Aksi Nazmi ketika sedang menjalani sesi ujian. |
Nazmi sedang menandatangan kontrak bersama SC Beira Mar, Portugal. |
Nazmi ketika bersama pasukan Harimau Muda - gambar-gambar ehsan Google. |
Nazmi menambat hati Ong Kim Swee, jurulatih Harimau Muda untuk menyerapkan anak muda ini (ketika itu baru berusia 16 tahun) dalam skuad Sukan SEA Jakarta 2011 dan bersama abang-abangnya telah membantu Malaysia mempertahankan Pingat Emas menewaskan tuan rumah Indonesia. Selepas itu Nazmi terus mendapat kepercayaan Kim Swee menerajui bahagian tengah Harimau Muda yang beraksi dalam Liga Singapura.
Persembahan konsisten beliau bersama Harimau Mudan dan skuad Olimpik Malaysia di mana gol cantik dari jarak jauh hasil sepakan melencong ke penjuru gol pasukan Bahrain telah membuka mata agen-agen bolasepak yang sememangnya sedang menunggu-nunggu lahirnya bintang muda dari rantau ini yang boleh mereka ketengahkan di pentas Eropah sebagai mana beberapa pemain Asia yang lain seperti Park Ji Sung (Korea Selatan) dan terbaru Shinji Kagawa (Jepun) yang menjadi rebutan banyak kelab-kelab ternama Eropah.
Menurut media setempat, pemain muda itu bakal menerima gaji RM300,000 (B$125,000) sebulan. Bagaimanapun, menurut agen beliau, Marco Guimaraes dari FMI Sport, terpulang kepada Nazmi sendiri sama ada mahu mengumumkan atau tidak jumlah sebenar gaji yang bakal diterima. Hanya yang dapat dipastikan oleh Marco ialah gaji minima di Eropah jauh lebih lumayan berbanding gaji paling mahal pemain professional di Asia Tenggara.
SC Beira Mar yang menduduki tangga ke 12 dari 16 pasukan Portugese Primeira Liga musim 2011-2012 lalu dan dimiliki oleh Majid Pishar seorang ahli perniagaan dari Iran melalui syarikatnya yang berpangkalan di Dunai, 32Group yang turut memiliki Servette FC, kelab yang beraksi di liga Switzerland. Para peminat bolasepak Portugal pasti tidak akan melupai nama SC Beira Mar kerana kelab ini telah melahirkan lagenda bolasepak negara mereka yang tiada tolok bandingnya iaitu Eusebio dan Antonio Sousa.
Dengan ini maka Nazmi bukan sahaja menjadi kebanggaan Malaysia kerana menjadi pemain pertama negaranya yang mampu beraksi di liga utama Eropah. Walaupun bertubuh kecil dengan ketinggian 5'6" namun itu semua tidak melemahkan semangat Nazmi. Dengan usia yang masih muda sudah tentu peluang baginya untuk menimba pengalaman dan menyinar di pentas Eropah terbuka luas. Hnedaknya juga dengan pencapaian Nazmi akan mendorong pemain-pemain muda di Asia Tenggara untuk mengikut jejak langkahnya pula. Jika Nazmi boleh, maka anak-anak yang lain juga mampu, waima pemain-pemain muda dari Brunei DS. Yang pasti Nazmi akan menjadi ikon mereka selepas ini.
Prof: Jalan terbentang luas untuk pihak-pihak tertentu melahirkan pemain-pemain berbakat. Hanya mahu atau tidak sahaja. 'Tepuk dada, tanya selera'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan