Khamis, 26 April 2012

KEGAGALAN DI BANGKOK SATU PENGALAMAN PAHIT TAPI MANIS

Pada mulanya saya cuba mengelak dari memberi komen atau reaksi kepada kegagalan skuad futsal Brunei DS dalam kejohanan Futsal AFF 2012 yang berlangsung di Bangkok, Thailand atas beberapa sebab. Sebab pertama adalah kerana kesemua pegawai dan staff kejurulatihan adalah teman-teman rapat saya. Kedua, sebab yang agak sensitif dan tidak patut saya nyatakan di sini. Dan ketiga kerana memikirkan badan induk bolasepak kitani iaitu NFABD baru setahun ditubuhkan dan rasa kurang enak jika saya memberikan kritikan-kritikan agak pedas jika skuad futsal  negara gagal.

Namun demi kepentingan sukan futsal itu sendiri saya terpanggil untuk mencoretkan sedikit 'bahan bacaan' buat penjenguk blog ini. Sukan futsal (bolasepak dalam dewan/futbol de saloon) masih baru bagi negara ini dan juga kepada peminat sukan boasepak di seluruh dunia berbanding bolasepak padang. Begitu juga halnya, futsal tidak pernah 'diperkenalkan secara rasmi' kepada masyarakat negara ini oleh badan induk waima BAFA, FFBD dan NFABD.

Kita tidak melihat adanya bengkel, seminar atau klinik futsal dilakukan diperingkat sekolah hinggalah ke peringkat kebangsaan kepada kelab-kelab bolasepak. Kalau sayuran ianya bolehlah dianggap hidup subur secara organik. Sebagai nota kaki (istilah ilmiah kertas kerja) saya pernah dipertanggungjawabkan untuk mendraf perlembagaan persatuan futsal kebangsaan oleh beberapa orang individu di awal tahun 2000 yang lalu. Rupanya perkara itu menyalahi kerana futsal mesti diletakkan di bawah badan induk bolasepak sesebuah negara, sama juga halnya dengan bolasepak pantai, bolasepak wanita dan pengadil. Ianya mesti di bawah kawal-selia badan induk dan tidak boleh hidup dan wujud berpersatuan sendiri.

Selepas itu futsal menjadi popular dan dimainkan di mana-mana sesuai dengan punca permainan tersebut dicipta iaitu memudahkan pecinta bolasepak bermain bolasepak (hanya memerlukan 5 orang sepasukan, bermain dalam dewan tidak perlu kawasan yang luas dan tidak memerlukan peralatan/pakaian yang lain, hanya kasut yang dipakai seharian dengan harga murah).

Maka pasukan-pasukan futsal tumbuh bagai 'cendawan selepas hujan'. Kejohanan-kejohanan pun dianjurkan hampir setiap minggu. Gaya hidup dengan bermain futsal sambil lepak-lepak bersama sahabat-handai setiap petang telah menjadi trend terkini. Ianya dilihat lebih 'cool' di kalangan remaja. Yang penting futsal memberi peluang kepada pemain-pemain yang gagal untuk menyinar dalam permainan bolasepak boleh meneruskan kerjaya mereka di bidang futsal pula. Malah futsal sering dijadikan sebagai asas untuk membimbing skill mengelecek pemain mereka oleh kelab-kelab ternama. Ronaldinho misalnya, bermula sebagai pemain futsal sebelum menceburkan diri dalam bolasepak.

Berbalik membicarakan mengenai prestasi buruk skuad negara di Bangkok hingga dibelasah teruk 22-0 oleh Thailand. Apa yang pasti, tiada alasan untuk menyalahkan orang lain kepada kegagalan itu. Memang diakui bahawa Thailand adalah pasukan gergasi futsal di Asia bersama Iran namun kita tidak boleh bersandarkan alasan itu untuk tidak bertanggungjawab langsung. Kita mesti menerima kegagalan itu dengan lapang dada dan fikiran yang positif. Ini bermakna sesuatu yang 'besar' dilakukan untuk skuan futsal bermula dari sekarang.

Futsal mesti dipupuk dan disemai dari peringkat sekolah rendah lagi. Kita bernasib baik kerana kebanyakan sekolah kini menyediakan gelanggang futsal walaupun di luar dewan. Ini memudahkan kita untuk melaksanakan apa saja program pembangunan peringkat akar-umbi. Satu 'master plan' yang merangkumi target jangka panjang, sederhana dan pendek dapat dirancang dan ungkayahkan. Perkara ini tidak mustahil dan sesuatu kejayaan itu adalah bermula dari kegagalan, kegagalan itu pula adalah kejayaan yang tertangguh.

Liga futsal telah dianjurkan (adakah ianya sebuah liga? Saya memerlukan maklum balas atau komen dari pembaca mengenai hal ini) dan ini merupakan satu wadah untuk kita mengenalpasti pemain-pemain berbakat dan berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan untuk kejohanan-kejohanan tertentu nanti. Tidak perlu lagi memilih pemain secara 'trial' kerana cara itu adalah cara lama sekitar tahun 60an dan 70an dulu. Kalau tidak masakan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) melancarkan projek/program Talent Identification Program (Program Mengenalpasti Bakat) dari sekolah rendah. Tanyakan mereka (kakitangan JBS) untuk keterangan lanjut.

Jika semuanya dilakukan dengan secara tuntas dan rapi tidak mustahil kejayaan dapat dicapai sepertimana yang ditunjukan oleh skuad Hassanal Bolkiah Trophy (HBT) 2012 lalu. Ketika itu kegagalan di Bangkok akan menjadi manis dan indah. Kita nantikan apa yang berlaku selepas ini, adakah futsal kita menuju puncak jaya atau sebaliknya.

Prof: Simpati dengan sahabat yang bertugas di Bangkok.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hi there,

My name is Lizzy; I work for the PR agency that is handling the Warrior Sports (new apparel sponsor of Liverpool FC) account here in Asia.

I thought I’d get in touch as I’m currently compiling a media database for bloggers. Being a football fan yourself, I thought you would be interested in getting a copy of the press release for the launch of the new kit - would you be interested? If so, please share your email and I will gladly add you to the database.

I can be reached at ewu@racepointgroup.com. Hoping to hear from you soon.

Thanks and have a great day!

Best,
Lizzy