Selasa, 20 Mac 2012

SUKARNYA MEMPERTAHAN KEMENANGAN

Sejarah telah dicipta. Brunei DS menjuarai Hassanal Bolkiah Trophy 2012. Satu-satunya kejohanan peringkat belia bawah 21 tahun bagi negara-negara Asean. Edisi 2003 Indonesia muncul juara sulong, Thailand 2 kali dimahkota sebagai pemenang, 2005 & 2007. Sementara 2012 milik negara tuan rumah, Brunei DS, kemenangan yang jika dijangka langsung oleh peminat bolasepak dalam dan luar negeri.

Kini skuad HBT 2012 sedang menjelajah ke seluruh negara bertemu peminat dan memberi kesempatan kepada mereka untuk bertemu wira-wira muda negara. Biarkanlah, mereka layak untuk disanjung dan dipuja atas apa yang telah mereka capai. Sama seperti skuad juara Piala Malaysia 1999 lalu. Penghormatan selaku juara dan pahlawan negara dalam bidang sukan mesti diberikan sebagai pembakar semangat kepada generasi muda penerus cabaran negara.

Melalui pengalaman saya membuat temuramah dengan beberapa ahli sukan yang berjaya di bidang masing-masing, kesemua mereka mengakui bahawa mempertahan kemenangan atau sesuatu kejuaraan lebih sukar dari menjuarai buat pertama kali. Setelah bergelar juara sudah pasti mereka menjadi tumpuan lawan. Segenap tenaga diperturunkan untuk menewaskan 'sang juara'. Segala ilmu pengetahuan, pengalaman dan strategi dikerah untuk memerangkap 'sang juara'. Selagi 'sang juara' belum tumbang mencecah bumi, selagi itulah mereka akan berusaha sedaya upaya mengerah kudrat dan keringat agar 'sang juara' menyerah kepada kehebatan mereka.

Salah seorang pemenang pingat emas Sukan Sea Brunei DS telah melahirkan kebimbangan yang sama sebaik pulang ke tanahair. Beliau memberitahu saya bahawa kejayaannya itu telah membuka mata lawan-lawannya untuk bersedia lebih awal dan beliau benar-benar tertekan. Dapat saya lihat kegusaran itu melalui penampilannya setiap kali bertemu saya dan kebimbangannya itu benar-benar terjadi apabila beliau tewas dalam perlawanan akhir Sukan Sea dua tahun selepas itu.

Jadinya, HBT 2014 merupakan cabaran yang lebih getir menanti skuad 'Tebuan Muda'. Kepada pihak-pihak tertentu yang akan dipertanggungjawabkan menyediakan skuad HBT 2014 hendaklah bersedia dari sekarang. Dalam penampilan HBT 2014 nanti skuad 'Tebuan Muda' sudah pasti menjadi 'favourite' dan tumpuan setiap pasukan lawan. Jangan harap kita akan mendapat laluan mudah kali ini. Diharap persiapan kali ini akan lebih teliti lagi. Di samping persiapan dari segi taktikal dan fizikal pemain, pengendali juga mestilah mempersiapkan juga ketahanan mental para pemain. Saya yakin 100% mereka akan bermain di bawah tekanan (under pressure). Oleh itu aspek ketahanan mental sangat 'vital' dalam membentuk skuad HBT 2014.

Berbalik memperkatakan skuad 'sang juara', sudah banyak kedengaran pandang dari para peminat bolasepak tempatan. Rata-rata mereka menginginkan kesinambungan dari episod kemenangan ini. Ramai yang bertanya apa akan dilakukan kepada skuad 'sang juara' itu? Apakah mereka dikekalkan untuk sebuah projek pembangunan yang lain? Atau pemain-pemain tersebut dibiarkan begitu sahaja?

Apa yang pasti kebanyakan mereka akan kembali ke kelab masing-masing untuk menyambung tugas dan kempen dalam kejohanan Liga Kebangsaan anjuran NFABD. Lainlah jika ada sesuatu yang ingin dilakukan terhadap skuad ini. Siapa tahu? Ramai juga berpendapat agar skuad ini dikekalkan mengambil contoh projek-projek jangka panjang yang diungkayahkan oleh negara-negara jiran seperti Harimau Muda (Malaysia), Young Lion (Singapura) dan Garuda Muda (Indonesia).

Skuad-skuad projek tersebut dikekalkan atau dibesarkan jumlahnya seperti Harimau Muda yang dibahagikan kepada 2 buah pasukan iaitu Harimau Muda A (menyertai S League) dan Harimau Muda B (bertanding dalam Liga Perdana Malaysia). Young Lions juga menyertai Liga Super Malaysia. Manakala Garuda Muda khabarnya sudah 2 tahun berkelana di negara-negara Amerika Selatan berlatih dan bertanding di sana. Bagaimana halnya dengan Tebuan Muda?

Di awal tahun 1980an skuad Korea Selatan telah berada pada tahap yang sangat rendah. Saya pernah menyaksikan mereka tewas dengan mudah di tangan Malaysia beberapa kali. Namun, menjelang menjadi tuan rumah Sukan Asia 1986 dan Sukan Olimpik 1988 Korea Selatan telah mengambil langkah drastik dengan mewujudkan satu program pembangunan jangka panjang yang mensasarkan kejayaan dalam bukan sahaja kedua-dua temasya sukan besar itu malah menjadikan Korea Selatan muncul sebagai kuasa baru bolasepak dunia.

Pada peringkat awal mereka mewujudkan 4 buah skuad bawah 18-20 tahun yang mana mereka bukan sahaja berlatih di Korea malah turut menjelajah ke serata pelosok dunia menyertai kejohanan-kejohanan jemputan selama beberapa tahun. Beberapa bulan menjelang Sukan Asia 1986 ke empat-empat skuad tersebut kembali ke tanahair dan dijadikan 1 skuad kebangsaan Korea Selatan dan akhirnya mereka menang pingat emas.

Dalam masa yang sama, sebagai projek berteruskan mencungkil pemain-pemain muda berbakat, pihak KFA (Korea Football Association) telah mewujudkan Liga Antara Universiti. Mana-mana pemain yang berbakat akan diberikan biasiswa sehinggalah pemain-pemain tersebut menamatkan pengajian mereka. Begitu juga halnya dengan peringkat kolej dan sekolah menengah, kesemua peringkat ini diwujudkan liga masing-masing dari peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Akhir dari model pembangunan bolasepak Korea Selatan tersebut adalah kejayaan mereka memasuki pusingan separuh akhir Piala Dunia 2002. Sebilangan besar pemain mereka mampu beraksi bersama kelab-kelab utama dunia di Eropah. Tiket ke Piala Dunia seolah-olah 'wajib' bagi Korea Selatan.

Tidakkah kita dapat meniru sedikit dari model kejayaan Korea Selatan itu?

Prof: Masih menanti projek pembangunan jangka panjang NFABD.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bina tabuan muda serta kn mereka di liga malaysia.bina stadium baru yg muat 88ribu org untk hbt..yg pinting buat psediaan untk piala aff.smoga skuad tabuan bjaya di piala aff.bjaya blawan di tempat lawan