Tahun 2010 telah meninggalkan kita dengan seribu satu kenangan pahit dan manis. Yang manis jadikan pengajaran dan yang pahit jadikan sempadan. Kedua-duanya mesti kekal dalam ingatan sebagai panduan menempuh hari depan yang pasti lebih mencabar dan memerlukan kekuatan jati diri untuk mengharunginya.
Di pentas antarabangsa sudah tentu penganjuran Piala Dunia 2010 Afrika Selatan menjadi sejarah dalam hidup kita. Buat pertama kali negara benua Afrika menjadi tuan rumah dan juara baru telah menggenggam Piala Dunia iaitu Sepanyol. Tahun 2010 juga telah memuktamadkan tuan rumah Piala Dunia 2018 (Russia) dan 2022 (Qatar) dalam undian FIFA baru-baru ini.
Malaysia melalui skuad 'Harimau Malaya' akhirnya berjaya menjuara AFF Suzuki Cup 2010 sejak kejohanan (sebelum ini dikenali sebagai Tiger Cup) ini dimulakan dalam tahun 1996. Apa yang pasti kejayaan mereka dicapai melalui 'formula aneh' iaitu mengharamkan pemain import dalam liga tempatan.
Sementara dalam negara pula masih 'bergelora'. BAFA masih digantung keahlian oleh FIFA sementara nampaknya pintu untuk FFBD tertutup rapat untuk menjadi 'anak baru' badan induk bolasepak dunia itu. Soalnya sampai bila? Kita berdoa semoga kamelut ini akan berakhir dalam tahun 2011 ini agar segala kegiatan bolasepak berjalan seperti biasa tanpa keraguan.
Kepada penggiat atau aktivis bolasepak di Brunei Darussalam, berbuat baiklah untuk kemajuan bolasepak. Jangan melakukan kerja yang boleh mematikan bolasepak. Ketepikan perbezaan antara kita, berganding bahu, berpimpin tangan dan bertegur-sapalah seperti sebelumnya. Sesungguhnya bolasepak Brunei DS tidak mampu lagi untuk terus dalam keadaan seperti ini, 'hidup segan mati tak mahu'.
Prof: Mungkin kita menang, tapi bolasepak kita kalah. Mahukah meneruskan ego kita?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan