan Sepanyol merayakan kejayaan mereka merangkul EURO 2012 - gambar ehsan Wikipedea.
Akhirnya Sepanyol membuktikan keunggulan mereka mencipta beberapa rekod penting yang pasti sukar disamai atau diatasi oleh mana-mana negara Eropah lainnya setelah merangkul kejuaraan Kejohanan Negara-Negara Eropah 2012 yang lebih dikenali Euro 2012 menjadikan Itali sebagai pasukan belasahan dalam perlawanan akhir dengan jaringan 4-0.

Dengan kemenangan bergaya itu Sepanyol di bawah bimbingan Vicente del Bosque menjadi pasukan pertama menjuarainya dua kali berturut-turut, pasukan pertama memenangi Euro (2008 & 2012) dan Piala Dunia (2010) sekali-gus. Pemain penyerangnya, Fernando aka El Nino Torres menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam dua perlawanan akhir berturut-turut (2008 & 2012).

Paling menarik untuk diperhatikan ialah kemampuan 'skuad ajaib' ini bermain tanpa pemain striker dalam hamapir kesemua perlawanan mereka yang dikenali sebagai 'false No. 9' - merujuk kepada pemain midfield yang mengambil-alih tugas di posisi striker, dalam konteks ini ditugaskan kepada Cecs Fabregas, dengan formasi asal 4-2-3-1. Vicente Del Bosque hanya kembali kepada pemain striker sebenar (selalunya Fernando Torres) hanya dalam 45 minit (ketika bertemu Croatia) atau 30 minit terakhir (separuh akhir & akhir), selebihnya pemain-pemain midfield Sepanyol bermaharajalela menguasai permain dengan hantaran-hantaran pendek yang pantas, mengisi setiap ruang kosong, kreatif dan pandai menghidu peluang untuk menyusup masuk ke dalam kawasan penalti lawan dan menjaringkan gol. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana 4 gol boleh membolosi gawang kawalan Guanligi Buffon, penjaga gol terbaik dunia.

Selepas ini sukan bolasepak akan mengenang dan mencatat dalam lipatan sejarahnya untuk Vicente Del Bosque dan corak permainan ciptaannya, 'false No. 9', walaupun ramai pengkritik beranggapan ianya sangat membosankan. Samalah juga halnya dengan 'total football' yang dimainkan oleh skuad kebangsaan Belanda di bawah bimbingan Rinus Michels ketika Piala Dunia 1974 dengan para pemain seperti Johan Cryuff, Johan Neskens dan lain-lainnya.

Corak permainan yang sama dilihatkan iaitu mengutamakan hantaran-hantaran pendek yang tepat dan sempurna, pemain menguasai setiap ruang kosong dan menyelinap masuk ke kawasan penalti lawan untuk menjaringkan gol. Arsene Wenger (Arsenal), Luis Aragones (Euro 2008 & Piala Dunia 2010) dan Pep Guardiola (Barcelona) bagaimanapun sentiasa menurunkan seorang pemain striker namun Vicente Del Bosque maju setapak lagi apabila tidak menyenaraikan langsung pemain striker.

Persoalannya apakah stail atau teknik ini akan menjadi ikutan pasukan-pasukan lain? Barcelona memang sudah biasa bermain seperti itu, Sepanyol mendapat manfaat apabila sebahagian besar pemain midfieldnya adalah kesebelasan utama Barcelona, Xavi, Iniesta, Fabregas, Pedro dan Busquets, hanya Alonso (Real Madrid) dan David Silva (Man City) menyelit di antara mereka. Untuk sesebuah pasukan mengamalkan teknik permainan seperti itu mereka memerlukan masa bertahun-tahun untuk melatih pemain-pemain dari akar umbi. Ianya tidak dapat dalam sekelip mata. Percayalah, jika ada pasukan atau kelab yang teringin bermain seperti itu dalam masa terdekat ini maka mereka akan menerima padah.

Bagaimanapun terpulang kepada pendekatan masing-masing. Ianya ternyata telah mendatang kebaikan dan kejayaan kepada Barcelona dan Sepanyol. Tidak salah jika kita ingin mencontohi mana-mana perkara yang baik, pokok pangkalnya usaha hingga berjaya, positif dalam melaksanakan sesuatu program. Insya-Allah kita akan berjaya dalam apa jua lapangan.

Prof: Terima kasih kepada RTB dan Radio Brunei Harmoni FM kerana memberi kesempatan kepada saya untuk muncul memberikan komen sepanjang Euro 2012 lalu.

Tiada ulasan: