Isnin, 6 Februari 2012

SAFEE SALI JUTAWAN BOLASEPAK - SATU PENCERAHAN

Mohd Safee Sali (No 55) bersama skuad Pelita Jaya.

Bersama trofi Penjaring Terbanyak AFF Suzuki Cup 2010. - Gambar-gambar ehsan Google

Penyerang sensasi Malaysia, Mohd Safee Sali, minggu lalu mengumumkan untuk melanjutkan kontrak bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya untuk dua musim lagi dan menerima gaji sekitar RM2 juta sekali-gus menjadikan beliau sebagai jutawan bolasepak pertama negara itu. Bukan itu sahaja, bekas pemain TM Melaka, Kuala Lumpur, Sarawak dan Selangor itu akan menerima pelbagai kemudahan lain seperti kereta, rumah, elaun-elaun, pemandu peribadi, cukai berbayar, 'endorsement' dan pilihan untuk beraksi bersama kelab-kelab lain di bawah pemilikan Pelita Jaya Cronus seperti Brisbane Roar (Australia), CS Vise (Belgium) dan SAD FC (Uruguay) jika sekiranya Indonesia Super League (ISL) secara sah tidak diiktiraf oleh PSSI dan FIFA (bagi membolehkan Safee bermain untuk negaranya Malaysia).

Saya tidak mahu untuk berbicara lanjut mengenai Safee Sali cukup sebagai satu perbandingan dan 'case study' kerana beliau adalah pemain dari Asia Tenggara dan sangat dekat dengan kita kerana Brunei DS suatu ketika bermain di dalam liga yang sama di mana beliau bermain. Malah mungkin Safee pernah beraksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Semua pemain-pemain kita sama dengan Safee. Dari rumpun bangsa yang sama iaitu Melayu. Makanan asasi kita adalah nasi. Percakapan yang hampir sama walaupun ada sedikit perbezaan tetapi kita boleh bercakap antara satu sama lain tanpa jurubahasa. Kita mengamalkan budaya yang sama. Sistem pendidikan kita juga sama. Apabila hampir semua sama, apa yang berbeza?

Perbezaan antara kitani dan Safee ialah struktur atau hirarki pentadbiran dan sistem pembangunan bolasepak. Juga tidak ketinggalan ialah 'mind set' menanggap atau mengamal budaya bolasepak yang membuatkan kitani berbeza dengan negara jiran itu. Tidak keterlaluan jika saya menganggap bahawa pemikiran kitani masih di takuk lama. Termasuk pelbagai lagi unsur-unsur atau elemen-elemen yang tidak sihat masih membelenggu pemikiran kitani. Sebab itu kitani gagal melahirkan bintang bolasepak yang berjaya. Namun kemungkinan tetap ada.

Tidak mustahil Brunei DS dapat melahirkan seorang pemain sama seperti Safee Sali. Mampu menjadi jutawan bolasepak. Tetapi, seperti yang saya ucapkan di atas, kitani mesti memecahkan tembok pemikiran dan tabii yang membantutkan perkembangan serta kemajuan bolasepak. Berfikiran terbuka dan menerima pandangan orang lain sangat mustahak. Dalam mengurus bolasepak kita mesti menitikberatkan nilai-nilai professional. Hapuskan sifat mementingkan kawan-kawan sekeliling. Adili seseorang itu mengikut kemampuan mereka menjalankan tugas. Dan yang penting juga ialah jangan berkerja hanya mencari nama. Jika semua itu masih ada dalam diri kita maka 100 tahun akan datang pun mustahil kita dapat melahirkan pemain seperti Safee Sali.

Pernah saya mengingatkan kepada seorang rakan yang baru mendapat jawatan dalam persatuan bolasepak. Kata saya, "Orang akan menilai dari apa yang kita kerjakan, bukan dari apa jawatan yang kita sandang. Apatah lagi kita memegang jawatan dalam persatuan sukan. Prestasi sukan yang kita kerjakan akan jadi kayu pengukur". Malangnya kawan saya itu sangat rendah tahap pemikirannya untuk menerima apa yang saya katakan kepadanya. Akhirnya kini beliau hanyut dengan jawatan yang disandangnya. Episod malang bagi sukan bolasepak negara kita. Jika 10 orang ada seperti beliau, jawabnya hancur!

Jika kita bersungguh-sungguh melakukan kerja untuk membangun bolasepak mustahil tidak akan berjaya walaupun sedikit. Kemajuan mesti kita raih. Tidak mustahil salah seorang dari pemain skuad Hassanal Bolkiah Trophy (HBT) akan menjadi pemain professional dalam masa dua atau tiga tahun mendatang.

Janganlah berangan-angan untuk bermain di EPL. Dapat bermain di liga-liga professional seluruh Asia pun sudah mencukupi. Antara liga-liga yang menawarkan gaji yang lumayan ialah Liga Indonesia, A League (Australia), J League (Jepun), K League (Korea), China Premier League dan liga-liga negara Arab seperti Qatar, Kuwait, UAE dan Arab Saudi.

Kita sudah ada projek pembangunan yang dijalan secara tidak rasmi oleh pelbagai pihak. Sebagai rekod pihak Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum menganjurkan kejohanan bolasepak peringkat sekolah rendah dan menengah setiap tahun, dan mereka juga menyertai kejohanan bolasepak peringkat umur Asia setiap tahun. Sekolah Sukan juga menawarkan penuntut bagi sukan bolasepak.

Di peringkat kelab juga kita mempunyai beberapa buah akademi bolasepak yang diungkayahkan seperti Projek Ikan Pusu (PIP) dan Akademi Muara Vella FC. Apa yang perlu dilakukan ialah mengariskan satu projek pembangunan jangka panjang yang melibatkan semua pihak ini supaya ianya tidak bertindihan antara satu sama lain. Dengan cara itu kita mempunyai satu sistem pembangunan yang bertolong-tolongan sesama kita dan lebih fokus atau terarah. Jika ini dapat diungkayahakan tidak mustahil dalam masa 5 tahun kita dapat melahirkan ramai pemain-pemain berbakat.

Prof: Masih menunggu dengan setia (sudah 8 bulan) projek pembangunan bolasepak dari NFABD.

Tiada ulasan: