Ahad, 29 Januari 2012

PIALA HASSANAL BOLKIAH - MENCONGGAK PELUANG PASUKAN NEGARA

Salah satu aksi dalam HBT 2007 lalu - foto ehsan Google.

Senarai akhir pemain yang akan dipilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam untuk kejohanan Piala Hassanal Bolkiah 2012 (Hassanal Bolkiah Trophy) akan diumumkan beberapa hari lagi. Apa yang pasti empat orang pemain-pemain lebih umur yang diserapkan ke dalam skuad kebangsaan sudah pasti terpilih kerana pemilihan mereka berdasar prestasi semasa yang memberangsangkan terutama tatkala beraksi dalam Sukan SEA Ke 26 di Indonesia tahun lalu.

Manakala bagi pemain-pemain lain sudah pasti menghadapi hari-hari penuh debaran sehinggalah senarai akhir diumumkan nanti. Kepada yang terpilih nanti, jadikanlah peluang ini sebagai batu loncatan untuk mereka bermain bersungguh-sungguh serta membuktikan kepada para peminat bahawa pemilihan mereka itu adalah tepat.

Kepada yang tidak terpilih jangan putus-asa dan kecewa. Teruskan latihan dan perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Sudah pasti panel penilai menemui beberapa aspek yang kurang ada pada seseorang pemain yang tidak tersenarai itu. Sebagai pemain muda dan harapan negara di masa depan, hendaknya mereka berlapang dada dan memberi sokongan padu kepada rakan-rakan yang terpilih. Mungkin rezeki mereka bukan dalam kejohanan ini dan mungkin dalam kejohanan-kejohanan lain pula peluang mereka beraksi dengan cemerlang.

Dari peringkat permulaan menyediakan pasukan hinggalah saat ini masyarat terutama peminat bolasepak di negara ini tidak mengetahui dengan mendalam persediaan skuad ini kerana tidak banyak publisiti yang diberikan kepada mereka. Mungkin ini satu strategi skuad tersebut. Kita mesti menghormati keputusan mereka. Saya sendiri, walaupun sebahagian besar pegawai-pegawai yang menerajui skuad tersebut adalah sahabat dan kenalan akan tetapi saya tidak ingin 'mengorek' dengan lebih lanjut. Kalau saya mahu memaparkan sesuatu melalui blog ini mengenai perkembangan mereka dari masa ke semasa saya boleh berbuat demikian. Namun demi menjaga etika professional mereka dan saya sendiri, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri hinggalah masa yang sesuai nanti.

Saya cuma ingin menyentuh sedikit sahaja iaitu mengenai rangka persiapan skuad tersebut. Dalam penilaian saya secara umum skuad tersebut tidak mendapat pendedahan yang mencukupi. Apa yang diketahui mereka hanya sekali bertandang ke luar negara iaitu ke Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Selebihnya mereka banyak mengadakan perlawanan persahabatan di dalam negeri sahaja dengan menjadikan kelab-kelab tempatan sebagai lawan mereka seperti DPMM FC, ABDB dan lain-lain lagi.

Dalam perkiraan dan tanggapan saya pendedahan ini sangat tidak mencukupi untuk menghadapi lawan-lawan yang gagah seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Malaysia dan Myanmar. Skuad tersebut kalaupun tidak mampu untu mengadakan latihan panjang di Eropah atau Australia, memadailah jika dapat mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab ternama di Malaysia, Thailand, Singapura atau Indonesia. Dengan cara ini para pemain akan mendapat pendedahan secukupnya beraksi menentang pemain-pemain berkualiti.

Sejak dua edisi yang lalu skuad negara gagal melangkah ke separuh akhir. Jadi untuk edisi ketiga kali ini saya sangat berpuas hati jika skuad negara mampu ke separuh akhir walaupun tidak menjadi juara. Jika itu dapat dicapai maka dapatlah kita simpulkan bahawa bolasepak Brunei DS akan menuju zaman cerah dan gemilang untuk tahun-tahun mendatang. Namun cabaran sebenar bukanlah semudah saya menyusun kata-kata melalui ruangan ini. Pasukan-pasukan paling lemah di Asia Tenggara pun sebenarnya cabaran terhebat skuad negara seperti Filipina, Timor Leste dan Kemboja. Jadinya, saya juga sangat berpuas hati jika skuad negara mampu melangkah dari kelompok bawahan ini.

Mengenai peluang negara-negara lain pula, saya meletakan calon juara kepada Indonesia, Thailand dan Vietnam. Malaysia? Malaysia datang ke kejohanan ini tidak bermaksud untuk mengejar juara sebaliknya semata-mata sebagai wadah atau pentas bagi pemain-pemain mereka mendapat pendedahan (2005, mereka menghantar skuad bawah 17 tahun & 2007, skuad yang sama tetapi ketika itu menjadi skuad bawah 19 tahun. Sebahagian besar pemain skuad tersebut adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos). Kali ini Malaysia sekali lagi menghantar skuad bawah 19 tahun mereka. Jelas mereka datang bukan untuk menjadi juara.

Indonesia, Thailand dan Vietnam datang dengan skuad juara. Mereka menyenaraikan pasukan bawah 21 tahun terkuat mereka. Hasrat mereka itu tidak dapat disembunyikan lagi. Namun jangan juga mengkesampingkan peluang Singapura dan Myanmar. Singapura juga khabarnya menghantar skuad lebih muda kerana skuad pelapis mereka yang terkuat kini menyertai Liga Super Malaysia di bawah nama Singapore XII.

Apapun, inilah peluang terbaik skuad negara menimba pengalaman dan sebagai sukat-sukat (bench mark) kepada projek-projek pembangunan yang bakal kita jalankan selepas ini. Diharapkan satu kertas cadangan program pembangunan jangka panjang akan dibentangkan oleh pihak-pihak tertentu sebaik berakhirnya HBT 2012 kali ini. Kita tidak boleh menjadi tukar sorak dan berpeluk tubuh melihat kejayaan pasukan negara-negara lain. Sudak tiba masanya untuk kita berkerja membangun bolasepak. Kepada pihak yang berkenaan, ayuh 'perahu sudah di air, pengayuh sudah di tangan' tunggu apa lagi? Menunggu bantuan dari langit?

Prof: Saya berpeluang melihat blue print projek pembangunan skuad Korea Selatan pada dekad 80 an dahulu. Sekarang kita lihat di mana mereka? Salah sebuah kuasa bolasepak dunia!.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bina lah young tabuan