Rabu, 29 Februari 2012

REMZ GYM TAJA VFA LAGI

Saya sendiri sebagai wakil VFA sedang menerima replika cek tajaan dari wakil Remz Gym Brunei.

Remz Gym Brunei sekali lagi tampil membantu pihak-pihak yang memerlukan di Negara Brunei Darussalam ini. Paling terbaru ialah bantuan yang disampaikan kepada Veteran Football Association (VFA) yang akan menyertai 13th PSC International Soccer 7's Tournament 2012. Satu majlis penyerahan replika cek tajaan telah berlangsung di pejabar Remz Gym di Kiulap, Bandar Seri Begawan pada 27 Feb 2012 (Isnin) lalu, jam 2.30 petang.

Syabas diucapkan kepada Remz Gym yang tidak henti-henti menghulurkan bantuan kepada organisasi-organisasi sukan bagi penyertaan mereka di beberapa kejohanan luar negara. Sebelum ini Remz Gym juga telah menjadi penaja kejohanan kepada VFA dalam penganjuran Brunei 7's International Soccer Challenge 2011 lalu.

Dalam kejohanan di Pulau Pinang, Malaysia yang akan berlangsung pada 3 & 4 Mac 2012 nanti, VFA akan menyertai kategori Masters (45 tahun ke atas) dan mereka cuba untuk memperbaiki rekod penyertaan di kejohanan lalu. Tahun lalu skuad Masters VFA kandas di pusingan kedua. Skuad VFA Masters akan bertolak ke Pulau Pinang pada hari Jumaat, 2 Mac 2012.

Prof: Jarang kita temui pihak yang bermurah hati seperti Remz Gym membantu dengan tulus ikhlas tanpa meminta apa-apa imbalan. Patut dicontohi oleh pihak swasta yang lain sebagai tanggungjawab kepada masyarakat mereka.

Khamis, 23 Februari 2012

KETIADAAN THAILAND, PELUANG BRUNEI CIPTA SEJARAH

Seperti yang kita ketahui Thailand telah menarik diri di saat-saat akhir dari menyertai Hassanal Bolkiah Trophy (HBT) 2012 dan ini memaksa pihak penganjur meletakkan negara tuan rumah Brunei DS mengambil-alih tempat 'negara gajah putih' itu yang juga juara bertahan (2007) dalam Kumpulan B. Sebelum itu Brunei DS berada dalam Kumpulan A bersama Filipina, Singapura, Indonesia, Myanmar dan Laos.

Apabila berada bersama Malaysia, Kemboja, Vietnam dan Timor Leste dalam Kumpulan B nampaknya peluang Brunei DS untuk mencipta sejarah seolah-olah terbuka luas, sekurang-kurangnya beraksi dalam separuh akhir buat pertama kali dalam sejarah penganjuran HBT. Di atas kertas pasukan gagah yang sukar ditumpaskan ialah Vietnam dan Malaysia, manakala Kemboja dan Timor Leste mungkin dapat ditumpaskan mengikut prestasi semasa.

Malaysia, pemenang dua kali Sukan SEA (2009 & 2011) seperti yang saya nyatakan dalam posting terdahulu telah menyenaraikan skuad remaja bawah 19 tahun mereka. Ini memperlihatkan dengan jelas skuad negara jiran tersebut bukan datang untuk mengejar kejuaraan, mereka seperti juga penyertaan dala dua edisi HBT yang lalu (2005 & 2007) menghantar skuad yang lebih muda untuk semata-mata bertujuan sebagai menimba pengalaman dan pendedahan, projek jangka panjang yang telah ditetapkan dalam rancangan mereka.

Maka jika Brunei DS bermain dengan baik dan disertai sokongan padu penonton tempatan tidak mustahil Brunei DS berjaya menumpaskan Malaysia kali ini. Sudah agak lama kita belum mampu menewaskan Malaysia dalam apa jua pentas pertandingan antarabangsa. Inilah masanya. Jika berjaya menjinakkan Kemboja dan Timor Leste Brunei DS akan mengiringi Vietnam dalam Kumpulan B untuk ke separuh akhir.

Bagi Kumpulan A pula persaingan pasti antara pasukan Indonesia, Myanmar dan Singapura. Namun saya lebih kuat menjangka Indonesia dan Myanmar akan mara ke separuh akhir. Dua pasukan inilah yang akan dihadapi oleh Brunei DS jika mampu melangkah ke separuh akhir. Akan tetapi semua jangkaan saya itu hanyalah dengan penilaian 'on paper' ( di atas kertas). Keputusan sebenar adalah bergantung kepada prestasi sebenar yang ditunjukkan oleh para pemain ketika beraksi ditambah oleh kebijaksanaan jurulatih mengatur strategi memerangkap pasukan lawan serta keupayaan menjaringkan gol.

Saya mendoakan kejayaan pasukan Brunei DS. Kepada Haji Faisal Hj Mohd Yussof (Pengurus) dan Kwon Oh Soon (Jurulatih) semoga berjaya dan membuktikan segala usaha biskita selama ini tidak sia-sia dan membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Saya juga ingin melihat lahirkan beberapa orang pemain Brunei DS yang mampu menjadi bintang di mas akan datang. HBT inilah pentasnya.

Kepada pihak penganjur, semoga penganjuran kali ini adalah penganjuran yang terbaik dan memberikan imej cemerlang kepada negara-negara yang lainnya. Seperti yang dihasratkan penganjuran HBT ini iaitu agar penduduk ASEAN dapat berinteraksi antara satu sama lain melalui sukan bolasepak.

Selamat berjaya!

Prof: Kepada pembaca setia blog ini awda boleh melayari laman web rasmi HBT dengan meng'click' logo rasmi HBT yang diletakkan di sebelah kanan-atas blog ini.

Ahad, 19 Februari 2012

TRIAL FUTSAL OLEH NFABD

Pihak National Football Association of Brunei Darussalam (NFABD) menjalankan satu trial (pemilihan) untuk skuad futsal kebangsaan yang akan menyertai kejohanan futsal anjuran Asean Football Federation (AFF). Pemilihan diadakan pada 19 (Ahad) & 20 (Isnin) Februari 2012 bertempat di Stadium Tertutup, Komplek Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, Bandar Seri Begawan jam 8.00 malam.

Mengikut siaran akhbar oleh NFABD, mereka menjemput sesiapa saja pemain yang berusia dari 18 hingga 28 tahun untuk menyertai ujian pemilihan itu. Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi Awang Haji Hamidon bin Haji Mohd Zain (8738479) atau Awang Haji Mohd Noor bin Abd Hamid (8633368).

Prof: Diharap inilah trail terakhir yang dilakukan oleh NFABD sebabnya zaman ini tiada lagi istilah 'trial' atau ujian pemilihan kerana pembangunan bolasepak dilakukan dari peringkat akar-umbi. Jadi tiada masalah untuk memilih pemain.

Selasa, 14 Februari 2012

PERTELINGKAHAN SUAREZ - EVRA PERLU DIHENTIKAN

Gambar ehsan Google.

Kini bukan menjadi rahsia lagi bahawa pertelingkahan antara pemain Liverpool dari Uruguay, Luiz Suarez dan kapten Man Utd dari Perancis, Patrice Evra telah menjadi hangat dan berpanjangan. Bermula dari kata-kata perkauman yang dilemparkan oleh Suarez terhadap Evra dalam perlawanan EPL hingga membawa kepada tindakan disiplin terhadap Suarez (digantung 8 perlawanan) oleh England FA.

Pertelingkahan kembali panas sebaik Suarez dapat bermain kembali dan kebetulan pula perlawanan pertamanya menentang Man Utd di Old Trafford. Di awal perlawanan Suarez telah enggan bersalaman dengan Evra dan ini membuat bekas kapten Perancis itu naik marah dan mempertikai tingkah Suarez itu. Setelah tamat permainan suasana kembali tegang apabila Evra pula yang membuat provokasi meraikan kejayaan 'Red Devils' menewaskan 'The Reds' di hadapan Suarez. Pertelingkahan kembali semakar hingga ke terowong menuju bilik persalinan walaupun cuba ditenangkan oleh pegawai-pegawai perlawanan dan pegawai-pegawai kedua-dua pasukan.

Sir Alex Fergeson, pengurus Man Utd telah mengecam perlakuan Suarez dan menyeru rakan sejawatnya di Liverpool agar menjual pemain itu kerana menurutnya Suarez tidada ciri-ciri seorang pemain professional sejati. Dalam masa yang sama pengurus lagenda tersebut turut kesal dengan cara kaptennya, Evra, merayakan kejayaan di depan Suarez, seolah-olah mengejek-ejek pemain itu.

Pihak Persatuan Pemain Professional juga telah memberi komen yang tegas agar pertelingkahan itu dihentikan segera kerana ianya tidak memberi apa-apa manfaat kepada sukan bolasepak. Ujar jurucakap persatuan tersebut, "Setiap pemain professional mesti menghormati antara sesama mereka malah diwajibkan untuk memberi sokongan antara satu sama lain jika salah seorang daripada mereka menghadapi masalah. Ianya tidak mengenal perbezaan wakna kulit dan kewarganegaraan".

Saya sangat menyokong saranan itu kerana sedari awal saya menentang diskriminasi tidak kira dalam apa jua bentuk sama ada diskirminasi warna kulit, kewarganegaraan mahupun agama. Sukan bolasepak adalah untuk semua penduduk dunia ini untuk menikmatinya dalam apa jua cara sama ada sebagai pemain, pegawai pasukan, pentadbir persatuan/kelab dan peminat.

Sebab itu saya mengecam Presiden FIFA Sepp Blatter kerana memandang mudah perkara ini. Sebaliknya adalah tanggungjawab FIFA untuk memberhentikan terus masalah perkauman ini. Bukan sahaja melalui undang-undang yang sedia ada atau yang bakal digubal malah FIFA mesti menggerakkan kempen supaya dihapuskan perasaan megah terhadap warna kulit sendiri (dalam konteks ini kemegahan putih terhadap hitam) sama seperti FIFA berkempen untuk 'Fair Play'.

Ini adalah tanggungjawab FIFA paling utama di samping mengaut keuntungan berbillion dollar. FIFA mesti melakukan sesuatu. Bukan sahaja di EPL, beberapa pemain kulit hitam terutama asal benua Afrika sering menjadi cemuhan dalam liga-liga utama lainnya seperti Serie A, La Liga, Ligue 1 dan lain-lain liga lagi. Pemain penyerang dari Itali, Mario Balotelli, selalu sahaja diejek dengan ungkapan monyet oleh para penonton Sirie A sewaktu bermain untuk Inter Milan.

Jika perkara ini tidak dibendung saya khuatir ianya akan merebak dan akan menjadi satu wabak dalam sukan bolasepak. Kita tidak mahu perkara ini terjadi. Sukan bolasepak adalah untuk semua warga dunia tanpa mengira warna kulit, warganegara dan anutan agama. Kita berhak untuk bermain dan bergiat dalam sukan bolasepak dalam apa jua cara yang termampu oleh kita. Kepada mana-mana pihak yang membawa alasan 3 faktor itu (warna kulit, warganegara, agama) untuk menyekat seseorang itu bergiat secara aktif demi pembangunan dan kebaikan bolasepak, walau di negara mana ianya berlaku, adalah merupakan satu perbuatan yang melanggar 'Perlembagaan FIFA' (FIFA Statue) malah turut melanggar deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Serentak dengan itu mereka adalah pengkhianat nombor wahid kepada sukan bolasepak.

Prof: Pernah mengalami diskriminasi dalam memperjuangkan sukan bolasepak ini. Ianya tersimpan dalam sejarah hidup saya.

Isnin, 6 Februari 2012

SAFEE SALI JUTAWAN BOLASEPAK - SATU PENCERAHAN

Mohd Safee Sali (No 55) bersama skuad Pelita Jaya.

Bersama trofi Penjaring Terbanyak AFF Suzuki Cup 2010. - Gambar-gambar ehsan Google

Penyerang sensasi Malaysia, Mohd Safee Sali, minggu lalu mengumumkan untuk melanjutkan kontrak bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya untuk dua musim lagi dan menerima gaji sekitar RM2 juta sekali-gus menjadikan beliau sebagai jutawan bolasepak pertama negara itu. Bukan itu sahaja, bekas pemain TM Melaka, Kuala Lumpur, Sarawak dan Selangor itu akan menerima pelbagai kemudahan lain seperti kereta, rumah, elaun-elaun, pemandu peribadi, cukai berbayar, 'endorsement' dan pilihan untuk beraksi bersama kelab-kelab lain di bawah pemilikan Pelita Jaya Cronus seperti Brisbane Roar (Australia), CS Vise (Belgium) dan SAD FC (Uruguay) jika sekiranya Indonesia Super League (ISL) secara sah tidak diiktiraf oleh PSSI dan FIFA (bagi membolehkan Safee bermain untuk negaranya Malaysia).

Saya tidak mahu untuk berbicara lanjut mengenai Safee Sali cukup sebagai satu perbandingan dan 'case study' kerana beliau adalah pemain dari Asia Tenggara dan sangat dekat dengan kita kerana Brunei DS suatu ketika bermain di dalam liga yang sama di mana beliau bermain. Malah mungkin Safee pernah beraksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Semua pemain-pemain kita sama dengan Safee. Dari rumpun bangsa yang sama iaitu Melayu. Makanan asasi kita adalah nasi. Percakapan yang hampir sama walaupun ada sedikit perbezaan tetapi kita boleh bercakap antara satu sama lain tanpa jurubahasa. Kita mengamalkan budaya yang sama. Sistem pendidikan kita juga sama. Apabila hampir semua sama, apa yang berbeza?

Perbezaan antara kitani dan Safee ialah struktur atau hirarki pentadbiran dan sistem pembangunan bolasepak. Juga tidak ketinggalan ialah 'mind set' menanggap atau mengamal budaya bolasepak yang membuatkan kitani berbeza dengan negara jiran itu. Tidak keterlaluan jika saya menganggap bahawa pemikiran kitani masih di takuk lama. Termasuk pelbagai lagi unsur-unsur atau elemen-elemen yang tidak sihat masih membelenggu pemikiran kitani. Sebab itu kitani gagal melahirkan bintang bolasepak yang berjaya. Namun kemungkinan tetap ada.

Tidak mustahil Brunei DS dapat melahirkan seorang pemain sama seperti Safee Sali. Mampu menjadi jutawan bolasepak. Tetapi, seperti yang saya ucapkan di atas, kitani mesti memecahkan tembok pemikiran dan tabii yang membantutkan perkembangan serta kemajuan bolasepak. Berfikiran terbuka dan menerima pandangan orang lain sangat mustahak. Dalam mengurus bolasepak kita mesti menitikberatkan nilai-nilai professional. Hapuskan sifat mementingkan kawan-kawan sekeliling. Adili seseorang itu mengikut kemampuan mereka menjalankan tugas. Dan yang penting juga ialah jangan berkerja hanya mencari nama. Jika semua itu masih ada dalam diri kita maka 100 tahun akan datang pun mustahil kita dapat melahirkan pemain seperti Safee Sali.

Pernah saya mengingatkan kepada seorang rakan yang baru mendapat jawatan dalam persatuan bolasepak. Kata saya, "Orang akan menilai dari apa yang kita kerjakan, bukan dari apa jawatan yang kita sandang. Apatah lagi kita memegang jawatan dalam persatuan sukan. Prestasi sukan yang kita kerjakan akan jadi kayu pengukur". Malangnya kawan saya itu sangat rendah tahap pemikirannya untuk menerima apa yang saya katakan kepadanya. Akhirnya kini beliau hanyut dengan jawatan yang disandangnya. Episod malang bagi sukan bolasepak negara kita. Jika 10 orang ada seperti beliau, jawabnya hancur!

Jika kita bersungguh-sungguh melakukan kerja untuk membangun bolasepak mustahil tidak akan berjaya walaupun sedikit. Kemajuan mesti kita raih. Tidak mustahil salah seorang dari pemain skuad Hassanal Bolkiah Trophy (HBT) akan menjadi pemain professional dalam masa dua atau tiga tahun mendatang.

Janganlah berangan-angan untuk bermain di EPL. Dapat bermain di liga-liga professional seluruh Asia pun sudah mencukupi. Antara liga-liga yang menawarkan gaji yang lumayan ialah Liga Indonesia, A League (Australia), J League (Jepun), K League (Korea), China Premier League dan liga-liga negara Arab seperti Qatar, Kuwait, UAE dan Arab Saudi.

Kita sudah ada projek pembangunan yang dijalan secara tidak rasmi oleh pelbagai pihak. Sebagai rekod pihak Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum menganjurkan kejohanan bolasepak peringkat sekolah rendah dan menengah setiap tahun, dan mereka juga menyertai kejohanan bolasepak peringkat umur Asia setiap tahun. Sekolah Sukan juga menawarkan penuntut bagi sukan bolasepak.

Di peringkat kelab juga kita mempunyai beberapa buah akademi bolasepak yang diungkayahkan seperti Projek Ikan Pusu (PIP) dan Akademi Muara Vella FC. Apa yang perlu dilakukan ialah mengariskan satu projek pembangunan jangka panjang yang melibatkan semua pihak ini supaya ianya tidak bertindihan antara satu sama lain. Dengan cara itu kita mempunyai satu sistem pembangunan yang bertolong-tolongan sesama kita dan lebih fokus atau terarah. Jika ini dapat diungkayahakan tidak mustahil dalam masa 5 tahun kita dapat melahirkan ramai pemain-pemain berbakat.

Prof: Masih menunggu dengan setia (sudah 8 bulan) projek pembangunan bolasepak dari NFABD.

Khamis, 2 Februari 2012

TRAGEDI BERDARAH DI MESIR - 74 TERKORBAN, 1,000 CEDERA




Gambar-gambar ehsan foxsports.com Gambar penuh boleh dilayari di sini.

Tanggal 1 Februari 2012 yang lalu merupakan detik hitam dalam sejarah bolasepak Mesir dan dunia amnya apabila rusuhan penonton berlaku setelah tamatnya perlawanan liga di Port Said, Mesir antara kelab tempatan Al-Masry dan Al-Ahly. Menurut sumber berita, sebaik wisel penamat ditiup oleh pengadil para penyokong Al-Masry terus menyerbu ke arah penyokong Al-Ahly dan sebahagian yang lain telah turun ke padang menghambat para pegawai dan pemain Al-Ahly.

Pasukan keselamatan yang sedikit bilangannya telah gagal untuk mengawal penonton yang sudah 'naik minyak'. Keramaian jumlah penyokong Al-Masry berbanding Al-Ahly membuatkan sejumlah 74 orang disahkan terkorban dan lebih 1,000 yang lain cedera. Apapun yang berlaku ianya merupakan satu tragedi buruk dan sejarah hitam sukan bolasepak. Sukan yang sepatutnya dinikmati keindahannya telah dicemari oleh emosi yang meluap-luap.

Perkara sudah terjadi. Apa yang perlu dilakukan ialah pihak berwajib Mesir mesti menyiasat secara terpeinci dan menghukum siapa saja yang bertanggungjawab melakukannya. Untuk kita, jadikan ianya sebagai pedoman dan pengajaran bagaimana seharusnya mengurus sukan bolasepak yang kita minati ini. Al-Fatihah kita sedekahkan kepada mangsa-mangsa tragedi yang telah meninggal dunia.

Prof: Al-Fatihah.