Ahad, 29 Januari 2012

PIALA HASSANAL BOLKIAH - MENCONGGAK PELUANG PASUKAN NEGARA

Salah satu aksi dalam HBT 2007 lalu - foto ehsan Google.

Senarai akhir pemain yang akan dipilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam untuk kejohanan Piala Hassanal Bolkiah 2012 (Hassanal Bolkiah Trophy) akan diumumkan beberapa hari lagi. Apa yang pasti empat orang pemain-pemain lebih umur yang diserapkan ke dalam skuad kebangsaan sudah pasti terpilih kerana pemilihan mereka berdasar prestasi semasa yang memberangsangkan terutama tatkala beraksi dalam Sukan SEA Ke 26 di Indonesia tahun lalu.

Manakala bagi pemain-pemain lain sudah pasti menghadapi hari-hari penuh debaran sehinggalah senarai akhir diumumkan nanti. Kepada yang terpilih nanti, jadikanlah peluang ini sebagai batu loncatan untuk mereka bermain bersungguh-sungguh serta membuktikan kepada para peminat bahawa pemilihan mereka itu adalah tepat.

Kepada yang tidak terpilih jangan putus-asa dan kecewa. Teruskan latihan dan perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Sudah pasti panel penilai menemui beberapa aspek yang kurang ada pada seseorang pemain yang tidak tersenarai itu. Sebagai pemain muda dan harapan negara di masa depan, hendaknya mereka berlapang dada dan memberi sokongan padu kepada rakan-rakan yang terpilih. Mungkin rezeki mereka bukan dalam kejohanan ini dan mungkin dalam kejohanan-kejohanan lain pula peluang mereka beraksi dengan cemerlang.

Dari peringkat permulaan menyediakan pasukan hinggalah saat ini masyarat terutama peminat bolasepak di negara ini tidak mengetahui dengan mendalam persediaan skuad ini kerana tidak banyak publisiti yang diberikan kepada mereka. Mungkin ini satu strategi skuad tersebut. Kita mesti menghormati keputusan mereka. Saya sendiri, walaupun sebahagian besar pegawai-pegawai yang menerajui skuad tersebut adalah sahabat dan kenalan akan tetapi saya tidak ingin 'mengorek' dengan lebih lanjut. Kalau saya mahu memaparkan sesuatu melalui blog ini mengenai perkembangan mereka dari masa ke semasa saya boleh berbuat demikian. Namun demi menjaga etika professional mereka dan saya sendiri, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri hinggalah masa yang sesuai nanti.

Saya cuma ingin menyentuh sedikit sahaja iaitu mengenai rangka persiapan skuad tersebut. Dalam penilaian saya secara umum skuad tersebut tidak mendapat pendedahan yang mencukupi. Apa yang diketahui mereka hanya sekali bertandang ke luar negara iaitu ke Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Selebihnya mereka banyak mengadakan perlawanan persahabatan di dalam negeri sahaja dengan menjadikan kelab-kelab tempatan sebagai lawan mereka seperti DPMM FC, ABDB dan lain-lain lagi.

Dalam perkiraan dan tanggapan saya pendedahan ini sangat tidak mencukupi untuk menghadapi lawan-lawan yang gagah seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Malaysia dan Myanmar. Skuad tersebut kalaupun tidak mampu untu mengadakan latihan panjang di Eropah atau Australia, memadailah jika dapat mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab ternama di Malaysia, Thailand, Singapura atau Indonesia. Dengan cara ini para pemain akan mendapat pendedahan secukupnya beraksi menentang pemain-pemain berkualiti.

Sejak dua edisi yang lalu skuad negara gagal melangkah ke separuh akhir. Jadi untuk edisi ketiga kali ini saya sangat berpuas hati jika skuad negara mampu ke separuh akhir walaupun tidak menjadi juara. Jika itu dapat dicapai maka dapatlah kita simpulkan bahawa bolasepak Brunei DS akan menuju zaman cerah dan gemilang untuk tahun-tahun mendatang. Namun cabaran sebenar bukanlah semudah saya menyusun kata-kata melalui ruangan ini. Pasukan-pasukan paling lemah di Asia Tenggara pun sebenarnya cabaran terhebat skuad negara seperti Filipina, Timor Leste dan Kemboja. Jadinya, saya juga sangat berpuas hati jika skuad negara mampu melangkah dari kelompok bawahan ini.

Mengenai peluang negara-negara lain pula, saya meletakan calon juara kepada Indonesia, Thailand dan Vietnam. Malaysia? Malaysia datang ke kejohanan ini tidak bermaksud untuk mengejar juara sebaliknya semata-mata sebagai wadah atau pentas bagi pemain-pemain mereka mendapat pendedahan (2005, mereka menghantar skuad bawah 17 tahun & 2007, skuad yang sama tetapi ketika itu menjadi skuad bawah 19 tahun. Sebahagian besar pemain skuad tersebut adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos). Kali ini Malaysia sekali lagi menghantar skuad bawah 19 tahun mereka. Jelas mereka datang bukan untuk menjadi juara.

Indonesia, Thailand dan Vietnam datang dengan skuad juara. Mereka menyenaraikan pasukan bawah 21 tahun terkuat mereka. Hasrat mereka itu tidak dapat disembunyikan lagi. Namun jangan juga mengkesampingkan peluang Singapura dan Myanmar. Singapura juga khabarnya menghantar skuad lebih muda kerana skuad pelapis mereka yang terkuat kini menyertai Liga Super Malaysia di bawah nama Singapore XII.

Apapun, inilah peluang terbaik skuad negara menimba pengalaman dan sebagai sukat-sukat (bench mark) kepada projek-projek pembangunan yang bakal kita jalankan selepas ini. Diharapkan satu kertas cadangan program pembangunan jangka panjang akan dibentangkan oleh pihak-pihak tertentu sebaik berakhirnya HBT 2012 kali ini. Kita tidak boleh menjadi tukar sorak dan berpeluk tubuh melihat kejayaan pasukan negara-negara lain. Sudak tiba masanya untuk kita berkerja membangun bolasepak. Kepada pihak yang berkenaan, ayuh 'perahu sudah di air, pengayuh sudah di tangan' tunggu apa lagi? Menunggu bantuan dari langit?

Prof: Saya berpeluang melihat blue print projek pembangunan skuad Korea Selatan pada dekad 80 an dahulu. Sekarang kita lihat di mana mereka? Salah sebuah kuasa bolasepak dunia!.

Ahad, 15 Januari 2012

SELAMAT BERJUANG DPMM FC

Pg Sallehuddin & Rosmin aka Bobby Khamis ketika menjulang Piala Liga beberapa tahun lalu bersama DPMM FC.

Satu-satu kelab bolasepak professional di Brunei Darussalam, DPMM FC, akan kembali beraksi di S League tidak berapa lama lagi. Selamat berjuang kepada para pemain kelab tersebut. Sudah agak lama saya tidak mencatat sesuatu untuk mereka. Seingat saya sebaik sahaja 'insiden kad merah' beberapa tahun lalu. Selepas itu saya memboikot S League. Kebetulan selepas itu senario bolasepak Brunei DS kelam apabila BAFA digantung oleh FIFA, makanya DPMM FC tidak dapat berbuat apa-apa.

Kini setelah semuanya kembali seperti sediakala maka DPMM FC sekali lagi mengorak langkah menyelusuri kancah bolasepak professional. Ini bermakna kesemua pegawai dan pemainnya berkecimpung dalam dunia professional. Dunia professional sudah semestinya menuntut sikap professional juga daripada setiap individu yang terlibat. Dari tokoh membuat 'oren campur' (kitaman lah tu) hinggalah pengubal dasar sesebuah kelab atau pasukan. Semua mesti professional. Kalau belum, berusaha menjadi professional.

Saya pernah berada di dalam saf pengurusan secara tidak langsung apabila diberi kepercayaan menjadi editor 'Match Report' selama tiga musim yang mana ketika itu DPMM FC beraksi dalam Liga M. Banyak kenangan pahit-manis saya sewaktu bersama mereka. Biarlah segala kenangan itu tersemat di dalam sanubari saya sebagai pengalaman di hari muka.

Tidak dapat dinafikan bahawa pemain-pemain tempatan DPMM FC akan mendapat imbuhan paling istimewa iaitu pengalaman bermain di dalam liga professional. Sudah pasti pengalaman itu akan mematangkan corak permainan mereka dan ini sekali-gus akan menjadi asset berguna kepada negara apabila ada antara mereka yang akan terpilih ke skuad kebangsaan.

Malangnya ada saya mendengar cerita-cerita yang tidak masuk akal. Cerita berkenaan ada pemain-pemain muda yang menolak beraksi bersama DPMM FC kerana menerima tawaran lebih lumayan dari kelab tempatan. Bagi saya langkah pemain muda ini salah. Kalau seseorang pemain itu sudah berumur 30 an mungkin faktor kewangan menjadi keutamaan. Namun jika pemain yang baru meningkat baik maka bermain bersama DPMM FC di sebuah liga professional adalah langkah lebih tepat jika dinilai dari faktor professionalisma.

Sudah jelas bahawa liga tempatan masih bertaraf amatur. Pemain-pemain yang dihadapi juga adalah pemain-pemain yang tidak dapat kita pelajari secara total dari mereka. Sementara liga professional yang membariskan pemain-pemain import dari seluruh dunia dan juga terdapat kelab-kelab jemputan dari negara-negara lain akan menjadi wadah terbaik bagi seseorang pemain itu untuk maju dalam permainannya. Tidak mustahil jika mereka benar-benar berpotensi di sanalah nanti para agen perpindahan pemain akan melihat mereka dan tawaran-tawaran lain akan menyusul. Secara peribadi saya pernah dirujuk oleh beberapa orang agen pemain untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain DPMM FC suatu ketika dahulu.

Bagi pendapat saya, penasihat pemain yang menolak untuk beraksi bersama DPMM FC itulah orang yang bertanggungjawab. Kalau pemain itu sendiri saya yakin mereka mahu bermain di liga luar negara secara professional. Jika seseorang itu masih berfikiran singat maka kita akan menemui peristiwa-peristiwa seperti ini. Itulah yang dinamakan perbezaan minda antara amatur dan professional.

Prof: Saya pernah diberitahu bahawa ada pegawai yang menasihatkan supaya Mokhtar Dahari jangan menerima tawaran Ipswich Town sewaktu ketika dahulu. Bodoh sungguh akal pegawai itu. Jadi kita jangan ulangi kesilapan lampau itu.

Sabtu, 7 Januari 2012

KEJ. A'BGSA 'PAKSA' N.A LAKSANA PEMBANGUNAN

N. A - merujuk kepada National Association atau Persatuan Kebangsaan. Dalam konteks blog ini N. A bolasepak kerana blog ini memperkatakan khusus untuk sukan bolasepak. Bagaimanapun, secara umumnya mengenai dan bersangkutan juga dengan N. A sukan-sukan yang lainnya.

Sepanjang tahun berpuluh kejohanan peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh pelbagai badan induk baik serantau (AFF), benua (AFC) dan dunia/antarabangsa (FIFA). Kejohanan-kejohanan itu pula merangkumi kesemua peringkat dari bawah 12 tahun hinggalah skuad senior. Begitu juga halnya dengan temasya-temasya sukan yang menawarkan acara bolasepak sebagai salah satu acara di dalamnya. Biasanya acara bolasepak merupakan 'nadi' dan 'penyeri' kepada sesebuah temasya sukan itu. Antaranya ialah Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.

Oleh itu, mahu atau tidak sesebuah N. A akan terlibat secara langsung menyertai kejohanan-kejohanan tersebut dan ini akan memaksa mereka menyediakan sebuah pasukan. Terpulang kepada mereka untuk bersedia lebih awal atau 'main tangkap muat' asal menyertai. Juga terpulang kepada 'budget' sesebuah N. A; jika ada dana yang cukup maka mungkin mereka bersedia sekurang-kurang 6 bulan dari tarikh kejohanan dan jika tidak mampu dari segi dana dan penyediaan pemain dan pegawai maka mungkin mereka bersedia sebulan atau dua bulan sebelum kejohanan. Segala-galanya terpulang kepada pemimpin dan pegawai yang terlibat.

Dalam soal dana kebanyakan kejohanan yang dianjurkan oleh badan-badan induk, N. A telah diberikan dana khas. Terpulang kepada sesebuah N. A apa nak dibuat dengan dana yang diberikan itu. Maka secara ringkas dapat kita merumuskan bahawa semuanya bergantung kepada pemimpin dan pegawai sesebuah N. A sama ada untuk memajukan atau memundurkan sukan bolasepak.

Jika ingin maju mereka wajib berkerja keras. Memerah otak dan melahirkan beberapa model projek pembangunan untuk menyertai mana-mana kejohanan. Dan jika mereka ingin sebaliknya maka duduk dan lihat sahaja. Jangan buat apa-apa kerja. Sampai ketika cukup masa untuk memilih pemimpin baru, pilih saja. Lepas itu duduk lagi dan rehat.

Di bawah ini disenaraikan kejohanan-kejohanan anjuran badan-badan induk bolasepak dan temasya sukan yang 'mesti' disertai oleh sesebuah N. A;

FIFA - FIFA World Cup, Piala Dunia Bawah 17 & 20 Tahun.
AFC - Asian Cup, Kejohanan Bawah 16 & 19 Tahun.
AFF - Suzuki Cup/AFF Cup, Kejohanan Bawah 17, 20 & 23.
Sukan Olimpik - Kelayakan.
Sukan Asia - Kelayakan.
Sukan Sea
Sukan BIMP-EAGA
Sukan Borneo
Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Asia - Bawah 15 & 18 Tahun

Secara kasar sebanyak 16 kejohanan yang tercatat di atas. Maknanya sesebuah N. A terpaksa meneyediakan lebih kurang 10 atau lebih skuad kebangsaan dari peringkat umur 15 tahun hinggalah skuad senior. Ini belum ditambah lagi dengan temasya-temasya kejohanan bolasepak peringkat akar-umbi iaitu bawah 12 hingga 14 tahun yang ada dianjurkan di serata dunia saban tahun.

Namun perlu juga di ingat bahawa sebuah skuad misalnya skuad bawah 23 tahun boleh menyertai beberapa kejohanan sebagai pendedahan kepada mereka hingga mencapai tahun 'target' untuk skuad tersebut menyinar. Misalnya FAM pernah membentuk skuad 'Projek Barcelona' (Suka Olimpik) yang pernah beraksi di negara kita. Skuad Harimau (dulu) dan kini Harimau Muda 'A' & 'B' juga adalah skuad projek pembangunan jangka panjang FAM.

Oleh itu terpulanglah kepada sesebuah N. A.

Prof: Pernah menyaksikan secara dekat skuad Korea Selatan dan berada pada tahap paling bawah dan selepas itu mereka beraksi di Piala Dunia 1986 juga di depan mata saya. Ini dapat mereka lakukan dengan adanya projek pembangunan.

Khamis, 5 Januari 2012

PEMAIN B-23 TERBAIK ASIA

Sebuah portal berita bolasepak antarabangsa Goal.com telah menyenaraikan barisan terbaik skuad bawah 23 tahun terbaik di Asia. Dengan menggunakan formasi 4-4-2 portal berita tersebut telah menyenaraikan 3 orang pemain dari Asia Tenggara iaitu Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol/Malaysia), Fadhli Shas (bek tengah/Malaysia) dan Andik Vermansyah (midfield kiri/Indonesia).

Paling mengejutkan adalah tersenarainya pemain penyerang India, Jeje Lalpekhlua. Sudah pasti kita tertanya-tanya kenapa pemain tersebut terpilih. Saya fikir selepas ini ramai peminat yang cuba mencari capaian berita atau video melalui Youtube mengenai Jeje Lalpekhlua. Sementara pemain-pemain lain adalah terdiri dari pemain Korea Selatan, Australia, Jepun, Uzbekistan, Iran, Iraq, Filipina dan China.

Anda boleh membaca mengenainya dengan lebih jelas di sini.

Prof: Bilakah agaknya ada pemain dari Brunei DS dapat tersenarai, yang pasti perkara itu tidak mustahil.