Saya amat terkejut sekali dengan saranan oleh Presiden FAM, Sultan Haji Ahmad Shah, yang menyeru para pemain bolasepak Malaysia supaya kekal bermain di Liga M. Kenyataan tersebut dititahkan sewaktu mengulas penghijrahan penyerang Mohd Safee Sali ke kelab Pelita Jaya, Indonesia.
Saya fikir kenyataan tersebut adalah satu kenyataan yang mengundur ke belakang. Sedang pemain-pemain negara lain terutama Asia dan Afrika berusaha sedaya upaya untuk mencari peluang berhijrah ke luar negara terutama kelab-kelab yang menawarkan gaji lebih lumayan serta dapat mempertingkat prestasi mereka, pemain-pemain Malaysia pula diseru supaya menetap di dalam negara. Di manakah rasionalnya?
Pemain England yang beraksi di EPL sendiri pun ingin berhijrah ke kelab-kelab besar lain di Eropah. Inikan pula pemain Malaysia! Benar, Malaysia telah menjuarai Piala Suzuki. Tetapi itu bukan kayu pengukur untuk para pemainnya terus tinggal dalam negara dan mengatakan bahawa liga tempatan adalah yang terbaik.
Brazil, 5 kali juara dunia. Hampir keseluruhan pemain handalan mereka bermain di liga-liga Eropah. Begitu juga halnya dengan Argentina dan Perancis. Itali, Jerman dan Sepanyol, walaupun ramai pemain utama mereka bermain di liga tempatan namun masih ada terdapat pemain-pemain berstatus bintang bermain di liga luar negara.
Apatah lagi bagi pemain-pemain dari Asia. Mereka memerlukan pendedahan di peringkat lebih tinggi. Memandangkan Liga Indonesia menawarkan agak ramai pemain import maka sudah pasti beraksi bersama pemain-pemain import dari pelbagai negara merupakan satu nilai tambah kepada Mohd Safee Sali. Lihat bagaimana hebatnya pasukan Korea Selatan, Ausstralia dan Jepun. Pemain-pemain yang beraksi di Eropah memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka buat beberapa tahun ini.
Itu satu perkara. Jika kita melihat faktor kewangan pula, memang wajib seseorang pemain menerima tawaran lumayan dari kekal pada gaji yang sedia ada. Peluang datang hanya sekali. Terpulang kepada seseorang pemain itu untuk merebutnya ataupun tidak. Bak kata pepatah, 'menyesal kemudian tidak berguna'.
Dalam konteks Mohd Safee Sali ini, memang patut beliau menerima tawaran dari Pelita Jaya. Sudah pasti kelab tersebut menawarkan gaji yang lebih lumayan dari apa yang diterimanya di Selangor sebelumnya. Jadi, saranan saya, jangan sekat rezeki seseorang itu, nanti rezeki kita pula yang disekat orang.
Apa yang berlaku kepada beliau mengingatkan saya kepada apa yang berlaku kepada Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari, lagenda bolasepak Malaysia yang tiada galang ganti. Sebaik sahaja memaparkan aksi hebat menjaringkan gol dari tengah padang dengan rembatan kencang menewaskan Joe Corrigan, bagi gol penyamaan Malaysia sewaktu perlawanan persahabatan antara Malaaysia dan England B sekitar akhir 70an dulu, beberapa kelab telah menawarkan kontak kepada Mokhtar.
Namun, beberapa orang pegawai pentadbir bolasepak (nama mereka saya rahsiakan) telah menasihatkan agar Mokhtar tidak menerima tawaran tersebut dengan memberikan pelbagai alasan tidak masuk akal. Kata mereka, kita orang Melayu sudah pasti menghadapi banyak masalah bermain di England, misalnya soal bahasa, makanan dan budaya (bagaimana dengan para pelajar Malaysia yang ramai di England?). Maka Mokhtar terpaksa menolak tawaran tersebut.
Begitulah apa yang diceritakan kepada saya. Soal benar atau tidak kisah tersebut, itu soal kedua. Persoalan paling penting adakah sikap dan pemikiran yang tidak selari dengan kehendak kemajuan dan pembangunan. Masih adakah pemikiran-pemikiran sebegitu dalam tahun 2011 ini? Anda jawaplah sendiri dengan menilai peristiwa yang berlaku.
Prof: Antara peristiwa paling saya sesali (Mokhtar tidak menerima tawaran oleh kelab England) dalam kaancah bolasepak Malaysia. Allahyarham sepatutnya mendapat 'lebih' dari apa yang disumbangkannya terhadap bolasepak Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan