Rabu, 4 April 2012

KAJAYAAN AKADEMI BOLASEPAK JERMAN

Pasukan Jerman Piala Dunia 2010 Afrika Selatan - gamber ehsan fifa.com

Kejayaan pasukan Jerman menduduki tangga ke tiga Piala Dunia 2010 Afrika Selatan yang lalu benar-benar membuka mata banyak pihak sehingga menenggelamkan kehebatan Sepanyol pasukan yang menjuarai buat pertama kali. Ini semua gara-gara kehebatan Jerman menumpaskan dua pasukan gergasi dunia iaitu Argentina dan England dengan menurunkan pemain-pemain yang rata-rata berumur 23 tahun.

Nama-nama pemain muda mereka seperti Thomas Muller, Mesut Ozil, Semi Khedira, Toni Kroos dan Mario Gomes menjadi taruhan Joachim Loew (pengurus/jurulatih) sebagai pemain kesebelasan utama. Mereka berjaya menjaringkan 4 gol ke atas Argentina dan England yang dibarisi oleh kesemua bintang-bintang handalan mereka. Bagaimana pemain-pemain muda Jerman melakukannya? Inilah satu persoalan yang menarik untuk kita cari jawapannya.

Maka kita akan mendapatkan jawapannya ialah 'Akademi Bolasepak'!

Jika kita pusing kembali sejarah bolasepak Jerman 12 tahun lampau iaitu pada Euro 2000 (Belanda & Belgium) bilamana pasukan kebangsaan mereka gagal layak ke pusingan kedua dengan keputusan amat memalukan, mengutip hanya 1 mata dengan jaringan juga 1 gol! (10 tahun sebelumnya 1990 mereka adalah juara Piala Dunia).

Selepas pencapaian memalukan itu pihak berkuasa bolasepak Jerman, DFB, mengambil keputusan bahawa satu langkah drastik mesti diambil untuk memajukan bolasepak Jerman. Mengambil contoh Akademi Bolasepak Ajax Amsterdam di Belanda dan Clairefontaine Centre of Excellence di Perancis, pihak DFB dan League Association (dianggotai oleg kelab-kelab professional) mengambil langkah drastik dengan mewajibkan kelab-kelab Bundesliga 1 & Bundesliga 2 menubuhkan akademi masing-masing.

Penubuhan akademi-akademi ini dipantau dan dikawalselia oleh sebuah jawatankuasa khas yang dinamakan 'Academy Committee' yang anggotanya terdiri dari wakil DFB, League Association, wakil beberapa kelab professional seperti Bayern Munich, Bayer Liverkusen dan Brussia Dortmund serta beberapa ahli bebas yang terdiri dari pakar-pakar dari pelbagai disiplin ilmu. Maka tumbuh 36 buah akademi bolasepak yang dimiliki oleh kelab-kelab bolasepak Bundesliga 1 & 2.

Dalam setiap akademi mempunyai skuad bawah 12, 13, 14, 15, 16, 17, 19/18 dan 23 tahun masing-masing. Diwujudkan juga liga bawah 17 & 19 tahun bagi Bundesliga 1 & 2. Di samping itu pihak Academy Committee juga menjalinkan kerjasama dengan sekolah-sekolah bolasepak persendirian yang ada di Jerman agar satu rangkaian program pembangunan yang selari dengan hasrat pasukan kebangsaan dapat dilaksanakan.

Setiap akademi mempunyai beberapa buah padang (termasuk rumput & karpet), asrama, jimnasium, dewan makan, bahagian perubatan, kolam renang, bangunan pentadbiran dan bilik komputer. Kakitangan juga diambil mewakili para jurulatih, fisioterapi, doktor perubatan, pakar permakanan, pakar psikologi, guru akademik, pembantu-pembantu peribadi dan kakitangan pentadbiran.

Untuk menjaga mutu akademi-akademi tersebut Academi Committee telah mewujudkan sistem gred. Mana-mana kelab yang berjaya mendapat gred lebih baik akan ditambah dana kewangan sebagai galakan. Begitu juga halnya kepada mana-mana kelab yang berjaya di peringkat Champion League dan Europa League, sebahagian dana akan disalurkan kepada akademi mereka.

Maka selama beberapa tahun projek akademi tersebut berjalan kita telah melihat bagaimana Jerman berjaya melahirkan ramai pemain-pemain muda berbakat yang dalam usia sangat muda seperti Thomas Muller, 17 tahun, berjaya bermain begitu meyakinkan dalam kancah Piala Dunia mengatasi ramai pemain-pemain senior dunia yang lain. Begitu juga halnya dengan rakan-rakannya yang lain seperti Mesut Ozil, Semi Khedira, Toni Kroos dan kini muncul beberapa nama lagi yang akan kita lihat pasti memberi impak dalam Euro 2012 nanti seperti Mario Gotze, Andre Achurrla dan pasangan kembar Sven dan Lars Bunden.

Selama ini kelab-kelab Bundesliga telah membelanjakan 520 juta Euro khusus untuk membangun akademi dan jumlah tersebut terus bertambah setiap tahun. Namun hasilnya cukup mengembirakan DFB, League Association dan Academy Committee. Perlu dicatatkan bahawa dari seramai 525 pemain yang beraksi dalam Bundesliga sekarang ini, 275 pemain atau kira-kira 52.4% adalah hasil garapan akademi-akademi tersebut. Secara purata pula seramai 15 orang pemain setiap kelab juga adalah diambil dari pemain-pemain akademi mereka. Ini adalah satu statistik tertinggi di dunia! Cuba kita bandingkan dengan EPL, 'umpama bumi dan langit'.

Dari segi kejurulatihan pula, Jerman memiliki kumpulan jurulatih berkelayakan paling ramai di dunia. Jerman kini mempunyai seramai 1,200 orang jurulatih yang memegang 'Pro License', 5,000 orang 'A License' dan 2,500 orang 'B License'. Jika dihimpunkan mereka ini berjumlah 9,000 orang jurulatih berkelayakan peringkat tinggi! Juga merupakan statistik tertinggi di dunia!

Mungkin sesuatu dapat dicungkil dari pencerahan ini oleh NFABD dalam usaha membangun bolasepak negara.

Prof: Ayuh rakan-rakan saya dalam NFABD. Lakukan sesuatu, hampir 1 tahun, saya masih menanti projek pembangunan jangka panjang yang akan diusahakan oleh NFABD. Tapi saya tetap menanti dengan sabar menanti tarikh keramat itu.

Tiada ulasan: