Khamis, 23 Februari 2012

KETIADAAN THAILAND, PELUANG BRUNEI CIPTA SEJARAH

Seperti yang kita ketahui Thailand telah menarik diri di saat-saat akhir dari menyertai Hassanal Bolkiah Trophy (HBT) 2012 dan ini memaksa pihak penganjur meletakkan negara tuan rumah Brunei DS mengambil-alih tempat 'negara gajah putih' itu yang juga juara bertahan (2007) dalam Kumpulan B. Sebelum itu Brunei DS berada dalam Kumpulan A bersama Filipina, Singapura, Indonesia, Myanmar dan Laos.

Apabila berada bersama Malaysia, Kemboja, Vietnam dan Timor Leste dalam Kumpulan B nampaknya peluang Brunei DS untuk mencipta sejarah seolah-olah terbuka luas, sekurang-kurangnya beraksi dalam separuh akhir buat pertama kali dalam sejarah penganjuran HBT. Di atas kertas pasukan gagah yang sukar ditumpaskan ialah Vietnam dan Malaysia, manakala Kemboja dan Timor Leste mungkin dapat ditumpaskan mengikut prestasi semasa.

Malaysia, pemenang dua kali Sukan SEA (2009 & 2011) seperti yang saya nyatakan dalam posting terdahulu telah menyenaraikan skuad remaja bawah 19 tahun mereka. Ini memperlihatkan dengan jelas skuad negara jiran tersebut bukan datang untuk mengejar kejuaraan, mereka seperti juga penyertaan dala dua edisi HBT yang lalu (2005 & 2007) menghantar skuad yang lebih muda untuk semata-mata bertujuan sebagai menimba pengalaman dan pendedahan, projek jangka panjang yang telah ditetapkan dalam rancangan mereka.

Maka jika Brunei DS bermain dengan baik dan disertai sokongan padu penonton tempatan tidak mustahil Brunei DS berjaya menumpaskan Malaysia kali ini. Sudah agak lama kita belum mampu menewaskan Malaysia dalam apa jua pentas pertandingan antarabangsa. Inilah masanya. Jika berjaya menjinakkan Kemboja dan Timor Leste Brunei DS akan mengiringi Vietnam dalam Kumpulan B untuk ke separuh akhir.

Bagi Kumpulan A pula persaingan pasti antara pasukan Indonesia, Myanmar dan Singapura. Namun saya lebih kuat menjangka Indonesia dan Myanmar akan mara ke separuh akhir. Dua pasukan inilah yang akan dihadapi oleh Brunei DS jika mampu melangkah ke separuh akhir. Akan tetapi semua jangkaan saya itu hanyalah dengan penilaian 'on paper' ( di atas kertas). Keputusan sebenar adalah bergantung kepada prestasi sebenar yang ditunjukkan oleh para pemain ketika beraksi ditambah oleh kebijaksanaan jurulatih mengatur strategi memerangkap pasukan lawan serta keupayaan menjaringkan gol.

Saya mendoakan kejayaan pasukan Brunei DS. Kepada Haji Faisal Hj Mohd Yussof (Pengurus) dan Kwon Oh Soon (Jurulatih) semoga berjaya dan membuktikan segala usaha biskita selama ini tidak sia-sia dan membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Saya juga ingin melihat lahirkan beberapa orang pemain Brunei DS yang mampu menjadi bintang di mas akan datang. HBT inilah pentasnya.

Kepada pihak penganjur, semoga penganjuran kali ini adalah penganjuran yang terbaik dan memberikan imej cemerlang kepada negara-negara yang lainnya. Seperti yang dihasratkan penganjuran HBT ini iaitu agar penduduk ASEAN dapat berinteraksi antara satu sama lain melalui sukan bolasepak.

Selamat berjaya!

Prof: Kepada pembaca setia blog ini awda boleh melayari laman web rasmi HBT dengan meng'click' logo rasmi HBT yang diletakkan di sebelah kanan-atas blog ini.

4 ulasan:

kaki-rayau berkata...

apakah alasan thailand menarik diri dari kejohanan ini?

Tanpa Nama berkata...

rasanya masih berat peluang Brunei ndak menundukkan Malaysia.

apa berkata...

bina skuad the young tabuan

Tanpa Nama berkata...

Please try hard Brunei DS NFABD sertai Liga Perdana Malaysia 2012