Rabu, 27 Oktober 2010

PELE RAJA BOLA SEBENAR

Di Mexico 1970, Brazil menewaskan Itali 4-1 dalam final Piala Dunia dan Pele dijulang oleh para penyokong.

Aksi bicycle kick yang terkenal ciptaan Pele.

Antara gambar termasyhur aksi Pele di Piala Dunia bersama Brazil.

Tidak lengkap rasanya jika blog ini tidak mencatatkan sesuatu untuk insan bernama Edison Arantes do Nascimento atau lebih popular dengan panggilan PELE yang lahir pada 23 Oktober 1940, kira-kira genap 70 tahun lalu di Tres Coracoes, Santos, Brazil. Walaupun agak terlewat (4 hari) dari tarikh kelahiran beliau namun saya terpanggil untuk mencatatkan sesuatu sebagai tanda penghormatan kepada 'Raja Bola' ini.

Kerjaya beliau penuh dengan warna-warni. Dari pemain remaja di lorong-lorong jalan kotaraya Santos, menjadi ikon bolasepak dunia dengan mewakili Brazil seawal usia 16 tahun lagi, memegang rekod pemain termuda beraksi di final Piala Dunia (17 tahun 245 hari di Piala Dunia 1958-Sweden) dan menjaringkan gol (agak sukar untuk diulangi oleh mana-mana pemain zaman ini), menjuarai Piala Dunia sebanyak 3 kali bersama Brazil (1958, 1962 & 1970), menjadi ikon mempopularkan liga bolasepak di Amerika Syarikat (NAFL) bersama New York Cosmos, pemain pertama menjaringkan lebih 1,000 gol (Santos-1,087, New York Cosmos-37 & Brazil-77), menjadi pelakon filem, malah pernah dilantik menjadi menteri sukan negaranya, Brazil.

Pele turut mempopularkan aksi akrobatik 'bicycle kick' yang menjadi kegilaan dan ikutan kesemua pemain bolasepak di dunia baik pemain kampong mahupun pemain professional peringkat tinggi dan pemakaian jersi no 10 untuk striker utama sesebuah pasukan kerana Pele memakai jersi no 10 ketika mewakili Brazil dan kelab. Sejak itu jersi no 10 menjadi rebutan ramai pemain striker dan pasti membandingkan dengan kehebatan Pele menjaringkan gol. Ramai juga pemain yang kecundang kerana 'badi' no 10.

Apapun pencapaian menakjubkan oleh Pele, pasti kita mendapat manfaat daripadanya. Pele seolah-olah 'buku bolasepak' yang bergerak. Anda boleh menjadi pemain hebat asal saja mengikut apa yang dilakukan oleh Pele tetapi dengan syarat; mempunyai bakat semulajadi, letihan berterusan, komitmen, disiplin dan pengurusan berkesan. Kesemua itu ada dalam diri Pele hingga memartabatkan beliau sebagai 'Raja Bola'.

Terima kasih tidak terhingga kepada Pele kerana telah memberikan terlalu banyak kepada bolasepak di seluruh dunia tetapi malangnya dunia bolasepak itu sendiri gagal untuk mengenang jasa beliau selayaknya. Namun saya percaya Pele sendiri tidak mahu dirinya disanjung tinggi melangit. Beliau lebih senang dengan keadaan diri beliau sekarang. Menjadi Edison Arantes do Nascimento.

Prof: Masih menanti kemunculan Pele Asia.

Tiada ulasan: