Ahad, 15 Januari 2012

SELAMAT BERJUANG DPMM FC

Pg Sallehuddin & Rosmin aka Bobby Khamis ketika menjulang Piala Liga beberapa tahun lalu bersama DPMM FC.

Satu-satu kelab bolasepak professional di Brunei Darussalam, DPMM FC, akan kembali beraksi di S League tidak berapa lama lagi. Selamat berjuang kepada para pemain kelab tersebut. Sudah agak lama saya tidak mencatat sesuatu untuk mereka. Seingat saya sebaik sahaja 'insiden kad merah' beberapa tahun lalu. Selepas itu saya memboikot S League. Kebetulan selepas itu senario bolasepak Brunei DS kelam apabila BAFA digantung oleh FIFA, makanya DPMM FC tidak dapat berbuat apa-apa.

Kini setelah semuanya kembali seperti sediakala maka DPMM FC sekali lagi mengorak langkah menyelusuri kancah bolasepak professional. Ini bermakna kesemua pegawai dan pemainnya berkecimpung dalam dunia professional. Dunia professional sudah semestinya menuntut sikap professional juga daripada setiap individu yang terlibat. Dari tokoh membuat 'oren campur' (kitaman lah tu) hinggalah pengubal dasar sesebuah kelab atau pasukan. Semua mesti professional. Kalau belum, berusaha menjadi professional.

Saya pernah berada di dalam saf pengurusan secara tidak langsung apabila diberi kepercayaan menjadi editor 'Match Report' selama tiga musim yang mana ketika itu DPMM FC beraksi dalam Liga M. Banyak kenangan pahit-manis saya sewaktu bersama mereka. Biarlah segala kenangan itu tersemat di dalam sanubari saya sebagai pengalaman di hari muka.

Tidak dapat dinafikan bahawa pemain-pemain tempatan DPMM FC akan mendapat imbuhan paling istimewa iaitu pengalaman bermain di dalam liga professional. Sudah pasti pengalaman itu akan mematangkan corak permainan mereka dan ini sekali-gus akan menjadi asset berguna kepada negara apabila ada antara mereka yang akan terpilih ke skuad kebangsaan.

Malangnya ada saya mendengar cerita-cerita yang tidak masuk akal. Cerita berkenaan ada pemain-pemain muda yang menolak beraksi bersama DPMM FC kerana menerima tawaran lebih lumayan dari kelab tempatan. Bagi saya langkah pemain muda ini salah. Kalau seseorang pemain itu sudah berumur 30 an mungkin faktor kewangan menjadi keutamaan. Namun jika pemain yang baru meningkat baik maka bermain bersama DPMM FC di sebuah liga professional adalah langkah lebih tepat jika dinilai dari faktor professionalisma.

Sudah jelas bahawa liga tempatan masih bertaraf amatur. Pemain-pemain yang dihadapi juga adalah pemain-pemain yang tidak dapat kita pelajari secara total dari mereka. Sementara liga professional yang membariskan pemain-pemain import dari seluruh dunia dan juga terdapat kelab-kelab jemputan dari negara-negara lain akan menjadi wadah terbaik bagi seseorang pemain itu untuk maju dalam permainannya. Tidak mustahil jika mereka benar-benar berpotensi di sanalah nanti para agen perpindahan pemain akan melihat mereka dan tawaran-tawaran lain akan menyusul. Secara peribadi saya pernah dirujuk oleh beberapa orang agen pemain untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain DPMM FC suatu ketika dahulu.

Bagi pendapat saya, penasihat pemain yang menolak untuk beraksi bersama DPMM FC itulah orang yang bertanggungjawab. Kalau pemain itu sendiri saya yakin mereka mahu bermain di liga luar negara secara professional. Jika seseorang itu masih berfikiran singat maka kita akan menemui peristiwa-peristiwa seperti ini. Itulah yang dinamakan perbezaan minda antara amatur dan professional.

Prof: Saya pernah diberitahu bahawa ada pegawai yang menasihatkan supaya Mokhtar Dahari jangan menerima tawaran Ipswich Town sewaktu ketika dahulu. Bodoh sungguh akal pegawai itu. Jadi kita jangan ulangi kesilapan lampau itu.

Tiada ulasan: