Ahad, 15 Mei 2011

AKHIRNYA 'DEVILS' PINTAS 'THE REDS'


Hajat Sir Alex Ferguson untuk mengatasi dominasi Liverpool FC yang dilafazkan beliau di awal penampilan sebagai pengurus Man Utd dulu akhirnya tercapai di Blackburn Rovers setelah mencatat seri 1-1 untuk menjuarai EPL buat kali ke 19 (Liverpool dengan 18 kejuaraan tetapi belum pernah menjuarai EPL).

Tatkala Sir Alex mula menerajui Man Utd dulu senario bolasepak England dikuasai oleh Liverpool yang sudah menjuarai Liga Divisyen Satu (sebelum ditukar menjadi English Premier League/EPL) sebanyak 18 kali dan Champion Cup sebanyak 5 kali (dulu dikenali sebagai Piala Eropah dan Liverpool masih memegang rekod sebagai kelab England yang paling banyak memenanginya).

Apa yang dicapai oleh Ferguson bukanlah dicapai dengan mudah. Beliau mengambil empat musim sebelum mengecapi kejayaan pertama mahkota EPL dan segalanya datang melalui kepakaran beliau memilih pemain yang sesuai untuk formula atau corak permainan beliau serta ditambah oleh 'kuasa wang' yang dimiliki oleh 'The Red Devils'. Tidak dapat dinafikan Ferguson adalah pakar mencatur pemain.

Bryan Robson, Viv Anderson, Eric Cantona, Steve Bruce, Roy Keane, Paul Ince, Andy Cole, David Beckham, Fabian Bartez, Mark Huges dan Ryan Giggs adalah antara bintang-bintang besar yang silih-ganti memberikan 11 kejuaran EPL buat Ferguson. Kita patut memberikan penghormatan kepada warga Scotland itu yang jarang gagal dalam pembelian pemain berbanding musuh tradisinya di Liverpool.

Sepanjang kerjaya Ferguson di Old Trafford yang dihiasi dengan kejayaan gemilang hampir setiap musim (ada saja piala yang akan dibawa masuk ke dalam kabinet mereka) berlainan pula situasinya di Anfield. Pengurus dan pemain silih berganti, jutaan wang ringgit telah dilaburkan oleh pemilik kelab yang turut bertukar tangan, namun semuanya suram tanpa kilauan paila kejuaraan.

Nasib menyebelahi Liverpool kerana para peminat masih kekal memberi kepercayaan kepada barisan terkini yang diterajui oleh Kenny Dalglish (insan terakhir yang menghadiahkan kejuaraan liga untuk The Reds) dan pemain-pemain baru yang dibawa masuk oleh beliau seperti Luiz Suarez dan Andy Caroll. Setakat ini 'King Kenny' berjaya dalam setiap percaturannya maka menjadi tugas beliau di musim 2011/12 untuk menyamakan jumlah kejuaraan kepada 19-19 kesemuanya.

Sama-samalah kita saksikan sama ada Kenny Dalglish mampu memulakan era kegemilangan Liverpool dalam kancah EPL atau sebaliknya.

Prof: Masih mengagumi kehebatan Jose Mourinho berbanding Ferguson, maaf peminat Devils.

Tiada ulasan: