Isnin, 24 Disember 2012

SANG SINGA JUARA KALI KE 4

Gambar ehsan Google.
 'Sang Singa' Singapura akhirnya mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama menjuara AFF Suzuki Cup buat kali ke empat berturut-turut dengan membaham 'Sang Gajah Perang' Thailand dalam perlawanan akhir secara timbal-balik (3-2). Syabas kepada pasukan Singapura kerana menjadi jagoan bolasepak rantau Asia Tenggara ini walaupun semua orang tahu bahawa Singapura hanyalah sebuah negara pulau (island city-state) yang kecil berbanding dengan jiran-jirannya.

Amat menarik kejohanan kali ini untuk diperkatakan atau direnungkan beberapa fakta mengenainya umpamanya;
1. Indonesia sebagai sebuah negara terbesar masih belum mampu muncul juara malah kali iui gagal di peringkat kumpulan lagi.
2. Filipina buat pertama kali layak ke separuh akhir dan menempatkan dirinya sebagai jaguh Asia Tenggara yang baru.
3. Walaupun Liga S tidak sehebat mana berbanding liga-lega negara Asia Tenggara yang lain akan tetapi pasukan kebangsaannya masih mampu mencipta kejuaraan buat kali ke empat!.
4. Kita terpaksa menanti untuk 2 tahun lagi untuk melihat juara baru AFF Suzuki Cup. Setakat ini, selain Singapura, hanya Thailand, Malaysia dan Vietnam yang pernah mengecap status sebagai juara.

Prof: Kenapa Singapura mampu juara? Jawapannya adalah pengurusan yang cekap. Apapun formula mereka, walau dianggap sinis oleh negara-negara lain (seperti mengambil pemain 'import') namun tindakan mereka masih di dalam kerangka yang dibenarkan oleh FIFA. Mereka mencipta kejayaan dengan mencipta formula mengikut kemampuan mereka. Sikap professional pengurusan mereka patut dicontohi, jangan hanya menyindir atau mencemuh.

Jumaat, 23 November 2012

AFF SUZUKI CUP 2012 BERMULA

Gambar ehsan Google
AFF Suzuki Cup 2012 akan berlangsung dari 24 Nov hingga 22 Dis 2012. Lapan buah pasukan terkuat dari rantau Asia Tenggara setiap 2 tahun sekali akan beradu tenaga untuk menjadi 'Raja Bolasepak Asia Tenggara'. Lebih 500 juta penduduk rantau ini akan menyaksikan perlawanan-perlawanan hebat yang mempertemukan pemain-pemain terbaik setiap negara.

Pusingan akhir kali ini akan berlangsung di dua buah negara iaitu Thailand (Kumpulan A) dan Malaysia (Kumpulan B). Kumpulan A dianggotai oleh Thailand selaku tuan rumah, Vietnam, Filipina dan Myanmar. Manakala juara bertahan Malaysia akan melayani kunjungan musuh tradisi Singapura, Indonesia dan Laos dalam Kumpulan B.

Perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada 8/9 Dis (pusingan pertama) dan 12/13 Dis (pusingan kedua) dan perlawanan akhir pula pada 19 & 22 Dis 2012 yang turut dijalankan secara timbal-balik (home/away). Pada 2012 Malaysia muncul juara setelah menewaskan Indonesia dengan aggregate 4-2 (3-0/1-2) dalam perlawanan akhir yang menghiburkan.

Ironinya, Indonesia selaku negara terbesar di rantau ini masih belum mampu bergelar sebagai juara sejak kejohanan ini dimulakan pada 1996. Sejak itu hanya Thailand, Singapura, Vietnam dan Malaysia dimahkotakan sebagai juara. Kita skasikan sama ada edisi 2012 ini akan menjadi milik Indonesia. Selamat berjuang kepada setiap pasukan dan kepada para penonton diharap jangan emosi. Menonton dan menyokonglah dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Untuk mengetahui maklumat terkini sila layari laman web rasmi AFF Suzuki Cup 2012 di sini. atau klik logo AFF Suzuki Cup 2012 di sebelah kanan atas blog ini.

Prof: Masih menantikan kemunculan Negara Brunei Darussalam di pentas pusingan akhir ini. Segala jawapan ada pada NFABD selaku badan induk.


Jumaat, 9 November 2012

KINI GILIRAN AHMAD FAKRI KE EROPAH

Ahmad Fakri (kanan) sewaktu bermain untuk Harimau Muda A - gambar ehsan Google.

Ahmad Fakri Saarani, 23 tahun, merupakan pemain Malaysia yang terbaru mencuba nasib sebagai pemain professional di benua Eropah. Bekas pemain Harimau Muda A itu akan bermain untuk kelab Atletico Sport Club yang beraksi dalam liga divisyen tiga Portugal. Sebelum ini pemain muda berbakat besar, Mohd Nazmi Faiz Mansor telah diikat oleh kelab divisyen satu Portugal, Beira Mar FC dan kini sedang bermain untuk skuad remaja kelab tersebut.

Pemain yang berasal dari Kelantan itu kini bermain untuk pasukan Felda United dalam Liga M. Beliau diberitakan oleh media tempatan sudah lama ingin ditambat oleh kelab Portugal namun akibat terikat dengan kontrak bersama Felda United maka pemergiannya ke Portugal terpaksa ditangguhkan hingga berakhir musim 2012/2013 ini. Ini bermakna Ahmad Fakri hanya akan tersenarai sebagai pemain Atletico SC pada pertengahan tahun 2013 nanti.

Prof: Masih menanti kemunculan pemain pertama dari Brunei DS sebagai professional dan bermain untuk kelab luar negara.

Ahad, 21 Oktober 2012

TAHNIAH KELANTAN, JUARA PIALA MALAYSIA 2012

Ehsan Google
Nyata tahun 2012 milik Kelantan. Malam tadi bertempat di Stadium Shah Alam, skuad 'The Red Warrior' membenam cabaran getir ATM aka 'The Green Beret' 3-2 dalam perlawanan akhir bersejarah itu. Dengan kemenangan manis itu Kelantan turut mencipta 'treble' setelah sebelum ini menjuarai Piala FA dan Liga Super.

Kehebatan pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia (Piala Malaya, Piala Malaysia, Liga Semi Pro) silih berganti. Dari Selangor dan Singapura mendominasi di tahun-tahun 60 & 70 an, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur pada dekad 80 an, Selangor kembali menyinar sebentar pada 90 an dan dalam tahun-tahun 2000 ini Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan kini giliran Kelantan menjadi 'Raja Bola' Malaysia. Kenapa tiada satu pasukan pun yang konsisten seperti dalam liga-liga Eropah? Jawapannya adalah, PENGURUSAN!

Sesuatu dasar dan projek akan mencapai matlamatnya jika diuruskan dengan baik, profesional, telus dan ikhlas. Jika semua ini ada maka kejayaan akan berterusan kita miliki. Bolasepak Brunei bagaimana? Sama-samalah kita saksi dan nilai sendiri bagaimana usulnya.

Prof: Membuat liputan final dalam beberapa perlawanan akhir Piala Malaysia masih menjadi nostalgia manis dalam kerjaya.

Isnin, 1 Oktober 2012

SELAMAT BERJUANG BRUNEI DS

DOA DAN HARAPAN PEMINAT 'SANG TEBUAN'
Skuad Tebuan ketika perlawanan persahabatan menentang Indonesia - gambar ehsan ranoadidas.com
Buat pertama kali dalam beberapa tahun skuad bolasepak Brunei DS 'Sang Tebuan' akan beraksi dalam pentas antarabangsa yang sebenar dengan berbekalkan para pemain terbaik negara (walaupun himpunan mereka di saat-saat akhir). Kali ini pentas perjuanagan mereka adalah pusingan kelayakan AFF Suzuki Cup 2012 yang akan berlangsung di Myanmar.

Dalam kempen-kempen pusingan kelayakan edisi sebelum ini skuad negara tidak diwakili oleh pemain-pemain terbaik kerana hanya pasukan kelab yang dihantar iaitu QAF FC dan DPMM FC. Malangnya kesemua percubaan 'formula aneh' tersebut menemui kegagalan. Seperti biasa lawan pasukan kitaa kali ini slain pasukan tuan rumah Myanmar ialah Kemboja, Filipina, Timor Leste dan Laos. Dua pasukan teratas akan menyertai 8 buah pasukan lagi dalam pusingan akhir nanti yang akan bermain di Malaysia dan Thailand.

Kesemua pasukan-pasukan tersebut pernah berdepan pasukan negara tetapi bukan skuad yang ada kini. Skuad bekas pemain midfield kreatif kebangsaan, Haji Feisal Mohd Yussof sebagai pengurus pasukan dan jurulatih dari Korea, Kwon Oh Soon, adalah gabungan pemain-pemain bawah 21 tahun yang menjuarai HBT 2011 lalu dan pemain-pemain senior dari DPMM FC.

Skuad negara mengharungi beberapa perlawanan persahabatan di Malaysia dan paling berprestij ialah pertemuan klasik menentang naib juara AFF Suzuki Cup 2010 Indonesia dan paling terakhir ialah bertemu pasukan Sabah. Melalui kesemua perlawanan persahabatan tersebut sudah pasti beberapa kelemahan telah dikenal pasti untuk diperbaiki dan juga kelebihan yang akan menjadi senjata untuk dibawa menghadapi saingan sengit di Myanmar nanti.

Secara peibadi saya berkeyakinan pasukan negara mampu layak. Seperti telahan awal saya secara 'on paper', kita mesti menewaskan Kemboja, Timur Leste dan Filipina, sambil mengelak dari kekalahan bertemu Myanmar dan Laos (kalau menang adalah bonus). Namun segala keputusan akhir adalah di tangan Kwon Oh Soon bagaimana untuk mengadun dua 'generation gap' pemain-pemain yang ada dalam skuad beliau itu. Saya faham dan mengerti situasi yang beliau hadapi sangat berat, tetapi itulah bolasepak namanya. setiap pasukan memiliki masalah, cabaran dan harapan tersendiri.

Pemain-pemain muda dari skuad HBT memang berpotensi, sementara pemaian-pemain senior dan berpengalaman dari DPMM FC juga berhak untuk menggalas cabaran negara. Yang pening di sini adalah adunan akhir di mana untuk meletakkan Rosmin Hj Mohd Kamis, Azman Hj Mohd Salleh, Sairol Hj Sahri, Shahrazen Said dan Haji Mohd Subhi Abdillah (sudah pasti Wardun Hj Mohd Yussof di posisi penjaga gol). Jika kena dengan situasi dan faktor kelemahan pihak lawan, saya yakin kombinasi ini akan membawa hasil. Yang penting pemain-pemain senior mesti pandai membawa diri di sekeliling pemain muda yang berbakat.

Akhirnya, segala yang kita alami dalam persiapan AFF Suzuki Cup 2012 ini hendaklah dijadikan satu pelajaran paling berguna dalam menghadapi kejohanan-kejohanan penting yang lain seperti Sukan SEA, pusingan kelayakan Piala Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia nanti. Kesemua pemain yang layak hendaklah dihimpunkan dalam jangkawaktu yang lama dan diberi pendedahan secukupnya. Di samping itu, program jangka panjang juga diperlukan bagi menjamin kelangsungan bagi kita untuk melahirkan pemain-pemain berbakat di masa akan datang.

Selamat berjaya!

Prof: Ingin melihat kesemua pihak meletakkan tugas mewakili negara lebih penting dari segala-galanya.

Selasa, 18 September 2012

SYABAS DPMM FC

 Rosmin 'Boby' Haji Kamis ketua pasukan DPMM FC.

Para peminat 'Sang Tebuan' pasukan kebangsaan Brunei Darussalam yang akan menyertai pusingan kelayakan AFF Suzuki Cup pasti merasa lega dan bertambah semangat apabila DPMM FC bersetuju memberi kerjasama untuk membenarkan pemain-pemain bintang mereka menyertai skuad kebangsaan yang kini sedang giat menjalani latihan di bawah pengawasan Haji Feisal Haji Yeusoff (Pengurus) dan kendalian Kwon Oh Soon (Jurulatih).

Menurut siaran akhbar tempatan kelmarin (17 Sept 2012) pihak pengurusan DPMM FC bersedia melepaskan tonggak utama mereka seperti ketuaa pasukan Rosmin 'Bobby' Haji Kamis, Haji Mohd Subhi Abdillah Haji Bakir, Wardun Haji Mohd Yussof, Shahrazen Said, Azwan Haji Mohd Salleh, Sairol Haji Shari dan Mohd Helmi Zambin. Sementara Adi Said, Najib Tarif, Mohd Azam, Mohd Hendra, Mohd Fakhrul dan Fakarazi merupakan pemain yang dipilih menyertai DPMM FC setelah berakhirnya HBT Trophy (yang sememangnya di bawah bimbingan Kwon Oh Soon).

Saya percaya dengan kehadiran 'Bobby' dan rakan-rakan akan menguatkan lagi cabaran Brunei Darussalam dalam pusingan kelayakan itu dan mencipta satu lagi sejarah dalam kancah bolasepak negara dengan melayakkan diri ke pusingan akhir kerana sebelum ini 'Sang Tebuan' belum pernah layak ke pusingan akhir kejohanan paling berprestij di Asia Tenggara itu.

Pengalaman yang dimiliki oleh pemain-pemain tersebut sudah pasti akan banyak membantu Haji Feisal & Kwon Oh Soon dalam membentuk kesebelasan utama yang terkuat. Dalam pusingan kelayakan yang akan berlangsung di Myanmar itu nanti pasukan negara akan berdepan Myanmar, Laos, Timor Leste, Kemboja dan Filipina. Dua pasukan teratas akan layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia dan Bangkok, Thailand.

Di sinilah kita menagih kepintaran dan kepakaran yang dimiliki oleh Kwon Oh Soon sebagai seorang pengendali yang dihormati untuk mengadun corak permainan yang dimiliki oleh pemain-pemain DPMM FC dan pemain-pemain sedia ada yang sebahagian besarnya sudah beberapa lama bermain bersama beliau. Memandangkan masa yang agak singkat maka penyesuaian dan persefaham antara mereka sangat-sangat diharapkan. Maknanya Kwon Oh Soon yang sudah memahami corak permainan pemain-pemain DPMM FC kerana beliau saya lihat tidak terlepas peluang melihat perlawanan antara DPMM FC menentang pasukan lawan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas baik dalam penyertaan mereka dalam Liga M mahupun Liga S yang sedang berjalan sekarang. Jurulatih asal Korea Selatan itu saya pasti telah membuat 'homework' beliau dan mempunyai formula terbaik yang akan diterapkan kepada pasukan kebangsaan.

Manakala dipihak pemain-pemain DPMM FC pula mereka mestilah bijak menyesuaikan diri bersama rakan-rakan sepasukan yang baru. Sudah pasti ada perbezaan dari segi pendekatan dan corak permainan yang diterapkan oleh jurulatih, maka adalah mustahak bagi mereka pantas menyerap perubahan itu. Namun saya yakin, dengan pengalaman mereka yang pernah dibimbing oleh beberapa orang jurulatih luar negara yang berwiawa maka 'Bobby' dan rakan-rakan akan mampu mempamerkan corak persembahan yang menarik, menghiburkan dan mebuahkan hasil.

Wardun sudah pasti menjadi tonggak menjaga gawang. Bahagian pertahanan dan midfield akan mendapat manfaat dengan kehadiran 'Bobby', 'Jeembo', Sai, dan Param, kerana kesemua mereka ini mampu bermain dengan baik sama ada di posisi pertahanan mahupun midfield. Manakala harapan untuk kita melihat gandingan penyerang adik-beradik mungkin akan menjadi kenyataan jika Kwon Oh Soon mahu menurunkan Shahrazen dan Adi Said sebagi 'penyerang kembar'.

Secara matematiknya kali ini adalah peluang paling baik bagi pasukan kebangsaan walaupun persiapan dilakukan agak terlewat berbanding negara-negara lain akibat dari beberapa masalah yang dihadapi. Jika pasukan negara mampu menewaskan Filipina, Kemboja dan Timor Leste serta mencuri sekali seri kepada Myanmar atau Laos maka satu slot ke pusingan akhir hampir pasti menjadi kenyataan.

Prof: Diharap kesemua pihak lebih peka dalam membuat persiapan pasukan kebangsaan. Ianya bukan untuk satu-satu kejohanan saja, malah sepanjang masa! Selepas ini kita akan menghadapi cabaran Sukan SEA, pusingan kelayakan Olimpik, Sukan Asia dan Piala Asia. Tiada rehat dalam mempersiapkan pasukan, oleh itu teruskan tugas kalian.

Rabu, 5 September 2012

HAMZAH ABU SAMAH MENINGGAL DUNIA - AL-FATIHAH

Tan Sri Hamzah Abu Samah, 88, telah meninggal dunia di kediamannya di Mantin, Negeri Sembilan, Malaysia petang kelmarin (4 Sept 2012) akibat sakit tua. Sepanjang hayat Allahyarham, beliau merupakan seorang tokoh pemipin sukan yang tiada tolok bandingnya dengan memimpin beberapa persatuan sukan serta memegang  beberapa jawatan penting.

Ketika pemimpin-pemimpin persatuan sukan di benua Asia yang lain masih terkial-kial untuk mencari identiti, Allahyarham telah aktif menjelajah ke seluruh pelosok dunia mengabdi diri sebagai Presiden FAM, Presiden AFC, Naib Presiden FIFA dan Naib Presiden IOC (International Olympic Council) sejah tahun 1970an lagi. Kepimpinan sukan bukan sahaja di Malaysia malah di Asia pasti merasai akan kehilangan sebutir bintang yang banyak menabur bakti menyediakan asas dalam pengurusan sukan khususnya bolasepak.

Kebetulan sepanjang saya bertugas sebagai wartawan sukan sekitar tahun 1980an dulu sering kali berdepan dan menemuramah Allahyarham dan antara kenangan paling jelas dan tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup saya ialah temuramah antara saya dan Kamal Osman (teman wartawan akhbar Harian Nasional) dalam kereta Jaguar milik Allahyarham sebaik tamat salah satu mesyuarat majlis FAM. Sebelum itu Allahyarham telah sudi menumpangkan dan menghantar kami kembali ke pejabat (di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur).

Dalam temuramah secara santai itu beberapa topik telah kami perbincangkan, dari pembangunan bolasepak hinggalah kepada soal kepimpinan sukan. Dari saat itu saya mula menyedari bahawa betapa pentingnya kepimpinan sukan yang berwibawa untuk meneraju pembangunan sesuatu sukan tersebut. Temuramah tersebut juga telah mencatat sejarah apabila kami diberitahu bahawa FAM akan menuju era bolasepak professional dengan memulakannya dengan Liga Semi Pro dalam masa lima tahun. Keesokan harinya berita tersebut menjadi tajuk utama akhbar kami 'Harian Nasional' dan sudah pasti akhbar-akhbar establish seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Malay Mail dan Star merasa kehairanan kerana perkara tersebut tidak disentuh langsung dalam sidang meda selepas mesyuarat majlis FAM. Peristiwa ini amat bermakna kerana kami sebagai wartawan akhbar 'nyamuk' berjaya menewaskan akhbar besar dalam mendapatkan berita penting yang akan merubah senario bolasepak Malaysia. Peristiwa ini dimungkinkan terjadi dengan adanya sifat rendah diri seorang pemimpin (Tan Sri Hamzah) yaang sudi menumpangkan kami menaiki keretanya.

Sepanjang hayat Allahyarham menjawat sebagai Presiden FAM, Allahyarhaam seringkali turun ke padang melihat persiapan atau latihan pusat skuad kebangsaan untuk memupuk kemesraan antara kepimpinan dan pemain. Allahyarham akan berbual dan bergurau-senda dengan para pemain sebaik sahaja latihan tamat dan sifat rendah diri ini sudah pasti membuatkan kesemua pemain berasa selesa dan bersemangat untuk bermain dan menabur bakti kepada negara. Sifat seperti inilah yang jarang kita lihat kepada pemimpin-pemimpin sukan sekarang ini.

AFC sudah pasti merasai kehilangan kerana atas jasa Allahyarham ibu pejabat AFC ditempatkan di Kuala Lumpur pada masa ini. Dalam masa kepimpinan Allahyarham kancah bolasepak Malaysia mencapai kemuncaknya apabila dua kali layak ke Sukan Olimpik (1972 Munich, Jerman dan 1980 Moscow, Soviet) dan memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974.

Allahyarham turut melahirkan rasa bimbangnya kerana Malaysia khususnya dan Asia amnya kekurangan pemimpin sukan yang berwibawa untuk menjadi pelapis kepada tokoh-tokoh seperti Allahyarham. Bagi Allahyarham, memupuk bakat kepimpinan sukan sama penting dengan memupuk pembangunan seseorang atlit sukan. Dan falsafah Allahyarham itu ternyata benar dalam kancah sukan moden masa kini. Di mana-mana negara membangun sangat ketandusan para pemimpin sukan yang mampu untuk meenerajui sesuatu sukan dan membawanya mencapai tahap kegemilangan. Kita lihatlah keadaan di sekeliling kita saat ini.

Antara jawatan yang pernah dipegang oleh Allaahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah adalah seperti berikut;
1969 - President, Malaysia Cricket Association.
1975 - President, FAM.
1976 - President, Olympic Council of Malaysia (OCM).
1977 - Hon. President SEA Games Federation.
1978 - President Asia Football Confederation (AFC); Member, International Olympic Council (IOC).
1982 - Senior Vice President Olympic Council of Asia (OCA); Vice President Commonwealth Game Federation; Vice Presiden FIFA (hingga 1990).
1984 - Hon. President FAM.
1990 - Hon. Executive Member of FIFA.
1994 - Hon. President AFC

Prof: Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan di sisi para solehen.