Ahad, 27 Mei 2012

PENENTUAN SEPAKAN PENALTI AKAN DIHAPUSKAN

Kali ini saya menyokong tindakan Joseph Sepp Blatter, Presiden FIFA, yang mencadangkan agar penentuan sesuatu keputusan perlawanan (kalah mati) dihapuskan dan digantikan dengan satu kaedah baru. Cadangan tersebut diusulkan oleh beliau dalam Kongres FIFA yang baru berlangsung di Budapest, Hungary baru-baru ini. Lagenda bolasepak Jerman, Franz Beckenbauer selaku Football Task Force 2014 diberi tanggungjawab untuk menyelidik dan mencadangkan suatu kaedah/peraturan baru bagi menggantikan peraturan lama yang dianggap tidak adil bukan sahaja bagi Presiden FIFA itu malah para peminat seluruh dunia.

'Mangsa' terbaru penentuan sepakan penalti adalah Bayern Munich yang tewas kepada Chelsea dalam perlawanan akhir UEFA Champion League setelah menguasai hampir keseluruhan perlawanan. Sebelum itu Zambia memiliki takdir 'nasib baik' melalui sepakan penalti apabila mengalahkan pasukan favourite Ivory Coast dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika.

Malah para pembaca mungkin ada yang mengalami kenangan pahit melalui sepakan penalti sama ada semasa bermain mewakili sekolah, kampung, mukim, daerah, kelab dan negeri/negara masing-masing. Jika kemenangan yang dicapai maka kenangan pahit menjadi kenangan manis lagi indah. Saya menyokong (cadangan Blatter) bukan kerana pasukan kegemaran tewas dalam sesuatu perlawanan akan tetapi demi kemajuan sukan bolasepak itu sendiri.

Dalam usia bolasepak moden ini yang menjangkau lebih satu abad kita telah melihat banyak perubahan-perubahan telah dibuat semata-mata dengan tujuan untuk menjadikan sukan bolasepak itu lebih menarik untuk dimainkan dan ditonton. Hasilnya kita melihat bahawa hampir keseluruhan negara di dunia ini menjadikan bolasepak adalah sukan no 1 mereka (kecuali Amerika, Kanada, Cuba, Filipina dan negara-negara kecil lainnya).

Begitu juga halnya dari segi jumlah peminat dan penonton sesuatu perlawanan bolasepak sama ada yang hadir di stadium atau menontonnya melalui siaran langsung televisyen. Penonton sukan bolasepak jauh lebih ramai mengatasi sukan-sukan lain seperti sukan bermotor (Formula One), tinju dan olahraga. Ini berlaku kerana sukan bolasepak dapat memberikan kepuasan kepada setiap penonton.

Teknologi Garisan Gol (Goal Line Technology) - bagi menentukan gol terhasil atau tidak, akan digunakan sebagai percubaan dalam EURO 2012 akan datang ini. Kita berharap sesuatu yang positif akan terhasil dari tindakan terbaru FIFA ini (termasuk mengubah peraturan penentuan sepakan penalti).

Saya masih ingat sebaik tamat Piala Dunia 1990 di Itali, permainan bolasepak dilihat sangat membosankan kerana dimainkan secara negatif atau 'play safe' oleh sesebuah pasukan dengan sering memberikan bola ke belakang hingga ke penjaga gol sendiri untuk membuang masa. Dalam kajian oleh 'Technical Study Group' (TSG) jumlah minit yang dimainkan di kaki para pemain sangat berkurangan berbanding bola berada dalam tangan penjaga gol atau masa dihabiskan dengan mengambil bola apabila terkeluar jauh dari padang.

Mengambil statistik dari TSG tersebut maka FIFA telah membuat beberapa perubahan drastik antaranya ialah bola yang dikembalikan oleh pemain kepada penjaga golnya tidak boleh ditangkap (hanya boleh ditendang), menyediakan 'ball boy' dan bola disekiling stadium/gelanggang untuk menjimatkana masa permainan, memperkenalkan peraturan 'golden goal' dan 'silver goal' (kedua-dua peraturan itu ditarik balik kerana membuat permainan menjadi lebih negatif) serta menyediakan pengadil keempat dan kelima.

Namun beberapa cadangan lebih ekstrem telah ditolak oleh FIFA seperti yang diutarakan oleh Pele untuk membesarkan saiz pintu gol. Juga cadangana supaya pemain penyerang yang berada dalam kawasan penalti lawan (sebelum beliau menerima bola) baru diberikan hukuman 'offside'. Saya sendiri juga tidak berapa menerima kedua-dua cadangan tersebut kerana memberi kesan lebih besar terhadap permainan bolasepak secara keseluruhannya.

Kita sangat-sangat berharap langkah terbaru Sepp Blatter dan FIFA ini akan memberi kesan positif dan menjadikan bolasepak lebih menarik untuk dinikmati oleh pemain itu sendiri, pasukan dan para peminat khasnya. Semoga Franz Beckenbauer dan pasukan penyelidik dan pengkajinya akan menampilkan beberapa cadangan yang konkrit.

Prof: Syabas Blatter, tetapi jangan lupa urusan rumahtangga FIFA mesti dibersihkan juga.

Tiada ulasan: