Ahad, 23 Januari 2011

PELUANG MELAKUKAN PERUBAHAN

Jika tercapai hasrat pihak yang berkepentingan atau 'stake holders' atau ahli-ahli gabungan BAFA untuk menemui FIFA menyampaikan hasrat 'persetujuan' mereka untuk membubarkan BAFA DAN persetujuan FFBD untuk dibubarkan bagi memberi peluang kepada 'stake holders' atau lebih tepat lagi pertubuhan/persatuan/kelab bolasepak di Brunei DS menubuhkan sebuah badan induk baru maka tidak syak lagi ini adalah peluang keemasan untuk melakukan 'perubahan' atau 'change'.

Kenapa saya berkata begitu? Seperti yang kita semua sedia maklum sebelum ini sukan bolasepak di Brunei DS diurustadbir oleh BAFA dan mengalami pelbagai masalah hingga membawa pembatalan pendaftaran badan induk tersebut. Kemunculan FFBD juga turut tidak disenangi oleh FIFA dan beberapa pihak 'stake holders' sendiri. Maka menubuhkan sebuah badan induk baru sudah pasti menjadi satu kesempatan untuk melakukan perubahan.

Melakukan perubahan dalam ertikata memilih pemimpin-pemimpin baru yang berwibawa, berintegriti, jujur, ikhlas, professional dan yang penting sekali mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan bolasepak. Dalam konteks ini, di negara ini, apa yang difikirkan oleh banyak pihak adalah seseorang pemimpin itu mestilah seseorang yang berpengaruh, berpangkat tinggi dan dihormati masyarakat.

Memang, untuk memimpin sesebuah persatuan, apatah lagi dalam masyarakat kitani, soal kedudukan seseorang masih menjadi keutamaan. Soalnya, apakah ianya masih sesuai dalam zaman moden ini? Apakah boleh mengharapkan seseorang yang berkedudukan untuk mengurus sebuah persatuan sukan nombor wahid ini?

Jawapan saya, tidak! Tidak salah jika sekiranya kita ingin memilih seseorang yang berkedudukan untuk memegang jawatan-jawatan penting seperti presiden, naib presiden, setiausaha atau bendahari. Soalnya, apakah mereka mempunyai masa untuk semua itu? Ini kerana sukan bolasepak menuntut komitmen sepenuh masa kerana terlalu banyak tugas yang mesti dilaksanakan.

Sebagai contoh; badan induk bolasepak mesti menyediakan skuad dalam pelbagai peringkat umur dari skuad bawah 12 tahun hinggalah skuad senior. Bermakna satu projek pembangunan jangka panjang mesti dibuat jika tidak kita tidak mampu untuk menyertai kejohanan-kejohanan yang dianjurkan oleh badan-badan induk seperti AFF, AFC dan FIFA. Ini tidak termasuk menyediakan skuad-skuad untuk sukan-sukan utama seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Ditambah lagi komitmen kalendar aktiviti di dalam negeri, umpamanya memantau pembangunan bolasepak di keempat-empat daerah (dari peringkat belia hingga senior). Persatuan memerlukan tenaga-tenaga kerja yang ramai dan pemimpin yang dapat menumpukan seratus peratus tenaga dan buah fikiran mereka bukan pemimpin-pemimpin yang hanya datang mesyuarat sebulan sekali.

Mungkin ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa persatuan perlukan orang berkedudukan kerana dapat membawa penaja-penaja. Dalam konteks sukan bolasepak, bagi saya tidak perlu. Kerana sebab-sebab berikut;

1. Sukan bolasepak adalah sukan no 1 di dunia. Tidak ada masalah besar untuk mendapat tajaan dari mana-mana syarikat swasta untuk menajanya, cuma perlu satu kertas cadangan yang dapat menarik minat mereka.

2. FIFA mempunyai dana yang cukup banyak untuk disalurkan kepada ahli-ahli gabungan. Dana-dana tersebut datang dalam bentuk projek-projek pembangunan umpamanya 'Goal Project' yang pernah diperolehi BAFA sebelum ini. Bagitu juga halnya dengan AFC dan AFF. Untuk pengetahuan ramai, penyertaan sesebuah negara ke kejohanan-kejohanan anjuran badan-badan induk sudah disediakan dana maka tidak ada masalah untuk melaksanakannya, cuma jika kita ada dana tambahan adalah lebih baik.

3. Sebagai sebuah persatuan sukan kebangsaan sudah pasti mendapat dana tahunan dari pihak kerajaan.

Menilai dari sebab-sebab di atas, saya fikir apa yang perlu kepada sebuah badan induk baru adalah seorang pemimpin yang dapat memberi komitmen seratus peratus dalam perjalanan aktiviti persatuan dan yang paling penting juga adalah mempunyai skil pengurusan yang cekap dan berintegriti serta prudent.

Itulah yang saya maksudkan dengan 'perubahan' atau 'change'. Inilah masanya untuk kita berubah dari kepimpinan gaya lama kepada kepimpinan abad ke 21 yang menuntut semua sikap-sikap positif dan tidak memberi peluang kepada pemimpin yang tidak mahir, gagal memberi komitmen dan tidak berminat menjalankan tugasan mereka.

Dan yang terakhir adalah seorang pemimpin yang mampu berkomunikasi dengan baik dalam pelbagai bahasa kerana sebagai wakil badan induk mereka akan menghadiri pelbagai kongres, seminar, perjumpaan, mesyuarat dan aktivti anjuran badan-badan induk seperti AFF, AFC dan FIFA. Melalui pengalaman saya sebagai wartawan sukan sebelum ini, hampir setiap bulan ada sahaja acara-acara yang dianjurkan oleh badan-badan induk tadi.

Mampu menguasai pelbagai bahasa adalah satu kelebihan, paling tidak mampu bercakap dan menulis dengan baik dalam Bahasa Inggeris. Kerana dalam dunia moden ini setiap pemimpin akan sentiasa berhadapan dengan pihak media dan jika mereka tidak mempunyai skil komunikasi yang baik maka imej persatuan yang diwakilinya pula akan terjejas.

Apapun, keputusan di tangan anda. Buatlah pilihan untuk 'perubahan'.

Prof: Maaf kepada kawan-kawan yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin tetapi tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris. Saya terpaksa nyatakan ini demi kebaikan kita bersama.

Tiada ulasan: