Akhir mimpi menjadi kenyataan. Satu perjalanan panjang telah berakhir dengan suasana gembira. Beberapa mitos telah terungkai dan dengan jawapan yang terima oleh semua peminat bolasepak di Brunei DS. Brunei DS menjadi juara Trofi Hassanal Bolkiah 2012, edisi keempat, setelah membaham keangkuhan negara paling besar di Asia Tenggara, Indonesia 2-0 di pelawanan akhir malam tadi di hadapan penyokong sendiri.
Dalam ramalan awal saya, Brunei DS akan mampu mencipta sejarah pada kali ini apabila Thailand menarik diri di saat-saat akhir dan Brunei DS terpaksa diletakkan dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Malaysia, Kemboja dan Timor Leste. Bagi saya, inilah masa yang tetbaik bagi anak buah Hj Feisal Hj Mohd Yussof (pengurus) dan Kwon Oh Soon (jurulatih) untuk menempa sejarah mara ke separuh akhir buat pertama kali. Mereka hanya perlu menewaskan Malaysia (yang menurunkan pemain bawah 19 tahun) kerana pada hemat saya mereka akan mampu menewaskan Timor Leste dan Kemboja.
Akan tetapi pemain-pemain negara melakukan lebih daripada itu. Mereka bukan sahaja mampu layak ke separuh akhir malah menjuarai kejohanan yang dikhususkan untuk pemain-pemain bawah 21 tahun Asia Tenggara itu. Dalam perjalanan itu wira-wira muda negara yang digelar 'Young Bees' atau 'Tebuan Muda' oleh para peminat telah menewaskan beberapa buah pasukan yang selama ini sering menjuarai pelbagai kejohanan peringkat serantau seperti Malaysia, Myanmar dan Indonesia.
Bukan itu sahaja, para pemain negara muncul sebagai juara dengan maruah dan prestasi yang membanggakan. Mereka telah memperlihatkan corak permainan menarik, kawalan bola yang kemas, kerjasama berpasukan yang jitu, kekuatan mental yang ampuh serta disiplin 'game' yang baik hingga membuatkan lawan-lawan mereka terkedu, seolah-olah tidak mempercayainya bahawa itu adalah pasukan Brunei DS sebenar.
Percayalah, semua yang telah mereka paparkan kepada kita itu adalah lahir dari satu program panjang. Secara tidak sedar ianya bermula dari projek-projek akademi bolasepak dan skim-skim latihan peringkat akar-umbi yang diungkayahkan oleh pelbagai pihak. Perlu saya catatkan di sini bahawa banyak pihak yang mesti mendapat 'credit' dari kejayaan ini. Tanpa sumbangan mereka mustahil kita mampu mencapai kejayaan manis ini.
Kita mesti berterima kasih kepada beberapa buah akademi bolasepak yang wujud di negara ini seperti Projek Ikan Pusu (PIP) di bawah bimbingan Hj Omar Jamil, Akademi Bolasepak Muara Vella FC di bawah seliaan Muhamad Hj Tunjang, Skim Bolasepak anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK) melalui bahagian bolasepak yang dikepalai oleh Liew Chuan Fue yang sering membawa pemain-pemain berkenaan beraksi di peringkat antarabangsa melalui kejohanan-kejohanan Sekolah-Sekolah Asia Bawah 15 & 17 tahun, Sekolah Sukan (dikhabarkan sebahagian besar pemain adalah penuntut sekolah ini), FFBD yang mewujudkan 'Brunei Youth Team' dan akhir sekali ialah JBS yang telah membuat persediaan rapi untuk skuad juara ini. Dan tidak lupa kepada ibu-bapa dan keluarga para pemain yang memberikan komitmen tinggi serta memberi dorongan dan sokongan kepada anak-anak mereka untuk terlibat secara aktif dalam bolasepak.
Dengan asas permainan bolasepak yang telah diterapkan dari usia kanak-kanak maka pemain-pemain berkenaan telah berjaya muncul sebagai sekumpulan pemain bolasepak berkualiti bak kata pepatah 'duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi' dengan lawan-lawan mereka. Kejayaan ini adalah contoh terbaik kepada bukan sahaja sukan bolasepak malah kepada sukan-sukan yang lain bahawa pembangunan peringkat akar-umbi sangat penting malah berani saya katakan ianya 'wajib' diungkayahkan.
Perkara kedua yang ingin saya sentuh di sini ialah mengenai mitos palsu yang selalu diungkapkan oleh para pemimpin persatuan sukan iaitu berkenaan saiz kecil atau besar dan keramaian jumlah penduduk sesebuah negara itu memainkan peranan dalam kejayaan dalam sesuatu sukan. Mereka sering menyalahkan bahawa saiz negara kita yang kecil dan jumlah penduduk yang sedikit menyumbang kepada kegagalan kita melahirkan ahli sukan terbaik.
Saya pernah puluhan kali berbicara dengan para pemimpin persatuan sukan mengenai perkara ini, mereka beralasan negara kita tidak ramai penduduk. Malah salah seorang mantan 'chief de mission' ke salah satu temasya Sukan SEA pernah menyebutnya sebagai alasan. Sebenarnya mereka tidak tahu membuat kerja. Lihat, kita telah menjuarai Trofi Hassanal Bolkiah dan telah menewaskan negara-negara besar seperti Indonesia (250 juta), Myanmar (50 juta), Malaysia (26 juta), Kemboja (13 juta) dan Timor Leste (5 juta), penduduk kita cuma 250 ribu penduduk sahaja!
Sebenarnya jumlah penduduk bukanlah alasan akan kegagalan kita melahirkana atlit berwibawa. Atlit terbaik akan dapat dihasilkan dari program pembangunan jangka panjang yang bersistematik dan kerjasama dari semua pihak, bermula dari ibu-bapa, sekolah, akademi-akademi, persatuan kebangsaan dan kementerian-kementerian tertentu. Jika kesemua pihak ini berpadu tenaga dan berganding bahu tidak mustahil kita akan berjaya melahirkan ramai atlit-atlit berkarisma terutama dalam sukan-sukan indivitu.
Kini kita akan menghadapi pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki Cup yang khabarnya akan berlangsung pada bulan Oktober 2012 nanti. Kali ini tugasan NFABD pula sebagai badan induk sukan bolasepak di negara ini memikul tanggungjawab. Mulakanlah kerja dari sekarang. Jangan ulangi kesilapan lalu dengan menyediakan pasukan main 'tangkap-muat', menjalani latihan 2-3 bulan sebelum kejohanan dan memilih pemain secara trial. Satu rangka atau program latihan mesti dimulakan dari sekarang. Pemain-pemain sudah tersedia cuma tinggal menyediakan pasukan. Saya berharap NFABD serius dalam hal ini.
Jika diungkayahkan secara professional dan bersistematik, saya percaya kita mampu layak ke perlawanan peringkat kumpulan 10 pasukan terakhir. Dalam pusingan kelayakan ini kita akan bermain menentang Timor Leste, Kemboja, Filipina dan Laos. Dua pasukan teratas akan layak bermain bersama jaguh-jaguh Asia Tenggara yang lain. Sebagai rekod, dalam tiga edisi pusingan kelayakan cabaran negara telah diwakili oleh dua buah kelab iaitu QAF FC dan DPMM FC.
Saya mendoakan selepas kejayaan menjuarai HBT 2012 senario bolasepak negara akan berubah dan menuju kepada kejayaan yang lebih gemilang.
Prof: Membangun preastasi atlit tidak dapat dicapai dalam sekelip mata.
1 ulasan:
stuju.bina skuad tabuan muda serta kn mereka di b-league.atau liga malaysia.atau pun liga sngpore.
Saya mlihat pemain muda tabuan tidak seperti dulu yg mudah di gol kn phak lawan. kekuatan counter attack tabuan muda yg tsndiri
Catat Ulasan