Khamis, 26 April 2012

KEGAGALAN DI BANGKOK SATU PENGALAMAN PAHIT TAPI MANIS

Pada mulanya saya cuba mengelak dari memberi komen atau reaksi kepada kegagalan skuad futsal Brunei DS dalam kejohanan Futsal AFF 2012 yang berlangsung di Bangkok, Thailand atas beberapa sebab. Sebab pertama adalah kerana kesemua pegawai dan staff kejurulatihan adalah teman-teman rapat saya. Kedua, sebab yang agak sensitif dan tidak patut saya nyatakan di sini. Dan ketiga kerana memikirkan badan induk bolasepak kitani iaitu NFABD baru setahun ditubuhkan dan rasa kurang enak jika saya memberikan kritikan-kritikan agak pedas jika skuad futsal  negara gagal.

Namun demi kepentingan sukan futsal itu sendiri saya terpanggil untuk mencoretkan sedikit 'bahan bacaan' buat penjenguk blog ini. Sukan futsal (bolasepak dalam dewan/futbol de saloon) masih baru bagi negara ini dan juga kepada peminat sukan boasepak di seluruh dunia berbanding bolasepak padang. Begitu juga halnya, futsal tidak pernah 'diperkenalkan secara rasmi' kepada masyarakat negara ini oleh badan induk waima BAFA, FFBD dan NFABD.

Kita tidak melihat adanya bengkel, seminar atau klinik futsal dilakukan diperingkat sekolah hinggalah ke peringkat kebangsaan kepada kelab-kelab bolasepak. Kalau sayuran ianya bolehlah dianggap hidup subur secara organik. Sebagai nota kaki (istilah ilmiah kertas kerja) saya pernah dipertanggungjawabkan untuk mendraf perlembagaan persatuan futsal kebangsaan oleh beberapa orang individu di awal tahun 2000 yang lalu. Rupanya perkara itu menyalahi kerana futsal mesti diletakkan di bawah badan induk bolasepak sesebuah negara, sama juga halnya dengan bolasepak pantai, bolasepak wanita dan pengadil. Ianya mesti di bawah kawal-selia badan induk dan tidak boleh hidup dan wujud berpersatuan sendiri.

Selepas itu futsal menjadi popular dan dimainkan di mana-mana sesuai dengan punca permainan tersebut dicipta iaitu memudahkan pecinta bolasepak bermain bolasepak (hanya memerlukan 5 orang sepasukan, bermain dalam dewan tidak perlu kawasan yang luas dan tidak memerlukan peralatan/pakaian yang lain, hanya kasut yang dipakai seharian dengan harga murah).

Maka pasukan-pasukan futsal tumbuh bagai 'cendawan selepas hujan'. Kejohanan-kejohanan pun dianjurkan hampir setiap minggu. Gaya hidup dengan bermain futsal sambil lepak-lepak bersama sahabat-handai setiap petang telah menjadi trend terkini. Ianya dilihat lebih 'cool' di kalangan remaja. Yang penting futsal memberi peluang kepada pemain-pemain yang gagal untuk menyinar dalam permainan bolasepak boleh meneruskan kerjaya mereka di bidang futsal pula. Malah futsal sering dijadikan sebagai asas untuk membimbing skill mengelecek pemain mereka oleh kelab-kelab ternama. Ronaldinho misalnya, bermula sebagai pemain futsal sebelum menceburkan diri dalam bolasepak.

Berbalik membicarakan mengenai prestasi buruk skuad negara di Bangkok hingga dibelasah teruk 22-0 oleh Thailand. Apa yang pasti, tiada alasan untuk menyalahkan orang lain kepada kegagalan itu. Memang diakui bahawa Thailand adalah pasukan gergasi futsal di Asia bersama Iran namun kita tidak boleh bersandarkan alasan itu untuk tidak bertanggungjawab langsung. Kita mesti menerima kegagalan itu dengan lapang dada dan fikiran yang positif. Ini bermakna sesuatu yang 'besar' dilakukan untuk skuan futsal bermula dari sekarang.

Futsal mesti dipupuk dan disemai dari peringkat sekolah rendah lagi. Kita bernasib baik kerana kebanyakan sekolah kini menyediakan gelanggang futsal walaupun di luar dewan. Ini memudahkan kita untuk melaksanakan apa saja program pembangunan peringkat akar-umbi. Satu 'master plan' yang merangkumi target jangka panjang, sederhana dan pendek dapat dirancang dan ungkayahkan. Perkara ini tidak mustahil dan sesuatu kejayaan itu adalah bermula dari kegagalan, kegagalan itu pula adalah kejayaan yang tertangguh.

Liga futsal telah dianjurkan (adakah ianya sebuah liga? Saya memerlukan maklum balas atau komen dari pembaca mengenai hal ini) dan ini merupakan satu wadah untuk kita mengenalpasti pemain-pemain berbakat dan berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan untuk kejohanan-kejohanan tertentu nanti. Tidak perlu lagi memilih pemain secara 'trial' kerana cara itu adalah cara lama sekitar tahun 60an dan 70an dulu. Kalau tidak masakan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) melancarkan projek/program Talent Identification Program (Program Mengenalpasti Bakat) dari sekolah rendah. Tanyakan mereka (kakitangan JBS) untuk keterangan lanjut.

Jika semuanya dilakukan dengan secara tuntas dan rapi tidak mustahil kejayaan dapat dicapai sepertimana yang ditunjukan oleh skuad Hassanal Bolkiah Trophy (HBT) 2012 lalu. Ketika itu kegagalan di Bangkok akan menjadi manis dan indah. Kita nantikan apa yang berlaku selepas ini, adakah futsal kita menuju puncak jaya atau sebaliknya.

Prof: Simpati dengan sahabat yang bertugas di Bangkok.

Khamis, 12 April 2012

BRUNEI MASIH DI TANGGA KE 202

Nampaknya kejayaan menjuarai HBT 2012 masih belum mampu untuk memperbaiki kedudukan Brunei DS di ranking FIFA. Dalam kemas-kini terbaru ranking FIFA Brunei DS masih menduduki tangga ke 202 dari 205 kedudukan kesemuanya, hanya mengatasi Timor Leste yang berada 2 anak tangga di bawah iaitu ranking ke 204.

Paling mengejutkan ialah Filipina bilamana 'negara bola keranjang' (basketball nation) itu mencatat peningkatan sebanyk 8 anak tangga iaitu 148 mengatasi Indonesia (151), Malaysia (156) dan Singapura (158). Myanmar juga mencatat kemajuan sebanyak 4 anak tangga dan negara Asean paling tinggi kedudukan masing kekal di tangan negara Vietnam (97) mencatat kenaikan 1 anak tangga. Ini membolehkan mana-mana pemain dari negara tersebut beraksi di liga-liga utama Eropah kerana mereka mensyaratkan hanya negara yang berkedudukan ranking di bawah 100 sahaja boleh beraksi dalam liga mereka.

Ini menunjukan bahawa pembangunan bolasepak negara-negara Asean masih jauh ketinggalan dan masih banyak yang perlu dilakukan. Mereka sebenarnya menyedari hakikat ini namun tidak banyak yang dilakukan untuk memajukan bolasepak masing-masing. Apa yang mereka lakukan ialah bercakaran sesama sendiri merebut jawatan. Lihat saja masalah yang menimpa Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Berikut adalah senarai ranking FIFA bagi negara-negara Asean.
97 - Vietnam (+1)
141 - Thailand (-2)
148 - Filipina (+8)
151 - Indonesia (-4)
156 - Malaysia (-4)
158 - Singapura (-8)
173 - Kemboja (-7)
173 - Myanmar (+4)
175 - Laos (-2)
202 - Brunei (-1)
205 - Timor Leste (-+)

Untuk melihat senarai lengkap ranking FIFA terkini anda boleh lihat di sini.

Rabu, 4 April 2012

KAJAYAAN AKADEMI BOLASEPAK JERMAN

Pasukan Jerman Piala Dunia 2010 Afrika Selatan - gamber ehsan fifa.com

Kejayaan pasukan Jerman menduduki tangga ke tiga Piala Dunia 2010 Afrika Selatan yang lalu benar-benar membuka mata banyak pihak sehingga menenggelamkan kehebatan Sepanyol pasukan yang menjuarai buat pertama kali. Ini semua gara-gara kehebatan Jerman menumpaskan dua pasukan gergasi dunia iaitu Argentina dan England dengan menurunkan pemain-pemain yang rata-rata berumur 23 tahun.

Nama-nama pemain muda mereka seperti Thomas Muller, Mesut Ozil, Semi Khedira, Toni Kroos dan Mario Gomes menjadi taruhan Joachim Loew (pengurus/jurulatih) sebagai pemain kesebelasan utama. Mereka berjaya menjaringkan 4 gol ke atas Argentina dan England yang dibarisi oleh kesemua bintang-bintang handalan mereka. Bagaimana pemain-pemain muda Jerman melakukannya? Inilah satu persoalan yang menarik untuk kita cari jawapannya.

Maka kita akan mendapatkan jawapannya ialah 'Akademi Bolasepak'!

Jika kita pusing kembali sejarah bolasepak Jerman 12 tahun lampau iaitu pada Euro 2000 (Belanda & Belgium) bilamana pasukan kebangsaan mereka gagal layak ke pusingan kedua dengan keputusan amat memalukan, mengutip hanya 1 mata dengan jaringan juga 1 gol! (10 tahun sebelumnya 1990 mereka adalah juara Piala Dunia).

Selepas pencapaian memalukan itu pihak berkuasa bolasepak Jerman, DFB, mengambil keputusan bahawa satu langkah drastik mesti diambil untuk memajukan bolasepak Jerman. Mengambil contoh Akademi Bolasepak Ajax Amsterdam di Belanda dan Clairefontaine Centre of Excellence di Perancis, pihak DFB dan League Association (dianggotai oleg kelab-kelab professional) mengambil langkah drastik dengan mewajibkan kelab-kelab Bundesliga 1 & Bundesliga 2 menubuhkan akademi masing-masing.

Penubuhan akademi-akademi ini dipantau dan dikawalselia oleh sebuah jawatankuasa khas yang dinamakan 'Academy Committee' yang anggotanya terdiri dari wakil DFB, League Association, wakil beberapa kelab professional seperti Bayern Munich, Bayer Liverkusen dan Brussia Dortmund serta beberapa ahli bebas yang terdiri dari pakar-pakar dari pelbagai disiplin ilmu. Maka tumbuh 36 buah akademi bolasepak yang dimiliki oleh kelab-kelab bolasepak Bundesliga 1 & 2.

Dalam setiap akademi mempunyai skuad bawah 12, 13, 14, 15, 16, 17, 19/18 dan 23 tahun masing-masing. Diwujudkan juga liga bawah 17 & 19 tahun bagi Bundesliga 1 & 2. Di samping itu pihak Academy Committee juga menjalinkan kerjasama dengan sekolah-sekolah bolasepak persendirian yang ada di Jerman agar satu rangkaian program pembangunan yang selari dengan hasrat pasukan kebangsaan dapat dilaksanakan.

Setiap akademi mempunyai beberapa buah padang (termasuk rumput & karpet), asrama, jimnasium, dewan makan, bahagian perubatan, kolam renang, bangunan pentadbiran dan bilik komputer. Kakitangan juga diambil mewakili para jurulatih, fisioterapi, doktor perubatan, pakar permakanan, pakar psikologi, guru akademik, pembantu-pembantu peribadi dan kakitangan pentadbiran.

Untuk menjaga mutu akademi-akademi tersebut Academi Committee telah mewujudkan sistem gred. Mana-mana kelab yang berjaya mendapat gred lebih baik akan ditambah dana kewangan sebagai galakan. Begitu juga halnya kepada mana-mana kelab yang berjaya di peringkat Champion League dan Europa League, sebahagian dana akan disalurkan kepada akademi mereka.

Maka selama beberapa tahun projek akademi tersebut berjalan kita telah melihat bagaimana Jerman berjaya melahirkan ramai pemain-pemain muda berbakat yang dalam usia sangat muda seperti Thomas Muller, 17 tahun, berjaya bermain begitu meyakinkan dalam kancah Piala Dunia mengatasi ramai pemain-pemain senior dunia yang lain. Begitu juga halnya dengan rakan-rakannya yang lain seperti Mesut Ozil, Semi Khedira, Toni Kroos dan kini muncul beberapa nama lagi yang akan kita lihat pasti memberi impak dalam Euro 2012 nanti seperti Mario Gotze, Andre Achurrla dan pasangan kembar Sven dan Lars Bunden.

Selama ini kelab-kelab Bundesliga telah membelanjakan 520 juta Euro khusus untuk membangun akademi dan jumlah tersebut terus bertambah setiap tahun. Namun hasilnya cukup mengembirakan DFB, League Association dan Academy Committee. Perlu dicatatkan bahawa dari seramai 525 pemain yang beraksi dalam Bundesliga sekarang ini, 275 pemain atau kira-kira 52.4% adalah hasil garapan akademi-akademi tersebut. Secara purata pula seramai 15 orang pemain setiap kelab juga adalah diambil dari pemain-pemain akademi mereka. Ini adalah satu statistik tertinggi di dunia! Cuba kita bandingkan dengan EPL, 'umpama bumi dan langit'.

Dari segi kejurulatihan pula, Jerman memiliki kumpulan jurulatih berkelayakan paling ramai di dunia. Jerman kini mempunyai seramai 1,200 orang jurulatih yang memegang 'Pro License', 5,000 orang 'A License' dan 2,500 orang 'B License'. Jika dihimpunkan mereka ini berjumlah 9,000 orang jurulatih berkelayakan peringkat tinggi! Juga merupakan statistik tertinggi di dunia!

Mungkin sesuatu dapat dicungkil dari pencerahan ini oleh NFABD dalam usaha membangun bolasepak negara.

Prof: Ayuh rakan-rakan saya dalam NFABD. Lakukan sesuatu, hampir 1 tahun, saya masih menanti projek pembangunan jangka panjang yang akan diusahakan oleh NFABD. Tapi saya tetap menanti dengan sabar menanti tarikh keramat itu.