Khamis, 4 November 2010

BOLASEPAK BRUNEI KINI 100% MASUK KURANTIN

Kenangan manis menjuara Piala Malaysia 1999.

Kini telah sah bahawa skuad bolasepak bawah 15 tahun Brunei DS yang akan menyertai Kejohanan Bolasepak Bawah 15 Tahun Sekolah-Sekolah Asia tidak dibenarkan menyertainya kerana pihak penganjur (PSSI/Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia) khuatir akan menerima tindakan dari FIFA kerana BAFA telah digantung keahliannya oleh badan induk bolasepak dunia itu.

Sebagai rekod sebelum ini skuad Sekolah-Sekolah Asia Bawah 18 Tahun di Korea Selatan juga telah tidak dibenarkan bermain oleh pihak penganjur, KFA (Korea Football Association). Secara logiknya kejohanan tersebut terpisah dari 'cengkaman' FIFA kerana dianjurkan oleh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Asia sebagai acara tahunan kokurikulum mereka. Akan tetapi FIFA nampaknya telah berjaya 'menjangkau' tangannya terhadap kejohanan tersebut. Akibatnya skuad Brunei DS yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan tidak dapat menyertai apa jua kejohanan di luar negara termasuk menjadi tuan rumah Kejohanan Bolasepak Bawah 15 Tahun Sekolah-Sekolah Asia 2011 seperti mana yang dijadualkan sebelum ini. Dengan itu sah 100% bolasepak Brunei DS 'dikurantinkan' oleh FIFA!

Fakta;
* FIFA menganggap ada campurtangan pihak pemerintah apabila BAFA dibatalkan pendaftaran dan tertubuh pula FFBD.
* Bagi pihak pemerintah BAFA telah melanggar salah satu fasal dalam peraturan Pendaftar Pertubuhan (gagal membuat mesyuarat agong dan seterusnya tidak menghantar laporan tahunan dan laporaan kewangan).

Tanggapan Umum;
* Ada pihak yang bersimpati dan menyokong BAFA (memandangkan rekod mentadbir sukan bolasepak sebelum ini).
* Ada pihak yang menyokong penubuhan FFBD untuk menggantikan BAFA sebagai badan induk.
* Ada pihak yang mengambil jalur professional iaitu beranggapan bahawa BAFA perlu 'dihukum' kerana kesalahan yang telah dilakukan tetapi dalam masa yang sama hukuman itu janganlah mengakibatkan bencana kepada pembangunan bolasepak Brunei DS.
* Ada pihak tak ambil peduli.

Dari fakta dan tanggapan di atas serta apa yang sedang berlaku saat ini maka bolehlah saya membuat andaian bahawa pihak pemerintah berhak untuk menghukum BAFA dan wajib mempertahankan kedaulatan dan keluhuran perlembagaan negara. Dalam masa yang sama pertimbangan secara saksama perlu juga diambil kira untuk memberi peluang kepada pembangunan dan aktiviti berjalan seperti biasa.

Sesungguhnya permasalahan ini memberi iktibar dan contoh terbaik kepada pemimpin-pemimpin persatuan sukan agar tidak melakukan kesilapan yang sama. Jika tidak mampu untuk memimpin undur diri dan beri laluan kepada mereka yang benar-benar layak dan berwibawa. Jangan kerana merasa kerugian apabila melepaskan jawatan membuatkan kita memegang sesuatu jawatan tanpa melaksanakan kewajipan. Ini adalah satu dosa!

Yang pasti, bolasepak Brunei DS kini dalam tempoh kurantin. Persoalannya, sampai bila? Apakah FIFA mahu berlembut dan memberi peluang keahlian kepada FFBD? Apakah yang sedang dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan untuk bolasepak Brunei DS kembali ke persada antarabangsa? Sama-samalah kita tunggu. 'Sabar sebahagian daripada iman'

Prof: Sahabat lama di PSSI memberitahu bahawa 'orang dari Brunei' sendiri turut menekan supaya penyertaan Brunei DS di Jakarta dirujuk kepada FIFA. Apa maksud orang itu? Seolah-olah 'Kalah jadi abu, menang jadi arang'. Jika benar, sungguh tak bertanggungjawab dan telah menderhaka kepada negaranya sendiri. Wallahhu aklam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ngak usah di persoalkan orang lain PSSI juga ngak kalah dengan permasalahannya, jangan nanti hanya setakat dokong saja kemudian membawa jatuh semuanya. kalo dulu orang pake cermin sekarang mudah aje selfie aje