Rabu, 16 April 2014

PIALA DUNIA DATANG LAGI

Bermula dari 12 Jun hingga 13 Julai 2014 akan datang ini semua mata akan tertumpu ke negara Brazil yang akan menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Dunia 2014, sebuah temasya sukan terbesar di dunia (selepas Sukan Olimpik). Kesemua 32 buah pasukan yang layak juga telah diundi kumpulan masing-masing dan dipercayai sedang membuat persiapan terakhir untuk mempamerkan aksi terbaik mereka di Brazil nanti.

Brazil selaku tuan rumah sudah pasti menjadi pasukan favourite untuk keluar sebagai juara kali ini di samping penyandang, Sepanyol, yang masih menduduki rangking 1 FIFA, Jerman, Argentina, Holland, Portugal, England dan tidak ketinggalan negara-negara dari benua Afrika seperti Ivory Coact, Ghana, Cameroon dan Nigeria dilihat mampu untuk memperbaiki persembahan mereka dan mencabar pasukan-pasukan Eropah dan Amerika. Pasukan-pasukan dari Asia masih berada di luar kerangka pencabar terkuat, hanya sebagai 'underdog'.

Apa yang membimbangkan FIFA adalah persiapan tuan rumah Brazil yang menghadapi beberapa masalah terutamanya ada terdapat stadium yang masih belum siap sepenuhnya, malah ada yang sedang dalam pembinaan. Sepatutnya dalam masa ini (kira-kira sebulan lebih dari tarikh pembukaan rasmi) kesemua stadium sudah siap dan sedia untuk digunakan.

Bagaimanapun, dari segi sambutan pula, sudah pasti ianya akan diingati sebagai sebuah temasya Piala Dunia paling meriah. Ini disebabkan dua faktor utama iaitu Brazil adalah negara bolasepak utama di rantau Amerika Selatan dan sebahagian besar tiket perlawanan yang dikhaskan untuk penonton tempatan sudah habis dijual. Situasi ini berbeza dengan empat tahun lalu, 2010, apabila Afrika Selatan menjadi tuan rumah, banyak tiket masih belum terjual walaupun kejohanan sudah bermula.

Baiklah, kita nantikan bersama-sama kemeriahan temasya empat tahun sekali ini yang dapat menyatukan semua golongan di dunia ini khusus untuk melihat pemain dan pasukan pujaan mereka beraksi. Bravooo!

Prof; Masih menanti pasukan dari Asia Tenggara layak ke pusingan akhir ini. Bila agaknya?

Isnin, 9 September 2013

SELAMAT BERTUGAS MIKE WONG

Beberapa hari lalu NFABD telah mengumumkan perlantikan Mike Wong Mun Heng selaku Pengarah Teknikal/jurulatih bagi mengisi jawatan maha penting kepada sesebuah persatuan bolasepak kebangsaan kerana jawatan tersebut memerlukan penjawatnya menyediakan pelan pembangunan bolasepak dari peringkat akar-umbi hinggalah ke tahap menyediakan pasukan kebangsaan dalam semua peringkat (belia-senior).

Mike Wong yang dilihat agak berpengalaman dalam kancah bolasepak terutama sekali di negaranya Singapura, beliau pernah menjadi pengurus pasukan beberapa kelab dalam Liga S dan juga pasukan kebangsaan 'Kota Singa' itu turut memegang kelayakan sebagai 'instructor' bagi AFC. Beliau banyak berkelana ke serata pelosok benua Asia sebagai instructor mengendalikan klinik dan kursus kejurulatihan terutama di peringkat akar-umbi/pembangunan.

Sudah pasti dengan pengalaman dan kepakaran yang ada pada beliau, projek dan pelan pembanagunan bolasepak di negara ini akan berada pada landasan yang betul dan terarah. Semua pihak harus memberikan sokongan dan kerjasama kepada beliau dalam usaha mengungkayahkan segala yang telah dirancang. Tanpa sokongan padu mustahil sesuatu program, terutama program pembangunan jangka panjang akan mencapai seperti yang dihasratkan.

Hasil dari sesuatu program pembangunan bukanlah dapat dilihat dalam sekelip mata seperti kita menyaksikan acara silap mata. Ianya memakan masa yang panjang. Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Lim Teong Kim, yang pernah menjadi jurulatih belia Bayern Munich, baru-baru ini telah dilantik sebagai Pengarah Akademi Bolasepak Malaysia, menyatakan bahawa sesuatu program pembangunan memerlukan masa yang panjang, sekurang-kurangnya 10 tahun. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini

Antara pemain ternama yang lahir dari 'buah tangan' Teong Kim ialah termasuk Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Diego Contento dan David Alaba. Mudah-mudahan Mike Wong, walaupun tidak memiliki reputasi sehebat Teong Kim, akan mampu mengangkat martabat bolasepak Brunei Darussalam. Apa yang penting ialah sokongan padu dan kerjasama dari semua pihak. Beri beliau peluang seluas-luasnya untuk melakar sejarah baru bolasepak kitani.

Secara professionalnya saya memberikan masa dan peluang kepada Mike Wong untuk menggarap apa jua pelan pembangunannya yang difikirkaan sesuai dengan sosio budaya masyarakat di negara ini. Sesuatu yang baik itu perlu disokong. Dalam pada itu sifat sabar paling utama. Jangan kita mengharap Mike Wong akan membuat 'silap mata'. Dalam bolasepak, dalam konteks pasukan kebangsaan, perkara tersebut jarang terjadi. Kecuali sesebuah kelab yang tiba-tiba dibeli oleh jutawan, dengan hamburan wang yang banyak sesebuah kelab itu mampu membeli pemain-pemain berkualiti dan sekali-gus kelab tersebut menjadi gagah dalam sekelip mata.

Oleh itu bersabarlah semuanya.

Prof: Saya percaya dan yakin bahawa taraf bolasepak di negara ini mampu ditingkat jika kena dengan caranya iaitu meletakkan individu tertentu sesuai dengan kepakaran yang dimilikinya, bukan sebaliknya. Wallahuaklam,

Khamis, 5 September 2013

MALAYSIA JUARA AFF-U16

Malaysia telah muncul sebagai juara buat pertama kali kejohanan bolasepak AFF-U16 menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada 2 Sept 2013 lalu di Myanmar. Tempat ketiga dimenangi oleh Australia yang menewaskan Vietnam dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat. Kedua-dua perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti setelah keputusan seri hingga masa tambahan tamat.

Pasukan Negara Brunei Darussalam gagal layak ke separuh akhir sepertimana yang di idamkan setelah menduduki tangga tercorot kumpulan, bolos 43 gol dan gagal menjaringkan walau sebiji gol. Brunei tumpas kepada Kemboja 8-0, Australia 19-0, Myanmar 5-0 dan Vietnam 11-0. Berita lanjut boleh dilayari di sini

Sesungguhnya kejohanan yang baru berlangsung itu dapat dijadikan sebagai latihan dan pemanas badan kepada pasukan-pasukan yang terlibat kerana mereka akan bertembung pula dengan gergasi-gergasi Asia pula dalam pusingan kelayakan kejohanan AFC U16 Kumpulan H yang akan berlangsung di Laos dari 21hingga 29 Oktober akan datang ini.

Malaysia selaku juara rantau Asia Tenggara akan ditempatkan bersama jaguh Asia iaitu Korea Selatan, tuan rumah Laos, Guam dan Brunei Darussalam. Kita lihat nanti apakah mutu persembahan mereka akan meningkat berbanding dalam kejohanan AFF-U16 lalu. Peminat nampaknya sangat berharap negara-negara Asia Tenggara dapat meyaingi dan menewaskan kuasa besar bolasepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun, China, Australia dan negara-negara Teluk serta Asia Tengah.

Dalam perlawanan kelayakan itu nanti, johan setiap kumpulan dan 5 pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke pusingan akhir yang akan dilangsungkan di Bangkok, Thailand pada tahun 2014. Baca berita lanjut di sini

Prof: Pengajaran paling berharga bagi kitani. Mahu main-main lagi? Mahu berebut apa? Atau mahu membangun bolasepak? Jujurlah!!!!!

Khamis, 8 Ogos 2013

SELAMAT HARI RAYA & MAAF ZAHIR BATIN

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin buat pembaca serta penjenguk setia blog ini. Semoga di hari mulia ini kita mendapat berkah dari-Nya jua. Amin.

Ahad, 4 Ogos 2013

KALAU TIADA $ JANGAN MIMPI LAAA

Beberapa liga di Eropah sudah bermula dan liga-liga utama seperti EPL, Bundesliga, Serie A dan La Liga akan menyusul dalam dua ke tiga minggu ini. Kebanyakan perpindahan pemain sudah dimuktamadkan, yang tinggal hanya 3 perpindahan pemain paling top musim panas ini iaitu Gareth Bale (Spurs ke Real Madrid), Luiz Suarez (Liverpool ke Arsenal) dan Wayne Rooney (Man Utd ke Chelsea).

Kesemua perpindahan tersebut melibat ratusan juta sama ada dalam bentuk pound sterling, euro ataupun dollar, dilakukan hanya untuk satu tujuan iaitu mencipta kemenangan! Maknanya, dalam bolasepak moden ini wang memainkan peranan utama untuk mencapai sesuatu kejayaan. Tanpa wang jangan mimpi la! Ini adalah hakikat waima kepada sebuah kelab kampung. Kalau ada kelab/pasukan yang ingin berjaya tetapi tidak mahu mengeluarkan wang, sampai bila-bila pun akan gigit jari.

Untuk mengumpulkan pemain memberitahu mereka masa dan tempat latihan pun memerlukan wang berbentuk kredit telefon bimbit. Selepas latihan para pemain hendak juga minum walaupun hanya secawan oren campur atau setidak-tidaknya air botol. Untuk menyediakan minuman pun kita mesti mempunyai wang, kalau tiada wang bagaimana pekedai mahu memberi kita minuman tersebut?

Saya senghaja memberi gambaran mudah bagaimana seharusnya sebuah pasukan bolasepak itu sepatutnya berjalan. Ianya memerlukan wang. Makanya, setiap pasukan sudah pasti akan menyediakan atau mencari dana secukupnya untuk menggerakkan pasukan mereka sesuai di tahap mana mereka bermain, sama ada liga kampung, mukim, daerah, negara atau liga professional. Sebabnya, dalam dunia serba canggih ini masih ada lagi pihak-pihak yang inginkan kejayaan tanpa mengeluarkan wang walau satu sen pun! Bodoh!

Prof: Orang yang bodoh layaknya duduk dalam hutan, Bermain bolasepak dengan penghuni rimba. Silakan!

Khamis, 23 Mei 2013

KEMBALI BERKARYA & MENCORET SESUATU

Setelah sekian lama menyepi dari membuat posting atau catatan melalui blog ini, kini saya mengambil keputusan untuk kembali mengaktifkan blog ini demi masa depan bolasepak sama ada di Negara Brunei Darussalam mahu pun di peringkat antarabangsa. Sekurang-kurangnya saya melontarkan seuatu untuk dijadikan renungan semua pecinta bolasepak, pemimpin, pengurusan, pemain dan peminat.

Prof: Semangat diperolehi apabila melihat masih ada, malah makin banyak 'banjingan' yang ingin mengambil kesempatan terhadap sukan bolasepak ini. Saya tidak akan duduk diam! Awas!

Isnin, 24 Disember 2012

SANG SINGA JUARA KALI KE 4

Gambar ehsan Google.
 'Sang Singa' Singapura akhirnya mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama menjuara AFF Suzuki Cup buat kali ke empat berturut-turut dengan membaham 'Sang Gajah Perang' Thailand dalam perlawanan akhir secara timbal-balik (3-2). Syabas kepada pasukan Singapura kerana menjadi jagoan bolasepak rantau Asia Tenggara ini walaupun semua orang tahu bahawa Singapura hanyalah sebuah negara pulau (island city-state) yang kecil berbanding dengan jiran-jirannya.

Amat menarik kejohanan kali ini untuk diperkatakan atau direnungkan beberapa fakta mengenainya umpamanya;
1. Indonesia sebagai sebuah negara terbesar masih belum mampu muncul juara malah kali iui gagal di peringkat kumpulan lagi.
2. Filipina buat pertama kali layak ke separuh akhir dan menempatkan dirinya sebagai jaguh Asia Tenggara yang baru.
3. Walaupun Liga S tidak sehebat mana berbanding liga-lega negara Asia Tenggara yang lain akan tetapi pasukan kebangsaannya masih mampu mencipta kejuaraan buat kali ke empat!.
4. Kita terpaksa menanti untuk 2 tahun lagi untuk melihat juara baru AFF Suzuki Cup. Setakat ini, selain Singapura, hanya Thailand, Malaysia dan Vietnam yang pernah mengecap status sebagai juara.

Prof: Kenapa Singapura mampu juara? Jawapannya adalah pengurusan yang cekap. Apapun formula mereka, walau dianggap sinis oleh negara-negara lain (seperti mengambil pemain 'import') namun tindakan mereka masih di dalam kerangka yang dibenarkan oleh FIFA. Mereka mencipta kejayaan dengan mencipta formula mengikut kemampuan mereka. Sikap professional pengurusan mereka patut dicontohi, jangan hanya menyindir atau mencemuh.