Jumaat, 24 Disember 2010

BOLASEPAK BRUNEI PERLU 'ROAD MAP' BARU

Sudah dua tahun bolasepak Brunei DS 'padam' dari peta bolasepak dunia sejak BAFA digantung keahlian oleh badan induk bolasepak dunia FIFA. Walaupun wujud sebuah persatuan kebangsaan yang baru menggantikan BAFA iaitu FFBD akan tetapi nampaknya FIFA tidak 'berminat' untuk mengiktirafnya kerana menganggap kewujudan FFBD tidak mengikut cara yang diinginkan FIFA.

Sementara di dalam negara, BAFA telah dibatalkan pendaftarannya kerana melanggar peraturan dan undang-undang negara. Maka bolasepak Brunei DS mula memasuki 'terowong gelap' yang tidak tahu di mana penghujungnya. 'Cahaya di penghujung terowong' tidak kunjung tiba. Pelbagai penyertaan pihak-pihak tertentu dalam sukan bolasepak dari Brunei DS di peringkat antarabangsa, waima penganjuran sukan tersebut di dalam negara juga turut terjejas akibat penggantungan oleh FIFA terhadap BAFA.

Beberapa kejohanan peringkat umur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Asia serta program-program sukan peringkat kementerian dan jabatan kerajaan juga terpaksa dibatalkan. Ini bermakna, mana-mana kelab atau persatuan yang ada hubungkait dengan persatuan bolasepak kebangsaan negara masing-masing akan menjauhkan diri dari apa saja penyertaan atau kegiatan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu di Brunei DS. Ini adalah sisi gelap dan sejarah hitam bagi bolasepak Brunei DS!

Situasi menjadi seolah-olah seperti 'tarik-tali' antara mereka. FFBD tidak akan diiktiraf oleh FIFA (buat masa ini) dan BAFA pula tidak dapat hidup kembali. Soalnya, sampai bila? Tidakkah ada jalan penyelesaian? Jawapannya, masalah ini perlu formula atau 'road map'.

Bagi pandangan saya, suka mencadangkan langkah-langkah berikut;

1. Kepada bekas ahli-ahli jawatankuasa BAFA (atau mereka yang bersimpati dengan mereka) melupakan terus hasrat untuk menghidupkan kembali BAFA.

2. FFBD secara sukarela dibubarkan oleh ahlijawatankuasa tadbirnya. (Antara lain tujuan FFBD ditubuhkan adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh BAFA bagi mengungkayahkan pelbagai aktiviti bolasepak di negara ini. Dan rasanya tidak mustahil untuk membubarkan FFBD dan memberi peluang kepada pertubuhan baru didaftarkan).

3. Sebuah persatuan/pertubuhan/badan induk baru hendaklah ditubuhkan oleh pihak ketiga yang natural atau dalam ertikata lain oleh pihak yang terlibat dalam sukan bolasepak iaitu kelab-kelab yang berdaftar secara sah atau pihak yang berkepentingan (stake holders) dan pertubuhan-pertubuhan bolasepak daerah-daerah.

Hanya dengan cara ini (atau mungkin sedikit perubahan dari cara di atas) rasanya kamelut bolasepak Brunei DS dapat diatasi sekaligus meletakkan kita kembali ke landasan yang betul untuk membangun sukan bolasepak yang kita cintai. Akan tetapi kesemua pihak hendaklah meletakkan kemajuan bolasepak mengatasi kepentingan peribadi dalam hal ini. Jika tidak, apapun tidak akan tercapai.

Bagi bekas-bekas AJK BAFA, padamkanlah jika ada sekelumit hasrat untuk 'melahirkan' kembali persatuan itu. Anda telah diberi peluang sejak puluhan tahun dan kini tiba giliran generasi baru atau 'new blood' untuk menerajui kepimpinan bolasepak Brunei DS. Jangan bermusuhan, berpimpin tanganlah sesama kita menuju ke era yang lebih gemilang. Orang baru perlu juga bantuan dan teguran orang lama.

Kepada FFBD, berkorbanlah demi kemajuan bolasepak negara. Tiada siapa dapat menyangkal inisiatif yang telah dimainkan oleh FFBD sejak penubuhannya hingga kini akan tetapi menilai dari situasi semasa FIFA nampaknya tidak akan memberi peluang kepada FFBD. (Sesiapa yang menyumbang kepada pandangan FIFA terhadap FFBD sedemikian rupa akan menerima natijahnya di hari kemudian).

Dan untuk pihak ketiga (stake holders) yang selayaknya untuk menubuhkan sebuah persatuan kebangsaan yang baru hendaklah juga meletakkan kemajuan bolasepak mengatasi kepentingan peribadi. Pilihlah mereka yang benar-benar layak, berwibawa, berkebolehan dan yang penting individu-individu yang dipilih nanti mestilah dapat 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' di arena antarabangsa tatkala mewakili negara pelbagai seminar, simposium, bengkel, kursus, kongres atau apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh badan-badan induk seperti AFF, AFC dan FIFA.

Jika diri sendiri merasakan tidak mampu untuk menyumbang di peringkat antarabangsa maka cukuplah dengan membantu menubuhkan persatuan baru tersebut dan menumpukan sumbangan bakti dalam negara sahaja sambil mempertingkatkan kemajuan diri dalam pelbagai aspek seperti kemahiran berkomunikasi, keterampilan dan daya kepimpinan. Mungkin beberapa tahun mendatang tiba giliran anda untuk berinteraksi di peringkat antarabangsa pula.

Namun jika masing-masing masih enggan meletakkan kepentingan bolasepak mengatasi kepentingan peribadi maka sampai bila-bilalah bolasepak Brunei DS berada dalam 'terowong gelap'. Buangkanlah ego anda. Pandanglah wajah kanak-kanak yang turun bermain bolasepak setiap kali hari cuti. Di wajah mereka hanya ingin bermain bolasepak, sukan yang diminatinya. Sanggupkah kita 'memadamkan' wajah ceria mereka?

Ingatlah juga pengorbanan ibu-bapa yang memberi dorongan dan sokongan kepada anak-anak yang ingin bermain bolasepak. Jangan jadikan pengorbanan mereka itu satu pengorbanan yang sia-sia. Fikirkan berapa ratus ringgit dihabiskan oleh mereka untuk membeli keperluan anak-anak untuk bolasepak. Masa mereka untuk keluarga di hujung minggu juga terpaksa dikorbankan demi memberi peluang kepada anak-anak yang ingin bermain bolasepak.

Sanggupkan kita mengkesampingkan curahan wang ringgit pihak-pihak yang menaja atau memberi sumbangan menubuhkan akademi-akademi bolasepak? Apakah hanya kerana kepuasan dan ego peribadi kita mengorbankan masa depan dan wang ringgit mereka? Jika kita seorang yang realistik maka kita akan melakukan sesuatu yang positif.

Prof: Sebenarnya sudah letih atau ngalih untuk bercakap hal ini. Namun tanggungjawab sebagai penulis terpaksa juga digagahi. Mudah-mudahan 'ada sinar di hujung terowong'.

Tiada ulasan: