Selasa, 31 Mei 2011

CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG - AKHIRNYA BRUNEI BEBAS

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Yang Maha Esa. Hanya perkataan itu yang layak dilafazkan apabila mendapat tahu bahawa Brunei DS sudah dibebaskan oleh FIFA dari penggantungan yang berjalan sejak hujung 2009. Siaran media oleh FIFA boleh dirujuk di sini.

Keputusan itu diambil oleh Mesyuarat Eksekutif badan induk itu yang dipengerusikan oleh Presidennya Sepp Blatter beberapa jam yang lalu. Bersama Brunei, juga dilepaskan dari penggantungan ialah Bosnia-Herzegovina apabila FIFA mendapati kedua-dua persatuan kebangsaan telah berjaya menjalankan tugas dengan baik.

Sementara itu, PSSI (Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia) juga diberi peluang sehingga 31 Jun 2011 untuk melaksanakan mesyuarat agong dan memilih barisan kepimpinan yang baru. Tahniah juga kepada FFBD yang selama ini bertungkus-lumus cuba menambat hati FIFA bahawa mereka (FFBD) serius menjalankan tanggungjawab membangun bolasepak negara walaupun FIFA tidak mengiktiraf mereka dan memberikan pula pengiktirafan kepada NFABD (National Football Association Brunei Darussalam/Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam).

Saya akan ulas perkara ini kemudian.

Prof: Tepat jangkaan saya, segala yang berlaku dalam FIFA sedikit-sebanyak mempengaruhi keputusan ini. Itulah kuasa Allah.

Isnin, 30 Mei 2011

FIFA BERGOLAK

Jack Warner dan Mohamed bin Hammam.

FIFA telah menggantung Mohamed bin Hammam (Presiden AFC dan bekas calon Presiden FIFA) dan Jack Warner (Presiden CONCACAF), kedua-duanya Naib Presiden FIFA, hingga selesai siasatan salah laku terhadap mereka. Manakala Presiden FIFA sendiri, Sepp Blatter terselamat dari tindakan. Sebelum itu, Mohamed telah menarik diri dari mencabar Blatter untuk kerusi Presiden FIFA akibat dari siasatan terhadap beliau. Blatter, walaupun tidak tercabar namun masih belum selamat kerana ketika kongres FIFA nanti setiap ahli berhak untuk menolak atau bersetuju kepada kepimpinan warga Swiss itu.

Bagi saya FIFA ibarat 'ketam yang mengajar anaknya berjalan betul'. Pada satu sisi FIFA menitik beratkan ketelusan dan profesionalisma akan tetapi batang tubuh FIFA sendiri bergelumang dengan lumpur dan tahi. Kita sedang menyaksikan perang sesama sendiri, 'membuka pekung di dada' dan 'meludah ke langit, terkena muka sendiri', antara Jack Warner dan Mohamed dan FIFA sendiri dalam media sejak beberapa hari ini dan untuk hari-hari berikutnya. Sama-samalah kita saksikan. Sangat memalukan.

Prof: Sejak dulu lagi menyedari masalah FIFA ini apatah lagi masalah-masalah negara anggota, penuh dengan kudis dan tokak.

Khamis, 26 Mei 2011

APALAH NASIB BOLASEPAK BRUNEI....

Sejak hujung 2009 bolasepak Brunei telah 'dilenyapkan' dari arena antarabangsa. Sebelum itupun Brunei tidak banyak terlibat dengan aktiviti antarabangsa. Penyertaan hanya untuk kelayakan Suzuki Cup (itupun diwakili oleh kelab) dan Sukan Sea. Pra Piala Dunia, Pra Olimpik, Sukan Asia dan kejohanan-kejohanan peringkat umur baik 11 sepasukan mahupun futsal seolah-olah tiada dalam kalendar tahunan. Di mana silapnya? Sudah menjadi sejarah.

Kursus-kursus pun jarang benar didengar. Sedangkan kursus yang melibatkan segenap aspek dalam bolasepak sentiasa dianjurkan hampir setiap minggu, sama ada oleh AFF, AFC dan FIFA. Namun seperti yang dinyatakan awal tadi segalanya seperti tiada apa yang berlaku di Brunei (menganjurkan atau menghantar peserta). Di mana silapnya? Sudah menjadi sejarah.

Apapun keputusan 1 Jun 2011 nanti oleh FIFA, saya menyeru janganlah lagi diulangi sejarah lampau. Bak kata pepatah 'Yang Baik Jadikan Tauladan, Yang Buruk Jadikan Sempadan'. Kita sangat-sangat berharap agar badan induk baru walau apa pun namanya, siapa pun penerajunya, tugas nombor wahid adalah membangun kembali bolasepak Brunei yang sedang berada dalam keadaan sangat 'parah'.

Jika diibaratkan sebagai seorang pesakit, bolasepak Brunei bukan sahaja memerlukan seorang 'doktor pakar' malah kesemua 'doktor pakar' yang ada dalam bidang masing-masing. Kita terpaksa bermula dari huruf A. Bermula dari tahap paling asas dan paling bawah. Seolah-olah sedang melatih anak damit berjalan. Tidak tahulah sama ada pihak-pihak yang sedang 'bertempur' untuk menjadi badan induk sedar atau tidak akan perkara ini. Saya pasti dan yakin jika mereka sedar akan beban dan tanggungjawab yang sedang menanti mereka, tiada seorang pun yang 'berselera' untuk memegang apa-apa jawatan.

Ianya bukan kerja seorang, atau dua orang, atau tiga orang, atau hanya sekumpulan orang. Tidak sama sekali. Ianya kerja semua pihak dari pihak berwajib yang menyediakan pra sarana dan polisi hinggalah kepada 'pembancuh oren' (merujuk istilah orang Brunei). Semuanya mesti berpadu dan berfungsi sebagai satu unit. Berfungsi seperti enjin sebuah kenderaan. Semuanya mesti berada dalam keadaan yang baik, memuaskan dan bergerak mengikut tanggungjawab masing-masing.

Kita sama-sama nantikan kesudahannya nanti.

Prof: Seperti janji saya, siapapun penerajunya nanti saya akan tetap kritis.

Sabtu, 21 Mei 2011

PRESIDEN FIFA - HAMMAM TERHIMPIT

Tarikh 1 Jun 2011 semakin hampir. Pada tarikh tersebut akan diadakan kongres FIFA di Zurich, Switzerland. Pada kongres kali ini akan memperlihatkan pertembungan pemilihan pucuk pimpinan buat pertama kali sejak sekian lama. Penyandang Sepp Blatter akan dicabar oleh Mohammed bin Hammam, Presiden AFC.

Nampaknya Blatter berada dalam kedudukan selesa apabila mendapat 'janji' undia dari beberapa benua seperti Eropah, Amerika Selatan dan Ocenia. Jika kena dengan gaya 'kempen' beberapa hari/jam sebelum pengundian maka jelas sekali Blatter akan mengekalkan jawatannya untuk penggal terakhir (menurut janjinya) dengan undia yang selesa.

Kini Mohammed bin Hammam hanya mengharapkan undian dari benua Asia, Amerika Utara, Amerika Tengah dan Carribean. Namun pengundian mengikut 'tradisi FIFA' tidak menggambarkan perkara sebenar atas apa yang kita baca melalui laporan-laporan media. Senjata utama ialah bagaimana berkesannya jentera melobi seseorang calon beberapa hari/jam menjelang majlis pengundian.

Mohammed Hammam juga nampaknya memiliki sokongan kuat dari 'kuasa besar' dalam FIFA iaitu FA England yang cukup kuat bersuara untuk 'menggulingkan' Blatter dari kerusi empuk Presiden FIFA itu. FA England cukup terguris apabila England gagal merebut sebagai tuan rumah Piala Dunia 2018 yang mereka anggap sebagai cara pengundian yang tidak demokratik. Sehingga kini England masih berusaha untuk membuktikan ada unsur-unsur tidak sihat ketika majlis pengundian memilih tuan rumah Piala Dunia tempoh hari.

Walaupun Blatter mendapat janji sokongan dari beberapa benua, persoalannya adakah ianya mewakili kesemua negara (undi) yang berada di dalam benua tersebut? 10 hari mendatang ini adalah masa sesuai bagi Mohammed bin Hammam untuk melakukan 'counter attack' kepada 'attacking strategy' yang telah dilakukan oleh Blatter beberapa minggu sebelum ini.

1 Jun 2011, "mari kita lihat siapa yang kena" - dialog seniman Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.

Prof: Sejak dari dulu lagi tidak bersetuju dengan cara pengundian yang diamalkan oleh FIFA.

Ahad, 15 Mei 2011

AKHIRNYA 'DEVILS' PINTAS 'THE REDS'


Hajat Sir Alex Ferguson untuk mengatasi dominasi Liverpool FC yang dilafazkan beliau di awal penampilan sebagai pengurus Man Utd dulu akhirnya tercapai di Blackburn Rovers setelah mencatat seri 1-1 untuk menjuarai EPL buat kali ke 19 (Liverpool dengan 18 kejuaraan tetapi belum pernah menjuarai EPL).

Tatkala Sir Alex mula menerajui Man Utd dulu senario bolasepak England dikuasai oleh Liverpool yang sudah menjuarai Liga Divisyen Satu (sebelum ditukar menjadi English Premier League/EPL) sebanyak 18 kali dan Champion Cup sebanyak 5 kali (dulu dikenali sebagai Piala Eropah dan Liverpool masih memegang rekod sebagai kelab England yang paling banyak memenanginya).

Apa yang dicapai oleh Ferguson bukanlah dicapai dengan mudah. Beliau mengambil empat musim sebelum mengecapi kejayaan pertama mahkota EPL dan segalanya datang melalui kepakaran beliau memilih pemain yang sesuai untuk formula atau corak permainan beliau serta ditambah oleh 'kuasa wang' yang dimiliki oleh 'The Red Devils'. Tidak dapat dinafikan Ferguson adalah pakar mencatur pemain.

Bryan Robson, Viv Anderson, Eric Cantona, Steve Bruce, Roy Keane, Paul Ince, Andy Cole, David Beckham, Fabian Bartez, Mark Huges dan Ryan Giggs adalah antara bintang-bintang besar yang silih-ganti memberikan 11 kejuaran EPL buat Ferguson. Kita patut memberikan penghormatan kepada warga Scotland itu yang jarang gagal dalam pembelian pemain berbanding musuh tradisinya di Liverpool.

Sepanjang kerjaya Ferguson di Old Trafford yang dihiasi dengan kejayaan gemilang hampir setiap musim (ada saja piala yang akan dibawa masuk ke dalam kabinet mereka) berlainan pula situasinya di Anfield. Pengurus dan pemain silih berganti, jutaan wang ringgit telah dilaburkan oleh pemilik kelab yang turut bertukar tangan, namun semuanya suram tanpa kilauan paila kejuaraan.

Nasib menyebelahi Liverpool kerana para peminat masih kekal memberi kepercayaan kepada barisan terkini yang diterajui oleh Kenny Dalglish (insan terakhir yang menghadiahkan kejuaraan liga untuk The Reds) dan pemain-pemain baru yang dibawa masuk oleh beliau seperti Luiz Suarez dan Andy Caroll. Setakat ini 'King Kenny' berjaya dalam setiap percaturannya maka menjadi tugas beliau di musim 2011/12 untuk menyamakan jumlah kejuaraan kepada 19-19 kesemuanya.

Sama-samalah kita saksikan sama ada Kenny Dalglish mampu memulakan era kegemilangan Liverpool dalam kancah EPL atau sebaliknya.

Prof: Masih mengagumi kehebatan Jose Mourinho berbanding Ferguson, maaf peminat Devils.

Jumaat, 6 Mei 2011

LIGA VETERAN MEMULAKAN AKSI

Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden Kali Ke-2 2011 - DST Group telah memulakan aksinya petang tadi di beberapa gelanggang di seluruh negara. Telbru FT telah membelasah PSI FC 7-0 di SM Mentiri, Kota Ranger FC menang tipis 1-0 ke atas Rimba Star FC di Komplek Sukan Tutong, KS Jabatan Penjara dan MIISA Utd berkongsi mata apabila mencatat keputusan 2-2 di SM Awang Semaun.

Sementara itu perlawanan antara Temburong dan PSJD terpaksa ditangguhkan akibat dari padang yang dipenuhi air di Komplek Sukan Batu Apoi, Pekan Bangar, Temburong. Selanjutnya anda boleh mengetahui mengenainya di sini.

Prof: Selamat bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Isnin, 2 Mei 2011

TIBA2 CHELSEA MENCABAR

Sebelum ini saya menjangkakan bahawa hanya Arsenal yang mampu mencabar kejuaraan EPL dari tangan Man Utd. Namun setelah perlawanan ke 35 berakhir Chelsea yang pada mulanya sudah mengalah dari mempertahankan kejuaraan, telah kembali menjadi pencabar skuad Sir Alex Ferguson dengan dipisahkan hanya 3 mata (Man utd-73 dan Chelsea-70).

Nampaknya pertembungan 'hidup mati' mereka pd 8hb Mei 2011/Ahad minggu hadapan adalah penentu kepada kejuaraan. Carlo Ancelotti dilihat memiliki kembali sentuhan kemenangan dengan meningkatnya prestasi beberapa pemain seperti Florent Maouluda, Fernando Torres dan Salomon Kalou.

Jika Chelsea berjaya mengekalkan tahkha EPL musim ini bermakna para peminat 'The Reds' pasti menarik nafas lega. Ini kerana jika Man Utd muncul juara musim ini bermakna mereka memintas Liverpool sebagai kelab paling banyak menjuarai kejohanan utama liga (dulu dikenali sebagai Divisyen Satu sebelum diubah kepada Liga Perdana), kini kedua-dua buah kelab bermusuh itu terikat dengan 18 kejuaraan.

Dua perlawanan terakhir Man Utd ialah menentang Blackburn (away) dan Blackpool (home), sementara Chelsea pula ialah bertemu Newcastle (home) dan Everton (away). Man Utd sudah pasti ingin menoktahkan kejuaraan di Old Trafford minggu hadapan dengana menewaskan Chelsea dan Chelsea pula berharap terus melakar kemenangan hingga perlawanan terakhir musim untuk bergelar juara EPL sekali lagi.

Prof: Mengharapkan resipi kemenangan Liverpool berterus ke musim depan.