Rabu, 24 November 2010

APA KHABAR BAFA, BAGAIMANA FFBD?

Dalam posting terakhir saya mengenai kamelut bolasepak Brunei DS, saya menjangkakan bahawa BAFA akan 'hidup' kembali sekitar bulan Nov 2010 menurut 'sumber' yang memberikan khabar kepada saya. Kini bulan Nov sudah ke penghujungnya. Gejolak, alun dan ombak senario bolasepak Brunei DS belum menampakkan tanda-tanda BAFA akan 'hidup' kembali malah sepertinya akan terus menjadi bahan sejarah.

Saya mencari kembali 'sumber' tersebut malangnya 'beliau' sendiri tidak mahu lagi memperkatakan mengenai BAFA. Maka saya membuat kesimpulan bahawa 'sumber' saya itu adalah 'hampas' semata-mata. Saya memohon maaf kepada para pembaca kerana membawakan berita 'palsu' dari 'sumber' tersebut. Sesungguhnya, selama saya menjadi wartawan inilah kali pertama 'sumber' saya mempunyai tahap kebolehkepercayaan yang paling rendah. 'Sumber' saya berada di serata pelosok dunia dan inilah satu-satunya 'sumber' yang paling 'hampas'.

Untuk pemahaman dan tatapan para pembaca di bawah ini saya nukilkan lagi perlembagaan FIFA yang berkaitan dengan kamelut yang menyelubungi pentadbiran bolasepak Brunei DS.

Article 15 - Expulsion.

1. The Congress may expel a Member;
(c) if it loses the status of an Association representing Association Football in its country.

Jika difahami artikel dalam perlembagaan di atas bolehlah dianggap bahawa BAFA secara automatik akan dibatalkan keahliannya di dalam FIFA. Kita lihat pula artikel berikut yang mungkin bersangkutan dengan FFBD.

Article 10-2 - Membership is only permitted if an Association has already been a provisional member of a confederation for at least two years.

Maknanya, FFBD boleh memohon menjadi ahli AFF (Asean Football Federation) dan AFC (Asian Football Confideration) dan aktif untuk selama 2 tahun sebelum menjadi ahli FIFA. Namun yang menjadi masalah ialah FIFA berpendapat bahawa penubuhan FFBD merupakan campur tangan pihak berwajib. Kenapa FIFA berpendapat sedemikian? Siapakah yang memberikan maklumat kepada FIFA? (sehingga beranggapan ada campur tangan). Sahihkah (benarkah) maklumat yang disalurkan kepada FIFA itu?

Ini dapat kita lihat dalam kenyataan oleh Thierry Regenass, FIFA, Director of Member Association yang dapat dipetik dalam akhbar-akhbar tempatan pada 22 Julai 2009 ketika berkunjung ke sini.

"It is very important for people in Brunei to understand that BAFA had been deregistered by the Registrar of Societies. And for FIFA as AFC, this is not something that we can accept because it is an act of government interference in the management of football, which is against one of the fundamental principles of FIFA,"

Namun beliau turut menyatakan, "We understand that there have been concern over the way that BAFA was managed before and we (FIFA) are ready to work on that for instance....".

BAFA telah melakukan kesalahan! Itu hakikat! Mengikut undang-undang Negara Brunei Darussalam BAFA memang patut untuk menerima hukuman. Teringat saya dalam awal dekad ini tatkala menghadiri kursus kejurulatihan anjuran Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei/Muara. Penganjur telah menjemput salah seorang pegawai dari Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Society) untuk membentangkan kertas kerja yang mana beliau menyatakan bahawa setiap pertubuhan/persatuan diwajibkan menghantar laporan tahunan dan laporan kewangan tahunan di samping mengadakan mesyuarat agong seperti yang termaktub dalam perlembagaan masing-masing.

Jadi di mana rasionalnya FIFA untuk mempertahankan BAFA? FIFA sendiri sebagai sebuah badan induk yang menitikberatkan ketelusan, professional dan berintegriti sudah pasti tidak dapat menerima secara prinsip apa yang dilakukan oleh BAFA. FIFA tidak boleh 'tutup mata sebelah' dalam kes BAFA ini walaupun BAFA telah membina sebuah bangunan pentadbiran menggunakan dana yang diperolehi dari FIFA.

Maka sudah selayaknya BAFA menerima hukuman dan kemunculan sebuah pertubuhan baru (FFBD) tidak dapat dinafikan. Sudah pasti pihak pengurusan FFBD tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh BAFA. Apa yang pasti FFBD mestilah bertindak menjadi sebuah badan induk kebangsaan yang benar-benar berwibawa kerana masyarakat akan menilai dan membandingkan dengan gaya pengurusan BAFA sebelum ini.

Bagi saya sendiri, saya akan tetap meneruskan tanggungjawab sosial saya memberi teguran positif demi mencapai hasrat kecemerlangan dalam bolasepak bagi Brunei DS.

Prof: Khabarnya BAFA terus padam dan FFBD memulakan proses pendewasaan.

Tiada ulasan: