Isnin, 9 September 2013

SELAMAT BERTUGAS MIKE WONG

Beberapa hari lalu NFABD telah mengumumkan perlantikan Mike Wong Mun Heng selaku Pengarah Teknikal/jurulatih bagi mengisi jawatan maha penting kepada sesebuah persatuan bolasepak kebangsaan kerana jawatan tersebut memerlukan penjawatnya menyediakan pelan pembangunan bolasepak dari peringkat akar-umbi hinggalah ke tahap menyediakan pasukan kebangsaan dalam semua peringkat (belia-senior).

Mike Wong yang dilihat agak berpengalaman dalam kancah bolasepak terutama sekali di negaranya Singapura, beliau pernah menjadi pengurus pasukan beberapa kelab dalam Liga S dan juga pasukan kebangsaan 'Kota Singa' itu turut memegang kelayakan sebagai 'instructor' bagi AFC. Beliau banyak berkelana ke serata pelosok benua Asia sebagai instructor mengendalikan klinik dan kursus kejurulatihan terutama di peringkat akar-umbi/pembangunan.

Sudah pasti dengan pengalaman dan kepakaran yang ada pada beliau, projek dan pelan pembanagunan bolasepak di negara ini akan berada pada landasan yang betul dan terarah. Semua pihak harus memberikan sokongan dan kerjasama kepada beliau dalam usaha mengungkayahkan segala yang telah dirancang. Tanpa sokongan padu mustahil sesuatu program, terutama program pembangunan jangka panjang akan mencapai seperti yang dihasratkan.

Hasil dari sesuatu program pembangunan bukanlah dapat dilihat dalam sekelip mata seperti kita menyaksikan acara silap mata. Ianya memakan masa yang panjang. Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Lim Teong Kim, yang pernah menjadi jurulatih belia Bayern Munich, baru-baru ini telah dilantik sebagai Pengarah Akademi Bolasepak Malaysia, menyatakan bahawa sesuatu program pembangunan memerlukan masa yang panjang, sekurang-kurangnya 10 tahun. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini

Antara pemain ternama yang lahir dari 'buah tangan' Teong Kim ialah termasuk Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Diego Contento dan David Alaba. Mudah-mudahan Mike Wong, walaupun tidak memiliki reputasi sehebat Teong Kim, akan mampu mengangkat martabat bolasepak Brunei Darussalam. Apa yang penting ialah sokongan padu dan kerjasama dari semua pihak. Beri beliau peluang seluas-luasnya untuk melakar sejarah baru bolasepak kitani.

Secara professionalnya saya memberikan masa dan peluang kepada Mike Wong untuk menggarap apa jua pelan pembangunannya yang difikirkaan sesuai dengan sosio budaya masyarakat di negara ini. Sesuatu yang baik itu perlu disokong. Dalam pada itu sifat sabar paling utama. Jangan kita mengharap Mike Wong akan membuat 'silap mata'. Dalam bolasepak, dalam konteks pasukan kebangsaan, perkara tersebut jarang terjadi. Kecuali sesebuah kelab yang tiba-tiba dibeli oleh jutawan, dengan hamburan wang yang banyak sesebuah kelab itu mampu membeli pemain-pemain berkualiti dan sekali-gus kelab tersebut menjadi gagah dalam sekelip mata.

Oleh itu bersabarlah semuanya.

Prof: Saya percaya dan yakin bahawa taraf bolasepak di negara ini mampu ditingkat jika kena dengan caranya iaitu meletakkan individu tertentu sesuai dengan kepakaran yang dimilikinya, bukan sebaliknya. Wallahuaklam,

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sangat bersetuju dengan prof. Kita sebenarnya memerlukan mereka yang benar benar serius yang matlamat mereka sangat ikhlas ingin mencurah sesuatu yang sangat positif dalam pembangunan bolasepak negara. Tanpa memikirkan publisiti mahupun ganjaran.