Selasa, 18 September 2012

SYABAS DPMM FC

 Rosmin 'Boby' Haji Kamis ketua pasukan DPMM FC.

Para peminat 'Sang Tebuan' pasukan kebangsaan Brunei Darussalam yang akan menyertai pusingan kelayakan AFF Suzuki Cup pasti merasa lega dan bertambah semangat apabila DPMM FC bersetuju memberi kerjasama untuk membenarkan pemain-pemain bintang mereka menyertai skuad kebangsaan yang kini sedang giat menjalani latihan di bawah pengawasan Haji Feisal Haji Yeusoff (Pengurus) dan kendalian Kwon Oh Soon (Jurulatih).

Menurut siaran akhbar tempatan kelmarin (17 Sept 2012) pihak pengurusan DPMM FC bersedia melepaskan tonggak utama mereka seperti ketuaa pasukan Rosmin 'Bobby' Haji Kamis, Haji Mohd Subhi Abdillah Haji Bakir, Wardun Haji Mohd Yussof, Shahrazen Said, Azwan Haji Mohd Salleh, Sairol Haji Shari dan Mohd Helmi Zambin. Sementara Adi Said, Najib Tarif, Mohd Azam, Mohd Hendra, Mohd Fakhrul dan Fakarazi merupakan pemain yang dipilih menyertai DPMM FC setelah berakhirnya HBT Trophy (yang sememangnya di bawah bimbingan Kwon Oh Soon).

Saya percaya dengan kehadiran 'Bobby' dan rakan-rakan akan menguatkan lagi cabaran Brunei Darussalam dalam pusingan kelayakan itu dan mencipta satu lagi sejarah dalam kancah bolasepak negara dengan melayakkan diri ke pusingan akhir kerana sebelum ini 'Sang Tebuan' belum pernah layak ke pusingan akhir kejohanan paling berprestij di Asia Tenggara itu.

Pengalaman yang dimiliki oleh pemain-pemain tersebut sudah pasti akan banyak membantu Haji Feisal & Kwon Oh Soon dalam membentuk kesebelasan utama yang terkuat. Dalam pusingan kelayakan yang akan berlangsung di Myanmar itu nanti pasukan negara akan berdepan Myanmar, Laos, Timor Leste, Kemboja dan Filipina. Dua pasukan teratas akan layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia dan Bangkok, Thailand.

Di sinilah kita menagih kepintaran dan kepakaran yang dimiliki oleh Kwon Oh Soon sebagai seorang pengendali yang dihormati untuk mengadun corak permainan yang dimiliki oleh pemain-pemain DPMM FC dan pemain-pemain sedia ada yang sebahagian besarnya sudah beberapa lama bermain bersama beliau. Memandangkan masa yang agak singkat maka penyesuaian dan persefaham antara mereka sangat-sangat diharapkan. Maknanya Kwon Oh Soon yang sudah memahami corak permainan pemain-pemain DPMM FC kerana beliau saya lihat tidak terlepas peluang melihat perlawanan antara DPMM FC menentang pasukan lawan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas baik dalam penyertaan mereka dalam Liga M mahupun Liga S yang sedang berjalan sekarang. Jurulatih asal Korea Selatan itu saya pasti telah membuat 'homework' beliau dan mempunyai formula terbaik yang akan diterapkan kepada pasukan kebangsaan.

Manakala dipihak pemain-pemain DPMM FC pula mereka mestilah bijak menyesuaikan diri bersama rakan-rakan sepasukan yang baru. Sudah pasti ada perbezaan dari segi pendekatan dan corak permainan yang diterapkan oleh jurulatih, maka adalah mustahak bagi mereka pantas menyerap perubahan itu. Namun saya yakin, dengan pengalaman mereka yang pernah dibimbing oleh beberapa orang jurulatih luar negara yang berwiawa maka 'Bobby' dan rakan-rakan akan mampu mempamerkan corak persembahan yang menarik, menghiburkan dan mebuahkan hasil.

Wardun sudah pasti menjadi tonggak menjaga gawang. Bahagian pertahanan dan midfield akan mendapat manfaat dengan kehadiran 'Bobby', 'Jeembo', Sai, dan Param, kerana kesemua mereka ini mampu bermain dengan baik sama ada di posisi pertahanan mahupun midfield. Manakala harapan untuk kita melihat gandingan penyerang adik-beradik mungkin akan menjadi kenyataan jika Kwon Oh Soon mahu menurunkan Shahrazen dan Adi Said sebagi 'penyerang kembar'.

Secara matematiknya kali ini adalah peluang paling baik bagi pasukan kebangsaan walaupun persiapan dilakukan agak terlewat berbanding negara-negara lain akibat dari beberapa masalah yang dihadapi. Jika pasukan negara mampu menewaskan Filipina, Kemboja dan Timor Leste serta mencuri sekali seri kepada Myanmar atau Laos maka satu slot ke pusingan akhir hampir pasti menjadi kenyataan.

Prof: Diharap kesemua pihak lebih peka dalam membuat persiapan pasukan kebangsaan. Ianya bukan untuk satu-satu kejohanan saja, malah sepanjang masa! Selepas ini kita akan menghadapi cabaran Sukan SEA, pusingan kelayakan Olimpik, Sukan Asia dan Piala Asia. Tiada rehat dalam mempersiapkan pasukan, oleh itu teruskan tugas kalian.

Tiada ulasan: