Kita tinggalkan seketika gejolak dan tribulasi bolasepak tempatan. Liga Perdana Inggeris (EPL) akan menuju penghujung, tinggal 2 perlawanan lagi untuk disudahkan oleh kesemua kelab. Ketika ini Man City berada di persada liga bersama Man Utd, kedudukan terpisah oleh jumlah jaringan gol sahaja. Satu penghormatan dan kebanggaan kepada bandaraya Manchester.
Sepanjang musim kita dapat melihat bahawa Man Utd tetap memaparkan prestasi konsisten walaupun tidak berbelanja besar di awal musim ataupun tatkala 'window transfer' Januari lalu. Di atas kertas (istilah kewartawanan sukan) secara logiknya Man City sudah dapat dimahkotakan selaku juara EPL 2011/2012 kerana mereka berbelanja cukup besar dan membawa ramai bintang-bintang dari seluruh dunia. Namun Roberto Manchini, pengurus Man City, masih gagal untuk mengatasi kehebatan strategi & taktikal (di atas padang & psikologi) yang dimiliki oleh Sir Alex Ferguson.
Mengapa saya berkata begitu? Ferguson hanya membawa masuk David de Gea, penjaga gol muda dari Sepanyol untuk menggantikan van de Sar yang bersara, dan Ashley Young, pemain midfield dari Aston Villa. Selebihnya beliau masih bergantung kepada pemain-pemain senior seperti Ryan Giggs, Paul Scholes, Patrice Evra, Rio Fedinand, Wayne Rooney, Nani, Michael Carrick, Dimitar Berbatov, Nemenja Vidic (cedera), Valencia dan Michael Owen untuk berganding bahu dengan pemain-pemain muda seperti Danny Welbeck, Javier Hernandez, pemain kembar Fabio dan Rafael da Silva.
Sedangkan Manchini membeli bintang-bintang seperti Sergio Aguero, Mario balotelli, Edin Dzeko, Aleksandar Kularov, Davil Silva, Yaya Toure, Samir Nasri, Gareth Barry dan James Milner untuk berpadu tenaga bersama bintang-bintang sedia ada seperti Joleon Lescot, Kalou Toure, Gael Clinchy, Carlos Tevez, Vincent Kompany, Micah Richard dan Joe Hart.
Akan tetapi Manchini masih gagal untuk membentuk sebuah skuad yang mantap dan konsisten prestasinya sepanjang musim malah Ferguson pula yang berbelanja secara kecil-kecilan berjaya mencuri perhatian dengan memaparkan prestasi meyakinkan dari para pemainnya. Jika melihat kepada barisan bintang-bintang Man City apa yang ada dalam pemikiran kita adalah setiap lawan mereka akan rebah menyembah bumi sebaik pengadil meniup wisel penamat setiap perlawanan. Dan dua atau tiga minggu sebelum liga berakhir Man City sudah mampu dimahkotakan sebagai juara EPL.
Namun keadaan menjadi sebaliknya. Kejuaraan EPL musim ini mungkin akan ditentukan dalam perlawanan terakhir liga yang tiggal dua perlawanan. Man Utd akan Swansea (Old Trafford) dan Sunderland (Stadium of Light), manakala Man City pula bertemu pasukan kuat Newcastle (tempat lawan) dan QPR di Stadium Etihad, City of Manchester. Sekali lagi di atas kertas seolah-olah kelebihan kepada Ferguson dan anak buahnya kerana bertemu pasukan-pasukan yang agak lemah.
Tetapi dalam bolasepak lebih-lebih lagi dalam kancah EPL tiada sebuah kelab yang boleh kita pandang ringan. Selalu kita melihat keputusan kelab tangga corot menewaskan pendahulu liga atau 'the big four'. Bagi Manchini seolah-olah peluang tipis bagi pengurus berbangsa Itali itu. Newcastle berpeluang untuk bermain di Liga Juara-Juara (Champion League) jika memenangi baki perlawanan mereka maka sudah barang tentu mereka tidak mahu melepaskan peluang tersebut begitu sahaja. QPR pula sedang bergelut dari zon penyingkiran. Peluang masih terbuka kepada mereka untuk kekal di EPL jika berjaya menang semua baki perlawanan untuk membiarkan Blackburn Rovers, Bolton Wanderes dan Wigan Athletic berebut menemani Wolves yang sudah mengesahkan tempat turun ke Championship League musim depan.
Ferguson adalah pakar 'perang saraf'. Banyak sudah pengurus-pengurus EPL menjadi mangsanya. Kevin Keegan (Newcastle), Rafael Banitez (Liverpool) bahkan Jose Mourinho pernah 'terjerumus' ke kancah peperangan saraf menggunakan media dan menjadi mangsa kehebatan Ferguson. Samalah juga halnya dengan Manchini. Beliau nampaknya 'tewas' dalam perkelahian menggunakan media kepada Ferguson. Beliau hilang tumpuan kepada kerja-kerja wajib terhadap pemain-pemain bintang di bawah jagaannya kerana memberi tumpuan untuk membalas 'bidasan' atau 'sindiran' pedas dan sinis dari Ferguson. Manchini seharusnya tidak mengambil penduli akan 'serangan' Ferguson melalui media. Manchini nampaknya tidak belajar dari kesilapan Keegan, Banitez dan Mourinho.
Tiada siapa dapat menyangkal bahawa Ferguson adalah pengurus lagenda. Sejak beliau menjadi pengurus Man Utd, musuh tradisinya iaitu Liverpool tidak pernah mengecapi atau menjamah kejuaraan EPL. Ferguson memberikan Man Utd 12 kejuaraan EPL untuk mengumpul 20 kejuaraan Liga England (Divisyen 1 dan EPL) untuk mengatasi Liverpool (18 kejuaraan). Tidak dapat dinafikan 12 kejuaraan EPL akan menjadi angka 13 untuk musim ini. Sebenarnya banyak lagi perkara menarik mengenai Ferguson dapat diceritakan, mungkin dalam kesempatan lain.
Oleh itu bagi saya. walaupun nanti Man City akhirnya muncul juara EPL buat pertama kali sejak kali terakhir menjadi juara (Divisyen 1 ketika itu) pada tahun 1968, Sir Alex Ferguson tetap muncul menjadi pemenang dalam banyak perkara. Kepada pengurus-pengurus junior Ferguson adalah 'kamus bergerak' dalam mata pelajaran bolasepak.
Prof: Kesian melihat Liverpool. Ratusan juta dibelanjakan dan pengurus silih berganti, masih belum mampu untuk menjuarai EPL. Liverpool satu-satunya kelab 'the big four' yang belum permah mengecapi kejuaraan EPL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan