Ahad, 30 Januari 2011

JEPUN DAKAP MAHKOTA ASIA


Akhirnya skuad 'Samurai Biru', Jepun, berjaya mencipta rekod sebagai pasukan pertama yang berjaya menjulang mahkota AFC Cup sebanyak 4 kali dengan menumpaskan Australia 1-0 dalam perlawanan akhir yang cukup sengit di Stadium Khalifa, Qatar, malam tadi. Gol kemenangan Jepun itu hanya hadir di minit ke 108 dalam masa tambahan setelah perlawanan 90 minit berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Dengan kemenangan Jepun itu juga bermakna pasukan yang ditewaskan iaitu Australia terpaksa menunggu 4 tahun (2015) lagi untuk 'sah' bergelar sebagai 'Raja Asia' buat pertama kali sejak menyertai badan induk bolasepak benua Asia itu bebrapa tahun lalu. Manakala Korea Selatan pula menduduki tempat ke 3 setelah menumpaskan Uzbekistan 3-2 dalam perlawanan antar keduanya malam kelmarin.

Apa yang menarik adalah tiadanya wakil Asia Tenggara beraksi dalam Asia Cup Qatar 2011 kali ini. Ini menunjukkan bahawa mutu bolasepak di rantau ini merosot dan sudah pasti AFF mempunyai tugas yang sukar untuk meningkatkan taraf permainan bolasepak di Asia Tenggara ini. Kita ingin melihat sekurang-kurangnya 2 atau 3 negara Asia Tenggara layak ke Asia Cup 2015.

Prof: Menjawat kepimpinan memang seronok tetapi tugas dan tanggungjawab amat berat. Ramai orang ingin memegang jawatan tetapi malas untuk menjalankan tugas, hanya ingin bersuka-ria dengan jawatan yang disandang. Adilkah?

Jumaat, 28 Januari 2011

JEPUN DAN AUSTRALIA TENTUKAN JUARA ASIA

Ravshan Irmatov, pegadil untuk perlawanan akhir AFC Cup Qatar 2011.

Malam esok pukul 6.00 petang (waktu tempatan) bertempat Stadium Khalifa, Doha, Qatar akan menentukan pasukan manakah antara Jepun atau Australia yang akan bergelar Juara Asia dalam perlawanan akhir AFC Cup Qatar 2011.

Jepun menewaskan musuh tradisi dan negara jiran iaitu Korea Selatan melalui sepakan penalti setelah seri 2-2 dalam perlawanan sepenuh masa separuh akhir. Manakala Australia akan mencuba buat kali ke tiga untuk bergelar juara baru sejak menjadi ahli gabungan AFC, dengan mudah membelasah Uzbekistan 6-0 dalam perlawanan separuh akhir.

Perlawanan tersebut akan diadili oleh Ravshan Irmatov, pegadil yang paling berwibawa pernah dilahirkan oleh benua Asia. Warga Uzbek yang baru berusia 33 tahun itu telah memenangi anugerah 'AFC Referee of The Year' untuk tiga tahun berturut-turut iaitu 2008, 2009 & 2010. Nama beliau meningkat naik apabila berjaya mengadili perlawanan-perlawanan Piala Dunia Afrika Selatan 2010 lalu dengan baik dan tidak mengundang kontroversi. Sama-sama kita saksikan mutu permainan dan pengadilan bolasepak yang tinggi dapat dihasilkan oleh Asia. Syabas AFC.

Prof: Inilah tugas wajib sesebuah persatuan, bukan sahaja mampu melahirkan pemain-pemain terbaik malah mesti juga menghasilkan jurulatih dan pengadil juga.

Ahad, 23 Januari 2011

PELUANG MELAKUKAN PERUBAHAN

Jika tercapai hasrat pihak yang berkepentingan atau 'stake holders' atau ahli-ahli gabungan BAFA untuk menemui FIFA menyampaikan hasrat 'persetujuan' mereka untuk membubarkan BAFA DAN persetujuan FFBD untuk dibubarkan bagi memberi peluang kepada 'stake holders' atau lebih tepat lagi pertubuhan/persatuan/kelab bolasepak di Brunei DS menubuhkan sebuah badan induk baru maka tidak syak lagi ini adalah peluang keemasan untuk melakukan 'perubahan' atau 'change'.

Kenapa saya berkata begitu? Seperti yang kita semua sedia maklum sebelum ini sukan bolasepak di Brunei DS diurustadbir oleh BAFA dan mengalami pelbagai masalah hingga membawa pembatalan pendaftaran badan induk tersebut. Kemunculan FFBD juga turut tidak disenangi oleh FIFA dan beberapa pihak 'stake holders' sendiri. Maka menubuhkan sebuah badan induk baru sudah pasti menjadi satu kesempatan untuk melakukan perubahan.

Melakukan perubahan dalam ertikata memilih pemimpin-pemimpin baru yang berwibawa, berintegriti, jujur, ikhlas, professional dan yang penting sekali mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan bolasepak. Dalam konteks ini, di negara ini, apa yang difikirkan oleh banyak pihak adalah seseorang pemimpin itu mestilah seseorang yang berpengaruh, berpangkat tinggi dan dihormati masyarakat.

Memang, untuk memimpin sesebuah persatuan, apatah lagi dalam masyarakat kitani, soal kedudukan seseorang masih menjadi keutamaan. Soalnya, apakah ianya masih sesuai dalam zaman moden ini? Apakah boleh mengharapkan seseorang yang berkedudukan untuk mengurus sebuah persatuan sukan nombor wahid ini?

Jawapan saya, tidak! Tidak salah jika sekiranya kita ingin memilih seseorang yang berkedudukan untuk memegang jawatan-jawatan penting seperti presiden, naib presiden, setiausaha atau bendahari. Soalnya, apakah mereka mempunyai masa untuk semua itu? Ini kerana sukan bolasepak menuntut komitmen sepenuh masa kerana terlalu banyak tugas yang mesti dilaksanakan.

Sebagai contoh; badan induk bolasepak mesti menyediakan skuad dalam pelbagai peringkat umur dari skuad bawah 12 tahun hinggalah skuad senior. Bermakna satu projek pembangunan jangka panjang mesti dibuat jika tidak kita tidak mampu untuk menyertai kejohanan-kejohanan yang dianjurkan oleh badan-badan induk seperti AFF, AFC dan FIFA. Ini tidak termasuk menyediakan skuad-skuad untuk sukan-sukan utama seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Ditambah lagi komitmen kalendar aktiviti di dalam negeri, umpamanya memantau pembangunan bolasepak di keempat-empat daerah (dari peringkat belia hingga senior). Persatuan memerlukan tenaga-tenaga kerja yang ramai dan pemimpin yang dapat menumpukan seratus peratus tenaga dan buah fikiran mereka bukan pemimpin-pemimpin yang hanya datang mesyuarat sebulan sekali.

Mungkin ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa persatuan perlukan orang berkedudukan kerana dapat membawa penaja-penaja. Dalam konteks sukan bolasepak, bagi saya tidak perlu. Kerana sebab-sebab berikut;

1. Sukan bolasepak adalah sukan no 1 di dunia. Tidak ada masalah besar untuk mendapat tajaan dari mana-mana syarikat swasta untuk menajanya, cuma perlu satu kertas cadangan yang dapat menarik minat mereka.

2. FIFA mempunyai dana yang cukup banyak untuk disalurkan kepada ahli-ahli gabungan. Dana-dana tersebut datang dalam bentuk projek-projek pembangunan umpamanya 'Goal Project' yang pernah diperolehi BAFA sebelum ini. Bagitu juga halnya dengan AFC dan AFF. Untuk pengetahuan ramai, penyertaan sesebuah negara ke kejohanan-kejohanan anjuran badan-badan induk sudah disediakan dana maka tidak ada masalah untuk melaksanakannya, cuma jika kita ada dana tambahan adalah lebih baik.

3. Sebagai sebuah persatuan sukan kebangsaan sudah pasti mendapat dana tahunan dari pihak kerajaan.

Menilai dari sebab-sebab di atas, saya fikir apa yang perlu kepada sebuah badan induk baru adalah seorang pemimpin yang dapat memberi komitmen seratus peratus dalam perjalanan aktiviti persatuan dan yang paling penting juga adalah mempunyai skil pengurusan yang cekap dan berintegriti serta prudent.

Itulah yang saya maksudkan dengan 'perubahan' atau 'change'. Inilah masanya untuk kita berubah dari kepimpinan gaya lama kepada kepimpinan abad ke 21 yang menuntut semua sikap-sikap positif dan tidak memberi peluang kepada pemimpin yang tidak mahir, gagal memberi komitmen dan tidak berminat menjalankan tugasan mereka.

Dan yang terakhir adalah seorang pemimpin yang mampu berkomunikasi dengan baik dalam pelbagai bahasa kerana sebagai wakil badan induk mereka akan menghadiri pelbagai kongres, seminar, perjumpaan, mesyuarat dan aktivti anjuran badan-badan induk seperti AFF, AFC dan FIFA. Melalui pengalaman saya sebagai wartawan sukan sebelum ini, hampir setiap bulan ada sahaja acara-acara yang dianjurkan oleh badan-badan induk tadi.

Mampu menguasai pelbagai bahasa adalah satu kelebihan, paling tidak mampu bercakap dan menulis dengan baik dalam Bahasa Inggeris. Kerana dalam dunia moden ini setiap pemimpin akan sentiasa berhadapan dengan pihak media dan jika mereka tidak mempunyai skil komunikasi yang baik maka imej persatuan yang diwakilinya pula akan terjejas.

Apapun, keputusan di tangan anda. Buatlah pilihan untuk 'perubahan'.

Prof: Maaf kepada kawan-kawan yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin tetapi tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris. Saya terpaksa nyatakan ini demi kebaikan kita bersama.

Rabu, 19 Januari 2011

SYABAS PBDB

Seperti yang kita semua sedia maklum, senario bolasepak Brunei DS tahun 2011 ini dimulakan dengan khabar gembira apabila tertubuhnya secara rasmi Pertubuhan Bolasepak Daerah Belait (PBDB). Persatuan bolasepak bagi Daerah Belait yang bergerak sebelum ini iaitu Belait District Football Association (BDFA) telah terbatal pendaftarannya.

Saya mendoakan PBDB terus berusaha gigih untuk mengerakkan aktiviti-aktiviti bolasepak di daerah itu bagi melahirkan ramai lagi pemain-pemain berbakat serta pemimpin-pemimpin persatuan yang berwibawa. Sebelum ini kita mengetahui ramai pemain-pemain kebangsaan dilahirkan oleh Daerah Belait, yang saya kenal adalah Jamahari Lani, Martilu Mohamad, Ibrahim Hj Abu Bakar, Zaini Tumih dan beberapa orang lagi.

Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatankuasa Tadbir PBDB 2011/2013

Yang Dipertua
Tuan Haji Salleh Bostamam Hj Zainal Abidin

Timbalan Yang Dipertua
Abang Zamhor OKPSD Abang Hj Abu Hanifah

Setiausaha Agong Pentadbiran
Morni Hj Zakaria

Setiausaha Agong Teknikal
Abu Bakar Hj Metali

Timbalan Setiausaha Agong
Tuan Hj Jailani Hj Md Husain

Bendahari
Mohammad Husaini Hj Ibrahim

Ahli Jawatankuasa
Jamhali Lani
Pg Saiful Redzalli Pg Hj Mokhtar
Tuan Hj Hanipi Kifli
Ismail Hj Mohammad
Mohammed Yusope
Mohammad Shazwan Suhainie
Mohammad Zaidin Musa

Prof: Terima kasih buat sahabat saya Jamhari yg memberikan maklumat di atas.

Ahad, 16 Januari 2011

'ROAD MAP' UTK BOLASEPAK BRUNEI!

Blog ini dikhabarkan satu 'road map' atau formula penyelesaian masalah bolasepak Brunei DS ketika ini telah diputuskan oleh kelab-kelab yang bernaung di bawah BAFA sebelum ini. Pertemuan antara wakil kelab-kelab tersebut khabarnya berlangsung pada petang hari Jumaat lalu (14 Jan 2011).

Antara langkah-langkah dalam 'road map' tersebut ialah;

1. Memilih wakil sebagai 'jawatankuasa bertindak'.
2. Menemui FIFA dan bersetuju BAFA dibubarkan.
3. Menemui FFBD dan menyampaikan hasrat supaya dibubarkan.
4. Menubuhkan sebuah badan induk baru.

Jika benar khabar ini, ianya merupakan satu perkembangan yang positif dan sudah pasti memberi nafas baru kepada aktivis dan peminat bolasepak di Brunei DS. Menurut sumber blog ini juga, beliau yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut, wakil FFBD yang kebetulan mewakili kelabnya memahami situasi sebenar dan bersetuju pada dasarnya FFBD dibubarkan untuk memberi laluan kepada sebuah badan induk baru ditubuhkan.

Mungkin secara kebetulan agaknya, blog ini ada mencadangkan beberapa langkah 'road map' dalam posting sebelum ini. Bagaimanapun blog ini mencadangkan FFBD dibubarkan hanya selepas kongres FIFA pada bulan Jun akan datang ini (jika sekiranya FIFA masing menggantung BAFA).

Dalam perkembangan ini perlu diingatkan bahawa supaya setiap merekaa yang terlibat hendaklah meletakkan matlamat untuk kebaikan bolasepak mendahului keinginan peribadi. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Prof: Sesungguhnya kamelut ini memberi pengajaran kepada semua pihak. Jika tidak mahu belajar bermakna dia lah orang paling bodoh yang hidup di dunia ini.

Ahad, 9 Januari 2011

'KING KENNY' KEMBALI KE ANFIELD

Kenny Dalglish kembali ke Anfield! Inilah berita paling mengejutkan dan mengembirakan kepada para peminat 'The Reds'. Pengurus yang juga lagenda Liverpool FC itu mengambil-alih tugas sebagai pengurus setelah Roy Hodgson dipecat. Beliau akan memikul tugas selaku pengurus hingga berakhir musim ini.

Roy Hodgson pula terpaksa melepaskan jawatan setelah hanya 7 bulan bersama Liverpool FC (31 perlawanan, hanya mencatat 1 kemenangan di tempat lawan). Perlawanan terakhir beliau sebagai pengurus Liverpool FC ialah tewas 1-3 kepada Blackburn Rovers di tempat lawan dalam perlawanan EPL.

Bagaimana pun, perkembangan ini tidak menarik minat pengurus-pengurus pasukan EPL yang lain. Antara yang lantang melahirkan rasa kurang senang ialah Arsene Wenger, pengurus Arsenal. "Roy adalah 'Manager of the Year' musim lalu dan setelah 6 bulan beliau kehilangan tugas. Ini sesuatu yang tidak menarik bagi sukan ini."

Mark Hughes, yang menggantikan beliau sebagai pengurus di Craven Cottage, Fulham FC juga merasa terkilan atas pemecatan rakan sekerjanya itu. Namun itulah hakikat bolasepak moden. Seseorang pengurus tidak mampu untuk bertahan jika pasukan bimbingannya tewas 2 atau 3 perlawanan berturut-turut. Jika Alex Ferguson pun akan dipecat dalam 4 tahun pertama menerajui Manchester United FC jika beliau berada dalam situasi sekarang.

Hakikat itulah juga yang akan dihadapi oleh Kenny Dalglish. Beliau benar-benar mengambil risiko. Segala rekod cemerlang beliau bersama Liverpool akan lenyap begitu saja jika gagal membawa sebarang perubahan positif kepada pasukan. Namun, kehadiran 'King Kenny' pasti disambut dengan positif oleh paraa pemain Liverpool FC dan satu perubahan psoitif akan berlaku di Anfield dalam hari-hari mendatang.

Prof: Sahabat saya, Pg Amirrizal pasti gembira mendapar berita ini. Beliau adalah 'die hard fan' Liverpool FC.

Khamis, 6 Januari 2011

AFC CUP 2011 - MAMPUKAH IRAQ PERTAHAN GELARAN?


Setelah berakhirnya AFF Suzuki Cup yang dimenangi oleh Malaysia kini menyusul pula kejohanan lebih besar dan paling berprestij di Asia iaitu AFC Asian Cup 2011 - Qatar. Qatar yang baru saja diberi kepercayaan menganjur pusingan akhir Piala Dunia FIFA 2022 akan menjadi tuan rumah kali ini yang akan berlangsung dari 7-29 Jan 2011.

Juara edisi lalu, Iraq, sekali lagi akan muncul untuk mempertahankan kejuaraan. Rakyat negara yang masih dicengkam peperangan itu akan bersatu demi bolasepak. Selain Iraq, 15 buah negara lain telah layak dan dibahagikan kepada 4 kumpulan (4 pasukan setiap kumpulan). Dua pasukan teratas akan layak ke pusingan kalah mati/suku akhir.

KUMPULAN A
China, Kuwait, Qatar & Uzbekistan

KUMPULAN B
Jepun, Jordan, Arab Saudi & Syria

KUMPULAN C
Australia, Bahrain, India & Korea Selatan

KUMPULAN D
Korea Utara, Iran, Iraq & UAE

Melalui senarai di atas jelas kita lihat bahawa buat pertama kalinya tiada wakil Asia Tenggara yang layak. Apa sudah jadi AFF? Di mana silap hingga rantau Asia Tenggara mengalami aib seperti ini? Apakah tiada projek pembangunan? atau mutu bolasepak rantau ini telah merosot? Apapun jawapannya, AFF mesti melakukan sesuatu kerana tanggungjawab mengangkat martabat bolasepak terletak di bahu anda. Seperti yang selalu saya katakan, sesiapa saja boleh menganjur kejohanan. Yang sukar adalah melahirkan pemain-pemain berbakat dan mempertingkat mutu bolasepak.

Nampaknya Iran dan Iraq bertemu sekali lagi dalam satu kumpulan. Ini merupakan perkembangan menarik bagi peminat kedua-dua negara berjiran itu. Jika diteliti juga dari negara-negara yang layak, jelas sekali ianya didominasi oleh negara-negara Asia Barat (Timur Tengah) dengan menampilkan 8 pasukan (tidak termasuk Qatar sebagai tuan rumah). Ini bermakna separuh daripada pasukan-pasukan yang beraksi untuk pusingan akhir ini.

Seperti biasa 'kuasa tradisi' bolasepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun, Iran dan Arab Saudi akan berdepan dengan Australia yang masih kempunan menjuarai Asian Cup sejak menjadi anggota rasmi AFC. Tentu menarik kejohanan kali ini kerana India turut layak sejak sekian lama kempunan. Manakala hanya satu wakil dari rantau Asia Tengah iaitu Uzbekistan yang muncul kali ini. Sama-sama kita berpesta.

Prof: AFF apa sudah jadi?